Selasa, 29 Mei 2012

Membaca dan menulis

Banyak membaca tetapi kurang menulis tentang apa yang  dibaca.

Manakala yang kurang membaca banyak menulis.

Saya pilih yang kedua. Hehe...

Isnin, 28 Mei 2012

Pep mungkin ke Stamford Bridge

Nasib Roberto Di Matteo tidak pasti
KEJAYAANNYA membawa Chelsea menjadi juara Champions League atau Piala Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah tidak menjamin kedudukannya kekal sebagai pengurus The Blues.

Nasib Roberto Di Matteo di Stamford Bridge belum pasti. Ini dikuatkan lagi dengan khabar Pep Guardiola yang pada awalnya ingin berehat setahun dari bolasepak telah mengubah fikiran berhasrat menjadi pengurus Chelsea pula.

Guardiola telah berjaya melakar kejayaan di Barcelona sepanjang empat musim dengan 14 trofi. Yang terbaru ialah menjulang Piala Sepanyol.

Setelah gagal membantu Barca menjadi juara La Liga tahun ini dan berada dibelakang Real Madrid, Guardiola telah membuat keputusan mahu berehat selama setahun. Namun entah mengapa beliau menukar fikirannya minggu ini dengan menyatakan Roman Abramovich perlu menghubunginya jika ingin mendapatkan khidmatnya.

Sebelum itu ura-ura bertiup kencang Abramovich akan menawarkan kontrak pada Di Matteo yang sebelum ini hanya pengurus sementara. Dengan kesediaan Guardiola ke London bagi menghadapi cabaran baru musim depan telah menggerhanakan sedikit peluang Matteo untuk kekal bersama The Blues.

Apa pun nasib Matteo; beliau telah berjaya mencatat sejarah buat Chelsea yang tidak dapat dicapai oleh pengurus-pengurus ternama sebelum ini seperti Claudio Raneiri, Jose Mourinho, Scolari, Gus Hiddink dan Carlo Ancelotti.

Bagi Pep pula mengulangi dan mempertahankan kejuaraan Piala Juara tahun hadapan adalah sesuatu yang sukar dan penuh cabaran.


Ahad, 27 Mei 2012

Tarikh PRU 13

Tidak perlu berteka-teki lagi
SUDAH hampir setahun para pemerhati politik membuat berbagai andaian dan ramalan tentang tarikh PRU 13.

Suasana dan demam pilihan raya sudah ada dan suhunya semakin hari semakin tinggi. Namun hingga kini semboyan belum lagi dibunyikan.

Orang ramai terus membuat ramalan hari pembubaran parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Ada pendapat percaya ia akan diadakan selepas bulan puasa atau penghujung tahun ini. Sayugia tarikh matang parlimen sekarang akan berakhir pada April 2013. Ertinya, selepas tarikh itu secara otomatis parlimen akan terbubar dengan sendirinya dan memberi laluan PRU 13 diadakan.

Kalau dikira dari sekarang kerajaan kini mempunyai 11 bulan sahaja bagi menamatkan mandat pada 2008. Sebelas bulan bukanlah satu masa yang panjang. Tidak ada apa yang " miracle" boleh dilakukan dalam tempoh tersebut kerana boleh dikatakan hampir semua yang layak mengundi telah pun mempunyai pendirian sendiri.

Justeru itu tidak perlulah berteka-teki bila PRU 13 akan diadakan.  Sama ada selepas puasa atau hujung tahun ini ianya tidak banyak memberi kesan atau perbezaan dengan tarikh akhir iaitu April 2013.

Pakatan Rakyat berkata mereka sudah cukup bersedia bila-bila masa sahaja. Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah melakukan berbagai persiapan rapi untuk mendapatkan mandat baru rakyat.

Cuma yang tinggal hanya perang psikologi dan mainan isu bagi mengatasi pihak lawan menjelang semboyan dibunyikan.

Sabtu, 26 Mei 2012

Perdana Menteri bukan melayu

Impian Karpal Singh

SELURUH orang melayu tidak boleh marah atau naik angin bila Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata bahawa beliau ingin melihat Perdana Menteri negara ini akan dipangku oleh seorang bukan melayu satu masa nanti.

Karpal adalah seorang cerdik dan bukan bodoh. Beliau bercakap berdasarkan fakta dan kenyataan. Lagipun beliau pernah mengaku bahawa beliau adalah " King ".

Dalam perlembagaan negara tidak menyebut jawatan Perdana Menteri mesti seorang melayu dan Islam. Ertinya, sesiapa sahaja boleh menjadi PM sekiranya ia mendapat sokongan majoriti di parlimen.

Kenyataan Karpal ini diperkuatkan lagi dengan hakikat pada masa ini orang-orang melayu telah berpecah menjadi tiga kumpulan; Umno, PAS dan PKR.

Walaupun orang melayu merupakan golongan majoriti di negara ini tetapi dengan mereka berpecah menjadi tiga puak menjadikan mereka kumpulan yang lemah dan tidak berpengaruh lagi.

Kita sering mengecam negara-negara Arab yang tidak bersatu bila berdepan dengan Zionis Israel. Seluruh bangsa Arab berjumlah beratus juta tidak boleh mengalahkan Israel yang hanya beberapa juta sahaja. Mereka tidak dapat mengalahkan Israel kerana berpecah dan lemah.

Kini perkara ini berlaku di hadapan mata kita. Nampaknya, kita tidak mengambil teladan dan beri perhatian pada sejarah yang berlaku.

Pada Karpal Singh beliau telah bercakap benar dan kemungkinan impiannya akan menjadi kenyataan. Beliau adalah " King ".

Jumaat, 25 Mei 2012

Antara Mursyidul Am dan Presiden

Siapa lebih berkuasa ?
DALAM isu muzakarah dengan Umno dan beberapa isu lain jelas ada percanggahan pendapat antara Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dengan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Hadi Awang bertegas tidak ada muzakarah dengan Umno. Kalau ada dialog atau perjumpaan hanya dengan NGO atau badan bukan kerajaan.

Bagi Nik Aziz pula bersedia bermuzakarah tetapi dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi Umno dahulu.

Bagaimanapun, hari ini Nik Aziz menarik balik kenyataannya berhubung isu ini dengan alasan ingin mengikuti pendapat Hadi Awang agar tidak bercanggah dan dimanipulasi pihak lawan.

Ini bukanlah kali pertama pandangan dan pendirian kedua tokoh ini tidak sehaluan. Ketika heboh satu masa dulu berkenaan dengan usaha dalaman parti bagi mengadakan kerjasama dengan Umno yang diusahakan dan direstui Hadi Awang telah mendapat bantahan keras daripada Mursyidul Am, Nik Aziz.

Sehingga Nik Aziz memberi amaran kepada yang terlibat dalam usaha tersebut seperti bekas Timbalan Presiden parti, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Dr. Hasan Mohd Ali agar keluar parti sekiranya meneruskan usaha tersebut. Nik Aziz tidak bersetuju sama sekali PAS bekerjasama dengan Umno. Apatah lagi ia mendapat sokongan kuat dari kumpulan pro Anwar Ibrahim di dalam parti.

Tetapi serangan Nik Aziz itu tidak dituju secara terang terhadap Presiden parti tetapi hanya pada ketiga pemimpin parti tadi. Bantahan Nik Aziz berjaya dan usaha beberapa pemimpin tadi yang mendapat restu Hadi terpaksa mengalah dan melupakan sahaja usaha bekerjasama dengan Umno.

Namun beberapa minggu lalu isu muzakarah dengan Umno timbul lagi setelah Hadi Awang mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat parti.  Apakah timbul kekeliruan atau pihak media tersalah tafsir dalam sidang media itu tidak dapat dipastikan. Cuma Hadi mengambil masa seminggu menjelaskan maksudnya sebenar bila ia mendapat reaksi meluas dari berbagai pihak.

Hadi menolak keras muzakarah dengan Umno dan menganggapnya sudah tutup buku. Dalam masa yang sama Nik Aziz terus berdolak dalik sambil mengenakan syarat sehinggalah dia menarik balik semua kesediaannya sebelum ini bersabit isu tersebut.

Presiden PAS adalah dipilih oleh ahli parti secara demokrasi. Manakala jawatan Mursyidul Am adalah dilantik oleh Ahli Majlis Syura. Dari segi kedudukan Mursyidul adalah lebih tinggi dari Presiden. Kadang-kadang keputusan Presiden boleh disekat oleh Mursyidul sepertimana dalam isu kerjasama dengan Umno.

Tetapi dalam isu terbaru mereka bercanggah lagi, namun kali ini Mursyidul mengambil pendirian bersama Presiden bagi menjaga keutuhan parti menjelang pilihan raya umum.

Apa pun bagi mereka yang berada di luar PAS masih tidak jelas siapa sebenarnya yang lebih berkuasa dalam parti; Mursyidul Am atau Presiden ?

Khairy Jamaluddin

Pemimpin harapan Umno
SETELAH debat isu PTPTN berlangsung antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli banyak reaksi dan kesimpulan dari berbagai pihak.

Apa pun kedua tokoh muda ini telah mempamerkan kematangan sebagai pemimpin generasi muda negara masa hadapan.

Bila berdebat secara terbuka tidak ada istilah siapa menang atau kalah. Hanya orang ramai yang dapat menilai dan mengukur kelebihan calon mereka masing-masing.

Bagi Khairy, beliau telah berjaya membuktikan bahawa beliau adalah seorang pemimpin muda Umno yang perlu diberi perhatian oleh pucuk pimpinan parti. Keberanian, kematangan dan kebolehan beliau berhujah dalam debat atau forum-forum yang disertainya membuktikan beliau bukan jenis pemimpin omong kosong. Ertinya, Khairy adalah seorang yang "competent".

Boleh dikatakan beliau banyak menghadiri dalam debat atau forum bersemuka dengan para pemimpin di luar kerajaan. Ini jelas menunjukkan bahawa beliau seorang yang berpengetahuan dan petah berhujah. Dan lebih penting memperlihatkan keyakinan dirinya sebagai calon pemimpin parti dan negara.

Kalau pada era bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau telah menjadi sasaran kritikan banyak pihak dan menjadi kambing hitam di atas segala kelemahan pentadbiran Pak Lah. Tetapi kini beliau telah membuktikan sebaliknya. Beliau kini telah buktikan bahawa beliau adalah aset penting pada parti dan bukan menjadi liabiliti.

Walaupun sebagai Ketua Pemuda Umno yang tarafnya sama dengan Naib Presiden beliau tidak diberi sebarang jawatan dalam kerajaan. Namun ia tidak pernah meluntur semangatnya bekerja untuk parti.

Selepas PRU 13 sekiranya Umno dan Barisan Nasional masih berkuasa sudah pasti Khairy akan di bawa masuk dalam kabinet kerajaan dan memainkan peranan penting sesuai dengan kemampuan dan kebolehannya.

Dalam aspek tertentu ketrampilan Khairy lebih nampak berkesan berbanding dengan ketiga Naib-Naib Presiden Umno sekarang. Cuma mungkin faktor usianya yang masih muda.

Khamis, 24 Mei 2012

Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden

Bekas Peguamcara Negara jadi peguam Anwar
TINDAKAN bekas Peguamcara Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden muncul bersama barisan peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah baru-baru mengejutkan semua pihak.

Datuk Mohd Yusof adalah bekas Ketua Pendakwa dalam kes liwat II Anwar yang kesudahannya Anwar dibebaskan oleh mahkamah.

Beliau telah bersara pada Februari lalu dan kini mempunyai firma guamannya sendiri. Beliau muncul di mahkamah baru-baru ini bertindak sebagai salah seorang peguambela Anwar dalam kes perhimpunan haram Bersih yang melibatkan Ketua Pembangkang itu.

Menurut Yusof, kehadirannya sebagai peguam Anwar tidak mempunyai kaitan dengan politik dan beliau bertindak sebagai seorang profesional. Walau apa pun alasan beliau, isu dan berita ini telah menjadi ibu segala berita pada minggu lalu. Ianya menjadi bahan terhangat mengatasi isu-isu lain seperti isu muzakarah Umno - Pas atau keluarnya Tunku Aziz Tunku Ibrahim dari DAP.

Tindakan Datuk Yusof adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Langkahnya itu sekurang-kurangnya telah menaikkan sedikit "saham" Anwar Ibrahim dalam percaturan politik negara yang sudah hampir di ambang pilihan raya umum.

Tidak boleh dinafikan ianya adalah satu tamparan pada kerajaan dan Datuk Seri Najib Razak. Tentunya berbagai tafsiran dibuat ekoran keputusan Datuk Yusof itu. Apakah faktor yang mendorong beliau bertindak sedemikian ? Apakah beliau mempunyai masalah dengan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail ?

Namun apa pun isu ini tetap menimbulkan banyak persoalan dalaman dan lebih pada apa yang tersirat dari yang tersurat. Dari seorang pendakwa kerajaan dalam kes Anwar - tiba-tiba bertukar dan sanggup menawarkan diri sebagai peguambelanya adalah sesuatu yang memerlukan penjelasan dari Datuk Yusof sendiri.

Selasa, 22 Mei 2012

Terkenang...


Isu muzakarah Umno - Pas

Hadi kata media salah tafsir         
SETELAH seminggu membuat kenyataan akhbar tentang kesediaan Pas bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno, Abdul Hadi Awang menjelaskan kenyataannya itu telah disalah tafsir pihak media.

Ya, seminggu. Hari ini beliau berkata maksudnya yang sebenar ialah Pas bersedia bermuzakarah dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) - tidak Umno - bagi menjelaskan kekeliruan tentang dasar-dasar parti itu yang dianggap sudah terpesong.

Suasana menjadi bertambah celaru bila Datuk Nik Aziz Nik Mat meletakkan beberapa syarat yang tidak munasabah. Antaranya, Umno mesti menerima semua anggota Pakatan Rakyat; DAP dan PKR sekali.

Dengan kenyataan bercanggah sesama pemimpin Pas ini, nampaknya Umno sudah tidak berselera melayan kerenah Pas sedangkan parti itu sendiri yang menimbulkannya terlebih dahulu. Namun pihak media telah dipersalahkan kerana salah petik.

Dari kenyataan Nik Aziz dari awal dengan beberapa syarat yang dikenakannya menunjukkan beliau tidak berhasrat mahu muzakarah ini menjadi kenyataan. Meletakkan berbagai syarat sebelum berjumpa ibarat seperti mengacu pistol di kepala.

Umno tidak perlu berdukacita. Biarkan saja Pas bermuzakarah dengan pihak lain yang masih keliru dengan segala dasarnya berkait dengan negara Islam. Dalam konteks ini Karpal Singh dan DAP adalah pihak yang sepatutnya bermuzakarah dengan Pas.

Apatah lagi Karpal sering kali membantah bila saja Pas menimbulkan soal hukum hudud. Jadinya, Pas dan Nik Aziz sepatutnya memberi kefahaman pada sekutunya DAP agar mereka faham dan tidak keliru sebagaimana hasrat dan kenyataan Abdul Hadi tadi.

Nik Aziz tentunya tidak perlu mengenakan apa-apa syarat pada Karpal dan DAP sebagaimana syarat yang dikenakan pada Umno. Dengan DAP semua beres !

Ahad, 20 Mei 2012

Muhyiddin hadir majlis kahwin anak Nasha

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan sulung bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa hari ini.

Selain TPM ramai pemimpin kerajaan yang hadir termasuk bekas pemimpin Pas yang dipecat yang juga Presiden Jati, Datuk Dr. Hasan Mohd Ali.

Nasharuddin adalah satu-satunya pemimpin dalam Pas yang simpati dan menyokong secara terbuka perjuangan Dr.Hasan yang dipecat parti Pas. Beliau juga secara terus terang telah memberi berbagai pandangan dalam isu semasa dan nasional yang agak bertentangan dengan pimpinan tertinggi parti itu.

Nasha hingga kini masih lagi ahli syura Pas. Walaupun sikap dan pendiriannya agak terbuka dan bersifat positif dengan segala usaha kerajaan, parti Pas terus membisu dan menimbulkan persoalan kedudukannya dalam parti.

Nampaknya, Pas tidak berani mengambil sebarang tindakan terhadap Nasha di atas faktor politik dan hampirnya pilihan raya umum. Memang itulah dasar Pas yang tidak ada prinsip dan faktor undi itu lebih penting dari lain-lain faktor hatta berkompromi dengan dasar perjuangannya.

Para pemimpin Pas sedang berdolak dalik tentang isu muzakarah dengan Umno. Namun kehadiran Muhyiddin dalam majlis jemputan Nasha memperlihatkan keikhlasan dan semangat ukhuwah kedua pemimpin itu dapat diterjemahkan.

Nasha adalah bekas orang nombor dua Pas dan beliau adalah tokoh ulama yang disingkirkan oleh Mat Sabu dalam jawatan Timbalan Presiden parti yang disokong oleh puak Anwarinas yang kini menguasai parti mengatasi golongan ulama.

 

Muzakarah UMNO - PAS

PAS letak syarat
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memulakan isu muzakarah dengan Umno telah disambut baik oleh semua pemimpin Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kemudian reaksi beberapa pemimpin Pas, termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali menyatakan muzakarah itu hanyalah dialog atau perjumpaan dan bukannya agenda bekerjasama di antara dua parti itu. Isu kerjasama dengan Umno telah ditutup.

Dan hari ini pula Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat telah meletakkan syarat pada Umno sebelum muzakarah diadakan agar Umno menukar perkataan kebangsaan pada Islam sebagai dasar parti itu.

Inilah permainan politik Pas yang berbelit-belit. Pas bukan sahaja tidak ikhlas dalam isu ini, malah ia tidak serius untuk menjayakannya. Politik sebegini dinamakan politik auta. Siapakah Pas untuk meletakkan syarat pada Umno ? Umno lebih besar daripada Pas dan memegang tampuk pemerintahan. Pas hanyalah sebuah parti tumpangan dalam Pakatan Rakyat dan berada di kedudukan ketiga selepas PKR dan DAP.

Dalam Pakatan Rakyat, Pas sering mengalah dan tunduk pada kedua rakannya itu hatta dalam mempertahankan dasar perjuangannya iaitu menegakkan negara Islam. Bila timbul perselisehan pendapat di kalangan mereka tentang negara Islam - Pas lebih rela ia disapu bawah karpet dan disimpan dulu kononnya akan diselesaikan bila berkuasa nanti.

Begitulah hebatnya parti Islam Pas sanggup berkompromi apa sahaja demi untuk mendapatkan kuasa di Putrajaya. Bukti terbaru bila Hadi Awang menyebut tentang hukum hudud ia terus ditempelak oleh Karpal Singh secara terbuka dan tanpa segan silu. Semua pemimpin Pas tidak berani bersuara dan menyanggah kenyataan Karpal, termasuk Nik Aziz !

Tetapi bila isu muzakarah dengan Umno timbul macam-macam kenyataan dan tafsiran yang berbeza-beza keluar dari mulut para pemimpin Pas yang jelas tidak jujur. Kalau bercakap orang lain semua salah dan mereka sahaja yang betul dan lebih Islam.

Dengan Umno berbagai helah dan alasan diberikan dan tidak kurang banyak autanya. Namun bila berdepan dengan PKR dan DAP - pijak semut pun tidak mati. Malah sanggup diperkudakan seperti keldai hanya kerana mahu dapatkan undi dalam pilihanraya.

Umno tidak perlu layan isu muzakarah ini yang ditimbulkan Pas terlebih dahulu. Biar Pas terus dijadikan keldai oleh PKR dan DAP.

Khamis, 17 Mei 2012

Parti DAP

Bukan untuk orang melayu
ADA beberapa kerat orang melayu yang sanggup menjadi ahli DAP dengan berbagai tujuan. Tentunya mereka terdiri daripada orang yang kecewa dan sudah tidak mendapat tempat dalam parti asal yang diwakili.

Orang yang sebegini tidak akan mendapat apa-apa dalam DAP - sebuah parti yang hanya mementingkan satu kaum sahaja. Orang melayu yang menjadi ahli DAP hanyalah sebagai topeng dan alat untuk parti itu.

Tindakan Tunku Aziz Tunku Ibrahim, bekas Naib Pengerusi DAP yang keluar dari parti itu seharusnya menyedar dan membuka mata pada mereka (melayu) yang masih berada dalam parti ultra kiasu itu.

Tunku Aziz bukanlah pemimpin melayu pertama yang menyertai DAP. Sebelum ini bekas para pemimpin Cuepacs seperti Allahyarham Ahmad Nor dan Zainal Rampak pernah menganggotainya. Penglibatan mereka dalam parti itu tidak sampai ke mana, malah tidak memberi sebarang impak pada bangsa melayu.

Pada segelintir orang melayu yang "tersesat" dan ada mempunyai niat untuk menjadi ahli parti cauvinis ini agar berfikirlah secara munasabah sebelum menyertainya. Banyak lagi parti-parti politik yang sesuai dan masuk di akal bagi dijadikan wadah perjuangan bangsa dan negara.  Bukan DAP; sebuah parti ultra Cina dan segala tindakannya adalah keCinaan.

Ia mungkin agak perkauman, namun itulah hakikatnya yang sebenar isi dan rupa bentuk DAP yang jelas kelihatan.

Rabu, 16 Mei 2012

Pak Lah dan Anwar dalam satu majlis

Pertemuan di Hulu Langat pada 2009
GAMBAR di atas menunjukkan Tun Abdullah Ahmad Badawi bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis Mauludir Rasul yang dianjurkan oleh pengasas Madrasah Nurul Iman, Sheikh Mahmud Abdul Rahman(tengah) yang diadakan di Hulu Langat pada awal 2009.

Dikhabarkan Sheikh Mahmud telah menjemput Pak Lah dan Anwar untuk menghadiri dalam majlis ini. Kedua pemimpin ini dikatakan mempunyai hubungan peribadi dengan tokoh agama itu.

Peristiwa ini berlaku hampir tiga tahun dahulu semasa Pak Lah masih menjadi Perdana Menteri dan menghampiri detik -detik akhir beliau sebelum melepaskan jawatannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak dapat dipastikan hingga kini apakah pertemuan Pak Lah - Anwar ketika itu yang Sheikh Mahmud menjadi perantaranya adalah satu majlis biasa atau satu pertemuan yang istimewa sifatnya.

Atau apakah pertemuan itu ada kaitan dengan laporan berita Sinar Harian, 16 Mei 2012 yang menyebut bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyatakan ada usaha setengah pihak untuk membawa Anwar menyertai UMNO semula dalam satu majlis yang diadakan di Selangor tidak berapa lama dahulu.

Sebelum itu Senator Ezam Mohd Noor dalam satu ceramahnya ada menyatakan bahawa Anwar memang ada berusaha meminta Pak Lah membawanya semula ke pangkuan UMNO. Namun Anwar menafikan kenyataan Ezam itu.

Hanya Pak Lah dan Sheikh Mahmud dapat mengesahkan apa yang berlaku.

Isnin, 14 Mei 2012

Muzakarah UMNO-PAS

Hasrat Hadi dibantah
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melakukan kejutan dengan membuka pintu muzakarah pada UMNO bagi menyelesaikan kekeliruan umat Islam di negara ini.

Kenyataan itu dibuat semasa persidangan akhbar di ibu pejabat parti itu yang dihadiri semua pemimpin tertinggi parti.

Inilah kali kedua Abdul Hadi menunjukkan sedikit keterbukaannya dalam isu muzakarah dan mengadakan pertemuan dengan UMNO bagi kepentingan dan perpaduan umat Islam.

Namun usaha yang digerakkan dahulu menemui jalan mati setelah dibantah keras oleh kumpulan Anwarinas di dalam parti serta campurtangan dari Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang begitu berdendam dengan layanan UMNO semasa PAS berada dalam Barisan Nasional dulu.

Kali ini Abdul Hadi Awang membuka kembali ruang dan kesediaan parti bagi bertemu dan berdialog dengan UMNO bagi kepentingan ummah. Beliau adalah presiden parti yang dipilih secara demokrasi oleh para ahli parti. Tidak ada orang yang lebih autoriti dan berhak selain beliau dalam membuat kenyataan tersebut.

Tetapi belum apa-apa lagi, salah seorang Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar telah membantah secara spontan dengan mencelah dalam sidang akhbar itu dengan menyebut "kecuali UMNO". Ertinya, kata Mahfuz, PAS sanggup bermuzakarah dengan sesiapa sahaja tetapi bukan dengan UMNO.

Bila ditanya pihak media bagi mengesahkan kenyataannya itu, Mahfuz telah menafikannya. Namun wartawan Sinar Harian mengesahkan mempunyai rakaman membuktikan beliau ada mencelah dan menyebut perkataan itu.

Begitulah nasib Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; beliau bukan sahaja tidak dihormati, malah diperlekeh oleh Naib Presidennya sendiri. Abdul Hadi ibarat seperti seorang Presiden yang tidak berkuasa dan patah kuku.

Barangkali inilah antara faktor mendorong beliau ingin berundur dan tidak mahu bertanding dalam PRU 13 seperti dinyatakannya sedikit masa dahulu. Alasan diberikan ialah beliau mahu memberi peluang kepada calon-calon yang lebih muda.

Ini baru bantahan dari Mahfuz. Tok Guru Nik Aziz belum lagi bersuara. Orang tua itu cukup pantang bila sebut sahaja UMNO - apa lagi bermuzakarah !

Abdul Hadi, sebagai Presiden PAS sering diherdik pemimpin DAP, Karpal Singh dalam Pakatan Rakyat. Dalam parti sendiri pula beliau tidak diendahkan oleh puak Anwarinas. Tidak ada cara yang paling bermaruah bagi beliau sebagai seorang pemimpin melainkan berundur dan meletakkan jawatan. 

Hasrat beliau yang murni untuk bermuzakarah dengan UMNO tidak akan menjadi kenyataan kerana ada pihak dalam parti yang akan menggagalkannya.

Wajah sebenar PAS

Sanggup jadi kuda PKR dan DAP
SIKAP Karpal Singh terhadap PAS secara terbuka tentang negara Islam dan hukum hudud seharusnya membuka mata sekalian orang-orang melayu dan Islam di negara ini.

Bukan sekali, malah berkali-kali Karpal membidas pendirian PAS tentang rancangannya mahu melaksanakan hukum Islam bila berkuasa nanti.

Yang terbaru Karpal Singh mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak membisu dalam isu ini dan menyatakan pendiriannya sebenar.

Parti PAS bagaikan tidak bermaruah setiap kali Karpal membantah bila ada pemimpinnya menyuarakan hasrat parti itu ingin melaksanakan hukum Islam.

Memang benar seperti kata Karpal, "Langkah mayat saya dulu," berkenaan hasrat dan cita-cita parti itu.

Para pemimpin UMNO dan ahlinya perlu berterima kasih pada Karpal kerana sikap dan pendirian tegasnya itu telah mendedahkan wajah sebenar PAS dalam isu ini yang jelas tidak berani menyanggah dengan DAP. Sedangkan ia adalah salah satu anggota dalam Pakatan Rakyat yang ingin menawan Putrajaya.

PAS lebih rela dipermainkan dan diperlekehkan oleh DAP daripada bekerjasama dengan UMNO. Hanya satu sahaja sebab kedua parti melayu ini tidak dapat bersatu ialah kerana sifat "dendam" PAS terhadap UMNO tentang kisah masa lampau.

PAS mahu UMNO ditumbangkan dengan apa cara sekalipun tanpa mengira apakah ia mampu menjadi alternatif pada UMNO ? Pilihanraya belum lagi dan kerajaan pusat Pakatan Rakyat tidak ada bayangan lagi, namun lihatlah gelagat DAP dan PAS dalam isu negara Islam. Bagaimana pula dalam isu-isu lain yang mana masing-masing mempunyai kepentingan ?

Tentang parti PKR tidak payah disebut kerana parti itu hanya mahu jawatan Perdana Menteri hatta lain-lain kepentingan dan keselamatan nasional tergugat dari percaturan politik Pakatan Rakyat.

Dengan senario yang berlaku Pakatan Rakyat tidak ada kredibiliti dan integriti bagi menggantikan Barisan Nasional dalam mengemudi negara ke ambang 2020 sebagai sebuah negara maju dan makmur.

Rakyat negara ini berada dipersimpangan jalan dalam menentukan arah tuju negara dan masa depannya. PRU 13 akan menjadi medan penentu. Yang tentunya rakyat perlu berfikir secara matang dan tidak membenarkan sekali-kali emosi menguasai diri.

Sabtu, 12 Mei 2012

Isu hukum hudud

DAP tunjuk kuasa
PENGERUSI DAP Karpal Singh telah membidas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang berkaitan dengan perlaksanaan hukum hudud jika Pakatan Rakyat(PR) berjaya memerintah.

Datuk Seri Hadi telah berkata baru-baru ini bahawa hukum hudud akan dilaksanakan setelah masalah utama dapat diselesaikan seperti kemiskinan, tangga gaji minimum dan lain-lain. Ertinya, sebelum dilaksanakan hudud, beberapa perkara keutamaan perlu diselesaikan.

Hujah dan alasan Presiden Pas itu dalam melaksanakan hukum hudud adalah hujah yang sama diberikan oleh Umno 40 tahun dahulu. Umno tidak menolak hukum hudud, tetapi lebih menekankan pada soal kepentingan dan keutamaan suasananya sebelum dilaksanakan sebagaimana alasan Haji Hadi itu.

Bagaimanapun, beliau telah dibidas oleh Karpal Singh yang memang diketahui seorang yang anti hukum Islam dilaksanakan di negara ini. Karpal, suatu masa dulu pernah memberi amaran supaya langkah mayatnya dahulu sebelum dilaksanakan hukum Islam di negara ini.

Begitulah tegasnya pemimpin DAP bersuara dan menyanggah setiap kali pemimpin Pas membuat apa sahaja kenyataan bersabit dengan hukum hudud. Mereka begitu berani, lantang dan berterus terang. Yang peliknya setiap kali pemimpin DAP membantah, setiap kali juga para pemimpin Pas mengalah dan melutut. Tidak ada keberanian untuk mempertahankan pendirian parti, lebih-lebih lagi kenyataan itu keluar dari Presidennya sendiri.

Tetapi jika ada pemimpin Umno yang bersuara lebih sedikit tentang Pas; habis dibalunnya kiri kanan, atas bawah sampai hancus...  Itulah Pas sebuah parti yang sanggup bekerjasama dengan DAP - sebuah parti perkauman dan cauvinis lagi tidak demokratik. Cakap lain buat lain. Mangsa DAP yang terbaru ialah Naib Pengerusinya sendiri, Tunku Aziz Tunku Ibrahim yang tidak dilanjutkan tempohnya sebagai Senator akibat pendiriannya yang tidak menyokong Bersih pada 28 April lalu.

Pas yang hanya akan bertanding dari 60, 70 atau paling tinggi 80 kerusi parlimen dari 222 kerusi masih bermimpi dan berkhayal akan mendapat kerjasama DAP dan PKR bagi menawan Putrajaya dan seterusnya menubuhkan kerajaan pusat. Dan misi maha utama dan maha penting ialah menggantikan Umno. Logik dan masuk akalkah ?

Belum apa-apa lagi DAP telah mengetuk kepala Pas dan menunjukkan pada semua bahawa parti Cina itu berada di atas Pas dalam semua perkara. Pas kata ia ingin ganti Umno. Tetapi pada hakikatnya Pas akan diganti dengan DAP.

Barangkali telahan dan persepsi kemampuan Pas ini tidak betul dan tepat. Tetapi sekurang-kurangnya tunjuk dan buktikanlah sikit keberanian dan kemampuan Pas, peranan dan pengaruhnya dalam Pakatan Rakyat. Pas tidak harusnya menjadi pihak yang kerdil di samping DAP dan PKR.

Pas memperlecehkan peranan dan sumbangan Umno. Namun Umno telah buktikan bahawa ia tetap relevan, berpengaruh dan dominan dalam parti Barisan Nasional (BN).

Soalan untuk Pas : Islam gapo gak ?

Jumaat, 11 Mei 2012

Rabu, 9 Mei 2012

Najib : Tenang dan yakin

Terus mendepani cabaran
SETELAH mengambilalih tampuk kepimpinan parti dan negara dari Tun Abdullah Ahmad Badawi tiga tahun lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya membuktikan keberkesanan kepimpinannya.

Cabaran paling getir dihadapinya semasa meneruskan kepimpinan Umno ialah keadaan parti itu sedang mengalami tsunami politik 2008 yang menyaksikan Umno merosot teruk dalam pilihan raya umum (PRU) 12.

Selain Umno hilang banyak kerusi banyak negeri jatuh ke tangan pembangkang, terutama Selangor, negeri yang dianggap kubu kuat Umno dan paling strategik kedudukannya.

Tugas yang dipikul Najib bukan mudah apatah lagi bagi memulihkan semula kekuatan Umno yang terjejas teruk sepanjang kepimpinan Tun Abdullah Badawi. Tiga tahun adalah satu jangka masa yang singkat. Namun Najib telah berjaya membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang terserlah bakatnya yang diwarisi ayahandanya Tun Abdul Razak.

Kini Umno akan menyambut ulang tahunnya yang ke 66 pada Jumaat ini. Apakah Umno akan terus bangkit dan gagah sebagai parti melayu terulung dan dalam masa yang sama menjadi tulang belakang pada Barisan Nasional (BN) ?

Cabaran dihadapan Najib cukup hebat dan berat. Tetapi beliau terus dengan penampilannya yang sentiasa tenang dan yakin. Tidak pernah menunjukkan sebarang kerisauan dan bimbang dalam menjalani dan melaksanakan tugasnya seharian.

PRU 13 yang semakin hampir amatlah penting buat Najib. Kerana beliau memerlukan mandat baru dari rakyat bagi meneruskan segala usaha transformasi yang sedang berjalan sekarang.

Dengan penuh yakin Datuk Seri Najib menyatakan apa yang berlaku sekarang seperti perisitiwa rusuhan dalam demonstrasi Bersih 28 April lalu tidak sedikit pun mempengaruhinya dalam menentukan tarikh PRU 13 yang masih menjadi teka-teki semua pihak.


Bantuan kerajaan


SEGALA bantuan dan insentif kerajaan yang diberikan
kepada rakyat telah diperlekehkan oleh parti pembangkang.
Ia bukan sahaja diperleceh dan diperkecil-kecilkan, malah
ditohmah dengan berbagai tuduhan dan pandangan negatif.

Dari bantuan pada para pelajar sekolah dan peringkat pengajian
tinggi -RM100 dan 200 hingga BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia)
berjumlah RM500; semuanya telah dilaksanakan dan ianya telah
banyak membantu dan meringankan sebahagian besar masyarakat.

Ini belum dikira lagi lain-lain bantuan dan insentif yang kalau
disenaraikan akan menjadi satu list yang panjang. Yang terbaru
ialah durian runtuh yang diterima para peneroka Felda. Sampai
ada yang terharu dan menangis gembira dengan pengumuman
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Disebalik kegembiraan itu ada juga sebahagian kecil masyarakat
seolah sakit hati dan cemburu dengan apa yang berlaku. Mereka ini
tentulah orang politik dan pemimpin pembangkang yang mempunyai
kepentingan.

Bagi kerajaan bila ia berjanji pada rakyat ia akan tunaikan. Bukan
seperti parti pembangkang, mereka hanya berjanji dengan air liur
dan kerap kali tidak dapat ditunaikan.

Orang yang bermodalkan air liur boleh berjanji apa sahaja yang boleh
menyeronokkan sekalian pendengar. Walaupun ia tahu kadang-kadang
apa yang dijanjikan itu payah hendak dilaksanakan.

Tidak ada apa ruginya berjanji kerana yang lebih penting ialah mendapatkan
kuasa. Yang lain boleh dikira kemudian. Inilah sebenar sikap parti pembangkang
berbanding kerajaan.

Justeru itu bila kerajaan dapat melaksanakan sesuatu yang menggembirakan
rakyat ada pula pihak yang dukacita dan sakit hati dengan membuat berbagai
tuduhan di atas kemurahan kerajaan.

Mereka tidak gembira bila kerajaan berjaya mengembirakan rakyat. Kerajaan
berjaya tunaikan janjinya. Mereka hanya mampu berjanji.



Isnin, 7 Mei 2012

Editorial Cartoons

KETUANAN MELAYU


Ehsan : nstcartoons.blogspot.com
             Sudin Copyrights Reserved

Teori R.A.H.M.A.N

Anwar sudah terlepas...
PADA suatu masa ahli nujum politik telah mencipta satu teori politik yang menarik perhatian ramai termasuk para pengkaji dan pemerhati bidang itu.

Teori itu disebut Teori RAHMAN; satu susunan huruf abjad yang meramalkan siapa bakal calon Perdana Menteri mengikut giliran.

Tidak pasti dengan tepat bila teori ini muncul, tetapi ia begitu popular sekitar bermulanya era Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri (PM).

R.A.H.M.A.N yang memberi maksud R-Rahman (Tunku Rahman)
             A-Abdul Razak
             H-Hussein Onn
             M-Mahathir
             A-Abdullah
             N-Najib

Pada dasarnya teori itu lengkap dan menepati ramalan dan andaian pencipta teori tersebut. Semasa Dr. Mahathir menjadi PM, Timbalannya ialah Tun Musa Hitam yang namanya juga bermula huruf M. Tetapi setelah Musa letak jawatan gugur satu huruf M dan diganti dengan Abdul Ghafar Baba - huruf A. Ini bermakna Abdul Ghafar (Tun) masih dalam ramalan teori tersebut.

Namun bila Tun Ghafar berundur dan tidak mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Umno, penggantinya ialah huruf A juga iaitu Anwar Ibrahim. Dan Anwar masih menepati maksud teori itu. Bila nasib Anwar juga sama dengan Musa dan Ghafar; bukan calon pengganti PM - muncul pula Abdullah Ahmad Badawi - juga huruf A.

Nasib Tun Abdullah lebih baik dari Tun Musa, Tun Ghafar dan Anwar kerana menjadi Timbalan Perdana Menteri yang berjaya jadi PM. Seterusnya teori RAHMAN terus menepati dan betul mengikut huruf abjadnya bila Najib pula sebagai huruf N menggantikan Tun Abdullah.

Lengkap sudah teori RAHMAN yang menjadi ' pegangan ' ramai peminat dan pemerhati politik tempatan. Persoalannya; apakah N akan berhenti setakat di situ ? Atau huruf N akan kekal untuk sementara waktu selepas PRU 13 ?

Apakah barangkali huruf N masih milik Najib Razak atau Nik Aziz Nik Mat ? Tetapi yang pasti dan "confirm" ia bukan giliran huruf A - Anwar Ibrahim. Huruf A sudah terlepas...




Ahad, 6 Mei 2012

Memoir Tun Dr. Mahathir

Buku terlaris di Malaysia
BUKU memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad, " A Doctor In The House " dalam versi bahasa Inggeris adalah antara buku paling laris di negara ini. Sejak ianya dilancarkan tahun lalu sehingga kini hampir 100 ribu nashkah telah dijual.

Oleh kerana sambutannya yang luar biasa dan bagi memenuhi permintaan ramai pembaca dalam bahasa Malaysia, maka kini terbit dengan tajuk, " Doktor Umum".

Dengan terbitnya edisi baru ini akan memberi peluang lebih ramai orang untuk membaca segala isi kandungannya yang ditulis oleh seorang negarawan dan tokoh yang disegani kawan dan lawan.

Dr. Mahathir telah menulis memoir ini secara jujur dan berani. Beliau telah melakukan satu pengisahan sejarah dan politik yang dilaluinya secara tegas, jelas dan terperinci.

Banyak kisah dan peristiwa sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri ke 4 selama 22 tahun tidak ketahui ramai dan detik -detik mencabar semasa beliau menjadi orang nombor satu negara. Semuanya diceritakan dan ditulis satu persatu sebagai teladan dan pengajaran buat generasi akan datang.

Semasa dari awal buku ini dilancarkan, Dr. Mahathir telah mencabar sesiapa sahaja agar mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika ada apa yang ditulisnya tidak benar dan bercanggah dengan fakta yang sebenar.

Dan dalam memoir ini ada satu bab khas menceritakan tentang kes dan perihal bekas Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat dari parti dan kerajaan. Semuanya diterangkan dengan satu persatu disebalik pemecatan tersebut dan segala fakta bersabit kes moral yang dihadapi Anwar.

Sehingga kini segala fakta tersebut tidak pernah dicabar dan disanggah oleh sesiapa pun, termasuk individu yang terbabit. Cuma yang ada hanya bersifat penafian semata.

Orang ramai perlu membaca memoir ini bagi mengetahui kisah benar apatah lagi ia ditulis secara jujur dan berani. Penulisnya pula adalah seorang negarawan terulung pernah dilahirkan dan pernah mengakui bahawa beliau adalah seorang Islam "fundamentalis".

Samsudin Ismail - Sudin

Editorial Cartoons

Sabtu, 5 Mei 2012

Kerajaan Pakatan Rakyat

Sebuah kerajaan lemah, tidak stabil
DALAM PRU 13 ini ada 222 kerusi parlimen yang akan menjadi rebutan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Bagi menubuhkan kerajaan Pusat dan menguasai Putrajaya kedua parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk mendapatkan ' simple majority ' bagi menubuhkan kerajaan.

Di mana-mana negara demokrasi sesebuah kerajaan yang ditubuhkan dengan hanya kelebihan majoriti kecil akan berdepan dengan berbagai halangan dan masalah.

Kemungkinan ada ahli-ahli parti yang akan ' melompat ' ke parti lawan adalah besar dan boleh berlaku bila-bila masa. Sebuah kerajaan yang memerintah dengan hanya kelebihan jumlah kerusi yang kecil tidak akan bertahan lama dan sentiasa di dalam keadaan tidak selamat.

Justeru itu ia adalah sebuah kerajaan yang tidak dapat menumpu sepenuhnya membangunkan negara. Kerja mereka hanya memastikan kerajaan mereka tidak akan tumbang. Kerajaan yang sebegini sudah tentu akan merugikan rakyat.

Sebab itu bagi parti BN bila bercakap soal PRU 13 soal paling utama ialah mencapai kemenangan majoriti dua pertiga. Hanya dengan dua pertiga sahaja dapat memastikan segalanya berjalan licin dan lancar tanpa apa-apa gangguan. Dan lebih penting ia adalah sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.

Maka bagi Pakatan Rakyat (PR) sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya; apakah mereka mampu mendapat majoriti besar atau dua pertiga ?

Berdasarkan hakikat dan kenyataannya peluang Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya itu memanglah ada. Namun untuk mendapatkan majoriti besar atau dua pertiga adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Ini tidaklah bermaksud merendah-rendahkan kemampuan PR dalam PRU 13 ini.

Lebih membimbangkan ialah anggota parti PR seperti DAP, PKR dan PAS ; tidak akan ada parti antara mereka yang mempunyai majoriti yang jelas. Ertinya, ketiga parti itu tidak mempunyai jumlah kerusi yang cukup dan terpaksa bergantung antara satu sama lain. Yang lebih menarik untuk diperhatikan ialah parti mana yang lebih dominan dan menjadi nadi utamanya.

PAS kata ia akan bertanding dari 70 hingga 80 kerusi parlimen. Dan yang pasti PAS tidak akan menang semua di kerusi yang ditandingi. Baki lagi kerusi dari 112 kerusi (majoriti mudah) akan dikongsi DAP dan PKR. Sekiranya ketiga parti itu tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain, maka tunggulah saat kehancurannya.

Dalam PRU 13 nanti hanya ada dua senario; sama ada BN menang majoriti selesa atau dua pertiga atau PR berjaya tubuh kerajaan dengan majoriti tipis. Hanya rakyat dapat menentukan masa depan mereka dan negara.

Jumaat, 4 Mei 2012

Gambar para perusuh...diburu...


Nak lari mana weh ? Tak de kojer cari kojer...

Anwar rela jadi alat DAP

Asalkan dapat tawan Putrajaya
Tambah kapsyen
DALAM ucapannya di Ipoh, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau sanggup jadi alat tunggangan DAP asalkan pakatan pembangkang dapat menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti.

Bukan itu sahaja malah beliau berkata beliau lebih mempercayai dan mendengar nasihat mereka berbanding mana-mana pemimpin dalam Umno.

Kalau sebelum ini orang hanya menuduh Anwar yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri akan dipergunakan DAP, namun kali ini beliau mengesahkan melalui mulutnya sendiri. Dia lebih rela bersekongkol dengan parti cauvinis Cina dari parti yang pernah mengangkatnya menjadi orang yang berkuasa dan berpengaruh.

Apa yang dikatakannya itu adalah kenyataan dan hakikat sebenar suasana dan sekeliling beliau pada masa ini. Dengan banyak rahsia peribadi beliau dalam pengetahuan pemimpin DAP, terutamanya Karpal Singh - kemampuan beliau memikul jawatan Perdana Menteri amatlah meragukan.

Disamping Karpal Singh, seorang lagi peguam yang berpengaruh, Datuk P. Cumaraswamy merupakan antara penasihat dan peguam beliau.

Anwar tidak boleh nafikan peranan dan pengaruh mereka yang kuat dalam dirinya baik sebagai ahli politik atau sebagai anak guamnya. Kini pun beliau dituduh bekas rakan-rakannya kerana membawa fahaman pluralisme agama berdasarkan beberapa ucapannya.

Pada orang-orang melayu dan Islam di negara ini mereka perlu berhati-hati dalam PRU 13 ini agar tidak membuat  pilihan yang silap. Anwar Ibrahim bukanlah calon yang sesuai bagi jawatan Perdana Menteri.

Dengan masalah integriti dan kredibiliti beliau sebagai pemimpin yang masih banyak persoalan dari jawaban; rakyat perlu menolak beliau dan partinya dalam PRU nanti. Perjuangannya hanya satu iaitu memenuhi impiannya menjadi Perdana Menteri. Selainnya hanyalah janji-janji manis sebagai umpan menawan hati rakyat.

Sebelum ini ketika beliau masih berada dalam kerajaan dari seorang menteri Belia dan Sukan, Pertanian, Pendidikan, Kewangan dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri; apakah yang beliau lakukan dan terjemahkan ?

Sebenarnya masa beliau sudah lepas dan beliau telah mempersiakan segala peluang yang telah diberikan padanya semasa bersama kerajaan. Peluang tersebut tidak akan datang lagi buat kali kedua.

Apa pun pengakuannya bahawa beliau sanggup menjadi kuda DAP adalah satu kenyataan yang jujur dan ikhlas. Orang-orang melayu patut menerima kenyataan itu secara terbuka dan waspada.

 

Ambiga dan Samad Said

Disaran bertanding dalam pilihanraya
Tambah kapsyen
DATUK S. Ambiga dan Datuk A. Samad Said adalah pengerusi bersama Bersih sejak ia dilancarkan.

Ambiga dan Pak Samad mendakwa mereka tidak mewakili mana-mana parti politik. Malah mereka menolak keras bahawa mereka telah diperkudakan oleh parti pembangkang sepanjang penglibatan mereka dalam demonstrasi anjuran Bersih.

Sebagai peguam, Ambiga sering mempunyai sikap dan pendirian yang sama dengan Majlis Peguam yang lebih pro parti DAP dalam banyak isu nasional.

Bagi Pak Samad pula beliau pernah menyatakan sokongan dan berkempen untuk calon PKR dalam satu pilihanraya kecil di Selangor tahun lalu. Dan kini Pak Samad adalah antara penceramah di pentas politik PAS seluruh negara.

Lihat pada kesungguhan dan tekad mereka berdua dalam perjuangan Bersih bagi menuntut satu pilihanraya bersih dan adil di negara ini ibarat seperti "bakar jambatan" dan tidak mungkin berpatah balik.

Tetapi alangkah tepat dan sesuai jika mereka berdua mengambil keputusan menyertai parti politik dan turut bertanding dalam PRU 13 ini. Tidak perlulah lagi mereka berselindung di sebalik badan NGO bagi memperjuangkan apa yang diyakini mereka.

Ambiga bolehlah menyertai parti DAP dan masuk bertanding atas tiket parti itu. Pak Samad pula memang sesuai menjadi ahli parti PKR. Bertandinglah di mana sahaja kawasan dalam pilihanraya umum yang semakin hampir ini.

Apakah Ambiga dan Pak Samad akan berjaya ke Parlimen ? Tengok pada kesungguhan mereka sepanjang aktiviti Bersih sudah tentu mereka yakin akan mendapat sokongan orang ramai sekiranya masuk bertanding.

Namun apakah DAP dan PKR bersedia dan sanggup memberi kerusi selamat pada Ambiga dan Samad ? Kalau mereka diberi bertanding di kawasan selamat, nanti apa reaksi pula pemimpin-pemimpin lama dalam parti ?

Apa pun Ambiga dan Pak Samad boleh lihat setakat mana pengorbanan dan perjuangan mereka selama ini dihargai oleh parti seperti DAP dan PKR.

Rabu, 2 Mei 2012

Politik PAS


Kartun : TQ reformasin.blogspot.com

Selasa, 1 Mei 2012

Tahniah Benji Lim !

Padan muka Anwar
SEORANG pemuda Cina yang juga aktivis filem, Benji Lim telah menggemparkan dipersidangan akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti PKR.

Benji Lim meluahkan rasa kecewanya kerana perhimpunan Bersih 3.0 telah bertukar menjadi rusuhan dan tidak aman. Menurutnya, beliau adalah salah seorang peserta menyertai perhimpunan tersebut.

Beliau menuduh perhimpunan Bersih telah diperalatkan oleh para pemimpin  pembangkang untuk kepentingan politik mereka. Dengan soalan-soalannya yang bertalu-talu pada Anwar menyebabkan beliau dibawa keluar dari bilik persidangan akhbar itu.

Dilaporkan Anwar telah cuba mengelak dari menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh pemuda itu.

Tahniah buat Benji Lim yang begitu berani melontarkan soalan pada Ketua Pembangkang. Yang peliknya soalan beliau tidak dijawab, malah dihalau keluar. Sikap Anwar terhadap pemuda itu sungguh memalukan dan menggambarkan kualiti sebenar beliau sebagai seorang pemimpin.

Padan muka Anwar !

p/s: Jangan siapa tuduh Benji Lim, SB atau ejen Umno pulak !