Memaparkan catatan dengan label Palestin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Palestin. Papar semua catatan

Jumaat, 23 September 2011

Sikap "double standard" Amerika



PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama, semasa
berucap di PBB telah menolak hasrat Palestin mengisytiharkan
sebagai sebuah negara merdeka dan menjadi anggota
tetap badan dunia itu.

Obama menegaskan, Amerika akan menggunakan
kuasa vetonya untuk menghalang usaha Palestin itu.
Menurut Obama, tidak ada jalan pintas untuk
mencapai perdamaian bagi kedua pihak Israel-Palestin.

Justeru itu beliau mendesak agar Palestin menyambung
kembali rundingan dengan Israel yang telah terbantut
sejak 2010.

Bagi Amerika tidak akan ada sebuah negara
Palestin tanpa persetujuan dan perdamaian berkekalan
dengan negara Yahudi itu.

Soalnya, pada pihak Palestin setelah mengambil
masa selama lebih 20 tahun berunding dengan Israel,
rakyat Palestin tidak memperolehi apa-apa atau "nothing"
hasil dari perundingan tersebut untuk mencapai
kewujudan dua buah negara berjiran atau "two state solution."

Malah apa yang berlaku ialah Israel terus memperluaskan
penjajahannya dengan pembinaan penempatan haram Yahudi
tanpa henti.

Menurut Moustafha AL-Bouguthi, ahli majlis tertinggi Palestin,
dasar Israel yang terus memperluaskan penempatan
haram itu telah mewujudkan "one state solution" dan
bukannya "two states solution" sebagaimana dianjurkan
dunia antarabangsa.

Langkah yang diambil Palestin ke PBB kali ini
adalah berpunca dari sikap angkuh Israel yang tidak
mengendahkan pandangan antarabangsa bagi
menghentikan penempatan haram Yahudi di wilayah
Palestin dan sikap berat sebelah Amerika terhadap
sekutunya, Israel.

Obama sendiri dalam ucapannya di PBB telah
membuat pendirian yang kontradik dan "double standard"
bila sebelum ini beliau berkali-kali menyarankan agar
Israel menghentikan pembinaan penempatan haram semasa
proses rundingan berjalan dan kedua pihak harus
berunding bertitik-tolak dari perjanjian sempadan 1967.

Dan kelmarin semasa berucap di PBB, Obama tidak
menyentuh langsung dua isu yang dipertahankannya
sebelum ini. Malah beliau menyalahkan Palestin
membawa isu ini ke badan dunia itu dan memberi
amaran tidak akan ada perdamaian kekal tanpa
persetujuan kedua pihak.

Bagi Palestin, walaupun usahanya untuk menjadi
anggota PBB akan dihalang Amerika, namun langkah
ini adalah satu permulaan diplomatik bagi mencapai
matlamat sebuah negara Palestin merdeka.

Apa yang jelas Amerika tidak lagi layak untuk
menjadi orang tengah atau mediator dalam konflik
Arab-Israel di atas sikapnya yang sering tunduk
kehendak rejim Yahudi itu.

Barangkali, Kesatuan Eropah atau China atau Perancis
boleh memainkan peranan menggantikan Amerika
yang jelas gagal dalam menjayakan rundingan perdamaian
ini.

Tindakan Mahmoud Abbas mengisytiharkan Palestin
sebagai sebuah negara berdaulat merupakan langkah
pertama dari seribu langkah dan perlu diteruskan
pada masa hadapan.




























Rabu, 21 September 2011

Isu Palestin : Usaha terakhir



DIPLOMAT Amerika dan Israel sedang berusaha
keras disaat akhir bagi menghalang usaha Palestin
mengisytiharkan sebuah negara merdeka di PBB
minggu ini.

Hampir semua negara Arab termasuk Setiausaha
Agung PBB menyokong usul yang akan dibentangkan
ini.

Manakala Kesatuan Eropah atau EU setakat ini
tidak mengeluarkan kenyataan tegas menyokongnya,
tetapi lebih berdiplomasi dengan mengambil jalan
tengah menggesa agar kedua pihak meneruskan
rundingan.

Israel seakan terdesak dengan perkembangan ini
telah menawarkan pada pihak Palestin bahawa ia
bersedia berunding secara terus dalam usahanya
memujuk Mahmud Abbas kembali ke meja rundingan.

Rundingan secara terus atau direct negotiation ini
telah ditolak Abbas kerana menganggap cadangan
Israel itu tidak jujur dan bermuslihat.

Dunia tahu usaha Palestin ini akan dihalang oleh
kuasa veto Amerika. Namun Amerika sedang berusaha
untuk mengelakkan imejnya diaibkan dikalangan
negara-negara Arab.

Dan ini dapat diselamatkan dengan memujuk Palestin
menarik balik usul ini dan kembali menyambung rundingan
dengan Israel yang telah terbantut sekian lama.

Langkah tegas Palestin kali ini untuk pertama kalinya
telah memberi tekanan diplomatik terhadap Amerika
dan Israel.

Ini memang wajar kerana selama berunding dengan
negara Yahudi itu hampir tiga dekad rakyat Palestin
tidak mendapat apa-apa, malah nasib mereka semakin
buruk.

Usaha mengisytiharkan sebuah Palestin merdeka
memberi pengajaran pada Israel dan Amerika
betapa mahalnya nilai "pengorbanan" Mahmud Abbas
selama ini bertolak ansur dalam rundingannya dengan
rejim Yahudi itu.






















Ahad, 11 September 2011

Sebuah Palestin merdeka



PIHAK berkuasa Palestin kini sedang berusaha
mengisytiharkan sebuah negara Palestin merdeka
melalui PBB dan menjadi anggotanya yang ke 194.

Presidennya, Mahmoud Abbas berusaha keras melobi
dan mencari sokongan dikalangan negara anggota
bagi mencapai matlamat penubuhan sebuah Palestin
merdeka.

Usaha ini telah ditolak Amerika dan Israel kerana
ianya bersifat "unilateral". Ertinya, kewujudan sebuah
negara Palestin tidak mungkin tercapai tanpa persetujuan
pihak Israel.

Presiden Barack Obama menegaskan Amerika akan
menghalang usaha ini dan meminta Mahmoud Abbas
kembali ke meja rundingan dengan Israel.

Pihak Palestin pula kelihatan sudah bosan meneruskan
rundingan dengan negara Yahudi itu. Setelah hampir
tiga dekad, bermula dengan Camp David, Perjanjian Oslo
dan sebagainya, nasib bangsa Palestin tidak berubah, malah
terus ditindas.

Lebih memburukkan lagi keadaan, Israel terus dengan
dasarnya mendirikan penempatan haram semasa proses
rundingan berjalan.

Dasar Israel ini dikecam Amerika, namun seperti biasa
negara Yahudi itu tidak menghiraukan segala bantahan
dari sekutu kuatnya malah dari negara-negara dunia.

Justeru itu pihak Palestin yang terbahagi dua kumpulan
yang berpengaruh; Fatah dan Hamas telah mengambil
pendirian bergabung bagi mencapai matlamat menubuhkan
negara Palestin.

Fatah dan Hamas sebelumnya tidak boleh bersemuka
dan bermusuh sehingga pernah berperang saudara dan
berbunuhan sesama sendiri akibat mempunyai pendirian
berbeza dalam konflik Israel.

Israel tidak mengiktiraf Hamas dibawah pimpinan
Ismail Haniyeh dan menganggapnya sebagai sebuah
pertubuhan pengganas.

Tetapi dengan sikap Israel yang sering mencabuli
perjanjian yang dipersetujui dengan Fatah; membuatkan
Mahmoud Abbas tidak ada pilihan melainkan bersatu
dengan Hamas dan menggerakkan inisiatif menubuhkan
Palestin merdeka tanpa penglibatan Israel.

Dalam konteks ini, Israel harus dipersalahkan kerana
telah mensia-siakan kesediaan Abbas yang lebih sederhana
dalam mencapai persetujuan dalam rundingan.

Berbeza dengan Haniyeh yang tidak mengiktiraf kewujudan
Israel. Apa lagi berunding dengan rejim Yahudi iu.

Langkah pihak Palestin membawa isu ini ke PBB ini
adalah satu pilihan yang ada setelah kecewa dengan
sikap Israel dan Amerika yang sering memberi sokongan
yang kuat padanya.

Palestin tidak boleh mengharap sokongan dari Amerika
dalam mencapai tujuannya, lebih-lebih lagi Amerika akan
menghadapi pilihanraya Presiden tahun depan.

Seperti biasa Barack Obama yang akan mempertahankan
jawatannya buat penggal kedua memerlukan pelobi-pelobi
Yahudi bagi mempastikan beliau akan terus berada di Rumah
Putih.

Dan sudah tentu Obama akan terus menjalankan dasar
yang akan menguntungkan negara Yahudi itu dan mengambil
hati para pengundi Yahudi kerana mereka mempunyai
pengaruh yang besar dalam menentukan kedudukan calon
di White House.