Selasa, 28 Julai 2020

Najib Razak Atau Parti Umno Lebih Utama??

Bekas Perdana Menteri Najib Razak disabit kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak rm210 juta oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International. Kesalahan tersebut bersabit salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram. 

Najib akan memohon rayuan ke atas hukuman tersebut di Mahkamah Rayuan yang akan mengambil masa tiga hingga empat bulan. 

Setakat ini kedudukannya sebagai ahli parlimen tidak terjejas sehinggalah proses rayuan muktamad. 

Soalan cepu mas pada para pemimpin dan ahli Umno sekarang ialah apakah mereka berjuang dalam parti Umno demi bangsa, agama dan negara atau mereka berjuang kerana seseorang pemimpin atau individu tertentu? 

Lihat pada suasana terkini nampaknya sebahagian besar ahli Umno masih bebal, tidak reti dan tidak belajar dari kesilapan lalu sebelum Pru14 lalu. 

Faktor terbesar Umno tersungkur dalam Pru14 adalah berkisar pada batang tubuh Najib Razak, skandal 1MDB dan Jho Low. Kerana ahli Umno masih mahu mempertahankan Najib, maka Umno dan BN hancur. Seterusnya hilang kuasa di Putrajaya. 

Kerana Najib, 1MDB dan Jho Low, Tan Sri Muhyiddin dipecat sebagai TPM. Begitu juga faktor Mahathir dan Anwar boleh bergabung menentang Umno dan Najib. Dan juga lahir parti Bersatu. 

Sekiranya para pemimpin dan ahli Umno mendesak agar Najib berundur, maka tidak lahir parti Bersatu. Muhyiddin dan Mahathir masih ahli Umno. Dan Umno masih berkuasa di Putrajaya dengan jawatan Perdana Menteri masih lagi merangkap Presiden Umno. 

Namun semua itu tidak berlaku kerana ahli Umno tidak reti dan bebal sehingga sanggup mengheret masalah individu menjadi bebanan dan liabiliti pada parti. 

Kini bala itu datang lagi. Dan masih bebal mahu mempertahankan seseorang individu dari mempertahankan parti dari terjerumus ke lembah penghinaan dan cacian. 

Tengku Razaleigh Hamzah, Pengerusi Penasihat Jemaah Umno dan juga veteran Umno telah memberi teguran agar Najib dan Zahid Hamidi berundur demi kelangsungan parti dengan memberi laluan pada para pemimpin muda yang baru serta berwibawa. 

Tetapi teguran Ku Li itu nampaknya disambut dingin para ahli parti. Sebabnya mudah kerana ramai lagi ahli Umno yang masih tidak belajar, tidak reti dan sememangnya bebal. Mereka tidak pernah insaf dan sedar di atas pukulan teruk dalam Pru14 lalu. 

Yang terbaru berita melaporkan pemimpin muda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa agar Umno " move on" dan "move foward" demi keutuhan parti dengan memisahkan antara isu individu dan perjuangan Umno yang sebenarnya. 

Ertinya, Khairy mahu parti pisahkan dan jarakkan dengan masalah Najib Razak. Biar lah Najib membersihkan namanya tanpa melibatkan Umno. 

Soalnya pada para pemimpin dan ahli Umno, apakah parti Umno lebih utama atau Najib, bossku lebih penting mahu diperjuangkan. 

Khalas. Full stop.