Selasa, 24 Mei 2011

Ku Li dan royalti minyak

TENGKU Razaleigh Hamzah tidak yakin UMNO akan menawan kembali Kelantan sekiranya parti itu tidak mengembalikan hak royalti minyak kepada rakyatnya. Beliau tetap akan bersama Tok Guru dalam memperjuangkan hak royalti dari kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan.

Katanya selagi UMNO tidak memperjuangkan isu ini selama itulah rakyat Kelantan tidak akan menerima UMNO. Beliau hairan dengan sikap para pemimpin UMNO negeri, seperti Datuk Mustapha Mohamad, sanggup bersekongkol dengan kerajaan Pusat menafikan royalti itu diberikan kepada Kelantan.

Sikap dan pendirian Ku Li ini agak berbeza dengan para pemimpin UMNO yang lain terutama di peringkat negeri. Pandangan beliau dalam isu royalti ini adalah sama dengan sikap PAS yang telah pun membawanya ke mahkamah.

Begitulah Ku Li sikap dan pendiriannya dalam politik agak sukar diramalkan. Apakah ini kelebihannya atau ini adalah satu kelemahannya sebagai ahli politik ?

Tidak lama dulu beliau membuat kenyataan terbuka menyatakan rasa tidak puas hatinya mengenai perlantikan Sultan Kelantan yang baru. Beliau berpendapat Sultan Ismail, yang masih uzur itu adalah Sultan Kelantan yang sah. Padahal ketika itu mahkamah telah pun membuat keputusan mengistiharkan Tengku Faris, adalah Sultan Kelantan yang baru.

Akibat dari kenyataan terbukanya itu, gelaran diraja yang dianugerahkan padanya telah ditarik balik. 

Dalam politik UMNO pula kedudukannya tidak begitu jelas. Dia tidak diberi peranan penting dalam parti melainkan bahagiannya di Gua Musang. Tetapi hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden sentiasa ada. Malah beliau telah mencuba beberapa kali sehinggalah masa Pak Lah menjadi Presiden UMNO, namun semuanya gagal lantaran tidak cukup pencalonan.

Ku Li kelihatan seorang ahli politik yang sering diperguna dan diperalatkan oleh pihak yang berkepentingan. Misalnya dalam pilihanraya kecil di Galas, beliau di lantik menjadi Pengarah Pilihanraya. Sedangkan mengikut tradisinya dalam setiap pilihanraya kecil, Pengarah Pilihanraya di pegang oleh Timbalan Perdana Menteri atau Ketua Perhubungan parti peringkat negeri.

Dalam kes ini UMNO telah melantik Ku Li, malah telah memberi tawaran padanya untuk menjadi calon di Galas bagi menghadapi PAS. UMNO tahu dengan pengaruh yang ada pada Ku Li, lebih-lebih lagi Galas adalah dalam kawasan parlimen Gua Musang, Barisan Nasional dapat mengatasi PAS. Dan ini terbukti benar bila calon BN menang selesa. Kemenangan ini banyak bergantung pada faktor dan peribadi Ku Li di kawasan itu.

Kini selepas kemenangan yang cemerlang di Galas- bagaimana kedudukan Ku Li ? Peranan dan sumbangannya seolah-olah dipinggirkan oleh parti. Beliau diperlukan hanya bila parti terdesak memerlukan khidmatnya. Sikap dan pandangan Ku Li sentiasa tidak konsisten dengan kenyataan di depannya. Sekiranya pendirian beliau dalam isu royalti sama dengan PAS, apa perlunya dia menerima menjadi Pengarah Pilihanraya di Galas dan berkempen menentangnya pula.

Ramai pemerhati politik berpendapat beliau sepatutnya menolak tawaran di Galas itu. Sekiranya dia menolak adakah PAS akan menang di Galas ?

Semasa Tun Musa Hitam berkrisis dengan Dr. Mahathir dulu beliau turut diseret sama. Sebenarnya pada waktu itu Ku Li tidak mempunyai masalah apa-apa dengan Dr. Mahathir. Hanya Tun Musa Hitam yang bermasalah  dan berseliseh faham dengan bosnya. Tetapi Tun Musa telah memainkan peranan dan mempengaruhi Ku Li agar menentang Dr. Mahathir.

Ku Li terpengaruh dan membuat keputusan bertanding menentang Presiden Parti. Manakala Musa, yang berkrisis dengan Dr. Mahathir, hanya mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden melawan Tun Ghaffar Baba. Dalam perebutan jawatan tersebut Ku Li dan Musa tewas.

Banyak teori mengatakan, Tun Musa telah berpegang pada ungkapan "killing two birds with one stone". Ertinya, strategi Tun Musa pada masa itu ialah memusnahkan karier politik Ku Li yang sememangnya menjadi seteru politiknya dan dalam masa yang sama mendiskreditkan kedudukan Dr. Mahathir sebagai Presiden parti.

Ku Li dan Musa telah bertanding jawatan Timbalan Presiden parti sebanyak dua kali. Keduanya dimenangi Tun Musa Hitam. Bagaimanakah Tun Musa boleh mengangkat Ku Li sebagai Presiden parti sedangkan beliau telah menewaskannya sebanyak dua kali ? Sekiranya Ku Li tidak menerima tawaran untuk bertanding jawatan nombor satu itu kemungkinan beliau sudah menjadi Perdana Menteri kini ?

Hanya Ku Li dapat memberi jawaban yang sebenar. Beliau seorang yang ikhlas dan berlemah lembut. Tetapi sikap dan pendirian politiknya agak lemah dan tidak konsisten dalam banyak isu. Beliau kelihatan mudah dimanipulasi oleh pihak lain.

Dan inilah beberapa faktor yang menyebabkan beliau gagal menjadi calon Perdana Menteri.

.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan