Isnin, 30 November 2020

Dr Mahathir Belum Mampu Mengatasi Muhyiddin

 Sejak awal penglibatan Tun Dr Mahathir dalam politik dari zaman Tunku Abdul Rahman sehinggalah ke era Najib Razak, beliau sentiasa berjaya mengatasi seteru dan pesaing politiknya dalam apa cara sekalipun. Itu lah kelebihan yang ada pada Tun. 

Tun berseteru dengan Tunku dan beliau menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi perletakkan jawatan Tunku selepas peristiwa 13 Mei 69.

Bila Tun menjadi Perdana Menteri pada 1981 beliau seterusnya berjaya mengatasi saingan dan seteru politiknya seperti Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam peristiwa politik bersejarah yang mengakibatkan Umno berpecah sehingga tertubuhnya parti Semangat 46.

Selepas itu Tun menghadapi kemaraan Anwar Ibrahim pula dalam isu calon penggantinya sebagai PM. Yang akhirnya Anwar dipecat dari Umno dan kerajaan. 

Bila tiba masa kelihatan tenang Tun undur diri dan menyerahkan jawatannya pada Pak Lah Badawi pada 2003. Namun suasana tenang itu kembali bergelora lantaran Tun tidak berpuashati dengan stail Pak Lah memimpin parti dan kerajaan. 

Maka diusahakan Tun secara politik sehingga Pak Lah terpaksa letak jawatan. Antara langkah Tun adalah menyerang pimpinan Pak Lah sehingga Umno hilang majoriti dua pertiga dalam Pru 2008.

Selepas Pak Lah giliran Najib Razak sebagai pengganti. Seperti masa Pak Lah, pada awal pemerintahan Najib,  kelihatan semuanya berjalan baik. Namun selepas itu meletup juga timbul ketegangan hubungan Najib dan Tun. Sehinggalah Tun keluar dari Umno semata mata mahu menumbangkan Najib setelah usahanya gagal melalui saluran parti Umno. 

Akhirnya Najib tumbang juga melalui pilihanraya umum ke 14 pada pembangkang yang diketuai Tun. Tercatat dalam sejarah parti Umno dan BN tewas buat julung kali ditangan parti pembangkang yang dikepalai bekas PM dan bekas Presiden Umno !!

Begitulah Tun Mahathir, semua saingan dan seteru politiknya dapat ditewaskan  dan di atasi. Dari Tunku, Tun Musa, Tengku Razaleigh, Anwar Ibrahim, Pak Lah dan akhirnya Najib Razak. 

Tetapi ironinya sehingga saat ini hanya seorang sahaja yang Tun belum mampu mengatasi dan menumbangkannya adalah PM ke 8 Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Jangankan menumbangkan Muhyiddin sebagai PM,  malah usaha Tun untuk menguasai parti Bersatu daripada Muhyiddin pun gagal. Kerana Tun telah pun dipecat sebagai Pengerusi parti Bersatu. Muhyiddin adalah Presidennya.

Sehingga kini tidak nampak yang Tun mampu menewaskan Muhyiddin sebagai PM dan Presiden Bersatu sebagai parti yang mempunyai lebih kuasa di Putrajaya. 

Tetapi tidak tahulah perkembangan seterusnya sehinggalah diadakan PRU 15 yang dijangka diadakan pada tahun hadapan. 

Namun apa pun dalam sejarah karier politik Tun, satu-satunya lawan politiknya yang paling liat untuk dijinakkan adalah Muhyiddin bekas orang kanan dan paling dipercayainya semasa penubuhan parti Bersatu.