Ahad, 15 April 2012

Tun Ghafar Baba

Tokoh Umno perlu dicontohi

HAMPIR semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) telah pun siap menyenaraikan nama-nama calon  untuk diserahkan pada Datuk Seri Najib Razak sebagai calon dalam pilihan raya umum yang boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Seperti yang sering diberi penekanan betapa calon yang terpilih mesti mempunyai kriteria boleh menang.

Masalahnya bila ada yang tidak terpilih akan merajuk dan tidak puas hati. Lebih serius lagi mereka akan bertindak yang boleh merugikan parti. Seperti tidak keluar berkempen dan mensabotaj calon parti sendiri.

Ahli-ahli seperti ini biasanya mempunyai kepentingan diri lebih tinggi dari kepentingan parti. Mereka jenis ini adalah ibarat 'duri dalam daging' dan 'musuh dalam selimut' yang boleh menghancurkan parti.

Seluruh ahli Umno sebagai tunjang BN dan parti-parti komponen lain seharusnya mengambil contoh dan teladan tokoh Umno/BN dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba. Beliau adalah satu-satunya pemimpin yang meletakkan kepentingan parti lebih dari segala kepentingan termasuk dirinya sendiri.

Semasa era Tun Razak; bila Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri meninggal dunia - Tun Razak telah memilih Tun Hussein Onn sebagai penggantinya sedangkan Tun Ghafar adalah Naib Presiden parti yang paling senior.

Sudah menjadi rahsia umum, Tun Ghafar memang mengidam jawatan TPM tersebut. Namun setelah Hussein Onn terpilih - beliau terus setia dan berkhidmat pada parti dan negara. Cuma masa itu beliau tidak menyertai kabinet Tun Razak.

Tun Ghafar adalah satu-satunya Naib Presiden Umno paling lama dari tahun 1969 sehinggalah beliau menjadi Timbalan Presiden Umno menggantikan Tun Musa Hitam. Dr. Mahathir ialah orang yang membawanya kembali dalam kabinet setelah berlaku keretakan hubungan Mahathir-Musa.

Sama ada beliau berada di luar atau di dalam kerajaan, Tun Ghafar terus memainkan peranannya sebagai anggota parti yang setia dalam apa pun situasi. Beliau ketika tanpa sebarang jawatan dalam kabinet kerajaan telah menjadi 'utusan damai' menyelesaikan krisis MCA yang berpecah dua dalam tahun 1980an.

Dan ujian paling besar dalam karier politiknya ialah bila beliau dicabar hebat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Umno. Pertandingan jawatan tidak berlaku kerana Tun Ghafar telah mengambil langkah berundur memberi laluan pada Datuk Seri Anwar.

Begitu pun setelah berundur dari jawatan nombor dua parti dan kerajaan beliau terus setia dan berkhidmat secara low profile tanpa publisiti. Beliau tidak merajuk atau mengambil apa-apa tindakan yang mencemarkan parti. Walaupun cara beliau 'dipersarakan' sungguh menyedihkan hati, namun beliau tidak bertindak balas mengikut perasaan. Kesetiaannya pada parti cukup tinggi dan mengkagumkan semua ahli.

Ahli-ahli Umno dan parti komponen BN seharusnya mengambil ikhtibar dan teladan dari tokoh ini yang selalu merendah diri dan tidak pernah mementingkan dirinya sendiri.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan