Sabtu, 29 November 2014

Akta Hasutan

KEPUTUSAN Umno untuk terus mengekalkan Akta Hasutan 1948 tidak memberi banyak pilihan pada MCA dan Gerakan mengenai kedudukan mereka dalam Barisan Nasional (BN).

Sebagai parti yang mewakili kaum Cina di negara ini mereka perlu berani membuat keputusan dengan bertindak keluar dari BN. MCA dan Gerakan tidak boleh berselindung atau berpura-pura yang mereka menyokong langkah Umno itu.

Apa lagi dengan kedudukan MCA dan Gerakan dalam kabinet kerajaan pusat adalah dari ihsan Umno kerana mereka gagal dalam mengembalikan sokongan kaum Cina pada kerajaan pada PRU 13 lalu.

Kaum Cina jelas telah meninggalkan MCA dan Gerakan dan memberi sokongan padu pada DAP.

Isu Akta Hasutan adalah satu isu besar dan penting pada kaum Cina seluruhnya. MCA dan Gerakan tidak akan mampu berhadapan dengan masyarakat Cina dalam isu ini apa lagi mencari sokongan untuk BN dalam PRU 14 nanti.

Dengan kekalnya Akta Hasutan yang di ambil Umno memberi kelegaan pada sebahagian besar orang melayu. Sebaliknya ia menimbulkan ketidakpuasan sebahagian besar masyarakat Cina mengenai perlaksanaan Akta itu nanti.

Dan ini akan terus memberi kesan besar terhadap masalah perkauman di negara ini yang semakin tenat sejak PRU 12 dan 13 yang telah mengakhiri kelebihan majoriti dua pertiga BN di parlimen sejak merdeka.

Senario politik di negara ini nampaknya akan terus dihantui dengan isu perkauman. Umno akan terus bergantung pada sokongan orang melayu. Manakala MCA dan Gerakan sudah tidak relevan lagi pada kaum Cina. Mereka akan terus kekal dengan DAP.

Masalahnya, apakah Umno mampu terus kekal di Putrajaya tanpa sokongan kaum Cina ?

Dari zaman Tunku, Tun Razak, Tun Hussein dan Dr Mahathir, Umno dan BN terus mencapai keputusan majoriti dua pertiga dalam setiap kali pilihan raya umum.

Tetapi pencapaian itu tidak lagi dinikmati selepas 2004 bermula dengan Tun Abdullah Badawi dan kini Datuk Seri Najib Razak. Apa yang jelas tanpa sokongan masyarakat Cina kerajaan BN amat sukar memperolehi majoriti dua pertiga di parlimen.

Dengan isu Akta Hasutan 1948, kaum Cina akan terus berpatah arang dengan Umno dan BN. Malah mereka mungkin telah pun membakar jambatan.