Khamis, 14 Julai 2011

Tiga gergasi EPL uji pasukan negara


BELUM pernah dalam sejarah tiga pasukan tersohor dalam Liga Inggeris berkunjung dalam bulan yang sama ke Malaysia bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan negara.

Arsenal, Liverpool dan Chelsea akan menguji pasukan Harimau Malaya dan Harimau Muda dengan barisan pemain terkuatnya. Kesempatan dan peluang ini harus dimanfaat secukupnya sebagai persediaan menghadapi Singapura dalam Kelayakkan Piala Dunia. Bagi Harimau Muda pula pertemuan dengan Chelsea akan menjadi medan ujian sebelum menghadapi Jepun bagi kelayakan Sukan Olimpik.

Sebelum ini FAM begitu sukar untuk mencari pasukan yang baik bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan negara. Kebanyakan negara hanya sudi menghantar pasukan bawah umur mereka dan bukan pasukan senior.

Ini menyebabkan kita kekurangan perlawanan persahabatan yang bermutu bagi meningkatkan kualiti pasukan negara. Pasukan-pasukan yang kita mampu jumpa hanyalah pasukan kerdil seperti Maldives, Sri Langka dan sebagainya.

Amat payah sekali untuk kita mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan yang bertaraf tinggi seperti Korea Selatan dan Jepun, umpamanya. Alasannya mudah mereka juga memandang tahap dan taraf permainan pasukan kita yang masih lagi di peringkat Asean .

Tetapi setelah pasukan negara mencapai keputusan yang baik kebelakangan ini ia ada menunjukan kesan yang positif. Kesanggupan tiga pasukan gergasi EPL berkunjung ke ibu kota bagi mengadakan perlawanan persahabatan ini sebenarnya membuktikan pencapaian di Sukan SEA dan Piala AFF ada kesan impaknya.

Kita perlu berusaha meningkatkan dan mengekalkan prestasi ini agar berterusan agar imej pasukan negara akan dipandang tinggi oleh pasukan-pasukan kuat yang lain. Ini akan mendorong mereka berminat bagi mengatur perlawanan-perlawanan ujian yang akan memberi banyak faedah untuk pasukan negara.

Pertemuan dengan Arsenal, Liverpool dan Chelsea perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membuktikan belang harimau yang sebenarnya.

.














Tiada ulasan:

Catat Ulasan