Jumaat, 29 September 2017

Akhbar Politik Mingguan

Mingguan Tanahair.

Ini adalah salah satu tulisan yang diterbitkan di mana mulanya saya belajar dan mencuba menulis isu politik tanahair.  Dan saya rasa cukup berterima kasih pada Mingguan Tanahair yang telah memberi peluang dan ruang pada saya mencuba bakat.

Mingguan Tanahair adalah antara akhbar mingguan politik tempatan yang popular selain akhbar Watan.

Namun ia tidak bertahan lama dipasaran. Keratan akhbar ini adalah pada tahun 1986.

WASPADA

Akhbar Waspada

Ini adalah keratan akhbar harian Waspada yang menerbitkan tulisan saya yang pertama sejak berminat menceburi bidang penulisan sejak awal 1981.

Harian Waspada adalah akhbar harian utama di Medan, Sumatera Utara pada waktu itu.

Buku

Antara Buku dan Teknologi Moden

Ini adalah beberapa buah buku yang sudah lama tidak dibaca. Tersadai begitu sahaja. Kadang-kadang buku-buku ini perlu dibaca berulangkali bagi memahami isi kandungannya dengan lebih mendalam
.
Namun dalam era teknologi yang begitu pesat berkembang kita lebih menghabiskan masa membaca dan mencari maklumat menerusi smart phone: melayari FB, blog, portal berita dan sebagainya.

Saya sendiri terperangkap dan lalai sehingga buku-buku sudah jarang disentuh lagi.

Memang membaca buku dengan memegang dan menyentuhnya mempunyai kepuasan yang tersendiri berbanding membaca melalui smartphone, laptop dan lain-lainnya. 

Basikal

Kayuh Basikal

Mengayuh basikal adalah satu hobi yang paling seronok pernah saya alami. Kini sudah hampir dua tahun mengayuh hampir setiap pagi atau petang.

Dalam usia melangkau lebih lima dekad mengayuh setiap hari boleh membantu agar badan sihat dan cergas. Lebih-lebih lagi dapat menghindar berbagai penyakit.

Apa yang saya lalui, semakin hari berkayuh semakin mendalam minat terhadap dunia basikal dan kayuhan.

Gambar basikal dibawah ini adalah basikal saya yang kedua. Yang pertama saya miliki adalah jenis mountain bike. Basikal kedua ini adalah jenis touring bike. Dan saya sungguh minat dengan basikal jenis touring ini.

Selain tayarnya yang lebih kecil ia sungguh ringan serta laju semasa mengayuh.

Setiap hari saya pastikan dapat mengayuh sekurang-kurangnya dari 10km hingga 20km pergi dan balik. Ia mengambil masa antara 30 hingga 45 minit.

Dan kini menyimpan hasrat agar dapat mengayuh secara jarak jauh pada satu hari nanti.

Khamis, 7 September 2017

Rizal Mansor Pegawai Khas Perdana Menteri??

BERAPA lama dulu kita sering mendengar dan membaca kenyataan pemimpin Umno dan Timbalan Menteri, Ahmad Maslan.  Banyak kenyataannya mempertahankan dasar kerajaan dan membela Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiap kali Ahmad Maslan membuat kenyataan ia menimbulkan kontroversi.  Ramai yang memperlekeh dan mentertawakan setiap kali dia membuka mulut. Asal saja dia bercakap,  umumnya ramai yang gelak.  Sehingga orang menggelarnya Mat Maslan IQ 3.5.

Tetapi sejak akhir ini Mat Maslan sudah agak tenggelam.  Tiada apa lagi kontroversi.  Dia agak kurang membuat kenyataan dan lebih ke arah "low profile".

Selepas cerita Mat Maslan reda timbul pula pemimpin Umno, menteri dan merangkap Pengarah Strategik BN,  Abdul Rahman Dahlan. Dia pula ganti Mat Maslan yang banyak mengeluarkan kenyataan membela PM Najib Razak.

Dan kenyataan paling cerdiknya sebagai Pengarah Strategik BN adalah membuat pengakuan bahawa MO1 adalah Najib Razak.

Kini Rahman Dahlan pun mengikut jejak Mat Maslan bersikap low profile. Tiada lagi membuat kenyataan-kenyataan seperti sebelumnya.

Rizal Mansor

Setelah tenggelamnya Mat Maslan dan Rahman Dahlan kini timbul pula seorang lagi iaitu namanya Rizal Mansor.

Dia ini bukan menteri. Juga bukan pemimpin tertinggi parti.  Sekarang ini dia yang banyak membuat kenyataan mempertahankan Umno dan Najib. Malah menyerang Dr Mahathir!!

Yang peliknya setiap kali portal berita melaporkan tentang Rizal Mansor, ia disebut sebagai Pegawai Khas atau pembantu isteri PM Rosmah Mansor. Itulah pangkat dan jawatannya yang sering digunakan dalam setiap laporan.

Bukan setakat itu sejak akhir-akhir ini pula berita menyebutnya sebagai Pegawai Khas Perdana Menteri pula.  Entah yang mana satu yang betul - Pembantu Rosmah Mansor atau Pegawai Khas PM ?

Apa pun setiap kali dia membuat kenyataan politik memang kalah Mat Maslan dan Rahman Dahlan. Kenyataannya lebih power daripada sesetengah pemimpin MT Umno.  Rizal bukan ahli MT Umno.  Dia hanya pemimpin peringkat bahagian.

Sekiranya dia pembantu atau pegawai khas Rosmah,  maka belum ada dalam sejarah negara mempunyai jawatan pegawai seperti ini sejak zaman Tunku Abdul Rahman sehingga zaman Abdullah Ahmad Badawi. Kesemua zaman lima Perdana Menteri dahulu tidak wujud jawatan Pegawai Khas isteri PM yang kerjanya bercakap pada media. Apa lagi bercakap soal politik!

Tetapi sekiranya Rizal Mansor adalah Pegawai Khas PM,  saya kira dia tidak layak memegang jawatan itu berdasarkan statement yang dikeluarkannya.  Level atau standardnya terlampau rendah !


Isnin, 4 September 2017

Tulisan Dalam Akhbar Watan


KERATAN akhbar di atas adalah antara tulisan diperingkat awal penglibatan saya dalam bidang penulisan. Tulisan itu diterbitkan dalam akhbar mingguan Watan, Ogos 1983.

Sebenarnya tulisan saya yang pertama diterbitkan lebih awal iaitu pada tahun 1981 dalam akhbar Harian Waspada, Medan,  Indonesia ketika menjadi mahasiswa di sana. 

Namun keratan tulisan dalam Watan itu saya anggap paling memberi kesan yang mendalam pada diri saya. Ia memberi kesedaran betapa pentingnya menguasai bahasa Inggeris. 

Ketika tulisan itu ditulis saya masih berusia 21 tahun. Masih kurang matang lagi. Saya masih ingat saya deraf tulisan itu dengan tangan. Selepas mengeditnya saya taip di mesin taip. 

Setelah mengeposnya di pejabat Pos yang disertakan sepucuk surat kepada Pengarang memohon pertimbangannya untuk disiarkan. Dan dalam tempoh dua minggu , Watan menerbitkannya. 

Saya berasa sungguh gembira dan bangga kerana akhbar Watan ketika itu dibarisi para kolumnis terkenal seperti Ahmad Boestamam dan Subky Latiff. 

Tetapi saya lupa siapa Ketua Pengarangnya. 


Sabtu, 2 September 2017

Anwar Ibrahim Tidak Berdendam Dr Mahathir

ADA pemimpin Umno menganggap usaha PKR melalui Azmin Ali mahu berunding dengan PAS dikira sebagai tanda Anwar Ibrahim masih berdendam dan tidak yakin dengan pimpinan Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan.


Entah kenapa sampai ke situ tafsiran orang Umno. Ini mungkin disebabkan kebencian mereka terhadap Dr Mahathir,  terutamanya pakatan Mahathir - Anwar bagi menghadapi Pru14.


Sebenarnya isu hubungan PKR - PAS timbul dan direstui Anwar adalah disebabkan faktor kerusi Parlimen Permatang Pauh.


Kerusi ini asalnya adalah kubu kuat PAS di Pulau Pinang sehinggalah dirampas BN selepas Anwar menyertai Umno. Semenjak itu Permatang Pauh kekal milik Anwar yang bertukar ganti dengan isterinya,  Dr Wan Azizah sehingga hari ini.


Jadi Anwar dan Wan Azizah kekal di Permatang Pauh atas tiket BN dan PKR.
Apabila PAS kini tidak bersama Pakatan Harapan maka ia mahu kembali merampas Permatang Pauh.


Sebelum ini pun sejak Anwar dipecat dari Umno jentera PAS banyak membantu Anwar atau isterinya mengekalkan kerusi tersebut dalam setiap pilihanraya.


Dan PAS telah umumkan ia akan letakkan calon di Permatang Pauh dalam Pru14 ini.


Ertinya,  calon Umno, PAS dan PKR akan bertembung tiga penjuru kali ini.  Dan ini tentunya akan melemahkan sedikit kedudukan Wan Azizah sebagai calon proksi Anwar yang masih dalam penjara.



Sekiranya PAS tidak bertanding maka calon PKR mempunyai kelebihan berbanding calon Umno.


Dengan PAS ikut serta bertanding secara otomatisnya undi PAS dan PKR terbahagi dua.  Sedangkan calon Umno dapat mengekalkan status quo di kawasan itu.


Tidak siapa dapat nafikan jentera akar umbi PAS lebih kuat berbanding PKR di situ. Senario ini lebih kurang sama berlaku di Selangor - namun tidak seberat menimpa di Permatang Pauh nanti.


Justeru itu Azmin yang mendapat restu Anwar berusaha mendampingi PAS walau pun kini terpaksa menerima keputusan penolakkan kerjasama dengan PAS dari pimpinan Pakatan Harapan. Azmin terpaksa akur seluruh pimpinan PH menolak bekerjasama dengan PAS.


Itulah faktornya usaha dalaman PKR mahu mendampingi PAS. Bukannya Anwar atau PKR berdendam dengan Dr Mahathir.