Rabu, 29 Ogos 2012

Isu Nasharudin Mat Isa

Ulama lawan Anwarinas
MASALAH parti Pas kini yang berkait dengan bekas Timbalan Presidennya yang secara terbuka mempunyai sikap dan pandangan berbeza dengan pucuk pimpinan parti - bukanlah baru.

Ia bermula sejak 2010 bila Nasharudin Mat Isa ketika itu sebagai orang nombor dua parti telah berusaha untuk mengadakan kerjasama dengan Umno. Ia disebut sebagai kerajaan perpaduan.

Dua orang tokoh lagi yang terlibat dalam usaha ini ialah Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Dr. Hasan Ali. Diberitakan telah berlaku pertemuan sulit antara dua pihak.

Menurut Nasharudin usaha ini dijalankan setelah mendapat izin dari Majlis Syura. Pada peringkat awal ia dikatakan mendapat restu dari Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Namun usaha ini mendapat tentangan dari kem Anwarinas, terutamanya Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Nasha pernah membuat kenyataan bahawa Nik Aziz tidak mengetahui hal ini ekoran Tok Guru itu sering tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Syura kerana sering uzur. Jadi Nik Aziz tidak mendapat gambaran jelas apa yang telah dipersetujui.

Justeru itu Nik Aziz menjadi orang yang paling kuat menentang kerjasama atau kerajaan perpaduan itu. Sehingga dia memberi amaran pada Nasha, Mustafa dan Dr. Hasan agar keluar Pas dan masuk Umno. Nik Aziz tidak keseorangan kerana ia disokong kuat kumpulan Anwarinas atau pro Anwar Ibrahim.

Pada Muktamar Pas 2011 telah berlaku pertandingan jawatan dalam parti yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden parti. Nasha sebagai penyandang jawatan ditentang dua calon lain; Mohamad Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelas Nasha dan Tuan Ibrahim adalah calon dari kumpulan pro ulama. Manakala Mat Sabu dari golongan Anwarinas. Sebelum pertandingan tidak ada siapa yang menjangka calon seperti Mat Sabu akan terpilih menjadi Timbalan Presiden. Tetapi itulah yang berlaku. Para ahli parti telah membuat keputusan dengan Mat Sabu menang dalam pertandingan tiga penjuru itu dengan majoriti yang tipis.

Apa yang menarik dua hari sebelum pertandingan itu, Timbalan Mursyidul Pas, Datuk Dr. Haron Din telah menggesa para perwakilan agar memilih calon Timbalan Presiden dari golongan ulama. Walaupun dia tidak menyebut nama secara khusus, namun jelas Nasha atau Tuan Ibrahim adalah calon yang dimaksudkannya kerana mereka berdua adalah bertaraf ulama.

Saranan Dr. Haron Din itu adalah munasabah. Tidak mungkin orang seperti beliau dan para pemimpin lain seperti Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, Hj. Ahmad Awang dan lain-lain ulama dalam parti dapat berketuakan pemimpin seperti Mat Sabu.

Tetapi oleh kerana para ahli telah membuat pilihan secara demokrasi, maka mereka terpaksa menerimanya untuk kepentingan parti. Sedangkan pada hakikatnya sebahagian besar ulama dalam parti tidak dapat menerima Mat Sabu sebagai orang nombor dua.

Dalam konteks ini Dr. Hasan Ali yang dipecat dari parti adalah mewakili suara senyap golongan ulama dalam parti yang tidak sanggup bersuara demi menjaga keutuhan parti. Ertinya, Dr. Hasan telah menjadi korban dalam pertembungan antara pro ulama dan pro Anwarinas.

Walaupun Dr. Hasan berada diluar parti, namun jelas Nasha berada dan bersama menyokongnya dalam isu-isu kepentingan Islam dan perpaduan umatnya. Kelebihan Nasha ialah ia tidak keluar parti dan berikrar akan bersama Pas dan tidak akan sertai Umno. Cuma pendiriannya terus konsisten dalam isu perpaduan  dan maslahat ummah.

Nasha bukan tokoh sebarangan. Dia adalah bekas Setiausaha Agung dan Timbalan Presiden parti. Dan dia bertaraf ulama. Hubungan baik dan penampilannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan para pemimpin Umno lain dalam statusnya masih ahli Majlis Syura Pas adalah satu tamparan pada Pas dan Tok Guru Nik Aziz.

Nasha bukan tokoh sejenis Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir atau Tamrin Ghafar yang sudah tidak terpakai lagi dalam Umno. Sokongan terbuka Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan beberapa ulama lain terhadap Nasha dalam isu terbaru mengesahan adanya pertembungan antara dua golongan itu dan betapa pentingnya Nasha sebagai pemimpin masa depan Pas.

 







 







Khamis, 23 Ogos 2012

Manchester United tercicir mata

Permulaan yang kurang menarik
KALAH pada Everton dalam perlawanan pertama dengan jaringan satu gol memberi tamparan pada Manchester United dalam saingan Liga EPL yang baru bermula.

Pengurus Alex Ferguson tentu tidak dapat menerima kekalahan ini, apatah lagi beliau begitu gah dengan kehadiran penyerang barunya, Robin Van Persie yang baru dibelinya dari kelab Arsenal.

Kehadiran Van Persie yang digandingkan dengan Wayne Rooney tidak memberi sebarang kesan dalam perlawanan pertama itu. Ferguson menyalahkan para pemainnya kerana tidak mengguna sepenuhnya kehadiran Van Persie.

Dalam Liga yang sengit saingannya seperti EPL keciciran satu atau dua mata boleh memisahkan juara dan naib juara. Inikan tiga mata hilang setelah tewas dengan Everton 0-1.

Pada musim lepas Man. U diperingkat awal telah mendahului carta Liga dalam tempoh yang panjang, namun akibat tercicir mata dalam beberapa perlawanan terakhir ia dapat dipintas oleh Manchester City. Man. City berjaya menjadi juara Liga EPL mengatasi United hanya dengan perbezaan gol setelah kedua pasukan mengutip mata yang sama.

Ferguson mengakui salah satu punca kegagalan mereka musim lepas ialah keputusan perlawanan terakhir mereka dengan Everton yang berkesudahan seri 4-4 yang memberi laluan pada Man.City merangkul juara Liga.

Yang menariknya kali ini Everton juga sekali lagi mengecewakan mereka dalam perlawanan sulung musim ini. Bagi Ferguson, tiga mata memang amat berharga apa lagi saingannya terdekat seperti Man.City dan Chelsea telah pun mengutip tiga mata dalam perlawanan masing-masing.

Perjalanan Liga masih jauh. Tetapi gagal mengutip mata penuh pada perlawanan pertama seakan memberi petanda kurang baik pada Man.U. Kegagalan mempertahankan juara Liga musim lepas dengan hanya perbezaan gol adalah suatu yang memedihkan. Ia seakan mahu melupakan episod itu.

Tiga mata mampu memisahkan bakal sang juara!

Selasa, 14 Ogos 2012

Tamrin Ghafar keliru

TAMRIN Ghafar anak pejuang tulen Umno, Tun Ghafar Baba telah isytihar dirinya sebagai ahli Pas dan meninggalkan Umno - parti yang mempunyai sejarah tersendiri penglibatan bapanya sebagai pemimpin kanan.

Tetapi sebagai orang politik Tamrin tidaklah begitu menonjol dan berjaya jika dibandingkan dengan kejayaan bapanya, Tun Ghafar yang pernah menjadi Naib Presiden Umno paling lama dan seterusnya menjadi Timbalan Presiden.

Tamrin setakat pernah menjadi Exco Pemuda Umno dan Pengerusi MARA. Tidak ada jawatan atau peranan penting lain pernah beliau pegang sepanjang kariernya sebagai orang politik dan sebagai anak Tun Ghafar.

Hakikatnya beliau seolah terpinggir dan disisihkan dalam arus perdana parti. Mungkin dia kecewa dan kecil hati. Dan mungkin juga beliau seorang yang keliru.

Pada satu masa dahulu Tamrin pernah dikaitkan dengan pertubuhan Al Arqam yang diharamkan. Beliau dikatakan begitu kagum dengan pemimpin pertubuhan itu Ustaz Ashaari Muhammad dan mempunyai hubungan yang baik dengan para pemimpin pertubuhan yang diharamkan itu. Malah di satu ketika beliau hampir menyertainya sebagai ahli jemaah Arqam.

Tetapi setelah apa yang berlaku terhadap Ustaz Ashaari yang didakwa membawa ajaran salah, cerita Tamrin dengan Arqam hilang begitu sahaja. Hinggalah terakhir ini beliau dikaitkan dengan parti Pas pula. Boleh jadi Tamrin kini kekosongan dan keliru tentang platformnya dalam politik.

Oleh kerana Umno tidak memberi perhatian padanya, maka pilihannya hanya Pas. Tamrin tidak mungkin akan menyertai PKR kerana beliau tentu tidak akan lupa sepanjang hayatnya bagaimana nasib bapanya yang diaibkan dan diperbuat seperti kain buruk ketika cuba mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Umno.

Orang itu tidak lain ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu ghairah untuk bertanding jawatan nombor dua Umno. Anwar telah berjaya mempengaruhi perwakilan Umno dengan politik wang sehingga beliau berjaya menyingkirkan Tun Ghafar dari jawatan Timbalan Presiden Umno dan seterusnya jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Sedangkan sebelum itu Anwar telah berkali-kali menyatakan dia tidak akan menentang Tun Ghafar. Namun akhirnya Tun Ghafar terpedaya dan berada dalam keadaan tidak bersedia bila Anwar telah pun bergerak secara senyap bagi menjatuhkan orang tua itu.

Pada masa itu Tun Abdullah Badawi dan Tan Sri Sanusi Junid antara pemimpin yang menyokong Tun Ghafar dan menentang keras hasrat Anwar itu. Oleh kerana Anwar lebih licik dan mengamalkan politik wang nasib Tun Ghafar tidak dapat diselamatkan.

Tidak ada dalam sejarah Umno seorang pemimpin yang begitu setia dan berjasa pada parti diberi jalan keluar secara "biadab" sebagaimana yang telah dilakukan Anwar terhadap Tun Ghafar.

Kini Tamrin sebagai ahli Pas dan berada dalam Pakatan Rakyat seharusnya tidak lupa sejarah yang berlaku terhadap ayahandanya dan tokoh yang memainkan peranan penting dan bertanggungjawab menamatkan karier politik ayahnya yang juga seorang wira yang tidak didendangkan.

Isnin, 13 Ogos 2012

Pakatan Rakyat

Gambaran sebenar PAS dalam PR

PAS kena tipu

Hanya kuda DAP dan PKR

Sambut raya tanpa air

SETIAP kali musim cuti perayaan terutamanya pada Hari Raya bandar Kota Bharu, Kelantan dan sekitarnya penuh sesak dan trafik jem. Semua orang pulang bercuti berkereta.

Pada hari biasa pun trafik jem sudah menjadi perkara biasa apatah lagi pada hari cuti perayaan. Jalan-jalanraya seperti sediakala sedangkan jumlah kenderaan semakin bertambah.

Bandar Kota Bharu, jalan ke Pasir Mas, Tanah Merah, Rantau Panjang dan lain-lain sering kali penuh sesak. Kereta bergerak seperti kura-kura.

Begitulah saban tahun sehingga ada orang tempatan yang serik keluar memandu pada hari berkenaan. Bagi setengah anak-anak Kelantan yang bekerja di Kuala Lumpur dan sebagainya serta orang-orang bukan asal negeri ini beranggapan ini adalah tanda kemajuan negeri ini di bawah kerajaan PAS.

Inilah yang acap kali disebut malah menunjukkan bukti betapa Kelantan tidak mundur. Kalau negeri mundur dan tidak maju masakan kenderaan penuh sesak ? Begitulah soalan yang ditimbulkan sekiranya ada pihak yang mempersoalkan kemajuan negeri itu selama 22 tahun di bawah kerajaan PAS.

Nampaknya, ukuran dan perbandingan jalan yang sesak dan kereta yang banyak pada setiap hari perayaan telah menjadi hujah setengah pihak betapa Kelantan semakin maju dan tidak mundur. Tidaklah pasti ukuran dan standard apakah yang dipakai dalam membuat penilaian ini.

Tetapi siap ! Raya sudah tidak beberapa hari lagi. Setengah kawasan di negeri ini masih mengalami masalah ketiadaan air. Kesian orang kampung, lebih-lebih lagi orang-orang tua yang terpaksa memunggah air di telaga dan sungai bagi memenuhi keperluan setiap hari.

Ada yang merungut bila buka paip hanya keluar desingan angin. Lebih menyakitkan hati bil air perlu dibayar walaupun air tidak keluar. Ini semua telah menyusah dan meresahkan setiap orang bagi menghadapi sambutan hari raya.

Bagi yang berada diperantauan dan akan balik pada hari raya ini mereka akan mengalami suasana ini. Setiap isi rumah akan bertambah bilangan dengan kembalinya mereka ke kampung masing-masing. Bekalan air sekarang pun sering terganggu dan tidak mencukupi apa lagi dengan pertambahan para penggunanya.

Mereka yang dulunya yang megah dan mendabik dada memuji kerajaan PAS Kelantan dengan memberi alasan negeri ini tidak mundur dengan memberi petunjuk suasana sesak dan trafik jem yang dialami negeri ini sebagai bukti "kemajuan" yang telah dicapai kerajaan PAS.

Namun kali ini datang pula masalah air yang meleret-leret hingga kini tanpa penyelesaian. Kerajaan negeri memberi berbagai alasan tanpa sebarang tindakan yang memuaskan. Alih-alih Umno dan kerajaan pusat akan disalahkan.

Orang kata Kelantan terus maju di bawah PAS. Biar air tidak ada asalkan parti bulan terus memerintah.

Khamis, 9 Ogos 2012

Kelantan perlu perubahan

RAKYAT Kelantan perlu membuat pilihan yang tepat dalam PRU 13 ini bagi memilih kerajaan untuk lima tahun akan datang.

Sudah lebih 22 tahun Pas diberi peluang mentadbir dan memerintah negeri itu di bawah Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Tidak ada kurang dan cacatnya Nik Aziz sebagai MB. Tetapi setakat itulah kemampuannya dalam mentadbir negeri selama dua dekad.

Dari segi batang tubuhnya memang tidak ada tokoh yang dapat menyaingi popularitinya di hati rakyat. Dengan cara hidupnya yang sederhana dan warak seolah sudah tidak ada calon lain yang layak menggantinya.

Namun itu dilihat dan diukur disudut peribadinya. Sebagai seorang ulama dan tok guru dengan tazkirah dan kuliah subuhnya yang mampu menarik ribuan pendengar beliau telah berjaya menempatkan dirinya sebagai seorang begitu berpengaruh dan sukar untuk disanggah dalam isu politik dan agama.

Tetapi dalam bidang pentadbiran dan pengurusan ternyata beliau adalah seorang pemimpin yang gagal. Boleh dikatakan sebagai MB Kelantan beliau hanya bersifat sebagai menyempurna majlis-majlis rasmi. Tidak ada perancangan atau idea untuk membangunkan negeri.

Malah tidak perlu disebut bahawa beliau sendiri tidak tahu menahu tentang ilmu ekonomi dan kewangan. Sedangkan ini adalah faktor penting bagi seorang pemimpin bagi sebuah kerajaan negeri. Peranannya sehingga ini adalah setakat sekitar menjadi imam, bertazkirah, mencukur kepala budak dan sebagainya yang hanya layak dilakukan oleh para ustaz.

Beliau boleh meneruskan kerja-kerja ini sekiranya beliau mahu. Memang itu sudah keahliannya. Tetapi sebagai MB dan pentadbir sememangnya beliau tidak layak dan sesuai untuk terus berada di Kota Darulnaim.

Contoh terbaik isu air di Kelantan sehingga kini tidak ada kenyataan jelas dari beliau bagaimana untuk menyelesai dan mengatasinya. Kalau setakat pergi melawat dan turun padang ke kawasan terbabit dan sekadar menggosok-gosok batang paip dan seterusnya balik tanpa memberi apa-apa jalan penyelesaian; bukti beliau seorang tidak ada ilham dan idea.

Tidak ada niat untuk memperkecilkan beliau sebagai seorang Tok Guru. Tetapi hakikatnya itulah beliau perlu menyerahkan tugas MB kepada yang lebih layak dan mampu. Sebagai seorang ulama beliau sudah berjaya, namun sebagai MB beliau seorang yang gagal.

Rakyat Kelantan tidak boleh terlalu taksub dan bersikap melampau dalam menilai seseorang tokoh apatah lagi seorang bertaraf tok guru. Dalam konteks mengajar dan mentadbir adalah dua bidang yang berbeza dan memerlukan kepakaran masing-masing. Tok Guru Nik Aziz boleh mengajar tetapi tidak mentadbir.

Selasa, 7 Ogos 2012

Beri betis nak peha...

TIDAK ada parti pembangkang di dunia seperti yang ada di negara ini yang boleh mengkritik dan meremehkan segala usaha kerajaan setiap masa. Asalkannya dari kerajaan semuanya tidak betul dan ditolak.

Dalam keadaan tertentu seolah parti pembangkang adalah kerajaan dan kerajaan pula seperti pembangkang yang mesti patuh atau ikut apa saja kemahuan mereka.

Itu pun masih kedengaran bahawa negara ini belum cukup demokratik dan semuanya dikawal kerajaan.

Dari isu saham Felda, demostrasi Bersih dan terbaru soal tema hari kemerdekaan dan banyak lagi isu lain, membuktikan parti pembangkang di negara ini boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki sekiranya ia tidak sehaluan dengan pendirian mereka.

Mereka boleh mengadakan perhimpunan Bersih satu, dua, tiga dan empat mengikut kesesuaian mereka. Mereka menolak mentah-mentah usaha kerajaan memajukan warga Felda dengan berbagai persepsi dan tohmahan. Dan mereka bukan sahaja menolak segala usaha kerajaan, malah mempolitikkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka.

Dengan parti pembangkang yang satu itu menggunakan agama dan satu lagi perkauman sudah cukup mempengaruhi dan mengelirukan ramai orang. Gandingan agama dan perkauman merupakan ramuan yang mampu menarik minat masyarakat.

Contohnya di Kelantan, isu ketiadaan air di negeri itu adalah benar dan serius. Ia bukan masalah yang diada-adakan atau dipolitikkan pihak tertentu. Kerajaan Negeri di bawah Pas tidak mampu mencari jalan penyelesaian hingga sekarang. Alasan pimpinan negeri bahawa ia adalah fenomena alam adalah satu jawaban untuk membodohkan rakyat negeri itu.

Untuk mengkaburi mata rakyat dibawanya isu royalti dan pembinaan lebuhraya KB-K.Krai. Sedangkan masalah air yang merupakan asasi dan utama kehidupan rakyat tidak diambil tindakan segera.

Parti pembangkang yang berselindung disebalik agama terus mengelirukan rakyat. Agama telah menjadi perisai dan pelindung dari segala kelemahan dan kepincangan mereka dari didedahkan pada umum. Segala kesalahan dan kelemahan diletakkan pada bahu kerajaan pusat. Parti pembangkang tidak pernah salah dan betul dalam segala hal.

Itulah pembangkang di negara ini. Kerajaan pusat pula terlalu memberi muka. Ibarat beri betis nak peha... 

Isnin, 6 Ogos 2012

Syria diambang kemusnahan

SUASANA di Syria semakin tidak terkawal. Pertempuran diantara tentera kerajaan dan puak pemberontak bertambah sengit di bandar kedua terbesar, Aleppo.

Siri pembunuhan secara kejam berlaku antara kedua pihak ke atas tahanan masing-masing. Terbaru beberapa anggota setia pada rejim Bashar Al Assad dibunuh beramai-ramai di bandar Aleppo yang masih menjadi rebutan kedua pihak.

Semua perkembangan ini memperlihatkan puak pemberontak semakin bertapak dan kedudukan Presiden Bashar semakin tertekan. Beberapa letupan bom di ibu kota Damsyik yang mengorbankan beberapa pegawai kanan kerajaan dan penguasaan sebahagian bandar Aleppo oleh puak pemberontak bukti jelas rejim Assad akan mengalami nasib sama seperti Muammar Gaddafi di Libya.

Soalnya, bilakah ia akan berlaku sama ada cepat atau lambat. Tetapi jelas Bashar tidak akan mampu bertahan untuk jangka panjang. Ini ditambah lagi dengan adanya campurtangan asing melalui bantuan senjata pada puak pemberontak. Berita terbaru pula, Perdana Menteri Syria telah pun berpaling tadah dan melarikan diri ke Jordan.

Presiden Bashar kemungkinan tidak akan melarikan diri sebaliknya akan bertahan di ibu kota tersebut. Harapannya kini hanyalah pada Rusia, sekutu rapatnya yang masih memberi sokongan padanya. Rusia pula kelihatan tidak mahu melihat apa yang berlaku di Libya menimpa Syria.

Walau apa pun berlaku Syria akan menjadi benteng terakhir bagi menghadapi kuasa besar Amerika dan sekutunya Israel dalam mencorakkan politik di Timur Tengah. Bagi Israel musuhnya yang paling digeruni ialah Syria dan Iran.

Dan kini Syria berada dalam keadaan lemah dan menuju kehancuran. Sekiranya rejim Assad tumbang dan diganti dengan kerajaan yang lebih lunak dengan barat, maka tumpuan AS-Israel hanyalah pada Iran yang menjadi penghalang besar percaturan mereka di Timur Tengah.

Iran kini pun sedang menerima kesan dari berbagai sekatan dari AS dan sekutu barat. AS dan Israel tidak akan menyerang Iran sebaliknya menunggu dan lihat hasil sekatan yang mampu meresahkan rakyat Iran yang menghadapi berbagai kesulitan ekonomi dan sosial hasil sekatan tersebut.

Syria kini diambang kemusnahan. Tinggal Iran keseorangan dikepung. Mampukah Iran mempertahankan kedaulatannya ? Jika Iran juga mengalami nasib sama seperti Syria dan negara-negara Arab lain, maka AS-Israel akan menguasai sepenuhnya politik Asia Barat dan telaga minyaknya.





Rabu, 1 Ogos 2012

Merdeka dan generasi muda


BANYAK diperkatakan tentang peranan dan sumbangan
generasi muda dalam pembangunan negara. Peri pentingnya
golongan ini sehingga ia menjadi faktor penting dalam
menentukan sesebuah kerajaan yang akan dipilih dalam
setiap pilihan raya dan seterusnya masa depan negara.

Negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 55 pada
31 0gos ini. Setakat manakah rasa kesedaran dan kecintaan kita
terhadap negara yang telah dipimpin oleh pemimpin terdahulu
sehingga kita dapat menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera.

Setiap kali tiba bulan Ogos, maka setiap kalilah pihak kerajaan
terpaksa berkempen agar Jalur Gemilang dikibarkan disetiap bangunan,
kedai, kenderaan dan sebagainya bagi menyambut dan memeriahkan
hari bersejarah itu.

Seolah kita tidak mempeduli dan perihatin pada hari bersejarah negara.
Di manakah rasa cinta dan sayang pada negara ? Di manakah silapnya ?

Barangkali kita terlalu hidup mewah dan senang membuatkan kita
tidak dapat menilai dan menghargai segala kenikmatan yang kita perolehi.
Sedangkan apa yang dicapai negara hingga kini adalah hasil pengorbanan
dan perancangan para pemimpin negara bagi memastikan negara terus
menikmati keamanan dan kemakmuran.

Rakyat perlu melihat apa yang berlaku di negara-negara Timur Tengah
yang sedang bergolak sekarang. Syria, Iraq, Afghanistan, Libya dan lain-lain
terus bermandikan darah. Mangsa korban terus meningkat saban hari hasil
pembunuhan sesama bangsa dan agama. Perpecahan terus berlaku antara
mazhab dan kumpulan tertentu.

Suasana begitu menyayatkan hati; kanak-kanak, wanita dan orang-orang
tua menjadi mangsa. Rumah kediaman hancur musnah dan terpaksa menjadi
pelarian di negara asing. Segala kenikmatan hidup mereka selama ini
musnah sekelip mata.

Apakah kita menjangka perkara seumpama ini tidak akan berlaku di negara
kita ? Sekiranya kita mengambil sikap mudah dan tidak bersyukur dengan
segala nikmat yang kita perolehi kini tentunya tidak mustahil ia juga akan
berlaku di sini.

Rakyat negara ini, terutamanya generasi muda perlu berfikir dalam
konteks dan gambaran yang lebih luas dan tidak terlalu emosi dan berfikiran
sempit dalam menilai sesuatu.

Apa yang dicapai selama 55 tahun bukanlah sesuatu yang mudah dengan
berbagai halangan dan rintangan. Janganlah kita hancurkannya dengan
sekelip mata kerana ia mungkin tidak akan kembali.