Isnin, 30 April 2012

Kesan himpunan Bersih

Anwar Ibrahim paling gembira
DATUK Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang paling gembira di dunia setelah apa yang berlaku di perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu.

Sekiranya perhimpunan itu berjalan secara aman dan tidak ada insiden yang berlaku, maka ia tidak akan mendapat liputan dan publisiti meluas di dalam dan luar negara.

Setidak-tidaknya kini tercetus tuduh menuduh antara pihak polis dan para demonstrasi yang memulakan provokasi sehingga berlakunya aksi ganas dan serang menyerang mengakibatkan kecederaan kedua pihak.

 Kekecohan yang berlaku sedikit sebanyak telah memberi kesan dan imej buruk pada kerajaan. Dan Anwar yang bermula sebagai pemimpin pelajar adalah seorang yang mahir dan pakar dalam soal tunjuk perasaan dan demonstrasi.

Sejak berada di luar kerajaan sehinggalah pada ketika beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau telah berjaya menggunakan kaedah berdemonstrasi sebagai tindak balas. Dengan kebolehannya berpidato beliau mampu mempengaruhi dan menguasai para pengikutnya.

Pada 2008 sebelum pilihanraya umum beliau adalah antara orang yang berperanan meletusnya tunjuk perasaan kumpulan Hindraf yang telah memberi impak besar terhadap kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dan kali ini beliau sekali lagi berjaya menimbulkan suasana yang sama sempena hampirnya PRU 13. Dengan kekecohan yang berlaku dalam perhimpunan telah memberi sedikit momentum pada parti pembangkang sebelum pilihanraya umum.

Pihak kerajaan sentiasa mencari jalan mengekalkan suasana aman. Namun bagi pembangkang, terutamanya Anwar, sekiranya tiada kekecohan dan demonstrasi jalanan seolah tidak akan menguntungkan mereka. Bila ada berlaku insiden atau tragedi mereka boleh terus hidup dengan memanipulasi apa yang terjadi.

Secara mudahnya jika semuanya berjalan licin, aman dan tenteram tidak akan menyenangkan mereka. Mereka mahu lihat keadaan kacau dan bergolak dalam masyarakat supaya ia boleh memburukkan imej kerajaan.

Sebagai pengundi yang akan menentukan kerajaan yang dipilih nanti mestilah membuat pilihan sama ada memilih parti yang suka pada keamanan atau pemimpin yang gemar pada suasana kacau dan tidak tenteram supaya dapat menutup kelemahan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan