Selasa, 27 Jun 2023

PRN Enam Negeri. Umno Kalah Teruk

 Pilihanraya Negeri (PRN) di enam negeri : Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Penang dan Negri Sembilan akan diadakan bulan Ogos ini. 

Apa pun keputusannya kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan tumbang. Itu adalah realitinya. 

Ini adalah pilihanraya negeri bukan pilihanraya umum yang menentukan kerajaan pusat. 

Namun sekiranya Perikatan Nasional (PN)  menang besar ia hanya memberi lebih tekanan dan cabaran pada kerajaan Anwar Ibrahim sehingga tempoh Pru ke 16 akan datang. 

PN pula tentunya semakin bersemangat mahu mengambilalih pentadbiran di Putrajaya. Tetapi mereka perlu menunggu Pru 16 lima tahun lagi. 

Tidak ada dalam sejarah keputusan PRN memberi kesan sehingga kerajaan pusat digulingkan. 

Apa lagi sekarang ada Akta Lompat parti. Dan Anwar mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen. 


Tok Wali Zahid Hamidi


Ditakdirkan sekiranya Presiden Umno Zahid Hamidi digulingkan dalam parti dan Umno yang mempunyai 26 kerusi parlimen keluar dari kerajaan perpaduan - Anwar masih lagi mempunyai simple majoriti dengan sokongan GPS dan GRS (Sabah, Sarawak). 

Kenapa saya bayangkan Zahid Hamidi mungkin digulingkan oleh ahli ahli parti sendiri? Ini kerana Umno dan Zahid adalah dianggap seperti virus dalam kerajaan perpaduan. 

Umno mempunyai masalah dalaman parti. Ia bagaikan retak menunggu belah. Sudah menjadi rahsia umum "silent majority" ahli ahli Umno tidak berpuas hati dengan pimpinan Zahid sebagai Presiden Umno. 

Umno bukan lagi parti keramat orang melayu seperti dekad dekad yang lalu. Umno kini di bawah dagu PKR dan DAP. 

Pemimpin DAP Tony Pua secara terang menggelar Umno parti korup. Begitulah rendahnya imej Umno kini. Ahli ahli Umno marah-marah dengan kenyataan Tony Pua. Presiden Umno,  Zahid Hamidi hanya tersengeh dan terhegeh-hegeh dengan menasihat ahli ahli Umno supaya tidak melayan Tony Pua. 

Nampaknya orang DAP pun tidak ada selera dengan Umno. Tetapi demi muslihat politik untuk terus berada dalam kerajaan pusat DAP terpaksa ambil sikap taqiyah terhadap Umno. 

DAP tidak mahu sejarah Langkah Sheraton berulang kembali dengan hanya berada sebagai kerajaan pusat selama 22 bulan sahaja. DAP mahu kekal di Putrajaya selama yang mungkin. 


Encik Tony Pua


Bagi ahli ahli Umno yang tidak dapat mengundi dan memilih presiden parti kerana keputusan MKT melarang adanya pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti - PRN Ogos ini adalah satu peluang dan kesempatan menghantar mesej yang jelas pada Zahid Hamidi. 

Hak mereka untuk mengundi dalam parti telah dirampas. Mereka tidak berpeluang memilih dan menentukan siapa yang layak memimpin parti. 

Jadi dalam PRN nanti mereka boleh sampaikan mesej ini dengan tidak mengundi calon calon Umno sebagai protes terhadap Zahid Hamidi. 

Dengan ini bila Umno kalah teruk di enam negeri tersebut ahli ahli Umno mampu mengandakan tekanan dan tuntutan agar Zahid melepaskan jawatan Presiden parti. 

Saya dapat merasakan Umno akan mengalami prestasi buruk dalam PRN nanti. Hanya keajaiban sahaja ia berlaku sebaliknya. 

Saya juga percaya Anwar sudah pun berunding dengan Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Umno bagi meneruskan tugas Zahid sebagai Presiden Umno sementara waktu bagi menjamin kestabilan kerajaan perpaduan. 

Bagi Zahid saya juga percaya beliau akan bersikap muka tebal bagi menerus dan mengekalkan semua jawatan yang dipikulnya. 

Kerana dia hanya pentingkan dirinya dan kedudukannya bukan kepentingan parti.