Jumaat, 27 April 2012

Jose Mourinho

Tangguh hasrat musim depan
REAL MADRID tersingkir di separuh akhir Champions League atau Piala Juara setelah tewas pada Bayern Munich 3-1 melalui tendangan penalti selepas 120 minit bertarung.

Bayern akan bertemu Chelsea di final di Stadium Alianz Arena, Jerman bulan depan.

Orang yang paling kecewa dengan kegagalan Real Madrid masuk ke final kejuaraan Eropah ini tentunya Jose Mourinho yang terkenal dengan gelaran "The Special One" dalam dunia bolasepak.

Sekiranya ditakdirkan Real berjaya melangkah ke final, Mourinho berpeluang mencatat sejarah sebagai pengurus yang berjaya membawa tiga pasukan berlainan menjuarai Piala berprestij itu. Sebelum beliau ke Stamford Bridge, Mourinho telah berjaya membawa kelab Porto dari Portugal menjuarai Piala Juara-Juara.

Kemudian setelah berjaya meletakkan Chelsea dipersada Liga EPL untuk beberapa musim mengatasi Manchester United, beliau berhijrah ke Serie A memimpin kelab Inter Millan. Di Inter beliau sekali lagi membuktikan kehebatan beliau dengan berjaya meletakkan Inter sebagai Juara Liga Serie A dan seterusnya memenangi Piala Juara-Juara dua tahun lalu dengan menewaskan Bayern Munich.

Setelah melakar sejarah di Itali beliau berhijrah pula ke Santiago Bernabeu bagi mengendalikan sebuah kelab paling mencabar di Eropah. Sepanjang berada di Real Madrid pencapaiannya tidak mengecewakan kerana hingga kini Real berada di tangga teratas La Liga mengatasi Barcelona. Dan mempunyai peluang besar menjuarai La Liga musim ini setelah ianya dikuasai Barcelona beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan tumpasnya Real di tangan Bayern dalam separuh akhir Piala Juara; hasrat dan impian Mourinho untuk mencatat "treble" dalam Champions League tidak kesampaian. Beliau perlu menunggu musim depan bagi memenuhi hasrat dan impiannya. Ironinya, pasukan yang memusnahkan harapannya ialah Bayern Munich - pasukan yang ditewaskannya semasa membantu Inter menjuarai Piala Juara dua tahun lalu.

Dalam perlawanan akhir antara Bayern Munich dan Chelsea bulan depan di Alianz Arena, Jose Mourinho telah pun memilih bekas pasukannya Chelsea sebagai pasukan pilihan menjuarai Champions League atau Piala Juara-Juara musim ini.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan