Jumaat, 6 April 2012

Tarikh pilihanraya umum

Strategi dan percaturan politik

SUDAH menjadi satu tradisi sejak merdeka di negara ini bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak menentukan bila tarikh pilihanraya umum dan pembubaran Parlimen.

Ianya menjadi satu teka-teki dan kejutan pada semua orang, terutamanya parti pembangkang.

Pihak pembangkang seringkali mempertikai cara ini dan menuntut agar kerajaan memberi notis lebih awal agar persiapan rapi dapat diadakan.

Walau apapun tindakan Perdana Menteri merahsiakan tarikh keramat itu tidak menyalahi undang-undang dan perlembagaan negara. Cuma langkah ini dilihat sebagai tidak adil buat parti pembangkang yang mahu ianya diumum lebih awal sebagaimana diamalkan disetengah negara.

Bila Parlimen akan dibubarkan dan tarikh pilihanraya umum hanya Datuk Seri Najib Razak seorang sahaja yang tahu dalam dunia ini. Barangkali, jika ditanya pada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun beliau tidak dapat menjawabnya dengan pasti.

Pihak Pakatan Rakyat tidak boleh komplen dengan langkah teka-teki Najib dalam hal ini. Kerana negeri-negeri yang ditadbir pembangkang kecuali Kelantan belum sepakat untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing seiring dengan pembubaran Parlimen.

Selangor dan Pulau Pinang dibawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim dan Lim Guan Eng lebih cenderung untuk mengadakan pilihanraya negeri secara berasingan. Mereka berdua mahu menghabiskan tempoh mandat sehingga tahun depan.

Manakala Kelantan dibawah Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu pilihanraya diadakan serentak. Alasan Nik Aziz jika pilihanraya dibuat berasingan banyak 'hantu-hantu' yang akan datang menyerang Kelantan. Tidak mampu hendak lawan dan tepis, kata orang tua itu. Di Kedah pula Datuk Seri Azizan Razak seperti biasa menyerahkan bulat-bulat pada PAS pusat. Dia ikut saja.

Justeru itu Najib sendiri agak serba salah. Kalau diadakan pilihanraya pada April atau Jun ini, tetapi Selangor dan Pulau Pinang enggan bubar DUN mereka, bagaimana ? Yang pening kepala dan terpaksa bekerja dua kali disamping peningkatan kos ialah SPR.

Tarikh pilihanraya sama ada rahsia atau tidak bukan lagi satu isu besar. Pihak kerajaan mahu pun pembangkang; mereka telah berkempen sepanjang masa, sepanjang bulan dan tahun tanpa henti sejak selesai pilihanraya umum pada 2008 lagi. Tidak cukup lagikah berkempen dan berceramah ?

Di Malaysia politik berjalan tanpa henti dan bukan empat atau lima tahun sekali. Ia adalah proses sepanjang masa tanpa henti. Itu pun belum dikira entah berapa kali pilihanraya kecil terpaksa diadakan.
Orang Malaysia terlalu banyak politiking !



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan