Khamis, 19 April 2012

Datuk Zaid Ibrahim

Calon parlimen Kota Bharu
SEKITAR bandar Kota Bharu kelihatan poster-poster gambar Datuk Zaid Ibrahim terpampang di tiang-tiang letrik dan pokok serta dibeberapa buah jalan utama.

Gambarnya berwarna, bersongkok dan berbaju melayu. Sahlah, Datuk Zaid akan bertanding di kawasan Parlimen Kota Bharu dalam PRU 13 ini.

Kini beliau adalah Presiden parti KITA atau Kesejahteraan Insan Tanahair. KITA adalah parti ketiga disertainya selepas Umno dan PKR.

Beliau mungkin menjadi antara pemimpin politik yang pernah menyertai tiga parti berlainan dalam masa yang singkat. Ternyata beliau tidak dapat menyesuaikan dirinya ketika berada dalam Umno dan PKR. Maka itu dia keluar bagi meneruskan idealismenya dalam politik tanahair.

Imej dan pandangan umum terhadap sikap politik Datuk Zaid ialah beliau bukanlah seorang nasionalis melayu yang tebal atau seorang Islamis ? Penampilan beliau lebih ke arah seorang yang terbuka dan liberal dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum.

Justeru itu beliau ditolak Umno dan tidak popular di kalangan pemimpin tertinggi dan ahli akar umbi.  Dia keluar PKR pula kerana tidak berpuas hati ketika bertanding menentang Azmin Ali bagi jawatan nombor dua parti yang baginya berlaku ketidakadilan dalam kiraan undi.

Kedudukan Zaid dalam politik tanahair hampir sama dengan nasib Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Dr. Hasan Ali. Tetapi Ibrahim Ali kelihatan lebih menonjol sebagai pejuang melayu melalui Perkasa dengan bersuara lantang dalam apa sahaja isu berkaitan kaum pribumi. Apa kala Dr. Hasan pula melalui Jalur Tiga atau Jati begitu lantang dalam mempertahankan IMR iaitu Islam, Melayu dan Raja.

Sikap dan pendirian Zaid tidak jelas. Dia bukan nasionalis dari sudut ukuran Umno sebagai parti kebangsaan melayu. Dia juga bukan ahli politik haraki. Zaid adalah seorang politikus liberal dan terbuka; sama seperti ahli-ahli politik di barat dan negara maju.

Cita-cita dan idealismenya murni untuk merubah sistem politik di negara ini. Namun hasratnya agak sukar dicapai lantaran politik di negara ini masih dikuasai faktor perkauman dan agama.

Justeru apakah beliau mempunyai harapan menang di Kota Bharu; sebuah negeri majoriti melayu yang kuat berpegang pada tradisi dan pengaruh agama ? Barangkali, kawasan Lembah Kelang atau Bukit Bintang lebih cocok dengan sikap dan pendirian politiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan