Jumaat, 29 Disember 2017

Kepala Bapok Yakin Menang Dua Pertiga?

Kepala Bapok pernah menyatakan keyakinan betapa Umno dan BN akan menang majoriti dua pertiga di Parlimen pada Pru14 ini.

Apakah dia benar yakin atau sekadar melepaskan peluru kosong? Seperti dia memberikan angka-angka mengenai ekonomi negara - peratus itu naik, ini naik sedangkan rakyat dibawah menghadapi keperitan memikul kos kehidupan harian.

Ibarat berkata dan memberi gambaran sesuatu namun pada hakikatnya adalah berlainan apa yang sebenarnya berlaku.

Apa yang berlaku pada Felda, MARA, Tabung Haji dan lain-lain berkaitan isu rasuah dan penyelewengan adalah tidak masuk akal orang-orang melayu masih mahu bergantung pada Umno.

Ketiga institusi tersebut yang menjadi lambang kemegahan dan kemajuan orang melayu kini seolah dikhianati oleh mereka yang diamanahkan mengurusnya. Terbaru isu penipuan tanah Felda di jalan Semarak yang bernilai RM270 juta.

Isu rasuah dan penyelewengan semakin parah.  Dalam Umno sendiri sudah tidak ada check and balance sehingga semua menjadi tukang angguk dan Yes men!


Sudah sampai masa semua pemimpin yang ada hari ini ditukar. Negara dan rakyat berhak mendapat kerajaan dan pemimpin yang lebih baik dan berkualiti.

Dan ini boleh dilakukan pada Pru14 ini. Memang tidak masuk akal sekiranya majoriti rakyat masih mahu mengekalkan kerajaan yang terang korup dan tidak amanah untuk lima tahun lagi.

Rakyat berhak mendapat kerajaan baru dan mengheret para pengkhianat dan perasuah ke muka pengadilan.

Sudah cukup rakyat telah dimonyetkan dengan bermacam slogan dan mulut manis pemimpin yang mementingkan diri dan kelompok.

Kali ini rakyat tidak akan lagi terpengaruh dengan ungkapan emosi demi bangsa, agama dan negara semata-mata untuk mendapat undi.  Malah menggunakan perkataan "Allah" sekalipun tidak akan menyelamatkan mereka lagi.

Ahad, 10 Disember 2017

Dr Mahathir Bukan Kuda DAP

Umno sering menuduh bahawa Dr Mahathir menjadi alat DAP dalam Pakatan Harapan.  Sekiranya pembangkang berkuasa maka yang berkuasa sebenarnya adalah DAP bukan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan.

Tuduhan ini tidak benar.  Dan ini dibuktikan sendiri oleh pegawai khas Perdana Menteri dalam satu perjumpaan tertutup masyarakat Cina anjuran parti Gerakan.

Dalam majlis itu pegawai khas PM telah menimbulkan persoalan apakah kaum Cina sanggup diperalat dan dipergunakan Dr Mahathir dalam percaturan politiknya yang licik seperti 22 tahun ia berkuasa.  Tambahnya politik Dr Mahathir adalah memperalatkan orang lain untuk kepentingan dirinya.

Pegawai Khas itu mahu menyedarkan kaum Cina yang majoritinya memberi sokongan pada pembangkang pada Pru13 lalu agar tidak terpedaya kerana bukan DAP yang berkuasa sebaliknya Dr Mahathir.

Sedangkan seluruh pimpinan dan jentera Umno selama ini cuba menggambarkan Dr Mahathir tidak berkuasa dalam PH malah hanya menjadi alat DAP bagi menawan Putrajaya.

Lim Kit Siang dan Dr Mahathir

Umno kini sedang menggelabah bagi menghadapi Pru14. Sekejap kata Dr Mahathir diperalatkan DAP.  Dan ini pegawai PM sendiri mengakui sebaliknya kaum Cina yang mengundi DAP lah akan diperalatkan Dr Mahathir.

Yang sebenarnya Umno takut dengan gabungan Dr Mahathir dan Lim Kit Siang akan menarik banyak undi melayu dan Cina pada PH dalam Pru14 ini.

Sebab itulah kedua tokoh ini perlu diserang dan diburukkan imej mereka agar Umno dan BN tidak kehilangan undi.

Kenyataan pegawai khas PM itu telah membantu menjawab dengan jelas terutama pada pengundi melayu bahawa Dr Mahathir bukan menjadi alat DAP dalam merebut kuasa di Putrajaya. 

Jumaat, 8 Disember 2017

Umno Gerun Pengaruh Dr Mahathir

Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil memberi peringatan pada orang-orang melayu sama ada memilih Najib Razak menerajui negara ini atau membiarkan "Maharaja" Lim berkuasa penuh dalam Pru14 ini.

Maharaja Lim yang dimaksudkannya ialah pemimpin DAP, Lim Kit Siang. Tambahnya lagi,  sekiranya orang melayu dan Islam ingin terus dimartabatkan maka mereka perlu memilih Najib.

Ertinya,  hanya dua pilihan, pilih Najib (kerajaan)  atau Maharaja Lim (pembangkang).

Umno sentiasa memainkan isu sekiranya Umno tumbang maka DAP Cina lah yang berkuasa di Putrajaya.

DAP sentiasa menjadi modal pada Umno bagi menakut-nakutkan orang-orang melayu betapa mereka akan kehilangan segala-galanya di tanahair mereka sendiri sekiranya Umno kehilangan kuasa.

Sebenarnya dua pilihan yang disebut Ketua Wanita itu tidak betul dan mengelirukan. Yang sebenarnya dua pilihan itu bukan antara Najib atau Lim Kit Siang.  Tetapi adalah antara Najib (kerajaan) atau Dr Mahathir (pembangkang).

Kerana Dr Mahathir adalah calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pru14 akan datang. Kit Siang bukan calon PM.


Umno tahu dengan mengaitkan nama DAP dan Lim Kit Siang, mereka dapat mempengaruhi pengundi melayu agar tidak menyokong pembangkang.

Umno cukup faham sekiranya diberi pilihan antara Najib atau Dr Mahathir maka orang melayu akan berbelah bagi dan seimbang dalam membuat pilihan.

Justeru itu digambarkan bahawa DAP lebih berkuasa dalam Pakatan Harapan dan Dr Mahathir hanya menjadi kuda tunggangan DAP.

Mereka yang low IQ dan "slow learners" (pinjam istilah Ku Nan) sahaja yang percaya tohmahan Umno itu.

Sepanjang 22 tahun menjadi PM, Dr Mahathir telah membuktikan dia tidak mudah diperalatkan oleh sesiapa termasuk kuasa besar seperti Amerika, Russia atau China. Sebab itulah dia lantang bersuara di arena antarabangsa dalam memperjuangkan kepentingan dunia ketiga dan sedang membangun.

Dalam era pentadbirannya,  PM Australlia,  Paul Keating dan PM Singapura,  Lee Kuan Yew terpaksa memohon maaf pada negara dalam isu hubungan diplomatik.

Inikan Lim Kit Siang, hanya tokoh pembangkang tempatan.  Dr Mahathir bukan tokoh politik setaraf Kit Siang apa lagi sama level dengan Najib.

Terbukti lagi sehingga kini kekuatan hujah dan sanggahan (rebuttal)  Dr Mahathir dalam banyak isu negara tidak dapat disanggah Najib dengan menyakinkan rakyat.

Banyak hujah dan sanggahan Najib bertaraf remeh temeh dan tidak matang seperti mengungkit soal keturunan dan sebagainya.  Isu sebenar tidak dijawab dan disanggah.

Inilah yang digeruni Umno terhadap pengaruh Dr Mahathir dalam Pru14 ini. 

Khamis, 7 Disember 2017

PRU14 : Kepala Bapak Tiada Pilihan

Umno akan menghadapi PRU14 ini dalam suasana yang maha berat seperti yang diakui para pemimpinnya sendiri sebagai ibu segala pilihanraya.

Sudah dua kali PRU 12 dan 13, Umno/BN telah hilang kelebihan majoriti dua pertiga di Parlimen.  Malah kehilangan undi popular di kalangan rakyat.

Umno/BN tidak mungkin dapat menerima keputusan seperti itu buat kali ketiga.

Tugas Umno amat berat bukan sahaja perlu mengembalikan kemenangan majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi perlu merampas kembali Selangor yang telah ditawan pembangkang selama dua penggal.

Pertama : majoriti dua pertiga.
Kedua.    : Selangor mesti dirampas kembali.

Kedua matlamat itu mesti dicapai sekaligus.  Sekiranya salah satu dicapai dan satu lagi gagal ia dianggap sebagai satu kegagalan dan kelemahan.  Ertinya, Umno tiada pilihan melainkan mencapai matlamat keduanya.

Sekiranya gagal bukan sahaja Umno akan menerima malapetaka bahkan Presiden parti merangkap Perdana Menteri tiada pilihan selain berundur dan meletakkan jawatan.

Tidak mungkin Presiden parti akan kekal sekiranya senario itu berlaku.  Pertama ia adalah soal prinsip dan maruah. Kedua ahli-ahli parti akan menuntut pengunduran serta memberi laluan pada pimpinan baru.  Dan ini adalah pasti kecuali ahli-ahli parti telah dirasuk dan disumbat dedak hingga ke hidung.

Justeru itu Kepala Bapak tidak mempunyai banyak pilihan.  Dia mesti mencapai matlamat serampang dua mata tersebut.  Sekiranya gagal dia boleh ucapkan selamat tinggal Putrajaya.

Kepala Bapak akan berusaha berhabis-habisan dan bermati-matian bagi mencapai kejayaan dengan apa cara sekali pun.  Kerana PRU14 ini akan menentukan bukan sahaja nasib masa depan Umno tetapi yang maha penting kedudukan kepala bapak sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

Semoga PRU14 ini akan berlangsung secara adil dan telus dan bukannya ditentukan oleh tangan-tangan ghaib yang bergerak dibelakang tabir secara tersirat bukan tersurat.


Isnin, 4 Disember 2017

Tarikh PRU Tiada Suspen Lagi

PRU14 semakin dekat dan tinggal hanya lapan bulan dari sekarang iaitu tidak melangkau bulan Ogos 2018.

Sejak 2003 selepas Dr Mahathir melepaskan jawatan PM dengan memberi laluan pada Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya pada Najib Razak pada 2009 tarikh pilihan raya umum bukan lagi menjadi satu kejutan atau suspen.

Kerana pada masa Abdullah Badawi menjadi PM, dua kali PRU diadakan pada 2004 dan 2008 ia diadakan pada tempoh penghujung tarikh matang pembubaran Parlimen. Ertinya, ia berlaku seperti hari ini di mana tinggal beberapa bulan sahaja tempoh tamat mandat.

Begitu juga Najib selepas mengambil alih jawatan daripada Pak Lah,  dia juga ikut jejak Pak Lah dengan mengadakan PRU 13 pada 2013 di saat akhir tamat tempoh mandat kerajaan.

Justeru langkah kedua mereka dalam soal tarikh PRU sudah tidak suspen dan menjadi kejutan jika dibandingkan semasa Dr Mahathir sebagai PM. Orang ramai sudah boleh meramalkan bila PRU akan diadakan. Kerana ia sudah tinggal beberapa bulan sahaja bukan tahun - tarikh tamat tempoh terbubarnya Parlimen.


Ini amat berbeza semasa zaman Dr Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun dan telah mengadakan PRU sebanyak lima kali. Dan kesemuanya kerajaan berjaya memenangi dengan majoriti dua pertiga.

Yang menariknya Dr Mahathir dalam lima kali PRU semasa dia berkuasa dia sering mengamalkan "snap election" atau pilihan raya secara mengejut.  Ia itu PRU diadakan dalam tempoh yang tidak disangka atau diramalkan oleh pihak pembangkang.

 Dan kerapkali Dr Mahathir membubarkan Parlimen setahun lebih awal dari tarikh tamat tempohnya yang sebenar. Ertinya dia sering mengadakan PRU lebih awal tidak seperti Pak Lah dan Najib yang melakukannya dipenghujung mandat atau disaat akhir.

Apa yang jelas pada masa Dr Mahathir tarikh PRU sentiasa menjadi teka teki dan suspen. Bukan seperti sekarang di mana suasana suspen itu sudah tidak ada lagi kerana orang sudah boleh ramalkan kerana ia sudah sampai penghujung tempoh beberapa bulan sahaja lagi.

Seperti sekarang orang sudah boleh agak bila PRU14 akan diadakan kerana ia hanya berbaki beberapa bulan sahaja dari tarikh akhirnya pada Ogos 2018.

Tidak ada kejutan dan suspen lagi sepertimana PRU yang telah diadakan dari tempoh 1981 sehingga 2003.