Selasa, 6 September 2016

Azmin Ali Pertemukan Mahathir - Anwar

DR MAHATHIR mengambil langkah diluar jangkaan bila sanggup ke mahkamah bertemu serta bersalaman dengan Anwar Ibrahim.

Banyak reaksi dan persepsi pro dan kontra hasil pertemuan dua tokoh yang menjadi seteru selama 18 tahun. Inilah julung kalinya Mahathir dan Anwar bersemuka. Ironinya pertemuan itu berlaku di mahkamah.

Mahathir bersemuka dengan Anwar...

Mahathir berkata dia ke mahkamah bukan mahu berdamai dengan Anwar tetapi sebagai memberi sokongan pada Anwar dalam samannya perihal Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bukan isu Akta MKN sahaja tetapi juga isu-isu lain yang mereka mempunyai pendirian sama dalam usaha menentang Najib Razak.

Mahathir memperlihatkan sikap terpuji bila sanggup turun bertemu dan memberi sokongan moral pada Anwar dalam tindakan samannya  ke atas kerajaan berkait Akta MKN.

Pertemuan bersejarah dua tokoh besar ini tidak  akan berlaku secara kebetulan begitu sahaja. Ia  tentunya ada perancangan dibelakang tabir.

Siapakah pemimpin yang berperanan menjadikan pertemuan bersejarah itu menjadi kenyataan ?

Ia  tidak lain dari MB Selangor Azmin Ali. Azmin adalah orang kepercayaan Anwar. Kesetiaan Azmin terhadap Anwar tidak ada sesiapa boleh mempertikaikannya. Susah senang dan jatuh bangun Azmin tetap bersama Anwar.

Namun ramai tidak ketahui hubungan Azmin dan Mahathir.

Sebelum Azmin bekerja dengan Anwar, Azmin adalah pegawai di  pejabat Mahathir. Mahathir telah pinjamkan Azmin pada Anwar yang ketika itu memerlukan seorang setiausaha di Kementerian Kewangan.

Ertinya, Azmin bertugas dengan Mahathir terlebih dahulu sebelum mengenali Anwar.

Foto Azmin Ali ketika berkhidmat dengan Dr Mahathir

Namun bila krisis kedua tokoh itu berlaku Azmin memberi kesetiaan penuh pada Anwar. Sehingga satu ketika hubungan Mahathir - Azmin menjadi hancur luluh sampai tahap tidak boleh dibaiki. Kerana Azmin sanggup berkorban demi Anwar.

Tetapi segalanya mulai berubah sejak Mahathir mulai menyerang Najib. Lebih-lebih lagi tertubuhnya sektariat Deklarasi Rakyat yang dapat menghimpun Mahathir dan Azmin duduk sebelah menyebelah di atas satu pentas.

Bertolak  dari situ mereka  berdua semakin kembali bertaut dan mempunyai pendirian sama bagi menjatuhkan Najib Razak.

Adalah jelas Azmin berjaya memainkan peranannya dalam menyatukan kembali kedua mentornya yang tidak  diduga ramai pihak.

Selebihnya yang memungkinkan pertemuan sejarah ini berlaku adalah sikap Mahathir dan Anwar yang memperlihatkan politik matang mereka dalam usaha kerjasama menyelamatkan negara dari terjerumus ke jurang  lembah.