Khamis, 5 April 2012

Sentuhan Mohammad Ghaddar

Hatrik jaring tiga gol
PENYERANG import dari Lubnan, Mohammad Ghaddar menamatkan kemarau gol bila ia menjaringkan tiga gol membantu Kelantan menewaskan Arema FC dari Indonesia dalam pusingan Piala AFC. Kelantan menang 3-0.

Sejak bersama The Red Warriors musim ini beliau gagal mempamerkan aksi cemerlang dan gagal menghasilkan sebarang gol. Dia cuma berjaya menjaringkan dua gol - semua dari sepakan penalti.

Kegagalannya menjadi penyerang yang berkesan telah menimbulkan rasa tidak puas hati pengurusan KAFA dan para penyokong setia. Justeru itu Ghaddar digugurkan dari senarai pemain dalam Liga Super M. Dia disimpan dan disenaraikan bagi kejohanan AFC yang sedang berlangsung sekarang.

Masalah Ghaddar ini juga telah menjadi salah satu faktor bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler tidak berpuas hati dengan keputusan KAFA dan mendorongnya meninggalkan pasukan Red Warriors.

Tetapi semalam Ghaddar berjaya menamatkan badi kemarau gol dengan menghasilkan hatrik menembusi gawang Arema FC seterusnya mencerahkan kembali peluang Kelantan dalam carta kedudukan dalam kumpulan.

Ironinya, kegembiraan Ghaddar dan seluruh peminat Kelantan dengan kejayaan semalam diiringi dengan berita duka hukuman FAM selama 2 tahun 6 bulan terhadap Presidennya, Tan Sri Annuar Musa di atas tindakannya mengkritik secara terbuka prestasi pasukan kebangsaan.

Tan Sri Annuar berada di stadium menyaksikan kelincahan Ghaddar menjaringkan gol. Ghaddar kelihatan puas. Sekurang-kurangnya kegembiraan semalam dapat menawar kedukaan tentang nasib pemimpin mereka yang disayangi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan