Memaparkan catatan dengan label Khairy Jamaluddin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Khairy Jamaluddin. Papar semua catatan

Isnin, 24 Jun 2013

Khairy perlu kekal Ketua Pemuda

KETUA Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan mengumumkan kemudian apakah beliau akan bertanding dan mempertahankan jawatannya dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini.

Walau pun pemuda Umno telah mengambil pendirian agar jawatannya itu tidak dipertandingkan, namun beliau bersedia dan terbuka jika ada calon yang ingin bertanding menentangnya.
Khairy Jamaluddin

Sehingga kini seluruh pemuda telah memberi sokongan agar beliau dikekalkan. Tetapi persoalannya apakah Khairy mahu mempertahankan jawatan Ketua Pemuda atau dia lebih berminat mencuba jawatan lebih tinggi iaitu Naib Presiden?

Tempoh perhimpunan Umno masih panjang dan ia boleh berlaku berbagai kejutan dan perubahan lebih-lebih lagi setelah hampirnya perhimpunan yang dijangka akhir tahun ini.

Khairy yang kini telah dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan adalah seorang pemimpin muda yang berpotensi dan bercita-cita tinggi. Dia pernah dibayangkan sebagai antara calon Perdana Menteri pada masa hadapan.

Kedudukkannya sebagai Ketua Pemuda adalah anak tangga pertama ia menaiki ke tahap lebih tinggi dalam pucuk pimpinan parti. Selepas Ketua Pemuda biasanya calon tersebut akan mencuba jawatan Naib Presiden pula seperti yang berlaku pada Ketua Pemuda terdahulu seperti Anwar, Najib, Zahid dan Hishamuddin.

Kesemua mereka meninggalkan jawatan Ketua Pemuda dan berjaya memenangi salah satu kerusi Naib Presiden.

Barangkali, Khairy akan mengikut jejak para pemimpin pemuda terdahulu adalah besar sekali. Namun apakah masanya sudah sampai dan sesuai untuk Khairy berbuat demikian ?

Memandangkan usianya masih muda dalam 30an dia tidak perlu terburu-buru mengintai jawatan Naib Presiden pada masa sekarang. Masa untuk beliau masih panjang. Dia perlu lebih fokus pada jawatannya sekarang sebagai Ketua Pemuda dan Menteri Belia dan Sukan.

Lagi pun tiga jawatan Naib Presiden sekarang masih belum ada kekosongan. Zahid, Hisham dan Shafie Afdal sudah pasti akan mempertahankan jawatan masing-masing. Malah ada para pemimpin yang lebih senior akan mencuba bertanding jawatan itu kali ini.

Justeru itu adalah lebih sesuai Khairy terus mempertahankan Ketua Pemuda sekurang-kurangnya sehingga PRU14. Setakat ini tidak jelas siapa calon yang mampu menggugat kedudukkannya. Boleh dikatakan tidak ada calon yang boleh menyainginya.

Datuk Mukhriz Mahathir yang pernah tewas padanya dahulu kemungkinan tidak akan merebut jawatan Ketua Pemuda, malah akan lebih menumpu pada jawatan Ahli Majlis Tertinggi sahaja. Kerana Mukhriz kini sudah menjadi Menteri Besar, Kedah.

Jumaat, 25 Mei 2012

Khairy Jamaluddin

Pemimpin harapan Umno
SETELAH debat isu PTPTN berlangsung antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli banyak reaksi dan kesimpulan dari berbagai pihak.

Apa pun kedua tokoh muda ini telah mempamerkan kematangan sebagai pemimpin generasi muda negara masa hadapan.

Bila berdebat secara terbuka tidak ada istilah siapa menang atau kalah. Hanya orang ramai yang dapat menilai dan mengukur kelebihan calon mereka masing-masing.

Bagi Khairy, beliau telah berjaya membuktikan bahawa beliau adalah seorang pemimpin muda Umno yang perlu diberi perhatian oleh pucuk pimpinan parti. Keberanian, kematangan dan kebolehan beliau berhujah dalam debat atau forum-forum yang disertainya membuktikan beliau bukan jenis pemimpin omong kosong. Ertinya, Khairy adalah seorang yang "competent".

Boleh dikatakan beliau banyak menghadiri dalam debat atau forum bersemuka dengan para pemimpin di luar kerajaan. Ini jelas menunjukkan bahawa beliau seorang yang berpengetahuan dan petah berhujah. Dan lebih penting memperlihatkan keyakinan dirinya sebagai calon pemimpin parti dan negara.

Kalau pada era bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau telah menjadi sasaran kritikan banyak pihak dan menjadi kambing hitam di atas segala kelemahan pentadbiran Pak Lah. Tetapi kini beliau telah membuktikan sebaliknya. Beliau kini telah buktikan bahawa beliau adalah aset penting pada parti dan bukan menjadi liabiliti.

Walaupun sebagai Ketua Pemuda Umno yang tarafnya sama dengan Naib Presiden beliau tidak diberi sebarang jawatan dalam kerajaan. Namun ia tidak pernah meluntur semangatnya bekerja untuk parti.

Selepas PRU 13 sekiranya Umno dan Barisan Nasional masih berkuasa sudah pasti Khairy akan di bawa masuk dalam kabinet kerajaan dan memainkan peranan penting sesuai dengan kemampuan dan kebolehannya.

Dalam aspek tertentu ketrampilan Khairy lebih nampak berkesan berbanding dengan ketiga Naib-Naib Presiden Umno sekarang. Cuma mungkin faktor usianya yang masih muda.

Rabu, 7 September 2011

Khairy : Pemimpin muda karismatik



KETUA Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah
menunjukkan keberaniannya dengan sanggup berdebat
dengan Mohamad Sabu dalam isu tragedi Bukit Kepong.

Cadangan debat ini datangnya dari Pas Kelantan. Khairy
dengan reaksi pantasnya menyahut cadangan debat itu.

Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas, menyarankan
agar soal debat ini diserahkan pada Ketua Pemuda Pas
kerana Khairy bertaraf peringkat Pemuda sedangkan dia
adalah Timbalan Presiden parti.

Sebelum ini Khairy pernah berdepan dengan Datuk Hussam Musa
di Balai Islam, Lundang dalam satu perdebatan yang
dihadiri ribuan penyokong Pas.

Malah Khairy juga ikut serta dalam perbahasan Siri Wacana
anjuran Karangkraf bersama Ketua Pemuda Pas. Beliau juga
begitu lantang di Parlimen dalam setiap perbahasan.

Sebenarnya Khairy ingin membuktikan bahawa beliau
adalah tokoh pemuda yang tidak boleh diketepikan pucuk
pimpinan begitu sahaja.

Walaupun dia menang di kerusi Parlimen Rembau dan Ketua
Pergerakkan Pemuda UMNO pusat ia tidak diberi sebarang
jawatan. Seolah beliau tidak diikthiraf dan dipinggirkan pucuk
pimpinan parti.

Berapa bulan dahulu dia menyuarakan betapa dia sanggup
menerima keputusan Presiden parti jika tidak terpilih
menjadi calon dalam PRU 13 ini.

Dan lebih mengejutkan, Khairy menyatakan pendirian yang
beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua
Pemuda UMNO dalam pemilihan akan datang.

Apakah semua langkah beliau ini sebagai satu ujian tentang
popularitinya dan satu tindakan politiknya untuk melangkah
lebih jauh dalam hieraki UMNO ?

Tetapi jelas Khairy ingin membersihkan rekodnya yang
telah dikambinghitamkan semasa mentuanya Tun Abdullah
Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Semasa Pak Lah, semua jari tertuding ke arahnya sebagai
punca segala masalah parti dan kerajaan. Antaranya, beliau
banyak mencampuri dan mempengaruhi segala keputusan
Pak Lah dalam soal parti dan kerajaan.

Khairy juga menjadi sasaran kritikan dari Tun Dr. Mahathir;
yang menggunakan istilah "budak di tingkat 4".

Bagaimanapun, bila Khairy menang dalam pertandingan jawatan
Ketua Pemuda UMNO dengan mengalahkan anak Dr. Mahathir,
Mukhriz, imejnya kembali pulih dan telah menutup mulut seteru
politiknya dalam UMNO.

Ada usaha untuk menyingkirkan Khairy dari arus pimpinan
pelapis UMNO. Namun ia tidak semudah yang dijangkakan.

Apatah lagi langkah politiknya yang licik dan penuh keberanian
menampilkan beliau sebagai tokoh pemuda berkarismatik dan
tidak boleh diketepikan begitu sahaja.











Rabu, 1 Jun 2011

Khairy Jamaluddin tokoh pemuda yang berkarisma

KETUA Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, seorang politikus muda yang berbakat besar dan tidak kurang dengan kontroversi. Semasa Tun Abdullah Badawi , bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri, ramai pemerhati lebih tertumpu padanya berbanding Tun Abdullah.

Khairy
Kononnya, banyak keputusan dan langkah Pak Lah banyak dipengaruhi menantunya itu. Ini telah memberi gambaran yang negatif terhadap kepimpinan Pak Lah masa itu. Lebih mengeruhkan lagi keadaan bila Tun Dr. Mahathir telah mengkritik dan menghentam Khairy secara terbuka.

Dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO, Khairy telah berjaya menewaskan Datuk Mukhriz Mahathir dalam pertandingan tiga penjuru yang disertai seorang calon lagi iaitu Khir Toyo. Kesan selepas pertandingan itu cukup kontroversi kerana Dr. Mahathir telah menuduh Khairy bermain politik wang untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda.

Bagaimanapun, tidak ada tindakan dari parti terhadap tuduhan tersebut kerana tidak ada bukti. Namun, sebagai Ketua Pemuda UMNO, Khairy, tidak disenaraikan dalam kabinet Najib. Apakah ini satu hukuman terhadap Khairy ? Atau Najib terpaksa tunduk dengan tekanan dan pengaruh Dr. Mahathir ?

Beberapa bulan dahulu, Khairy, telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan akan datang. Kenyataannya ini telah mengejutkan banyak pihak.

Apakah Khairy sungguh-sungguh tidak mahu lagi jawatan tersebut ? Atau ini adalah manifestasi kekecewaannya terhadap layanan parti terhadapnya ?  Amatlah janggal sekali sebagai Ketua Pemuda yang tarafnya adalah seperti Naib Presiden, tidak diberi tempat dalam kabinet kerajaan, hatta sebagai Timbalan Menteri.

Tidak pula dapat dipastikan adakah ini hanya satu langkah "politik" Khairi untuk menguji sokongan para pemuda UMNO terhadap pimpinannya. Kerana apa yang pasti Datuk Mukhriz Mahathir akan mencabarnya sekali lagi.

Khairy dan Mukhriz sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri. Kedua mereka adalah pemimpin muda yang berbakat dan berpotensi besar pada masa hadapan. Mukhriz lebih bersifat "low profile' dan Khairy kelihatan lebih "ultra" dan berani.

Khairy telah memperlihatkan ketokohan dan karismatiknya bila beliau adalah satu-satunya pemimpin UMNO yang sering menghadiri forum debat berdepan dengan tokoh pemimpin PAS. Keberanian dan kebolehannya berhujah harus dipuji. Dia telah membuktikan bahawa beliau adalah pemidato yang baik dan mempunyai hujah-hujah yang kuat serta berfakta.

Terbaru dalam Siri Wacana Sinar, yang turut disertai Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dan Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin serta Khairy dalam debat yang bertajuk "Fitnah : Ancaman Umat Akhir Zaman." Prestasi Khairy dalan Wacana Debat ini tidak mengecewakan.

Beliau juga pernah ikut serta dalam forum di Balai Islam, Kelantan berdepan dengan Datuk Husam Musa. Seperti biasa Khairy telah membuktikan beliau seorang yang mempunyai hujah dan fakta, malah berani pula berhadapan dengan sesiapa saja.

Beliau masih muda dan mempunyai masa depan politik yang baik. Kontroversi dirinya semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri telah mematangkannya dalam dunia politik.