Khamis, 5 April 2012

A. Samad Said

Dari sasterawan ke pentas politik

SASTERAWAN Negara, A.Samad Said adalah pengerusi bersama Bersih 3.0 yang akan mengadakan perhimpunan 28 April ini di Dataran Merdeka bagi menuntut reformasi dan satu pilihanraya bersih.

Pak Samad ialah bekas pengarang akhbar dan seorang novelis. Sejak akhir ini Pak Samad lebih tertumpu pada bidang puisi dan lukisan.

Beliau pernah melancarkan 'mogok seni' suatu masa dahulu sebagai bantahan terhadap layanan dan masalah honorariumnya dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mogok seninya itu bermaksud beliau berhenti dari berkarya atau menulis apa-apa karya sehinggalah masalah ketidakpuashatiannya diselesaikan.

Selepas itu Pak Samad merajuk lagi dengan kerajaan seolah beliau sebagai sasterawan Negara tidak mendapat perhatian dan layanan sewajarnya. Pak Samad bercita-cita untuk mendapat sebuah arkib bagi menyimpan dan menghimpun segala khazanah karya seninya untuk warisan bangsa.

Namun bagi Pak Samad hasratnya itu tidak diberi perhatian dari kerajaan, terutamanya kementerian penerangan. Lalu khabarnya, Pak Samad ingin memindahkan segala karya seninya keluar negara. Dilaporkan negara New Zealand bersedia untuk membantu memenuhi hasrat dan impian Pak Samad mendirikan sebuah arkib untuk tujuan itu.

Sehingga ini tidaklah pasti apakah projek ini berjalan lancar dan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun itulah Pak Samad yang sebelum ini begitu 'setia' dengan dunia seninya dan tidak mengambil pendirian dalam soal siasah. Beliau pernah dikecam hebat dan berpolemik dalam media cetak dengan seorang lagi Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad. Shahnon telah mengkritik sikap dan pendirian beliau dalam banyak isu. Dan Shahnon ketika itu seorang anti-establishment dan orang kuat parti PAS.

Tetapi kini Shahnon yang agak uzur telah mengecam pula parti yang didokongnya kerana bekerjasama dengan DAP. Jelas kini Shahnon telah bersikap lebih lunak dalam soal politik dan persepsinya terhadap kerajaan.

Kalau dahulunya Shahnon Ahmad agak kritikal terhadap kerajaan kini beliau telah berpusing beberapa darjah. Ironinya, Pak Samad kini mengisi pula kekosongan yang ditinggalkan Shahnon.

Namun apakah Pak Samad akan bersikap lebih lunak terhadap kerajaan diakhirnya sepertimana Shahnon yang kini agak mengendur.

@Ehsan Kartun Rossem.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan