Selasa, 10 April 2012

Isu PTPTN

Satu janji politik yang populis

PEMIMPIN Pakatan Rakyat berkempen sekiranya mereka berjaya menubuhkan kerajaan pusat mereka akan menghapuskan pinjaman pendidikan atau PTPTN.

Ertinya, semua pelajar di negara ini tidak perlu membuat pinjaman dan akan belajar secara percuma di institiut pengajian tinggi dan universiti.

Sudah tentulah di mana-mana sahaja perkataan percuma adalah suatu perkara yang menarik perhatian ramai. Siapakah yang akan menolak benda percuma ?

Tetapi seringkali benda percuma atau free adalah sesuatu yang tidak berkualiti dan tidak berharga nilainya. Orang politik akan lakukan apa sahaja untuk meraih undi, apatah lagi setiap kali menjelang pilihanraya.

Setakat berjanji dengan hanya menggunakan air liur; mereka boleh berjanji apa sahaja termasuk bulan dan bintang. Di sudut ekonomi dan pengurusan kewangan negara apakah ianya sesuatu yang logik dan praktikal ?

Kita perlu ingat orang yang berjanji bukanlah seorang pakar ekonomi dan pentadbir yang cekap selok-belok pengurusan dan pentadbiran. Mereka hanyalah politikus yang terdesak bagi meraih sokongan rakyat untuk mengekal kerusi masing-masing.

Tidak cukup lagikah segala kemudahan dan bantuan kerajaan selama ini ? Dengan berbagai agensi kerajaan yang ditubuhkan demi kemudahan rakyat; itupun ada yang mensia-siakan segala peluang dan kemudahan yang diberi.

Apakah belajar dengan percuma satu jaminan dapat melahirkan graduan-graduan yang berkualiti dan berhemah tinggi ? Sudah tentu tidak. Kalau datang secara percuma, hasil akhirnya percuma jugalah !

Pinjaman pendidikan bukan bertujuan menggalakan para pelajar berhutang. Namun ia adalah satu tanggungjawab dan latihan pada mereka sebelum memasuki alam kehidupan sebenar selepas belajar. Pengurusan wang dan ekonomi tidak diajar di sekolah-sekolah. Bila mereka dapat pinjaman mereka seharusnya menggunakannya dengan baik dan memulangkannya setelah mereka berjaya dan tamat belajar.

Itupun kerajaan bagi istimewa lagi, selepas belajar dan dapat pekerjaan baru bayar balik pada kerajaan. Mereka yang belum dapat pekerjaan boleh berunding dan tangguh dahulu pembayaran balik.  Bukankah itu sudah satu pertolongan ?

Dunia sekarang nak masuk tandas awam pun kena bayar 10sen atau 30sen. Inikan mahu belajar di menara gading. Namun kerajaan bagi segala kemudahan bagi meringankan beban ibu bapa. Tetapi orang politik, terutamanya pembangkang mengambil kesempatan menawarkan sesuatu yang payah orang hendak tolak.

Berjanji bukan sebarang janji, tetapi biarlah realistik dan menasabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan