Rabu, 27 Mei 2020

Subky Latiff : Kolumnis & Wartawan Veteran

Subky Latiff tidak perlu diperkenalkan dalam dunia persuratkhabaran dan penulisan politik. Dewasa dan membesar di Utusan Melayu diperingkat awal sebagai pemberita.

Utusan Melayu telah menjadi bagai satu institusi dan universiti melatih beliau menjadi matang sebagai seorang wartawan/pengarang sehinggalah ke hari ini.

Subky meninggalkan Utusan dan memilih haluannya sendiri kerana soal prinsip dan pegangan politiknya yang sering melawan arus.

Dia meletakkan jawatannya di Utusan ketika ia berada kedudukan yang selesa sebagai Pengarang akhbar dan menulis ruangan pojok Awang Selamat yang begitu berpengaruh dan popular.

Setelah meninggalkan Utusan, dia menerbitkan akhbarnya sendiri - Suara Rakyat dan Suara Merdeka. Namun usia akhbar tersebut tidak panjang kerana lesen KDNnya ditarik balik.

Selepas akhbar yang diasaskannya itu terkubur dia terus menulis sebagai wartawan tanpa akhbar.

Sehinggalah pada 1979 bekas tokoh Umno, Almarhum Tan Sri Khir Johari menerbitkan sebuah akhbar mingguan tabloid Watan dan melantik Subky sebagai Ketua Pengarangnya yang pertama.

Saya masih ingat Subky hampir setiap minggu muncul dalam ruangannya Fokus Pagi Jumaat - mengulas dan mengkritik isu-isu politik semasa.

Sudah menjadi pengetahuan umum setiap ulasan dan kritikannya cukup tajam dan mempunyai pengaruh terhadap suasana politik nasional waktu itu.

Apatah lagi Subky sebelum itu adalah satu-satunya wartawan politik yang mempelopori menerbitkan buku-buku politik seperti Suka Duka Politik Tun Razak, Krisis Timbalan Perdana Menteri, Siapa Ganti Asri?  dan banyak lagi.

Ulasan, analisis dan kritikan politiknya mendapat perhatian umum dan sering dinantikan para pembaca. Ia popular kerana stail penulisan yang kritis, tajam serta penuh sindiran.

Begitulah Subky yang kini terus tanpa henti menulis kolum sebagai satu profesyen yang paling dikuasainya sejak berada di Utusan. Kini Subky terus menulis dalam akhbar Harakah dan portal Harakahdaily. Sementelahan dia adalah ahli dan aktivis parti PAS yang tekun dan setia.

Saya sebagai pemerhati dan pembaca setiap tulisannya dengan penuh minat sejak 1979-1980 sehinggalah tahun 2020, cukup arif dengan stail penulisan dan pemikirannya.

Ia kira-kira sudah memakan masa hampir 40 tahun. Apakah pandangan dan kesimpulan yang saya boleh rumuskan setelah empat dekad terhadap Haji Ahmad Subki Haji Abdul Latif sebagai seorang wartawan veteran yang disegani??

Memang tidak siapa dapat nafikan keistimewaan dan bakat yang ada pada Subky yang selayaknya dianugerahkan sebagai Tokoh Wartawan Negara. Mungkin kerana pendirian politiknya selama ini telah menafikan dia dari memperolehi gelaran tersebut.

Namun bagi saya secara peribadi yang mengikuti dan memerhati perkembangannya sejak empat dekad lalu secara jujurnya mengakui penulisan dan pemikirannya kini tidaklah sehebat dan setajam dalam era 79 dan 80 an ketika dia menulis dalam mingguan Watan.

Terserlah kini hampir semua penulisannya terutama dalam Harakah tidak lagi kritikal dan setajam dulu. Semua penulisan dan ulasannya bertaraf biasa-biasa. Tiada apa kelainan dan pembaharuan.

Apakah ini faktor masa serta perubahan dan pembaharuan zaman? Atau apakah saya sendiri sebagai pembaca menjadi semakin kritikal dan memerlukan standard yang lebih tinggi?

Ibarat sebuah mesin atau enjin ia sudah kehabisan gas dan segala komponennya perlu diganti dan dibaikpulih.

Begitulah Subky. Ditambah dengan faktor usia yang kini mencecah 80 thn ia adalah sesuatu yang boleh difahami.

Saya kira Subky perlu mengalih fokus penulisannya dari isu politik pada tulisan berbentuk memoir dan sejarah pengalamannya sebagai wartawan dan politikus. Rasanya ia akan lebih menarik ramai pembaca. Kerana stail penulisannya yang bersahaja dan bijak bercerita. Ini terbukti dalam bukunya Anak Apak.

Penulisan begitu perlu diteruskan dalam setiap kolumnya. Ia lebih menarik dan berkesan jika dibandingkan dengan ulasan politik yang sedikit hambar.

Apapun kehormatan dan sanjungan saya terhadap beliau sebagai pengarang dan wartawan yang disegani tidak sedikit pun berkurang.