Selasa, 12 Mac 2019

Dr Mahathir Adalah Salah Satu Punca Nasib MAS Hari Ini

Dr Mahathir berkata kerajaan akan membuat keputusan kedudukan syarikat penerbangan Malaysia (MAS). Adakah MAS akan dijual, ditutup terus atau dipulihkan semula - refinance, akan dapat diketahui setelah kajian selidik dibuat.

Umum mengetahui MAS terus mengalami kerugian walau pun usaha pemulihan dan tambahan modal telah beberapa kali dilakukan.

Kini MAS yang dikuasai Khazanah Nasional seolah menemui jalan buntu mencari formula bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia Airlines pada suatu masa dahulu.

Apa pun MAS adalah aset dan kebanggaan negara sebagai syarikat penerbangan nasional. Apakah kita sanggup melihat ia ditutup begitu sahaja?

Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman

Perlu diingat sebelum MAS diswastakan pada tahun 1994, ia adalah sebuah syarikat penerbangan yang berjaya dan menguntungkan dibawah pengurusan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman. Imej MAS begitu popular di dunia penerbangan.

Namun setelah ia diswastakan dan dijual pada ahli perniagaan Tan Sri Tajudin Ramli, MAS tidak bertahan lama dipuncak dan mulai mengalami kerugian.

Idea MAS dijual pada Tajudin Ramli yang juga pengasas Celcom, tidak lain dari Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri waktu itu. Khabarnya, Mahathir meminta Tajudin membeli MAS sebagai "tanggungjawab nasional".

Selepas Tajudin telah bertukar beberapa kali pengurusan sehingga hari ini - MAS terus dirundung malang. Akaun MAS berterusan berwarna merah!

Sebagai orang yang terlibat secara langsung menswastakan MAS dahulu, Dr Mahathir tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.  Dia perlu menyelamatkan syarikat itu dari berkubur tanpa nisan.

Soalnya kenapa sebelum MAS diswastakan dan dibawah pengurusan Tan Sri Abdul Aziz ia adalah syarikat yang berjaya dan menguntungkan.  Tidak ada masalah kerugian seperti yang dialami 15 tahun terakhir ini.

MAS adalah syarikat penerbangan dunia yang berjaya sekitar 1980an sehinggalah ia dijual pada swasta.

Bekas pengurusnya Tan Sri Aziz pernah memohon pada kerajaan agar ia diberi peluang mengambil alih pengurusan MAS melalui satu konsortium bagi menyelamatkan MAS namun cadangannya itu ditolak kerajaan.

Kenapa Khazanah tidak mengambil Tan Sri Aziz bagi membantu memulihkan syarikat tersebut ?

Kenapa sebelum ini Khazanah lebih sanggup mengambil orang luar atau Mat Salleh sebagai CEO MAS? Terbukti langkah tersebut menemui kegagalan dan menimbulkan banyak masalah.

Dr Mahathir sebagai Pengerusi Khazanah perlu teliti dan perhalusi dalam membuat keputusan berkaitan masa depan MAS.

Kerana dia tidak boleh elak sebagai antara orang yang bertanggungjawab menjadikan MAS seperti yang berlaku hari ini. 

Zahid Hamidi Tiada Pilihan

Presiden Umno, Zahid Hamidi yang sedang bercuti dari tugas Presiden sejak Disember lalu kemungkinan besar akan melepaskan jawatan tersebut pada Timbalannya, Mohamad Hasan yang kini memikul tugas Presiden parti.

Zahid yang kini kurang popular tidak mempunyai pilihan.  Sama ada serah jawatan atau disingkirkan oleh Majlis Tertinggi Umno.

Ahli MT Umno boleh membuat keputusan dalam mesyuarat khas MT.

Dengan suasana perkembangan politik negara kini tidak mungkin dan mustahil bagi Zahid Hamidi kembali memimpin Umno.

Pertamanya, Timbalannya Tok Mat Hasan berjaya memikul tugas Presiden dengan berkesan semenjak Zahid bercuti.

Keduanya, Zahid perlu menumpukan kes pertuduhan terhadapnya di mahkamah melibatkan tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Ketiga, kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen telah pun diambil alih oleh Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob yang juga kini menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno.

Berdasarkan senario ini, Zahid dilihat tidak lagi relevan dan diperlukan parti buat masa ini.

Soalnya apakah Zahid perlu menunggu ahli parti membuat keputusan dan tindakan terhadap kedudukannya?

Zahid kini bukan lagi Ketua Pembangkang di Parlimen. Dia juga hanya menjadi Presiden Umno pada nama sahaja sedang hakikatnya, Tok Mat Hasan lah kini sedang menerajui parti Umno.

Bagi menjaga air muka dan maruah, Zahid perlu cepat bertindak dengan mengundur diri dan melepaskan jawatan Presiden parti.

Dia boleh kembali selepas dia mampu bersihkan namanya ke atas semua pertuduhan di mahkamah nanti.