Buat silap lagi...
TERENGGANU dibelasah teruk oleh Selangor 6-1 di Stadium Kelana Jaya dalam perlawanan Liga Super malam tadi.
Sang Penyu mendahului satu gol diawal minit ke 9 menerusi Ismail Faruqi dalam separuh masa pertama.
Selepas itu semua pemain Terengganu kelihatan longlai dan keletihan bermain di atas padang yang basah.
Kesilapan dan kelemahan dibarisan pertahanan Penyu telah memberi ruang pada Selangor menghukum dengan jaringan demi jaringan dalam separuh masa yang kesudahan Selangor mendahului 4-1.
Pemain yang paling kesal semalam ialah penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee yang juga pemain kebangsaan. Tidak kurang dari dua atau tiga gol yang bolos adalah hasil kesilapan beliau. Sama ada kesilapan itu berpunca dari kedudukan atau posisinya yang salah dan cara dia menangkap atau menumbuk bola itu kurang kemas.
Inilah kesilapan sama yang sering berulang pada Sharbinee sama ada bermain untuk Terengganu, malah semasa mewakili pasukan Harimau Malaya. Pada final Piala Malaysia 2011 ketika menentang Negeri Sembilan - di mana Terengganu tewas, beliau telah meminta maaf di atas kesilapannya melepaskan gol mudah pada pihak lawan.
Begitu juga semasa bermain untuk Harimau Malaya di Kejohanan Piala Suzuki AFF di Jakarta bila kita tewas mudah pada Indonesia 5-1 di peringkat awal. Kesilapan sama berulang bila dia melepaskan banyak gol mudah di Singapura dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia. Sejurus itu posisinya telah diambil alih Khairul Fahmi Che Mat.
Bagaimanapun, keseluruhan prestasi Sharbinee tidaklah seburuk yang digambarkan. Cuma masalah dengan penjaga gol ini ialah prestasinya tidak pernah menentu. Dia boleh bermain dengan baik dengan formnya yang luarbiasa. Tetapi kadang-kala dia boleh bermain seburuk mungkin.
Bukti jelas dalam perlawanan terakhir baru-baru ini bila Terengganu berjaya menyingkirkan Lions XII dalam perlawanan suku akhir Piala FA. Dan Terengganu juga setakat ini mempunyai rekod bersih tanpa kalah bila bermain di Stadium Jalan Besar, Singapura. Mereka berjaya menewaskan kelab dari Singapura, Tampines Rovers 1-0 dalam Piala AFC baru-baru ini. Sebelum itu berjaya menundukkan Lions XII 1-0 dalam Liga Super.
Memang benar dalam permainan bolasepak adalah permainan berpasukan. Kesebelasan pemain perlu memikul segala kelemahan dan kesilapan dan tidak mencari pemain yang perlu dikambinghitamkan.
Namun kecuaian dan kesilapan Sharbinee, terutamanya dalam perlawanan malam tadi tidak harus berlaku lebih-lebih lagi dia adalah penjaga gol berpengalaman.
Sekiranya jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagopal masih mahu menyenaraikan lagi Sharbinee dalam skuad kebangsaan - beliau perlu sanggup menghadapi risikonya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan