Khamis, 26 Mac 2020

Covid-19 : Pak - Pak Menteri Bila Nak Berkorban?

Akibat virus Covid-19 seluruh dunia berkurung. Di negara kita arahan hanya duduk di rumah bermula 18 hingga 31 March. Dan kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Tidak pernah dalam sejarah peristiwa sebegini berlaku yang menyusahkan semua orang. Bukan sahaja ditakuti serangan virus itu boleh meragut nyawa malah kehidupan manusia seharian juga turut terganggu.

Syarikat kapal terbang mungkin bangkrap. Para pedagang impot ekspot hampir lumpuh. Apa lagi para peniaga kecil, pemandu teksi, nelayan, petani dan sebagainya hilang mata pencarian. Lebih mencengkam lagi seluruh sempadan negara ditutup bagi mencegah penularan Covid-19 yang membunuh itu.

Langkah kerajaan memberi bantuan dan kemudahan pada rakyat bawahan disambut baik. Termasuk kelonggaran pada para peminjam bank. Bantuan tunai dan sebagainya.

Semoga segala bentuk bantuan ini akan menyeluruh lapisan masyarakat. Bimbang sekiranya ada golongan yang tercicir. Adalah pasti golongan rakyat bawahan yang kais pagi makan pagi yang perlu diutamakan. Mereka semua tiada simpanan. Jika tidak bekerja atau berniaga mereka tidak ada pendapatan.

Cuma apa yang terlintas dalam fikiran saya, kenapa sampai sekarang Pak-Pak Menteri yang berpuluh-puluh orang itu belum lagi bersuara sekurang-kurangnya mengambil initiatif bersedia memotong 10 peratus dari gaji mereka sebagai sumbangan pada rakyat yang memerlukan.

Seperti kita maklum gaji setiap seorang daripada mereka mencecah puluhan ribu sebulan. Elaun sebagai wakil rakyat sahaja berbelas ribu. Itu pun belum dikira elaun etc.

Sampai hati mereka masih membisu. Tidak ada perasaan langsung dan prihatin nasib rakyat. Bagi lah sedikit pengorbanan dan sumbangan pada rakyat yang telah mengundi dan memilih kita.

Lebih-lebih lagi pada Pak-Pak Menteri dan wakil rakyat yang berkopiah, berjubah dan berjanggut. Jangan hanya pandai berkata-kata, manis dibibir mulut... Jangan hanya pandai meminta derma daripada rakyat pada waktu senang. Bila susah semua menikus... menyorot diri.

Kepada yang menjadi menteri, sumbanglah dari gaji itu. Tidak terkesan pun. Elaun wakil rakyat pun lebih dari mewah.

Fikirkanlah nasib rakyat bawahan yang hanya perlu menyuap mulut isteri, anak-anak dan keluarga mereka. Bukannya mereka mahu kemewahan pun.

Berkorbanlah sedikit... Takkan nak tunggu hari raya Haji kut....

Rabu, 11 Mac 2020

Anwar Ibrahim PM Ke 9 ?

Ada buku politik bertajuk,  "Anwar Ibrahim PM Ke 8". Apakah selepas ini akan terbit buku baru, " Anwar Ibrahim PM Ke 9" ??

Saja tanya... 

Selasa, 10 Mac 2020

Azmin Ali Dan Hamzah Zainuddin Pemimpin Kanan Muhyiddin

Dua orang arkitek atau perancang yang menghimpun semua wakil rakyat dari parti Bersatu, Umno, Pas, MCA dan MIC di hotel Sheraton - tujuan menubuhkan Perikatan Nasional, telah pun dilantik jawatan kanan dan penting dalam kabinet Muhyiddin.

Mereka berdua ialah Hamzah Zainuddin (Bersatu) dan Azmin Ali (ex PKR kini ahli Bersatu).

Azmin dilantik sebagai Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Hamzah sebagai Menteri Dalam Negeri (KDN)  - satu jawatan berpengaruh dan power dalam kabinet.

Menteri KDN...Hamzah Zainuddin

Dari PM pertama hingga PM ke 7, jawatan Menteri KDN hanya diberikan pada pemimpin kanan dalam parti. Setiap PM tidak melantik sebarangan. Sama ada PM sendiri memegang jawatan tersebut atau diserahkan pada orang yang dipercayainya.

Misalnya, pada era Najib, dia pilih Zahid Hamidi. Masa PH bawah Mahathir, dia pilih Muhyiddin. Kerana Muhyiddin adalah
Presiden Bersatu.  Manakala Mahathir adalah Pengerusinya.

Zaman Tun Hussein Onn PM ke 3, dia memilih Tan Sri Ghazali Shafie.

Ertinya setiap PM akan melantik orang kepercayaannya sebagai Menteri KDN. Jabatan KDN amat penting kerana ia melibatkan soal keselamatan dan ketenteraman negara.

Dr Mahathir sebagai PM ke 4 pernah memegang jawatan tersebut setelah timbalannya Musa Hitam meletakkan jawatan pada 1986.

Dalam konteks sekarang ini, Datuk Hamzah Zainuddin adalah orang kanan Muhyiddin selain daripada Azmin Ali sebagai Menteri Kanan.

Azmin Ali... Menteri Kanan

Kalau hendak dikira, Hamzah adalah bekas ahli Umno yang melompat masuk Bersatu. Dan dia tidak mempunyai apa-apa jawatan penting dalam parti Umno dan parti barunya, Bersatu.

Namun kini dia adalah orang penting dalam kabinet Muhyiddin. Dan dia adalah penggerak dan perancang utama bersama Azmin dalam langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH dibawah Dr Mahathir.

Ironinya, Hamzah dan Azmin merupakan penyokong tegar Dr Mahathir dan mahu PM ke 4 dan ke 7 itu meneruskan tugasnya sebagai PM sehingga habis penggal. Mereka berdua adalah musuh ketat Anwar Ibrahim dan tidak rela Mahathir menyerahkan kuasa pada Anwar.

Sebab itu setelah Mahathir hilang sokongan dari Umno dan Pas, mereka menyokong Muhyiddin sebagai PM ke 8 sebagai langkah menghalang laluan Anwar.

Hamzah mempunyai kes peribadi dengan Anwar di mahkamah lama dahulu. Kes tersebut telah pun diselesaikan diluar mahkamah.

Azmin pula tidak perlu dicerita lagi. Dia merupakan bekas orang kanan Anwar semasa era reformasi. Dan antara pengasas parti Keadilan.

Namun kini Hamzah dan Azmin merupakan tulang belakang PM ke 8.

Politik terus bergerak dan akan berubah setiap saat dan minit. Hari, minggu, bulan ia terus aktif.

Tiada siapa dapat menjangka perubahan dan apa perkembangan pada masa hadapan.

Dalam politik tiada musuh yang kekal dan sahabat yang abadi...