Khamis, 12 April 2012

UMNO lebih demokratik


TENGKU Razaleigh Hamzah menegaskan tidak siapa
perlu mempertikai kesetiaannya pada Umno dan BN.
Beliau orang lama dalam Umno dan akan terus kekal
setia pada parti.

Isu kesetiaan Ku Li timbul ekoran banyak isu nasional
dan pendirian beliau agak tidak selari dengan Umno.
Umpamanya, kes tuntutan royalti minyak Kelantan oleh
Kerajaan Pas negeri.

Kes ini dalam proses mahkamah untuk dibicarakan.
Ku Li sebagai bekas Pengerusi Petronas ketika perjanjian
itu dimeterai antara kerajaan Pusat dan Negeri bersependapat
dengan sikap Pas dalam tuntutan ini.

Sebagai ahli Umno tentulah pendiriannya agak bertentangan
dengan pendirian rasmi pucuk pimpinan parti. Dan yang
terkini pula Ku Li telah menyatakan pendiriannya menyokong
perhimpunan Bersih 3.0 yang akan mengadakan perhimpunan
pada 28 April ini di Dataran Merdeka.

Ku Li sebelum ini juga telah menubuhkan sebuah badan NGO
yang diberi nama Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah.
Beliau menjadi Pengerusinya dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir
yang telah isytihar keluar dari Umno menjadi Timbalannya.

Menurut Ku Li, Amanah yang terdiri dari bekas-bekas pemimpin
kerajaan dari berbagai kaum bertujuan memastikan hak-hak dan
kepentingan rakyat tidak diabaikan.

Semua langkah Ku Li ini tidak disenangi kebanyakan para
pemimpin tertinggi parti. Namun setakat ini tidak ada apa-apa
tindakan dikenakan padanya.

Ini memberi gambaran bahawa Ku Li agak bebas dan tidak terikat
sehingga beliau boleh menyatakan apa sahaja pendiriannya, walaupun
pendiriannya itu adalah selari dengan parti pembangkang.

Dari satu sudut, nampaknya Umno lebih demokratik berbanding dengan
parti Pas yang baru-baru ini telah memecat bekas Pesuruhjayanya di Selangor,
Dr. Hasan Ali yang mempunyai sikap dan pandangan berbeza dengan
pucuk pimpinannya.

Dr. Hasan dipecat dari Pas kerana agak berbeza pendiriannya dengan
parti. Tetapi Ku Li dari awal hingga akhir mempunyai pendiriannya
yang tersendiri, malah terbaru beliau memberi sokongan perhimpunan
Bersih 3.0 yang ditaja parti pembangkang. Malah dia menggesa para
ahli Amanah turut serta turun menghadiri perhimpunan itu.

Umno tidak mengambil tindakan apa-apa terhadapnya. Presiden Umno
sendiri hingga kini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau
mengulas pendirian Ku Li itu.

Nasib Ku Li lebih baik dari Dr. Hasan Ali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan