Khamis, 28 April 2016

Isu 1MDB : Apakah Kita Perlu Melangkah ke Hadapan ?

PERDANA MENTERI (PM) Najib Razak dan para pemimpin Umno mahu rakyat bergerak dan melangkah ke hadapan dan tidak lagi mengungkit isu skandal 1MDB.

Alasannya, Menteri Luar Saudi Arabia telah mengesahkan bahawa duit RM 2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib adalah derma dan dihadiahkan kepada PM. Keduanya, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah membersihkan nama PM dari segala kesalahan.

Ok ! Tetapi timbul pula soalan kenapa Menteri Luar Saudi itu beberapa bulan dahulu mengatakan duit 2.6 billion itu adalah duit pelaburan atau investment dan bukannya derma. Dia juga tidak menunjukkan sebarang bukti atau dokumen tentang apa yang dikatakannya itu.

Bagi menyakinkan orang ramai sekurang-kurangnya putera Saudi itu dapat memberikan kenyataan aliran atau penghantaran wang tersebut daripada pihak bank dan sebagainya. Semua itu tidak ada. Namun apa yang menariknya, Peguam Negara, Apandi Ali menerima sepenuhnya kenyataan itu tanpa sebarang bukti sokongan atau dokumen. Malah tidak pun menyoal siasat putera Saudi itu.


Laporan PAC pula lebih menimbulkan lebih banyak persoalan dari jawaban. Pertama, laporan tersebut bersama laporan Ketua Audit Negara telah dikategorikan dibawah Akta OSA Rahsia Rasmi. Bukan sahaja rakyat tidak dapat membaca dan meneliti laporan itu malah para ahli parlimen tidak dapat memilikinya. Pelik sungguh.

Lebih malang lagi Pengerusi PAC, Hasan Arifin mengakui dia ada mengedit laporan tersebut berkenaan perkataan "Jho Low" dan "Good Star". Alasan yang diberikan ketiadaan dua perkataan tersebut tidak menjejaskan kandungan laporan.

Jho Low atau Low Thaek Jho dan syarikat Good Star adalah dua nama yang tidak boleh dipisahkan dengan skandal 1MDB yang melibatkan berbillion ringgit hilang.

Laporan terbaru pula Presiden dan Pengarah CEO Arul Kanda mengakui berlakunya penyelewengan dalam pengurusan 1MDB.

1MDB juga gagal membayar kadar faedah bank sebanyak US Dollar 50 billion yang sepatutnya dilunaskan pada 18 April lalu.

Ada bukti kukuh 1MDB telah menghantar wang berbillion kepada syarikat di luar negara yang tidak pun wujud. Ertinya kena tipu lah.

Menurut laporan lagi yang diketahui umum, banyak wang 1MDB dihantar ke luar negara, ke sana, ke situ, ke sini namun akhirnya ia sampai ke penghujung ke dalam akaun peribadi PM.

Laporan telah dikeluarkan dan seluruh dunia sudah tahu skandal terbesar ini.

Tetapi sehingga kini tiada seorang pun dalam negara ini ditangkap atau dibawa ke mahkamah.

Secara mudahnya skandal 1MDB adalah satu rancangan perniagaan untuk menipu secara mendapatkan wang atas angin. Dan semuanya berselindung dengan memperalatkan 1MDB dan kerajaan.


PM sebagai Menteri Kewangan dan Pengasas 1MDB  dan juga merangkap Pengerusi Penasihat Lembaga Pengarah nya tidak boleh lari dari tanggungjawab.

Alasan PM tidak tahu menahu semasa menandatangani segala arahan dan dokumen berkaitan 1MDB seperti dikatakan peguamnya, Hafarizam Harun - adalah satu alasan rapuh dan remeh.

Begitu juga dengan kedudukan Jho Low. Dia kini adalah pelarian. Dia tidak mungkin akan kembali ke tanahair bagi membersihkan namanya yang telah sinonim dengan 1MDB.

Kenapa pihak berkuasa tidak berusaha membawanya pulang bagi membersihkan nama 1MDB dan kerajaan ?

Ahli-ahli Umno lebih rela mempertahankan Jho Low dari membela imej Umno dan kerajaan.

Apakah ahli-ahli Umno tidak memahami secara mendalam isu 1MDB atau mereka tidak punya pilihan ?

Apakah ini semua mencukupi bagi menyambut saranan agar kita terus melangkah ke hadapan ??


Tiada ulasan:

Catat Ulasan