Rabu, 30 November 2011

Anwar dan UMNO




KINI sedang berlangsung persidangan UMNO di Kuala Lumpur yang
merupakan perhimpunan terakhir parti itu sebelum menghadapi Pilihan Raya
Umum (PRU)ke 13.

Saya pernah merasai suasana perhimpunan itu sedikit masa dahulu iaitu
semasa Allahyarham Tun Ghaffar Baba sebagai Timbalan Presiden UMNO
dan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi sebagai Naib Presiden parti.

Kehadiran saya di PWTC hanyalah sebagai orang luar dan pemerhati
sepanjang perhimpunan berlangsung. Saya mengikuti perjalanan persidangan
itu di Aras 2 dan 3.

Di situ saya dapat lihat Anwar duduk bersebelahan dengan Najib Razak
di atas pentas. Semasa itu Najib adalah Ketua Pemuda. Mereka kelihatan
begitu mesra dan saling berbisik antara satu sama lain sambil ketawa.

Tidak terlintas di fikiran kini mereka menjadi seteru politik yang sengit.
Apatah lagi Najib menjadi Perdana Menteri sedangkan Anwar pula menjadi
Ketua Pembangkang.

Benar seperti kata pepatah, tidak ada musuh kekal dan kawan yang setia
dalam dunia politik.

Anwar Ibrahim tentunya merindui suasana dan kemeriahan perhimpunan UMNO
ini yang pernah dirasainya. Suasana ini tidak mungkin akan dialami lagi beliau
sepanjang hayatnya. Beliau dan UMNO sudah berkerat rotan.

Namun sepanjang pengamatan saya semasa di PWTC itu beliaulah tokoh
paling popular di kalangan wakil dan ahli parti. Ramai yang berebut-rebut
bergambar bersama beliau dan menjadi tumpuan semua orang. Lain-lain
pemimpin tidak sesibuk beliau dan menjadi perhatian.

Saya dapat lihat sementara orang ramai berebut mengambil gambarnya, para
pemimpin lain hanya melihat dan tersenyum saja.

Tetapi ini semua telah berlalu. Apakah masih ada yang mengingatinya ?




Tiada ulasan:

Catat Ulasan