Jumaat, 20 April 2012

Memoir Dr. Mahathir

Anwar tidak sesuai jadi PM
DALAM memoirnya, A Doctor In The House, Tun Dr. Mahathir Mohamad menceritakan hubungan beliau dengan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn tidaklah begitu rapat dan mesra. Allahyarham Tun Hussein adalah seorang yang tegas dan tidak suka bergurau.

Menurut Dr. Mahathir, beliau tidak tahu sebab Tun Hussein memilihnya sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Tun Razak meninggal dunia secara mengejut.

Apa yang beliau tahu Tun Razak pernah berpesan pada Tun Hussein agar menemui beliau jika ada masalah.

Ketika menjadi TPM semasa era Hussein Onn, Dr. Mahathir meluahkan betapa beliau kurang dapat kerjasama dari Allahyarham sebagai PM. Banyak idea dan cadangan yang diberikan beliau telah ditolak.

Pada satu ketika beliau berasa berat untuk memberi idea dan cadangan kerana sering ditolak dan tidak mahu hubungannya dengan Tun Hussein sebagai PM menjadi tegang. Lebih penting Dr. Mahathir tidak mahu berlaku sesuatu yang boleh menyekat peluangnya dari menjadi PM menggantikan Tun Hussein.

Justeru itu beliau bersabar dan menyimpan segala idea dan rancangan yang beliau ingin lakukan bagi kemajuan negara. Tambahan pula cara Tun Hussein terlalu berhati-hati dan lambat membuat sesuatu keputusan.

Bila Dr. Mahathir menjadi PM sepanjang 22 tahun beliau mempunyai empat TPM, bermula dengan Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dari keempat tokoh itu hanya Tun Abdullah berjaya menjadi penggantinya.

Namun dari sudut yang lain dalam empat bekas TPM itu, Anwar Ibrahimlah bekas Timbalannya yang paling berkuasa dan berpengaruh. Selaku Menteri Kewangan, Anwar telah menguasai hampir keseluruhan media cetak dan letronik dalam mengukuhkan kedudukannya dalam parti dan kerajaan.

Bahkan Anwar telah menggunakan media yang beliau kuasai bagi menjatuhkan pemimpin parti yang tidak sehaluan dengannya. Kes bekas Ketua Menteri Melaka dengan seorang pelajar sekolah telah diperbesarkan habis-habisan sehingga pemimpin itu meletakkan jawatan.

Salah satu faktor Tun Ghafar terpaksa berundur dan memberi laluan pada Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden parti adalah kerana mainan media yang dikuasai kumpulannya. Malah beliau telah memprojekkan dirinya sambil itu bergerak secara senyap untuk menjatuhkan Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir sedar apa yang berlaku, namun beliau tidak mengambil sebarang tindakan kerana percaya beliau mampu menewaskan Anwar jika ada pertandingan jawatan parti. Lagi pun pada satu ketika Dr. Mahathir percaya bahawa Anwar adalah calon penggantinya.

Tetapi semuanya berubah setelah masalah peribadi Anwar terbongkar hasil dari surat Ummi Hafilda. Pada peringkat awal Dr. Mahathir menolak dan tidak percaya di atas segala tuduhan terhadap Anwar. Ia menganggapnya sebagai satu fitnah.

Bagaimanapun, sebelum ini beliau sebagai PM pernah menerima nasihat dari bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar tentang kegiatan sulit Anwar. Nasihat itu pun ditolaknya kerana menganggap ia tidak berasas. Sehingga ada ketika Tun Haniff kecewa kerana beliau tidak ambil serius dengan nasihatnya itu.

Namun setelah Ummi Hafilda bertindak menarik balik suratnya itu, Dr. Mahathir merasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Ini mendorongkan beliau untuk menyiasat sendiri bagi mengetahui lebih lanjut dari segala tuduhan yang diterima dari Ummi dan Tun Haniff yang ditolaknya sebelum itu.

Dari perjumpaan dengan beberapa orang saksi yang diatur dan menemubualnya beliau mulai yakin dan percaya segala apa yang berlaku ke atas Timbalannya. Justeru itu Dr. Mahathir membuat keputusan ia perlu membuat sesuatu bagi menyelamatkan negara dari jatuh ke tangan pemimpin yang boleh terdedah pada ugutan pihak asing.

Dan paling utama Anwar Ibrahim bukanlah calon yang sesuai menjadi PM negara ini. Menurut Dr. Mahathir lagi, apa yang berlaku terhadap Anwar adalah berpunca dari dirinya sendiri dan bukan orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan