Khamis, 30 Jun 2011

Ikhtibar dari Medan Tahrir

BANYAK yang terpesona dengan apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir hasil dari kebangkitan rakyat yang berdemonstrasi dan berarak di jalan-jalanraya hingga tumbangnya rejim Zen Al Abideen Ali dan Hosni Mubarak.

Kejatuhan rejim ini adalah sebagai simbol kemenangan rakyat yang hidup tertindas selama 30 tahun. Mereka bagaikan baru menghirup suasana bebas dan merdeka. Selama ini kehidupan mereka diselubungi dengan masalah pengangguran, taraf kehidupan yang rendah serta suasana ekonomi yang memeritkan.

Bila rejim yang bersifat diktaktor ini tumbang, maka harapan rakyat terbanyak akan ada satu perubahan ke arah kebaikan dalam kehidupan mereka terutamanya di segi ekonomi dan kestabilan negara.

Tetapi apa yang berlaku sekarang di Tunisia dan Mesir ? Apakah ianya semakin baik dari dulu atau keadaannya bertambah buruk ?

Memang benar rejim terdahulu adalah kejam, rasuah, nepotisme berleluasa dan sebagainya. Tetapi setelah rejim ini jatuh maka rakyat seharusnya mengharungi kehidupan yang lebih baik. Namun jika dilihat perkembangan terkini rakyat di Tunisia dan Mesir masih berada ditakuk yang lama, malah bertarung setiap hari bagi meneruskan kehidupan mereka.

Di Tunisia masih ramai lagi hidup melarat, menganggur dan peluang-peluang ekonomi untuk rakyat masih terbatas dan terhad. Di Mesir lebih teruk keadaannya, demonstrasi dan pertempuran orang awam dengan polis masih berlaku di Medan Tahrir.

Banyak malah beratus terkorban akibat pertempuran dengan pihak berkuasa. Mereka menuntut diadakan pembaharuan dan menggesa pihak kerajaan segera menghukum pegawai-pegawai yang rasuah semasa rejim Mubarak.

Apa yang menyedihkan lagi Ikhwanul Muslimin yang menjadi harapan rakyat melakukan perubahan di Mesir kini di ambang perpecahan. Wujud dua kumpulan dalam Ikhwan yang mempunyai pandangan politik yang berbeza dalam menangani politik di Mesir.

Para birokrat semasa Mubarak masih kekal dan ini memburukkan lagi keadaan. Dan Amerika pula sedang memainkan peranannya agar Mesir terus menjadi sekutu barat. Lawatan Senator John Mc Caine baru-baru ini untuk meningkatkan lagi pelaburan dan kepentingan Amerika di Mesir menjadi bukti.

Ke manakah haluan Mesir dan apakah impian rakyatnya untuk menikmati kehidupan yang lebih baik tercapai ? Atau ia akan menjadi suatu ilusi dan mimpi yang buruk ?

Di mana laungan dan teriakan Medan Tahrir sebagai suatu suara rakyat menuntut perubahan dan pembaikan ? Nampaknya semua tinggal impian dan angan-angan. Di negara kita pula sebahagian kecil cukup terpesona dan terpegun dengan apa yang berlaku di Medan Tahrir tempoh hari dan jatuhnya rejim Mubarak. Mereka merasakan boleh melakukan perkara yang sama di sini.

Namun Mesir dan Malaysia ibarat bumi dan langit. Para pemimpin Ikhwan baru-baru ini telah mengundang Tun Dr.Mahathir untuk berucap di sana bagi berkongsi pengalamannya mentadbir dan mengurus ekonomi negara. Ini adalah satu pengikhtirafan dan penghargaan sebagai seorang negarawan.

Bak kata orang, gajah di depan mata tidak nampak, semut yang jauh pula kelihatan.             

Rabu, 29 Jun 2011

Malaysia lawan Taiwan malam ini

MALAYSIA akan bertemu Taiwan malam ini dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Di atas kertas pasukan negara boleh menewaskan Taiwan dengan mudah. Apatah lagi rangking kita berada di tangga 143, manakala Taiwan 160 di dunia.

Prestasi pasukan negara pula akhir-akhir ini berada ditahap kemuncak setelah tidak pernah tewas selepas menjuarai Piala AFF Suzuki baru-baru ini. Sekiranya para pemain boleh mengekalkan momentum ini rasanya Taiwan bukanlah masalah besar bagi pasukan negara.

Pun begitu anak-anak buah K.Rajagopal perlu berhati-hati dan tidak ambil mudah perlawanan malam ini. Kita perlu ingat semasa pasukan negara bertemu Vietnam digelangang lawan dalam separuh akhir Piala AFF, para pemain kita banyak turun ke bawah bertahan dan menyerang balas sekali sekala. Ini kerana kita sudah mengatasi mereka 2-0 di Kuala Lumpur.

Jurulatih Vietnam merungut kerana taktik pasukan negara kita menyukarkan pemain-pemainnya menjaringkan gol. Taktik pasukan negara bertahan terbukti berkesan dengan keputusan perlawanan seri 0-0. Begitu juga dalam perlawanan baru-baru ini antara pasukan Olimpik negara dengan Lubnan di Beirut yang berkesudahan seri 0-0. Dalam perlawanan itu pasukan Harimau Muda kita banyak bertahan dan semua pemain turun ke bawah bila pasukan lawan menyerang.

Cara permainan bertahan ini cukup berkesan bila bermain di tempat lawan. Pada perlawanan malam ini sekiranya Taiwan mengambil pendekatan yang sama sebagaimana kita lakukan di Vietnam dan Lubnan, bagaimana ?

Kalau semua pemain Taiwan berkubu dan berkumpul di bawah ia sudah pasti menyukarkan pasukan negara mencari gol. Dan mereka tentunya akan berusaha agar gol mereka tidak bolos dengan banyak bagi memudahkan tugas mereka bila perlawanan timbal balik di Taiwan nanti.

Coach Rajagopal perlu mempunyai pelan sekiranya keadaan ini terjadi. Malaysia harus menjaringkan gol sebanyak yang mungkin sebagai bekalan ke Taiwan nanti. Seperti kata Ketua Pasukan, Safiq Rahim, sekurang-kurangnya kita jaringkan tiga gol mengatasi Taiwan.

Sebagai seorang peminat dan bukannya pakar taktikal bolasepak, saya lihat hanya ada satu cara sahaja untuk membolosi kubu Taiwan sekiranya mereka semua turun bertahan ialah dengan menghantar bola tinggi dan jauh masuk ke kawasan penalti lawan. Bermain secara hantaran pendek tidak berkesan. Dengan bola tinggi dan hantaran jauh sahaja peluang agak terbuka dan menunggu pihak lawan melakukan kesilapan bila cuba "clearing" bola tersebut.

Dan paling mustahak dan sering diingatkan ialah kad kuning dan seterusnya kad merah. Para pemain harus berhati-hati dan mengelak dari menerima kad. Apa yang berlaku pada Gary Steven Roberts yang diarah keluar padang pada perlawanan pasukan Olimpik negara dengan Lubnan tempoh hari mesti dielakkan.

Setelah dia diarah keluar padang permainan menjadi berat sebelah dan para pemain negara bermain dalam tekanan. Mujur ketika itu pasukan negara telah pun mendahului Lubnan 2-0.

Pemain-pemain negara perlu bertenang dan mengelak dari melakukan kesilapan kerana kemenangan sudah berada dalam genggaman.

Mohon maaf sdr. Mohd Sayuti Omar

SAYA adalah seorang yang agak ketinggalan dalam penggunaan komputer dan selok-beloknya. Setakat menaip, posting dan benda kecil-kecil tidak menjadi masalah besar. Tetapi bila sampai ke perkara yang agak rumit sedikit kebiasaannya saya akan terhenti separuh jalan. Saya agak lembab sedikit dalam hal ini.

Namun saya bernasib baik kerana mempunyai seorang sahabat yang baru saya kenali. Beliau tinggal sekampung dengan saya. Tetapi takdir kita baru berkenalan beberapa bulan yang lalu. Beliau ialah Wan Ashhar Wan Mustaffa, seorang photographer, Arabic Calligrapher, Digital Artist dan Producer (Astro Oasis).

Beliau juga mempunyai beberapa laman blog; antaranya, Tok Janggut Siber dan Quran Tutorial. Saya bernasib baik kerana beliau banyak membantu saya dalam soal grafik dan sebagainya. Banner dan "foto" terbaru saya beliaulah yang membantu. Biasanya saya akan deraf dan lukis apa yang saya mahu dan serahkan padanya. Tak sampai beberapa jam semua beres. Lepas itu saya akan belanja dia makan ais kacang atau roti canai di kedai berdekatan.... kah...kah...kah.

Beberapa hari yang lalu saya ada SMS padanya. Antara lain saya minta kalau dia tidak keberatan , agar dapat memasukkan beberapa blog yang saya ikut termasuk blognya di ruang kosong sebelah tepi. Seperti biasa selang 24 jam segalanya selesai dan sempurna.

Cuma saya ada sedikit terkilan dan "tersangkut" bila ada satu senarai nama tercicir dalam senarai blog tersebut. Dan kesilapan ini bukanlah kesalahan sdr. Wan Ashhar atau Tok Janggut, tetapi kecuaian saya dalam memberikan nama-nama blog tersebut.

Blog yang tercicir itu ialah blog kenalan lama saya dan seorang yang banyak membantu saya dalam bidang penulisan akhbar. Beliau ialah Mohd Sayuti Omar atau lebih dikenali dengan msomelayu.blogspot.com. MSO banyak menghasilkan buku-buku politik, selain mempunyai kolum tetap dalam Siasah dan Buletin Rakyat serta ruangan pojok. Kini MSO adalah Ketua Pengarang akhbar tabloid Siasah.

Barangkali, bagi MSO ini adalah satu perkara kecil yang tidak akan mengganggunya. Tetapi tidak untuk saya. Saya pernah bekerja di bawahnya semasa beliau menjadi Pengarang, Mingguan Islam dan menumpang di rumahnya semasa berada di KL. Beliau banyak mengajar dan menegur saya semasa menjadi wartawan sambilan di akhbar tersebut. Dan yang terbaru beliau ada memetik beberapa tulisan di blog saya untuk diterbitkan dalam Siasah.

Semua ini adalah sesuatu yang amat saya hargai dan sanjungi. Saya tahu beliau tidak rasa apa-apa kerana saya tahu benar sikap beliau. Namun secara peribadi amatlah tidak kena jika saya mencicirkan namanya. Orang berbudi kita merasa.

Jadi saya ingin mohon maaf pada MSO apa yang terjadi. Saya terkhilaf.

Kepada sahabat saya Tok Janggut, apalah kiranya kalau sdr. tolong ralat nama MSO yang tercicir itu. Nanti petang kalau tidak hujan, boleh kita sembang di kedai kopi di Taman Bakti untuk menikmati roti canai atau murtabak pisang yang sedap itu. Banyak lagi yang saya nak sembang dengan Tok Janggut.

Selasa, 28 Jun 2011

A.Samad Said dan protes jalanan

SASTERAWAN Negara A.Samad Said kini banyak terlibat dalam pro demonstrasi di jalan-jalanraya bagi memperjuangkan berbagai isu. Beliau adalah antara tokoh penting memperjuangkan perhimpunan Bersih 9 Julai ini.

Satu ketika Pak Samad bersama dengan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Hassan Ahmad, mengepalai tunjuk perasaan menentang pengunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains di sekolah-sekolah.

Lebih kurang 15 tahun dahulu Pak Samad pernah melancarkan "mogok seni" kerana tidak puas hati tentang layanan Dewan Bahasa terhadap karya-karyanya serta masalah honorarium. Erti "mogok seni' ialah beliau berhenti menulis dan berkarya sementara waktu sehingga segala tuntutannya dipenuhi Dewan Bahasa.

Pada ketika itu kritikan dan protes Pak Samad lebih berkisar pada soal bahasa, soal seni dan masalah kesusasteraan negara. Tetapi sejak kebelakangan ini suara Pak Samad lebih berani dan terbuka dengan melibatkan soal politik, kebebasan dan demokrasi.

Dalam satu pilihanraya kecil kawasan Hulu Kelang, Pak Samad secara terbuka memberi sokongan kepada calon PKR masa itu, Datuk Zaid Ibrahim yang menentang calon BN, P. Kamalanathan. Dalam pilihanraya kecil itu Datuk Zaid telah tewas.

Pak Samad pernah suatu ketika dikecam dan dikritik oleh seorang lagi sasterawan negara, Shahnon Ahmad, yang membidas sikapnya yang banyak membisu dalam soal dan isu semasa negara. Shahnon juga mengkritik karya-karya Pak Samad yang dianggapnya tidak berunsur Islamik dan sebagainya.

Justeru itu berlakulah polemik antara dua sasterawan negara ini dalam majalah Dewan Sastera. Antara tulisan Pak Samad yang menarik ialah beliau menyatakan Shahnon tidak berhak menilai "keIslamannya" dalam setiap karyanya. Polemik ini lebih menumpu pada soal karya berunsur Islam yang bagi Shahnon tidak terdapat dalam hasil karya Pak Samad.

Shahnon Ahmad ialah seorang sasterawan negara yang kuat mengkritik pimpinan Dr.Mahathir dan UMNO. Sehingga terbitnya sebuah novel berjudul SHIT yang bermaksud tahi - mempersenda UMNO dan pimpinannya.

Kemudian Shahnon telah bertanding dalam pilihanraya umum atas tiket PAS di kawasan parlimen Padang Terap dan berjaya menewaskan Tan Sri Abdul Hamid Othman. Kritikan dan kecaman Shahnon sebagai wakil PAS terhadap kerajaan semakin hebat.

Namun penglibatan Shahnon dalam politik PAS dan sebagai wakil rakyat hanya bertahan untuk sepenggal sahaja. Beliau mengundurkan diri di atas alasan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Kini suara nyaring Shahnon sudah tidak kedengaran lagi. Tidak ada lagi kritikan dan kecaman seperti dulu. Beliau kini dalam suasana penuh low profile. Apakah sikap dan pendirian beliau sudah berubah ?

Bagaimanapun, kekosongan yang ditinggal Shahnon Ahmad kini telah diambil alih oleh Pak Samad orang yang pernah dikecamnya dulu. Adakah Pak Samad juga akan mengendur dalam perjuangannya seperti apa yang terjadi pada Shahnon di suatu ketika nanti ? Memandangkan usia Pak Samad kini menjangkau 70an ia tidak boleh ditolak.

Sikap dan pendirian Pak Samad sebagai seorang sasterawan negara dalam banyak isu perlu dihormati oleh semua orang. Namun apa yang menyedihkan beliau sebagai seorang yang bertaraf dan berkedudukkan  tinggi dan dihormati boleh terlibat dalam protes jalannan dan demonstrasi. Dia telah meletakkan dirinya setaraf dengan mereka yang berada di jalan-jalanraya. Tempatnya sebagai seorang karyawan bukan di tepi jalanan.

Banyak lagi kaedah boleh beliau lakukan dalam menyalurkan sikap dan pandangannya dalam isu-isu yang membabitkan bangsa, agama dan negara. Pak Samad perlu memastikan beliau tidak diperalatkan oleh mereka yang ingin menangguk di air yang keruh.




Isnin, 27 Jun 2011

Kalau bukan Anwar, siapa ? Hantu ?

BEGITULAH antara komen Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik, Mingguan Malaysia, 26 Jun 2011. Hampir saban minggu Awang Selamat mengulas tentang Anwar Ibrahim dalam ruangannya tanpa rasa jemu. Beliau begitu kecewa kerana masih ramai orang terpengaruh dan terpedaya dengan lakonan dan sandiwara pemimpin pembangkang itu.

"Awang hanya mampu berdoa agar Allah memberikan petunjuk dan penyelesaiannya. Selicik-licik manusia dan sehebat mana tipu daya serta hipokrasi, tidak mampu menghadapi ketentuanNya," tulisnya.

Kepada Awang, jangan kecewa dan gundah gulana kerana sandiwara sudah sampai ke penghujungnya. Tidak lama lagi pecahlah rahsia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengulas perkembangan terbaru dengan menyatakan tindakan ke atasnya hanyalah "wayang" dan berunsur politik bagi menyekat pengaruh pembangkang. Beliau tidak menjawab dengan tegas berkenaan keputusan mahkamah berkaitan Trio Datuk T dan kesahihan video seks membabitkan dirinya.

Anwar cuba mengalihkan isu sebenar dengan memperkatakan tentang Buku Jingga dan Bersih. Katanya, rakyat perlu fokus tentang isu tersebut dari isu seks. Manakala rakan-rakannya dalam PAS tetap mempertahankannya dan menolak isu seks ini sebagai cerita lucu zaman moden.

Nampaknya, PAS tetap akan mempertahankan Anwar demi survival politik Pakatan Rakyat dan soal kebenaran sudah tidak begitu penting lagi. Sekiranya mereka menerima cerita yang sebenar, maka habislah masa depan Pakatan Rakyat dalam PRU 13 ini.

Jadi, sekarang siapa yang menjadi liabiliti pada siapa ?

Kalau dulu orang mengatakan Datuk S.Samy Vellu dan Khairy Jamaluddin merupakan liabiliti pada Barisan Nasional dalam PRU 12. Dan tohmahan itu betul dan tepat. Kekalahan kerajaan ditangan pembangkang di banyak kerusi berkait rapat dengan faktor kedua tokoh tersebut.

Dan kini dengan perkembangan mutakhir, Anwar Ibrahim telah menjadi satu bebanan atau liabiliti pada PAS dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU 13. Lainlah sekiranya beliau dapat memBersihkan dirinya dari segala tohmahan dan tuduhan melibatkan soal akhlak dan moral.

Sikap Anwar yang tidak berani mencabar Trio Datuk T dan menyahut cabaran mereka dalam soal video seks ini menimbulkan kesangsian banyak pihak. Tidak memadai dengan hanya berkata semuanya adalah fitnah dan konspirasi. Dia perlu tunjuk dan buktikan sedikit keberanian menghadapi para penuduhnya. Bukannya mengalih pada isu-isu politik dan mengelak dari isu sebenar.

Perhimpunan Bersih 9 Julai ini memang luhur dan murni agendanya. Namun Bersihlah dulu di dalam sebelum Bersih di luar.




Sabtu, 25 Jun 2011

Mahkamah: Video tulen

TRIO Datuk T telah mengaku bersalah atas tuduhan penayangan secara terbuka video seks yang dikatakan menyerupai Ketua Pembangkang dengan seorang wanita Cina. Mahkamah Majistret telah menjatuhi hukuman denda terhadap mereka.

Dalam kandungan fakta kes juga disahkan bahawa video tersebut adalah tulen dan tidak ada pertindihan gambar. Ia juga disahkan oleh dua pakar dari Amerika Syarikat.

Sekarang mahkamah telah pun mengesahkan dan membuat keputusan berkaitan video tersebut. Terpulanglah pada orang ramai untuk membuat penilaian dan kesimpulan. Ada yang menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Tidak kurang juga yang menolak dan memberi pelbagai pandangan  dan tuduhan yang negatif.

Soalnya sekarang, mahkamah sebagai suatu institusi tertinggi negara yang bebas dari segala fahaman bukan mudah boleh diperalatkan oleh sesiapa. Kita perlu yakin dan percaya tanpa rasa ragu.

Pihak pembangkang sendiri telah menunjukkan bahawa mereka juga masih yakin dengan proses perundangan negara di mana banyak kes-kes saman melibatkan mereka dan kerajaan. Kes saman terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan berkaitan royalti minyak, kes saman malu terhadap Utusan Melayu dan sebagainya membuktikan bahawa mereka masih yakin dengan proses mahkamah dalam negara.

Dan kerap kali pihak pembangkang banyak menang dalam kes-kes saman malu mereka terhadap kerajaan. Kes terbaru melibatkan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar lawan Utusan. Dalam konteks ini pihak pembangkang tidak boleh selektif dalam menilai sesuatu kes.

Adalah tidak adil sekiranya sesuatu kes itu tidak berpihak pada mereka, maka akan timbul berbagai tuduhan bahawa mahkamah tidak adil dan bebas.

Justeru keputusan mahkamah majistret melibatkan Trio Datuk T dan kesahihan video seks tersebut perlu diterima dengan baik oleh semua pihak. Tidak perlulah timbul lagi berbagai tohmahan tentang keputusan tersebut.

Malah diharap proses mahkamah seterusnya akan berjalan lancar dalam mendakwa pelaku dalam video tersebut serta laporan palsu yang dibuat oleh pelaku tersebut yang mendakwa beliau difitnah.

Tidak kira apa pendapat umum tentang kes ini, tetapi kebenaran akan muncul juga lama kelamaan. Kebenaran tidak boleh disembunyikan sepanjang masa, ia akan terdedah akhirnya.

Siapa sebenarnya pembohong ? Inilah satu persoalan yang cukup menarik perhatian ramai. Tetapi bagi salah seorang dari Trio Datuk T itu pelaku dalam video seks tersebut bukan lagi "mirip" seorang tokoh, bahkan ia adalah sah sebagaimana dituduh.







.

Antara Bersih dan kumpulan Baju Merah

PERHIMPUNAN Bersih yang dirancangkan pada 9 Julai ini mengingatkan kembali pergolakan politik yang berlaku di Thailand antara kumpulan baju merah dan baju kuning. Krisis ini mula berlaku pada 2009 hinggalah ke hari ini.

Baju merah yang dipimpin oleh pemimpin pembangkang, Jatuporn Promphan, merupakan penyokong kuat bekas Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra yang digulingkan pihak tentera.

Sejak Thaksin dijatuhkan puak baju merah telah berarak dan berdemonstrasi di jalan-jalanraya menuntut jawatan Thaksin sebagai Perdana Menteri dikembalikan. Sebahagian besar para penyokong baju merah terdiri dari golongan berpendapatan rendah datangnya dari kawasan luar bandar dan pendalaman.

Manakala puak baju kuning pula mewakili kelas atas dan pertengahan. Ia juga kelihatan disokong pihak tentera yang diketahui tidak sebulu dengan Thaksin.

Baju merah dan kuning sering berarak dan berdemonstrasi silih berganti di bandar-bandar besar termasuk kota Bangkok sejak 2009 hingga tahun lepas. Mereka berkhemah dan berkampung beramai-ramai di jalan-jalanraya membuat tuntutan masing-masing.

Baju merah menuntut agar diadakan pilihanraya semula dan mengembalikan demokrasi yang dianggap mereka telah dicabuli pihak tentera. Mereka juga menuntut pemimpin mereka Thaksin dibebaskan dari tuduhan rasuah.

Puak baju kuning pula berprotes agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap baju merah yang mereka anggap sebagai menggugat dan mengancam kestabilan dan keamanan Thailand.

Kedua kumpulan ini telah bertempur dan saling menyerang antara satu sama lain di kota Bangkok tahun lepas semasa mereka berarak dan berhimpun dalam menyuarakan tuntutan mereka. Banyak yang cedera dan terkorban. Bangkok lumpuh dan banyak harta awam musnah mengakibatkan kerugian berjuta dollar. Para peniaga dan penduduknya berada dalam ketakutan dan Bangkok diisytihar perintah berkurung. Selepas kejadian itu statistik kemasukan pelabur asing jatuh menjunam. Sektor pelancongan yang memberi pendapatan besar pada negara gajah putih itu terjejas teruk.

Dan tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Thai peristiwa bangsanya sanggup menyerang dan mencederakan sesama sendiri seperti apa yang berlaku antara baju merah dan kuning itu.

Kini Thailand berada di ambang pilihanraya umum yang dijangka diadakan pada Julai ini. Apakah kemelut dan krisis politik antara dua kumpulan ini dapat diatasi ?

Perdana Menteri Thai, Abhisit Vejjajiva, dari Parti Demokrat kini menurut bancian agak ketinggalan dari Parti Puea Thai yang di ketuai Yingluck Shinawatra. Yingluck adalah adik kepada Thaksin yang kini berada dalam buangan di Dubai.

Menurut agensi berita asing, pihak tentera kini sedang memerhati perkembangan ini dengan teliti. Mereka khuatir jika Yingluck yang mendapat sokongan dari baju merah menang dan menjadi Perdana Menteri, Thaksin akan kembali dan diampunkan. Pihak tentera tidak senang dengan perkembangan ini.

Apakah tentera akan masuk campur sekali lagi sebagaimana yang berlaku terhadap Thaksin ? Bagaimanapun, seorang pemimpin tinggi tentera Thai baru-baru ini telah pun memberi amaran seluruh rakyat Thai agar bijak memilih kerajaan bagi memastikan kestabilan dan keamanan negara dipertahankan.

Semoga peristiwa pertembungan antara baju merah dan kuning yang mengakibatkan kematian sesama bangsa tidak akan berlaku di negara kita. Ia perlu dijadikan ikhtibar dan teladan. Berhimpun dan berarak beramai-ramai boleh mencetus emosi dan membangkit semangat serta sensitiviti yang sukar dikawal jika tidak berhati-hati.

Wakil-wakil NGO, parti pembangkang, Perkasa malah Pemuda UMNO telah pun menyuarakan akan menghadiri perhimpunan Bersih ini pada 9 Julai. Pihak polis dan keselamatan perlu waspada dan berhati-hati. Ibarat pepatah, "api kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan." Harap api yang bernyala itu tidak menjadi besar dan melarat.

- Catatan ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah, keluaran 1-7 Julai 2011.

.

Jumaat, 24 Jun 2011

Lot Bazaar Ramadan jadi rebutan

MAJLIS Bandaran Petaling Jaya (MBPJ) telah mengeluarkan borang untuk permohonan lot bazaar ramadan di sekitar kawasan Petaling Jaya beberapa hari yang lalu. Lebih kurang 1,559 borang permohonan telah habis dijual dalam masa tiga jam. Setiap borang dijual dengan harga RM5..

Kebanyakan orang ramai telah menunggu sejak dari awal tiga pagi lagi untuk mendapatkan borang tersebut. Ia dijual di dua lokasi iaitu di stadium PJ dan Kompleks Sukan Kelana Jaya bagi mengelakkan kesesakkan dan insiden tolak menolak seperti mana berlaku pada tahun lepas.

Menurut pegawai MBPJ, borang ini mesti dikembalikan selewatnya akhir bulan ini. Dan para pemohon mesti membayar antara RM145 dan RM365 bergantung pada jenis perniagaan yang akan dijalankan. Semua borang mempunyai cop mohor dan siri nombor untuk mengelak dari penipuan.

Namun banyak juga yang kecewa kerana gagal mendapatkan borang tersebut. Ruang lot bazaar agak terhad sedangkan orang yang memohonnya lebih tiga atau empat kali ganda. Sudah tentu banyak yang tidak berjaya memenuhi hajat untuk berniaga menambah pendapatan di bulan puasa nanti.

Kita berharap tidak akan berlaku kejadian seperti tahun lepas di mana banyak mereka yang berjaya mendapatkan lot bazaar itu menjual atau menyewakan pada pihak ketiga bagi mendapatkan keuntungan segera dan mudah. Ada yang menyewakan atau menjual lot tersebut hingga mencecah RM10,000.

Apa yang peliknya, ada yang sanggup membayar dengan harga yang mahal sedangkan perniagaan yang akan dijalankan hanyalah sebulan. Barangkali, sesetengah peniaga itu ingin mempromosi atau memperkenalkan terutamanya resipi atau produk makanan yang baru dihasilkan. Tempat seperti ini memang sesuai kerana ia menjadi tumpuan orang ramai.

Tetapi pihak berkuasa tidak boleh terlepas pandang dan bertindak pada mereka yang menyalahkgunakan lot-lot bazaar tersebut. Ia mestilah diberikan kepada mereka yang "geniune" untuk berniaga. Adalah tidak adil sekiranya perkara ini berlaku kerana banyak lagi di luar sana yang mampu tetapi tidak berjaya mendapatkan lot-lot tersebut.

Inilah beberapa sifat dan sikap sebahagian kecil para peniaga melayu yang mahu mengaut keuntungan secara mudah dan cepat. Pihak berwajib haruslah memastikan perkara ini tidak berlaku lagi. 



.













.

Rabu, 22 Jun 2011

Skuad Olimpik negara jangan terlalu yakin

HARIMAU MUDA akan bertemu Lubnan esok (Khamis, 23 Jun) dalam perlawanan timbal balik pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.  Kedua pasukan telah seri tanpa jaringan di Beirut Ahad lalu.

Keputusan di Beirut telah memberi sedikit kelebihan pada pasukan negara sebelum pertemuan malam esok. Namun permainan masih lagi berbaki 90 minit dan peluang kedua pasukan masih terbuka. Pasukan negara tidak boleh terlalu yakin dan memandang rendah pasukan Lubnan kerana mereka juga bersemangat untuk mengatasi Malaysia.

Kita perlu ingat mereka hanya memerlukan seri bagi melangkah seterusnya ke pusingan ketiga. Peraturan menjaringkan gol di tempat lawan memberi kelebihan pada pasukan pelawat.

Justeru itu pasukan negara perlu mencari gol awal bagi memberi lebih tekanan pada pasukan pelawat. Jurulatih Lubnan, Samir Saad telah memuji prestasi pasukan negara pada perlawanan lalu, baginya pasukan Harimau Muda lebih berdisiplin ketika menyerang dan cepat turun ke bawah untuk bertahan.

Bagi jurulatih negara pula, Ong Kim Swee, dia akan mengarahkan para pemainnya melipatgandakan usaha menyerang ke kubu lawan dan dalam masa yang sama turun ke bawah bertahan. Dalam tempo permainan beginilah, mana-mana pasukan melakukan kesilapan akan menerima padah.

Penjaga gol dan ketua pasukan Harimau Muda, Khairul Fahmi, perlu mengambil iktibar dari perlawanan final Piala FA antara Kelantan-Trengganu yang lalu yang menyaksikan Kelantan yang mendahului 1-0 boleh tumpas dalam masa kecederaan. Semangat juang dan tidak putus asa walaupun ketinggalan 0-1 yang dipamerkan pemain-pemain Trengganu perlu dijadikan contoh.

Dalam permainan bolasepak mendahului pihak lawan dengan hanya satu gol belum menjaminkan apa-apa. Lebih-lebih lagi dalam perlawanan malam esok, keputusan seri 1-1 sudah memadai bagi Lubnan menyingkirkan pasukan negara dari Sukan Olimpik 2014.

Malaysia telah layak ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1972 dan 1980. Tahun 1972 di Munich dan 1980 di Moscow. Bagaimanapun, Malaysia tidak ikut serta sukan itu di Moscow kerana kerajaan Malaysia pada masa itu telah memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Kali ini tentulah pasukan Olimpik negara berazam  ingin melakar sejarah bagi meneruskan ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik dan mengulangi sejarah gemilang bolasepak negara 31 tahun dahulu. Peluang untuk menang malam esok tetap cerah dan tidak boleh dipersiakan begitu sahaja.

Semuanya terletak pada para pemain agar bersemangat dan berdisiplin semasa berada di padang. Dan paling penting para pemain mesti mengelakkan dari bermain secara kasar bagi terhindar dari diberi kad merah dan seterusnya dibuang padang.

Jika ini berlaku ianya akan menambahkan lagi tekanan pada para pemain dalam buruan mencari kemenangan. Pemain mesti mencari gol awal dan berdisiplin bila turun bertahan serta tidak melakukan kesilapan.

Selasa, 21 Jun 2011

Krisis kewangan di Sepanyol

RAKYAT Sepanyol terdiri dari berbagai golongan termasuk pemuda, pesara, penganggur dan ibu-bapa yang membawa anak kecil dalam kereta sorong berkumpul dan menunjuk perasaan di bandar-bandar besar sebagai bantahan dan mengutuk kerajaan akibat pemotongan perbelanjaan yang memeritkan kehidupan mereka.

Lebih 100,000 penunjuk perasaan membanjiri jalanraya di Sepanyol semalam mengutuk tokoh perbankan dan ahli politik yang didakwa menyebabkan krisis kewangan tersebut.

Mereka menggelarkan  diri mereka sebagai "golongan yang marah" memprotes kegagalan kerajaan menangani masalah pengangguran yang tinggi dan kelemahan kerajaan membanteras rasuah.

Di Madrid seramai 40,000 orang membanjiri di jalan-jalanraya. Manakala di bandar raya kedua terbesar Sepanyol, Barcelona, seramai 50,000 orang keluar memprotes dan beribu-ribu lagi penunjuk perasaan berhimpun di bandar-bandar lain.

Apa yang berlaku di Sepanyol ini sama seperti yang menimpa Greece tidak lama dulu, di mana negara itu muflis dan terpaksa meminta bantuan dari negara-negara Eropah. Kini Greece berjaya menyelamatkan sistem kewangannya dari kemusnahan bila ia mendapat bantuan dan dana sebanyak 12 billion euro (RM516 bilion) dari Kesatuan Eropah dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Krisis yang berlaku di Sepanyol ini tidaklah seteruk negara Greece. Ianya baru diperingkat permulaan. Sekiranya kerajaan Sepanyol gagal mengambil langkah-langkah yang berkesan seperti langkah berjimat cermat dan pemotongan bajet yang telah mendapat tentangan dari rakyat itu krisis ini akan bertambah buruk.

Cuma apa yang membingungkan kita di rantau ini ialah tentang perbelanjaan dan kemewahan dunia sukan bolasepak mereka yang menelan belanja berjuta euro hanya untuk mendapatkan khidmat seorang pemain. Malah yuran perpindahan dan gaji seseorang pemain boleh mencecah berpuluh juta euro bersamaan beratus juta ringgit. Ada sebilangan pemain menerima gaji secara mingguan yang mencecah RM300,000 untuk seminggu !

Jika kita membuat perbandingan kehidupan para pemain profesional ini yang serba mewah dengan keperitan kehidupan sebahagian besar rakyat tentunya tidak masuk akal. Lebih-lebih lagi pihak kerajaan terpaksa berjimat dan memotong bajet mereka.

Tidak adakah perancangan dari seluruh persatuan bolasepak dunia bagi mengkaji dan mereformasikan soal gaji dan yuran perpindahan pemain-pemain profesional dunia yang kini mencapai angka tidak munasabah dan boleh disifatkan sebagai gila !

Salahkah jika kita mengatakan antara punca krisis kewangan di negara-negara Eropah adalah berpunca dari bajet kewangan kelab-kelab bolasepak yang "over stretched" dalam pengurusan kewangan mereka. Sanggupkah pemain seperti Ronaldo dan Messi memotong gaji ?














.

Isnin, 20 Jun 2011

Pembantu rumah Indonesia lulus Diploma

DALAM akhbar New Straits Times dan Berita Harian (20 Jun) melaporkan seorang pembantu rumah Indonesia, Sarmini Muhyadi, 28, telah berjaya menamatkan pengajiannya dengan memperolehi Diploma dalam bidang pengurusan dari Universiti Terbuka Malaysia.

Kejayaan Sarmini ini adalah di atas bantuan dan dorongan dari majikannya seorang pensyarah Tan Choo Tang, 56, dan isterinya, Wee Phooi Khuan, 47. Sarmini telah mendaftar dan mula pengajian di universiti tersebut sejak 2007.  Dan hari ini dia telah berjaya menamatkan pengajiannya dengan memperolehi Diploma.

Menurut majikannya, Sarmini seorang pekerja yang baik dan tugasnya ialah memasak dan mengurus rumah serta melayan empat orang anaknya. Sarmini berasal dari Kampung Banyumas, Jawa Tengah.

Beliau datang ke Malaysia mencari pekerjaan membantu keluarganya, di samping bercita-cita menyimpan duit untuk melanjutkan pelajarannya yang terbantut di negaranya. Beliau bercita-cita menjadi seorang guru.

Setelah majikannya mengetahui impiannya untuk melanjutkan pelajaran, mereka telah tampil membantu menampung separuh dari kos pengajiannya. Manakala empat orang anak mereka pula membantu Sarmini belajar bahasa Inggeris dan menggunakan komputer.

Kini setelah lulus dia akan pulang ke kampung halamannya dan memenuhi cita-citanya menjadi seorang guru. Bagi keluarga Tan pula mereka akan merasai kehilangan Sarmini dan menganggap sukar untuk mencari penggantinya setelah ia bersama dengan keluarganya begitu lama.

Begitulah secebis kisah benar yang berlaku dalam masyarakat kita. Setelah sebelum ini berbagai kisah negatif dan memilukan tentang nasib malang yang menimpa pembantu-pembantu rumah Indonesia yang bekerja di negara kita.

Bermacam kes penderaan sehingga menyebabkan kematian seolah-olah semua majikan di negara kita bersifat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Sehingga kes-kes sebegini telah menimbulkan kemarahan dan emosi rakyat negara jiran. Malah telah menggugat hubungan kedua negara yang serumpun itu.

Bagi rakyat Indonesia pula mereka perlu memahami setiap kes penderaan yang terjadi adalah diluar kawalan pihak berwajib. Namun setiap kes yang timbul pihak polis akan menyiasat dan memberkas pelakunya dengan kadar yang segera dan pantas.

Kisah keluarga Tan dan pembantu rumahnya Sarmini merupakan satu teladan hubungan yang harmonis tanpa mengira bangsa dan darjat, malah memperlihatkan sifat-sifat penyayang dan kemanusiaan yang perlu dicontohi semua.

Bagi rakyat dan negara Indonesia, mereka tidak perlulah memprotes dan membantah setiap kali kes penderaan melibatkan rakyatnya. Seperti kata Dutanya apa yang berlaku adalah diluar kawalan dan paling penting pihak polis cepat mengambil tindakan.

Ahad, 19 Jun 2011

Peranan masyarakat yang prihatin

DALAM akhbar harian beberapa hari yang lalu melaporkan seorang bapa berusia 40an dijatuhi hukuman denda RM 1,000 dan penjara di atas kesalahan mencuri di sebuah pasar raya.

Antara barang yang dicuri ialah tiga jenis aiskerim yang berjenama bernilai tidak lebih dari RM 13. Menurut berita itu lagi, dia mencuri kerana tidak tahan melihat anaknya yang masih kecil merengek dan menangis mahukan aiskerim tersebut. Oleh kerana dia tidak berduit dan tidak sampai hati melihat anaknya terus menangis, lalu ia ambil saja aiskerim tersebut tanpa membayarnya. Dia dan anaknya ditahan oleh pegawai keselamatan di pintu keluar pasar raya tersebut.

Apakah yang dapat kita simpulkan dari kes seorang bapa dan anaknya yang tidak mengerti apa-apa seperti cerita di atas ?

Apakah si bapa itu benar bersalah dan seharusnya dihukum ?  Apakah salah seorang bapa yang mempunyai nilai-nilai kasih sayang dan kemanusiaan itu sanggup melakukan apa saja hanya memenuhi keinginan anaknya ?

Haiwan yang tidak punya akal pun tidak akan membiarkan anaknya menangis kelaparan. Inikan manusia.

Perbuatan mencuri tetap salah dan dia sudah pun menerima hukumannya. Tetapi kita hidup bermasyarakat dan beragama perlulah lebih prihatin dan peka dengan apa yang berlaku disekeliling kita lebih-lebih lagi saudara dan jiran tetangga.

Kita bertanggungjawab dan berperanan melahirkan sebuah masyarakat yang prihatin dan penyayang. Ini baru satu kes yang diketahui dan kita percaya masih banyak, malah beribu kes seumpamanya yang tidak didedahkan dan diketahui seluruh negara.

Kalaulah semua anggota masyarakat bersifat kasih sayang dan sikap ambil peduli tentunya si bapa dan anak kecilnya itu tidak akan malang nasibnya. Bayangkan kerana hanya aiskerim bernilai RM 13 si bapa ke penjara dan entah apa pula nasib si kecil itu.

Ironinya, di negara kita tokoh-tokoh politik dan koporat yang melakukan rasuah dan menyalahkan dana awam yang mencecah RM berjuta-juta, malah berbillion-billion, masih mampu terbang ke sana ke mari dengan wang jaminan di mahkamah. Sering pula kes-kes mereka bertangguh hingga bertahun-tahun lamanya.

Tidak kejamkah dunia ini ? Di manakah ertinya keadilan dan erti permainan di atas padang sama rata ?

Wahai sekalian ahli-ahli politik kerajaan mahupun pembangkang, hentikan segala laungan dan slogan kamu tentang Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan dan konsep negara Islam berstatus kebajikan sekiranya masih ada segelintir rakyat mengalami nasib malang seperti dua beranak itu.

Kempen dan slogan hanya sebuah ilusi sekiranya ia tidak sampai ke bawah dan akar umbi.

Barangkali, bagi orang politik ini adalah kes yang terpencil. Tetapi jangan lupa apa yang telah menimpa Zen Abideen Ali di Tunisia. Ia jatuh tersungkur dan api revolusi bermula gara-gara seorang pemuda membakar dirinya kerana kecewa menganggur dan kesempitan hidup. Kerana pemuda Tunisia itu habis menular ke negara-negara Arab yang lain. Mesir dan Hosni Mubarak adalah mangsanya yang pertama. Yang lain-lain sekarang ibarat telor dihujung tanduk.

Perbandingan negara ini dengan negara-negara Arab tersebut mungkin tidak adil dan tepat kerana keadaan di negara kita lebih baik dan tidaklah seburuk mereka. Tetapi kita perlu beringat dan tidak lalai bila berada di zon selesa kerana ia boleh membawa padah.

Hanya kerana selesalah Zen Abideen Ali , Mubarak dan kini Abdullah Salleh terpaksa pergi meninggalkan keselesaan mereka selama 30 tahun yang mereka kecapi. Kini giliran Gaddafi dan Assad.

Sabtu, 18 Jun 2011

Siapa Maharaja Lawak ?

PROGRAM Maharaja Lawak sudah sampai ke peringkat final Jumaat ini. Empat peserta yang layak ke final terdiri dari Jambu, Sepah, Jozan dan Nabil.

Kumpulan Jambu bernasib baik dapat ke final setelah ia terkeluar minggu lalu. Dengan kuasa yang ada pada pihak juri atau immunity, Jambu dipilih semula ke final.

Sebelum ini Jambu merupakan peserta yang terbaik persembahannya, namun agak merosot di akhir program ini. Barangkali, sudah kering idea agaknya kerana mereka perlu memerah otak saban minggu melakukan persembahan.

Mencari idea dan memerah otak untuk membuat orang ketawa bukanlah kerja yang mudah. Tetapi empat kumpulan ini yang terdiri dari anak-anak muda memang cukup berbakat dan masing-masing mempunyai gaya yang tersendiri.

Nabil pula besar cabarannya kerana beliau peserta solo, manakala yang lain berdua dan bertiga. Ertinya, Nabil keseorangan dalam mencari idea sedangkan Jambu, Jozan dan Sepah boleh berkongsi fikiran mencari ilham dan sebagainya.

Nabil dan Jozan pula adalah pelawak yang sudah menempah nama kerana mereka mempunyai program atau show mereka sendiri di tv. Ini membuatkan mereka lebih tertekan jika dibanding peserta lain. Sepah walaupun sudah popular tetapi mereka masih baru dalam bidang ini.

Tetapi persembahan Sepah sungguh unik dan mampu mengancam kedudukan Nabil dan Jozan. Dalam final nanti memang sukar untuk diramalkan siapa yang akan dinobatkan sebagai Maharaja Lawak.

Kalau hendak dikira dari segi senioriti, maka Sepah adalah kumpulan paling junior dari empat peserta final itu. Namun peluang Sepah untuk bergelar juara adalah seimbang, malah boleh mengalahkan peserta yang lebih senior seperti Jozan, Jambu dan Nabil.

Seperti kata Saiful Apek, salah seorang juri, "Sepah tak habis-habis", setiap kali menilai persembahan mereka.

Apapun yang berlaku di final Jumaat ini kehadiran anak-anak muda ini dalam industri hiburan, khasnya bidang komedi telah memeriahkan lagi dunia lawak jenaka yang sebelum ini agak ketandusan para pelawak yang berbakat.

Siapakah akan bergelar Maharaja Lawak yang julung kali ini ?

Jawabannya hanya pada khidmat pesanan ringkas atau SMS dan para juri Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek.

Jumaat, 17 Jun 2011

Malaysia lawan Myanmar di Kota Bharu

ESOK ( 18 Jun ) skuad bolasepak Malaysia akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Myanmar di Stadium Sultan Muhammed ke 1V, Kota Bharu. Inilah julung kali pertama perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan kebangsaan diadakan di sini.

Pemilihan bermain di Kota Bharu adalah satu penghormatan kepada penyokong setia Kelantan, The Red Warriors dan rakyat negeri Kelantan khasnya. Inilah peluang terbaik bagi para peminat untuk menyaksikan dengan lebih dekat aksi para pemain kebangsaan yang selama ini hanya berkampung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Saya secara peribadi, sudah tidak menjejaki ke dalam Stadium Muhammed, Kota Bharu lebih kurang hampir 10 tahun. Ini bukan apa kerana sejak usia semakin meningkat dan berkeluarga, "nafsu" untuk ke stadium tidak begitu ghairah seperti mana semasa muda remaja dulu.

Semasa saya masih dibangku sekolah dulu, boleh dikatakan tidak ada perlawanan yang saya "miss". Semua perlawanan saya tengok dan menjadi pengunjung yang setia stadium Sultan Muhammed ke 1V. Tetapi sekarang, dah tak larat !

Pengalaman yang tidak boleh saya lupa ialah merasai bom asap pemedih mata oleh pasukan FRU dalam tahun 1970an semasa Kelantan lawan Perak di suku akhir Piala Malaysia. Dalam perlawanan tersebut telah berlaku insiden para penyokong Kelantan menyerbu ke dalam padang dan menyerang serta memukul pengadil kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Ingatan saya masih segar tentang peristiwa tersebut di mana semasa itu Menteri Belia dan Sukan, Allahyarham Tan Sri Samad Idris yang berada di atas pentas ( masa itu belum ada Astaka ) telah diselamatkan oleh para pegawai polis ke dalam kereta.

Ada setengah penonton membawa anak-anak kecil menangis ketakutan. Saya pula meniarap sambil menutup muka dengan baju bagi melindungi asap yang memedihkan mata itu.

Akibat insiden itu semua perlawanan di Kota Bharu digantung dan perlawanan ulangan antara Kelantan dan Perak diadakan semula dalam tempoh yang tidak begitu lama.

Itu cerita lama hampir 30 tahun dahulu. Kini bila pasukan Malaysia akan bertemu Myanmar di Kota Bharu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, maka tergerak juga hati untuk pergi menontonnya.

Pertamanya, ini melibatkan pasukan kebangsaan Malaysia dan kedua saya kesian anak lelaki saya yang kini berusia 17 tahun begitu minat sangat tentang bolasepak. Tempoh hari bila Kelantan lawan Trengganu dalam final Piala FA di Kuala Lumpur saya melarangnya mengikuti rombongan para penyokong menaiki bas untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Saya sarankan padanya menonton saja di tv; ia selamat dan menjimatkan.

Anak saya ini mudah berkira, dia ikut saja cakap saya. Tetapi baru-baru ini bila dia merayu pada saya mahu menonton perlawanan Malaysia-Myanmar di Kota Bharu, saya menjadi keberatan dan serba salah. Oleh kerana tidak mahu melukakan hatinya, saya sanggup saja.

Dan kelmarin saya telahpun menempah dua keping tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut bersamanya. Tetapi kesanggupan saya bersyarat; perlawanan akan datang tengok saja saluran Astro 801 di rumah. Ia lebih selesa dan selamat. Dia bersetuju.

.

Rasuah bolasepak

BEBERAPA individu telah pun dihadapkan ke mahkamah di atas tuduhan memberi rasuah dan mengatur perlawanan. Antara yang terlibat ialah beberapa orang jurulatih dan seorang warga asing yang bertindak sebagai bookie.

Setakat ini siasatan polis mendapati ianya hanya melibatkan perlawanan dalam Piala Presiden. Tidak pasti adakah gejala rasuah dan mengatur perlawanan melibatkan lebih banyak pemain dan pasukan-pasukan lain. Semuanya masih dalam siasatan.

Kita berharap gejala ini tidak merebak begitu jauh dan serius. Semoga kes ini setakat yang telah dilaporkan sahaja. Kalaulah ada lagi kes-kes baru yang terbongkar dan melibatkan banyak lagi pemain, maka alamatnya sukan bolasepak negara akan mengalami zaman hitam sekali lagi.

Apa yang menjadi persoalannya; bagaimana kes ini boleh melibatkan seorang warga Singapura ? Kita berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan terperinci dan menyeluruh.

Apakah ada elemen atau unsur sabotaj dari anasir luar untuk mendiskredit dan menghancurkan imej bolasepak tanahair ?

Setakat ini memang tidak ada bukti ke arah itu, tetapi pihak polis mesti menyiasatnya ke akar umbi agar rakyat negara ini mendapat gambaran sebenar. Bukan mustahil ada pihak yang cemburu dengan perkembangan positif sukan bolasepak negara kebelakangan ini.

Segala pencapaian pasukan negara akhir-akhir ini boleh hancur musnah sekelip mata gara-gara rasuah ini. Kita berharap benar tidak ada pemain sama ada pasukan Harimau Malaya atau Harimau Muda terbabit.

Sukan bolasepak negara telah jatuh merudum begitu teruk dalam 20 tahun kebelakangan ini. Dan ia mulai kelihatan bangit kembali setahun dua ini. Ia memberi petunjuk positif dan sinar harapan yang menggunung dari peminat-peminat bolasepak tanahair yang masih bernostalgia dengan zaman Ghani Minhat dan Mokhtar Dahari.

Bolasepak negara mempunyai masa depan cerah dan meriah. Tetapi dengan gejala rasuah ini ia boleh meranapkan segala impian para peminatnya. Lebih memilukan kalau didapati ada pemain-pemain kebangsaan yang terlibat.

Jika ini benar, maka negara akan mundur 20 tahun kebelakang sebagaimana dahulu dan tentu mengambil masa yang panjang untuk bangun semula. Pihak polis tidak boleh mengenepikan unsur dan anasir luar itu !

Rabu, 15 Jun 2011

Tony Blair baca Quran setiap hari

DALAM semua akhbar harian tempatan hari ini ( 15 Jun ) hanya Berita Harian dan Kosmo memetik laporan dari akhbar Britain, Daily Mail, tentang bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair mengaku yang beliau membaca kitab Al Quran setiap hari sebagai aktivitinya.

Tony Blair merupakan seorang yang cukup berpengaruh di dunia semasa menjawat sebagai Perdana Menteri Britain. Beliau dan George W. Bush adalah arkitek dan perancang utama pihak pakatan barat menakluk Iraq dan menghancurkan rejim Saddam Hussein.

Dengan hanya alasan Saddam Hussein menyembunyikan senjata nuklear, Blair dan Bush telah berjaya menakluk dan menghancurkan Iraq bagaikan padang jarak padang tekukur. Hingga kini Iraq terus bergolak bermandikan darah dan berantakan.

Saddam Hussein telah mati ditali gantung dan Iraq amat sukar untuk pulih seperti sediakala. Yang anehnya, senjata nuklear yang menjadi alasan dan punca tentera barat menceroboh  bumi Iraq tidak ditemui hingga kini.

Blair, setelah tidak lagi menjadi Perdana Menteri Britain, telah dilantik oleh PBB menjadi utusan damai Timur Tengah mewakili Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah serta Russia.

Menurut sumber itu lagi, sebagai utusan damai Timur Tengah, Blair telah membaca kitab Al Quran sebagai satu aktiviti bagi membantu beliau agar lebih memahami umat Islam dan pergolakan di Asia Barat itu.

Dan kesan dari pembacaan itu beliau mendapati dirinya lebih memahami mengenai iman dan Al Quran sebagai kitab yang memberikan perintah yang jelas dan panduan yang berguna. Beliau juga menyatakan iman umat Islam amat indah dan Nabi Muhammad adalah tokoh yang mendorong peradaban.

"Kitab Al Quran itu memberi arahan praktis mengenai pernikahan, wanita dan pemerintahan,"katanya.

Aneh dan takjub, dari seorang yang amat memusuhi dan membenci Islam, kini menjadi penelaah kitab suci itu yang tekun. Walaupun tujuan membaca kitab tersebut hanya untuk membantu dan memahami tugasnya sebagai diplomat Asia Barat, ianya telah mendorong beliau lebih memahami isi kandungannya serta agama Islam yang dipandang sebagai pengganas.

Berita tentang Tony Blair ini mengingatkan kembali kisah Sayidina Umar Al Khatab. Sebelum memeluk Islam, Umar merupakan seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau pernah mengugut akan memancung leher Nabi s.a.w. Ancaman ini diberikan kerana beliau begitu benci dan marah terhadap baginda.

Tetapi takdir Allah s.w.t dengan hanya alunan merdu suara adiknya membaca Al Quran, hati Umar menjadi lembut dan tertarik dengan agama yang dibawa baginda s.a.w.

Apakah Blair akan mengikut jejak Umar Al Khattab ? Kuasa Allah s.w.t tiada siapa yang tahu. KUNFAYAKUN !

Adik ipar Blair telah pun memeluk Islam dengan hanya terlibat dengan kerja-kerja amal di bumi Palestin. Kini beliau menjadi salah seorang sukarelawan Palestin yang tegar. Apakah tiba giliran Tony Blair pula unuk memeluk agama suci ini ?

Manusia boleh meramal, tetapi hanya Allah dapat menentukan suratan takdirnya.

Barangkali, hidayah Blair belum sampai, namun sekurang-kurangnya beliau telah membaca dan memahami isi kandungan Al Quran yang tidak pernah disentuhnya dahulu.

Bapa saudara Nabi, Abu Talib tidak mendapat hidayah hingga nafasnya terakhir. Semuanya adalah kudrat dan iradatNya.

Selasa, 14 Jun 2011

Masalah peniaga Pasar MPKB Kelantan

LEBIH 300 peniaga kecil di Pasar MPKB telah menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan dan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap layanan kerajaan negeri dalam menangani masalah mereka.

Pasar MPKB
Masalah para peniaga Pasar MPKB ini telah berlarutan begitu lama tanpa penyelesaian yang memuaskan kedua pihak. Mereka semuanya diarah berpindah ke tapak baru - Bazar Tok Guru kerana tempat perniagaan sekarang - Pasar Lama MPKB- telah pun diserahkan kepada pihak swasta untuk dimajukan.

Kebanyakan para peniaga tidak berpuas hati dengan Bazar Tok Guru yang dianggap sempit dan tidak selesa bagi menjalankan perniagaan mereka. Mereka juga menuduh kerajaan negeri telah memungkiri janji semasa diawal pembinaan Bazar tersebut; termasuk harga dan keluasan lot.

Para peniaga yang berniaga di Pasar MPKB ini boleh dikatakan 100 peratus terdiri dari orang-orang melayu. Sebahagian besar mereka telah berniaga begitu lama berpuluh tahun dan ada yang secara turun-temurun lagi. Di sinilah tempat mereka mencari rezeki dan termasuk dalam golongan peniaga kecil.

Di tingkat atas menempatkan beratus peniaga kain dan di bawahnya kedai kopi. Kedudukan pasar ini begitu strategik kerana ia terletak ditengah pusat bandar dikelilingi stesen bas dan stesen teksi. Ia menjadi tumpuan para pelancong dan tempatan.

Kedudukan Bazar Tok Guru pula agak terkeluar sedikit dari zon tumpuan orang ramai. Walaupun bangunannya kelihatan gah dan cantik, tetapi kemungkinan dari segi strategik ia tidak sama dengan Pasar Lama MPKB.

Inilah barangkali beberapa faktor menyebabkan para peniaga ini begitu liat untuk berpindah. Namun atas alasan apa pun mereka sudah tidak ada pilihan kerana Pasar Lama MPKB telah pun dijual kepada pihak swasta.

Di sudut undang-undang kerajaan negeri tidak akan kalah. Cuma yang menimbulkan masalah sekarang ialah bagaimana kerajaan negeri menangani dan memenuhi permintaan para peniaga yang tidak berpuas hati. Sekiranya ia tidak diselesaikan dengan memuaskan semua pihak ia boleh menjejaskan nama parti dan kerajaan yang memerintah.

Ini pun sehingga kini imej kerajaan negeri telah terjejas dengan isu ini lebih-lebih lagi timbul pula masalah lot-lot kedai di Bazar Tok Guru telah pun diberikan kepada kroni-kroni tertentu. Mereka mendesak kerajaan negeri melakukan pengundian semula dalam pembagian lot-lot kedai tersebut.

Kerajaan negeri perlu berhati-hati dalam menyelesaikan masalah para peniaga ini. Kerana mereka ini mewakili kelas atas pertengahan dan merupakan sebahagian besar nadi usahawan dan perekonomian orang-orang melayu di Kelantan. Di Pasar Lama inilah merupakan pusat perniagaan dan belibelah tumpuan dalam dan luar negeri.

Jika keadaan perniagaan dan ekonomi mereka terjejas, maka ia akan memberi kesan secara keseluruhan terhadap kegiatan ekonomi orang-orang melayu di negeri ini.

Apa yang berlaku terhadap Pasar Buluh Kubu tidak harus berulang. Pasar Buluh Kubu, suatu masa dulu merupakan tempat membeli-belah paling maju dalam bandar Kota Bharu. Tetapi kini para peniaga disitu seperti "hidup segan mati tidak mahu" kerana para pelancong dan orang ramai tidak lagi berkunjung ke situ lantaran pelan bandar dan sistem trafik yang dikuatkuasakan Majlis Perbandaran tidak mesra orang ramai bagi memudahkan para pengunjung.

Kebanyakan peniaga di Pasar Buluh Kubu dahulunya begitu mewah, tetapi kini hendak bayar sewa kedai pun tidak lepas. Mereka suatu masa dulu pernah mengesa kerajaan negeri agar membantu mereka mengembalikan semula suasana Pasar Buluh Kubu seperti dahulu.

Baik peniaga di Pasar MPKB dan Pasar Buluh Kubu mereka semua adalah majoriti orang-orang melayu Kelantan yang terlibat dalam bidang ekonomi bangsa. Kerajaan negeri perlu serius mencari jalan penyelesaian terhadap nasib masa depan mereka.

Berpolitik secara berlebih-lebihan tidak memberi sebarang makna, sekiranya nasib para peniaga yang terdiri dari bangsa melayu dan Islam tidak terbela.


-Catatan ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah, keluaran 24-30 Jun 2011.

.












Isnin, 13 Jun 2011

Dr Hassan Ali digugurkan

PESURUHJAYA PAS Selangor Datuk Dr. Hassan Mohamad Ali digugurkan dan diganti dengan Dr. Abdul Rani Osman sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru dalam satu rombakan melibatkan empat negeri yang lain.

Dr. Hassan Ali merupakan bekas Naib Presiden PAS dan kini ialah salah seorang exco kanan kerajaan negeri Selangor. Beliau terpilih menduduki AJK pusat di muktamar baru-baru ini.

Dengan tidak memegang lagi jawatan sebagai Pesuruhjaya Negeri, apakah jawatan exco kerajaan yang disandang sekarang memberi kesan dan implikasinya ?

Dr. Hassan Ali pernah didesas-desuskan sebagai berminat dan bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid Ibrahim. Beliau juga adalah salah seorang tokoh yang begitu berminat bekerjasama dengan UMNO dalam isu kerajaan perpaduan.

Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz pernah memberi kata dua kepadanya agar keluar PAS dan sertai UMNO sekiranya beliau masih terlibat dalam isu kerajaan perpaduan.

Dr. Hassan Ali walaupun mempunyai imej agama, tetapi beliau lebih kelihatan sebagai seorang opportunis dalam parti. Semasa beliau menyandang jawatan Naib Presiden PAS, beliau tidak bertanding mempertahankan jawatan tersebut pada penggal kedua kerana popularitinya agak menurun dikalangan ahli parti.

Beliau yang terkenal dengan 'Summer Camp" dan seminar-seminar motivasi hingga kini, merupakan seorang usahawan dan mempunyai cita-cita politik yang besar. Dengan gugurnya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, apakah cita-cita politiknya akan terbantut ?

Dr. Hassan Ali sebelum menceburi bidang politik merupakan seorang pakar motivasi yang berjaya. Rasanya bidang politik tidak sesuai baginya jika dibandingkan dengan bidang motivasi dan usahawan.

Mustafa Ali kekal Setiausaha Agung PAS

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengumumkan Datuk Mustafa Ali kekal sebagai Setiausaha Agung PAS dan menamakan beberapa AJK tambahan dalam mesyuarat pertama kepimpinan baru parti itu setelah muktamar selesai minggu lalu.

Setelah dikejutkan dengan pemilihan tertinggi parti dengan kalahnya semua calon dari golongan ulama, ramai pemerhati menanti perlantikan Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2011-2013.

Datuk Mustafa Ali
Kerusi Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden telah disapu bersih dari golongan profesional. Calon-calon berimej ulama telah tewas dalam semua jawatan kecuali beberapa orang yang terpilih menduduki Ahli Jawatankuasa Pusat.

Justeru itu gambaran selepas muktamar ialah calon-calon profesional telah mendominasi jawatan-jawatan penting parti berbanding calon berimej ulama. Kedudukan calon ulama yang tewas seperti Nasharudin Mat Isa, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Idris Ahmad menjadi perhatian.

Dengan terpilihnya Tuan Ibrahim sebagai Ketua Penerangan yang baru dan perlantikan Nasharudin dan Idris Ahmad sebagai AJK pusat memberi sedikit imbangan antara ulama dan profesional dalam menentukan dasar-dasar parti.

Lebih-lebih lagi kekalnya Datuk Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung, kerana beliau dianggap sebagai "Presidents Men".  Mustafa Ali adalah orang yang memain peranan penting dalam isu kerajaan perpaduan yang mendapat kecaman hebat dari Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Dengan perlantikan AJK sesi 2011-2013 ini membuktikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih mempunyai pengaruh dan kuasa penentu dan tidak tunduk dengan Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden yang terdiri dari kem profesional.

Golongan profesional tentunya lebih cenderung untuk mengambil calon mereka menjawat sebagai Setiausaha Agung yang baru. Tetapi dengan kekalnya Mustafa Ali dan Tuan Ibrahim sebagai Ketua Penerangan,  kuasa dan pengaruh Presiden dapat diimbangkan dari "serangan" kem profesional.

Pemilihan AJK yang baru adalah hak mutlak presiden. Dan Abdul Hadi telah pun menggunakan kuasa itu dengan sepenuhnya. Sekiranya jawatan-jawatan tadi diisi dari golongan profesional, maka orang akan melihat bahawa Presiden telah tunduk dengan tekanan dari Timbalan serta tiga Naibnya yang secara kebetulan bukan dari golongan ulama.

Pandangan seperti ini mungkin ditolak oleh parti. Namun hakikatnya selepas muktamar yang lalu ramai ahli kecewa dengan kegagalan calon ulama mendapat tempat. Seolah-olah Abdul Hadi, sebagai Presiden sendirian dikelilingi tokoh-tokoh profesional.

Itupun dalam mesyuarat cawangan Bukit Bintang, ahli telah mencadangkan jawatan Presiden dipertandingkan. Tetapi usul ini tidak mendapat sambutan kerana keseluruhan ahli masih lagi ingin menjaga imej presiden dari tercemar.

Abdul Hadi sedar akan hal ini dan sekiranya beliau tidak memperkemas kedudukannya dari sekarang bukan mustahil dua tahun lagi pada muktamar akan datang ada calon yang akan menentangnya bagi jawatan Presiden.

Sekarang pun baik dalam dan luar parti ramai yang mempersoalkan kepimpinan beliau yang dianggap tidak berkesan. Langkah beliau memilih dan melantik AJK baru, terutamanya Setiausaha Agung, adalah sebagai persediaan awal mengukuhkan kedudukannya dan paling penting bagi menghadapi saingan dari kem profesional bagi jawatan Presiden.

Tidak boleh dinafikan Datuk Mustafa Ali, Tuan Ibrahim, Nasharudin dan Ustaz Idris Ahmad yang baru dilantik menduduki AJK Pusat yang baru adalah merupakan calon-calon "The Presidents Men"..

Jangan tuding jari

EKORAN kekalahan Kelantan ditangan Trengganu dalam final Piala FA sudah timbul berbagai cemuhan dan tuduhan sebagai "kambing hitam" menjadi punca kegagalan pasukan The Red Warriors merampas piala tersebut.

Mereka yang dipersalahkan ialah pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaluddin, pemain yang telah menjaringkan gol sendiri dalam minit terakhir perlawanan dan jurulatih M.Karathu, yang dituduh silap strategi dalam pemilihan para pemain.

Seperti biasa dalam apa saja jenis sukan, bila mengalami kekalahan seolah-olah perlu mencari sesuatu untuk dikambinghitamkan. Dalam konteks ini, dari pihak pengurusan hingga para pemain Kelantan, mereka seharusnya pandang kehadapan dan tidak perlu lagi menoleh kebelakang.

Kelantan sekarang memiliki segalanya dan tumpuan harus ditumpukan pada dua baki perlawanan Liga Super. Sekiranya mereka berjaya mengutip mata penuh, mereka akan dinobatkan sebagai juara Liga Super dan memberi fokus sepenuhnya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Kekalahan dengan Sang Penyu sepatutnya menjadi dorongan dan motivasi lebih kuat dari para pemain untuk mencatat satu lagi sejarah dalam waktu terdekat ini. Memang moral para pemain kini berada ditahap yang cukup rendah akibat kekalahan Sabtu lalu.

M.Karathu telah pun berjanji akan meniup kembali semangat dan motivasi pemain bagi meneruskan cabaran yang sedang menanti di hadapan mereka. Pada kedudukkan sekarang, Piala Liga Super dan Piala Malaysia boleh dikira masih berada dalam jangkauan Kelantan. Cuma para pemain perlu fokus 100 peratus dan berjuang tanpa kenal putus asa bila berada di atas padang.

Semangat para pemain penyu yang tidak putus asa dan terus fokus walaupun permainan berbaki beberapa minit sahaja, sedangkan mereka ketinggalan 0-1 patut dijadikan contoh.

Mohd Daudsu telah pun meminta maaf diatas kesilapannya yang tidak disengaja itu. Jurulatih M.Karathu pula berjanji akan menebus kembali kekecewaan para penyokong Kelantan dengan memenangi Piala Liga Super dan seterusnya mempertahankan Piala Malaysia.

Kejayaan sesebuah pasukan adalah secara kolektif. Dan bila menemui kegagalan dan kekecewaan juga seharusnya dipikul bersama bukannya menuding jari dan mencari kesalahan pihak tertentu.

.

Ahad, 12 Jun 2011

Trengganu berhak julang Piala FA

TRENGGANU memusnahkan impian Kelantan dengan menewaskan jirannya itu dalam final Piala FA 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam perlawanan yang penuh dramatik.

Semangat tinggi, komited dan tidak putus asa adalah faktor yang memisahkan antara kedua pasukan tersebut untuk dinobatkan sebagai juara. Pasukan penyu telah mempamerkan persembahan yang mempunyai ciri-ciri tersebut.

Trengganu walaupun ketinggalan 0-1 sehingga minit ke 90 tidak patah semangat, malah terus mengasak ke kubu Kelantan yang sedikit selesa dan leka dengan perlawanan yang berbaki beberapa minit dalam masa tambahan. Usaha pasukan penyu berhasil hanya empat minit perlawanan akan berakhir melalui kesilapan pertahanan Kelantan untuk menyamakan kedudukkan 1-1.

Ketika Kelantan mendahului 1-0 sehingga minit akhir pasukan The Red Warriors itu kelihatan sudah meletakkan sebelah kakinya sebagai juara. Tetapi segalanya musnah akibat kelekaan barisan pertahanan sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Menurut jurulatih Kelantan, M.Karathu, gol penyamaan Trengganu telah "demoralised" seluruh pemainnya dan pemain-pemain Trengganu pula semakin bersemangat.

Bagi bekas jurulatih Kelantan dan kebangsaan, B.Satianathan, permainan separuh masa pertama tidak menarik dan hambar. Dalam separuh masa kedua baru ada gerakan dan persembahan yang menarik dari pemain-pemain kedua pasukan.

Menurut Sathia lagi, kedua pasukan banyak bermain bola tinggi dan hantaran jauh dan sepatutnya mereka banyak menggunakan hantaran-hantaran pendek dan mengamalkan penguasaan bola atau "ball possesion". Katanya lagi, dengan bermain bola tinggi dan hantaran jauh pemain cepat letih, sedangkan bola hantaran pendek para pemain tidak perlu banyak berlari. Ertinya, pemain yang bekerja atau bola yang bekerja..

Inilah kesilapan Kelantan ketika mereka mendahului sehingga ke minit akhir. Sepatutnya mereka lebih banyak menguasai bola dan menyimpannya. Tapi itulah bolasepak dengan mengatasi pihak lawan dengan hanya satu gol belum memadai. Hanya satu atau dua minit perlawanan akan berakhir boleh merubah segalanya, apatah lagi para pemain hilang tumpuan dan leka.

Kepada Trengganu, tahniah kerana berjaya menjuarai Piala FA buat kali kedua. Manakala Kelantan, mereka perlu bangkit dan menebus kekecewaan dengan merampas Piala Liga Super yang berbaki dua lagi perlawanan dan seterusnya mempertahankan Piala Malaysia yang dimilikinya musim lepas.

Hanya dengan menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia sahaja dapat mengubati para penyokong The Red Warriors yang berduka dengan kekalahan semalam..

Sabtu, 11 Jun 2011

Bryan Robson letak jawatan

BEKAS Ketua pasukan Manchester United dan England, Bryan Robson, telah meletakkan jawatan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Thailand setelah 21 bulan memikul jawatan tersebut. Robson memberi alasan kesihatan dan menegaskan beliau tidak akan kembali lagi dalam bidang pengurusan dan jurulatih.

Sepanjang berada di Thailand tugas beliau boleh dianggap gagal mencapai apa-apa kejayaan. Thailand sebelum ini adalah "gergasi" ASEAN dalam acara bolasepak. Kini kedudukkan negeri gajah putih itu jatuh 15 anaktangga dalam rangking FIFA ke tangga 120 di dunia. Mereka gagal mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA dan tidak layak ke pusingan akhir Asian Cup buat pertama kali dalam masa 23 tahun.

Ada sumber menyatakan pengunduran Robson berkait rapat dengan prestasi Thailand dan hubungan dinginnya dengan Presiden FA Thailand, Worawi Makudi. Bryan Robson juga membayangkan beliau akan kembali ke Manchester United sebagai "duta" sepenuh masa di kelab tersebut.

Penolong jurulatih kepada Robson, Steve Darby, juga telah mengambil langkah yang sama meletakkan jawatan. Steve Darby adalah bekas jurulatih Johor dan Perak dalam Liga Malaysia sebelum berhijrah ke Bangkok.

Khabar angin bertiup kencang yang beliau akan kembali ke Malaysia menjadi jurulatih pada pasukan negeri musim depan. Desas-desus mengatakan Selangor berminat untuk mendapat khidmat beliau. Tetapi ini banyak bergantung kepada prestasi K.Devan dan Selangor yang masih memburu Piala Liga dan Piala Malaysia yang kini berada dipenghujung musim ini.

Apa yang berlaku pada Bryan Robson dan pasukan kebangsaan Thailand patut menjadi teladan pada FAM. Sehebat mana sekali pun jurulatih import bukan jaminan kejayaan sesebuah pasukan. Semasa pasukan kebangsaan Thailand berada dipuncak kejayaan ia banyak dikendalikan oleh jurulatih tempatan.

FAM sendiri telah mengalaminya beberapa tahun dahulu. Siapa tidak lupa dengan nama-nama seperti Richard Bates, Frank Lord, Allan Harris, Bartalan Biski dan paling popular jurulatih Claude Le Roy dari Perancis. Antara mereka ada yang telah berkhidmat dalam masa yang lama dan setengahnya pula dalam waktu yang singkat.

Memang tidak dinafikan kehadiran mereka sedikit sebanyak telah memberi impak pada pasukan kebangsaan. Namun, secara keseluruhannya sumbangan mereka terhadap prestasi pasukan kebangsaan agak minimal. Dan ini tidak setimpal dengan gaji mereka yang mencecah berpuluh ribu sebulan.

Langkah FAM melantik Datuk K.Rajagopal dan Ong Kim Swee melatih pasukan Harimau Malaya dan Harimau Muda adalah tepat dan kena pada masanya. Dan kini telah pun membuahkan hasil dengan pencapaian dan prestasi mereka yang membanggakan.

Kita tidak perlu lagi pada jurulatih asing memandangkan kini kita mempunyai banyak jurulatih tempatan yang berkualiti. Sekadar beberapa contoh seperti B.Satianathan, Wan Jamak Hassan, M.Karathu, Irfan Bakti, Abdul Rahman Ibrahim dan lain-lain. Mereka semua layak dan teruji kebolehan mereka.

Kita juga patut mengambil contoh dengan apa yang menimpa pasukan England. Adalah sesuatu yang menghairankan sebagai sebuah negara yang mempunyai salah satu Liga yang popular di dunia, England masih memerlukan khidmat jurulatih luar bagi pasukan kebangsaannya.

Kalau dulu Sven Goran Ericson, dari Sweeden, dan kini Frank Capello, dari Itali. Tetapi prestasi England sama ada di kejohanan Piala Dunia atau Piala Eropah cukup mengecewakan seluruh peminatnya. Seolah-olah sudah tidak ada lagi jurulatih berbangsa Inggeris yang layak memangku jawatan tersebut.

Henry Rednapp, David Moyess, Allan Marcayde dan lain-lain sekadar contoh tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Capello.

FAM dan negara tidak perlu mengikut jejak mereka dalam membangun bolasepak negara. Apa yang ada sekarang sudah cantik dan perlu dikekalkan. Jangan nasib yang menimpa Thailand menular ke negara kita pula.

Khamis, 9 Jun 2011

Bolasepak : Peluang Kelantan catat sejarah

KELANTAN akan bertemu Trengganu dalam final Piala FA Sabtu ini di Stadium Bukit Jalil. Kedua pasukan telah pun bertemu Isnin lalu dalam perlawanan Liga Super di Kuala Trengganu, di mana Kelantan menang 3-0.

Pasukan Trengganu sudah pasti akan menebus kembali kekalahan mereka Isnin lalu. Menurut jurulatih Trengganu, Irfan Bakti, kekalahan baru-baru ini bukanlah disebabkan Kelantan kuat, tetapi akibat banyak kesilapan dilakukan oleh para pemainnya.

Pada final Piala FA ini pasukan penyu itu berazam memperbaiki segala kelemahan dan yakin dapat mengatasi The Red Warriors. Keyakinan ini bertambah dengan kehadiran semula penyerang kebangsaan, Ashaari Shamsudin, yang tidak bermain Isnin lalu akibat digantung permainan kerana menerima kad kuning.

Manakala Kelantan yang telah pun memiliki Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih tidak akan melepaskan peluang keemasan ini merangkul satu lagi piala yang tidak pernah mereka menangi - Piala FA. Sekiranya impian ini tercapai, maka Kelantan akan mencatat sejarah dengan memenangi tiga piala dalam masa yang singkat.

Itu belum kira lagi Piala Liga, di mana Kelantan berada ditangga teratas dan hanya memerlukan memenangi tiga lagi baki perlawanan untuk mengesahkan sebagai juara Liga. Peluang sebegini bukannya mudah untuk dicapai dan ia tidak boleh dipersiakan.

Kalau para pemain Kelantan fokus dan mempunyai mental yang kuat kejayaan untuk merangkul empat piala berprestij  sekaligus bukanlah satu misi yang mustahil. Tetapi jika mereka terlalu yakin dan "complacent" mereka akan menerima padah.

Trengganu adalah sebuah pasukan yang mampu membuat kejutan, apatah lagi mereka berazam membalas "dendam" kekalahan mereka dilaman sendiri Isnin lalu. Dan lebih bermakna lagi, mereka berazam untuk merangkul Piala FA untuk dihadiahkan kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin, sempena ulangtahun keputeraan baginda pada 4 Jun lalu dan menyambut kepulangan ke Trengganu selepas tempoh perkhidmatan baginda berakhir hujung tahun ini.

Kelantan pula mahu mencatat sejarahnya tersendiri dengan merebut Piala FA dan Piala Liga, sebagai memenuhi koleksinya selepas berjaya merampas Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih. Dan peluang ini tidak harus dilepaskan begitu saja. Kerana peluang sebegini tidak selalunya datang.

Apapun kita mengharapkan final pada Sabtu ini kedua pasukan akan mempamerkan satu perlawanan yang menarik dan menghiburkan. Juga tidak kurang penting kedua pasukan akan bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi dan permainan yang bersih dari kekasaran.

Para penyokong kedua pasukan juga mestilah berdisiplin dan bersopan agar tidak berlaku insiden yang boleh mencemar imej negeri masing-masing.

Segala bunga api dan mercun tidak perlulah dibawa masuk ke dalam stadium.

Rabu, 8 Jun 2011

Hadi Awang enggan jadi PM

DATUK Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya dalam PRU ke 13 nanti. Beliau boleh menerima sesiapa saja memegang jawatan no 1 negara itu.

Keenganan Abdul Hadi itu memberi laluan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang mengisi jawatan tersebut. Kit Siang sudah tentu akan menolaknya kerana realitinya majoriti penduduk negara ini terdiri dari bangsa melayu. Maka calon Perdana Menteri dari pembangkang hanyalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Itupun akan menjadi kenyataan sekiranya Anwar bebas dari segala tuduhan dan kesnya di mahkamah nanti. Kalau beliau disabitkan bersalah, siapa pula calon sandaran Pakatan Rakyat ?

Ini bukan soal main-main dan isu ini adalah serius kerana masa depan negara dan keselamatan rakyatnya banyak bergantung pada kerusi nombor satu negara itu. Kerusi PM bukan boleh main tangkap muat saja.

Katakanlah Anwar Ibrahim akan bebas dari segala tuduhan terhadapnya dan dibebaskan oleh mahkamah. Apakah ini satu jaminan bahawa negara akan selamat sekiranya beliau menjawat jawatan PM ?

Semua orang tahu semasa perbicaraannya di mahkamah beliau diwakili oleh peguambela Karpal Singh dan P.Cumaraswamy. Karpal ialah Pengerusi DAP dan Cumaraswamy pula adalah bekas Presiden Majlis Peguam yang tidak pernah sebulu dengan kerajaan. Dan keduanya adalah tokoh yang tidak pernah simpati dengan orang melayu dan Islam.

Dengan menjadi peguambela pada Anwar begitu lama, maka tentunya banyak rahsia dan kelemahan Anwar berada dalam pengetahuan mereka. Ini akan menjadikan Anwar seorang Perdana Menteri yang tidak bebas dari pengaruh luar. Anwar tidak mungkin dapat membuat sebarang keputusan melibatkan kepentingan negara secara bebas dan terhindar dari ugutan atau anasir berbahaya yang boleh mengancam keselamatan negara.

Anwar dan pengikutnya tentu akan menafikan andaian ini sekeraskerasnya. Tetapi kenyataan dan hakikat yang kelihatan tidak mudah diketepikan begitu saja. Jawatan PM bukan kedudukan untuk berbulan madu atau memenuhi nafsu politik demi kepentingan tertentu. Ianya adalah amanah bangsa dan agama yang mesti dipikul dengan jujur dan murni, jauh dari sifat dendam dan dengki. Malah bukan menjadi medan melayani agenda peribadi.

Anehnya, PAS telah menolak dari awal lagi jawatan tersebut. PAS kelihatan begitu tegas dan keras bila berdepan dengan UMNO. Tetapi ia menikus bila berhadapan dengan DAP dan Anwar Ibrahim.

Orang-orang melayu mesti berhati-hati dengan permainan politik pembangkang ini. Konsep negara Islam telah pun bertukar menjadi negara kebajikan- satu pengubahsuaian bagi menurut kehendak DAP dan PKR.

PAS tuduh UMNO sekular. Tapi menyalin kulit Islam ke kebajikan lebih sekular.

Siapa Setiausaha Agung PAS yang baru ?

SELESAI Muktamar PAS ke 57 lalu bermakna semua jawatan yang dilantik bagi sesi 2009-2011 terlucut dengan sendirinya. Jawatan-jawatan berkenaan ialah setiausaha agung, ketua penerangan, bendahari dan pemilihan enam anggota jawatankuasa pusat sebagai tambahan kepada 12 kerusi yang terpilih.

Jawatan yang menjadi tumpuan sekarang ialah Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan, yang merupakan jawatan kanan dan penting kepada Presiden parti dalam mengurus perjalanan parti. Kedua jawatan tersebut disandang Datuk Mustapha Ali dan Ustaz Idris Ahmad.
Dato MustaphaAli

Kebiasaannya perlantikan dua jawatan penting ini ditentukan oleh Presiden parti. Datuk Mustapha Ali sudah diketahui merupakan tokoh paling rapat dengan Datuk Seri Abdul Hadi, tambahan pula asal dari negeri yang sama Trengganu. Manakala Ustaz Idris Ahmad adalah calon dari kem ulama yang tewas pada jawatan Naib Presiden yang lalu.

Persoalannya, adakah mereka berdua akan dikekalkan ? Jika Haji Hadi ingin mengekalkan dua tokoh tersebut, tidakkah ini akan ditentang oleh tiga Naib Presiden yang baru ?

Apa yang pasti Datuk Husam Musa tidak dapat menerima Datuk Mustapha Ali sebagai Setiausaha Agung. Bagi Sallahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar tidak dapat dipastikan dengan jelas. Namun secara andaiannya, mereka juga menolak Cikgu Pa.

Di sini kita akan melihat adakah kuasa Presiden lebih "dominan" atau dia terpaksa tunduk dengan Timbalan Presiden yang baru bersama dengan tiga Naib Presiden yang datang dari kem profesional.

Sekiranya Datuk Mustapha Ali dikekalkan ia menunjukkan "kuku" Haji Hadi Awang masih tajam. Tetapi ini rasanya hampir mustahil berlaku. Sebelum Mustapha Ali jawatan Setiausaha Agung dipegang oleh Datuk Kamaruddin Jaafar. Sepanjang Kamaruddin memegang jawatan tersebut, beliau telah menunjukkan prestasi yang baik dan tidak menimbulkan kontroversi dalam parti.

Berbeza dengan Cikgu Pa diselubungi dengan isu panas berkaitan kerajaan perpaduan dan kerjasama dengan UMNO. Dan beliau juga dikecam hebat secara terbuka oleh Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dalam isu berkaitan. Cikgu Pa juga diketahui tidak begitu "ngam' dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perlantikan Setiausaha Agung parti cukup penting dan memberi kesan dan pengaruh yang cukup besar pada keseluruhan organisasi parti dan halatujunya. Tidak mungkin sikap dan pendirian politiknya bertentangan dengan sebahagian besar kepimpinan tertinggi.

Kuasa melantiknya berada ditangan Presiden secara mutlak. Tetapi apakah Presiden mampu menolak pandangan Timbalan dan Naib-Naibnya yang baru terpilih secara demokrasi ?

Semua orang sedang memerhatikan. Apakah Datuk Seri Abdul Hadi benar-benar seorang Presiden yang mempunyai kuasa atau beliau sudah tidak relevan lagi dengan perkembangan dalam PAS yang menolak kepimpinan ulamak.

Bakal Setiausaha Agung yang baru ini jika dipilih dikalangan profesional, maka lengkap dan sempurnalah agenda golongan profesional untuk menguasai parti. Dan Haji Hadi bakal terpinggir keseorangan.

Selasa, 7 Jun 2011

Mat Sabu berkomentar tentang Anwar

SEMPENA meraikan kemenangan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru, sayugia memetik sebahagian wawancara Ahmad Lutfi Othman dan Suria Janib dengan Haji Mohamad Sabu pada 14 Jun 1998, dalam majalah Tamadun, keluaran Julai, 1998.

Inilah sebahagian kecil kandungan wawancara tersebut :


Soalan : Sekiranya berlaku peralihan kuasa iaitu Anwar menggantikan Mahathir, agaknya bagaimana nasib PAS ?

Mat Sabu : Saya lebih bimbang dan berdoa secara peribadi biarlah Mahathir mengepalai pilihanraya akan datang kerana kalau Anwar naik menjadi PM, dia cukup pandai menggunakan agama. Minggu pertama dia menjadi PM, misalnya, Anwar berkhutbah di Masjid Negara akan disiarkan di seluruh negara. Lelaki pergi ke masjid sembahyang Jumaat dan wanitanya yang berada di rumah akan melihat bagaimana selepas merdeka, inilah Perdana Menteri yang pertama membaca khutbah tanpa teks pada minggu pertamanya menjadi PM. Sesungguhnya orang seperti Anwar begitu pandai dan licik menggunakan saluran agama dan pandai mengambil sentimen orang melayu berbanding Mahathir. Kita bukanlah takut tetapi kita tahu tahap pemikiran melayu setakat mana. Jadi secara peribadi saya berdoa agar Mahathir kekal mengepalai pilihanraya yang akan datang.

Soalan : Kata orang, berbanding Mahathir, Anwar dilihat jarang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memperlekeh Islam ?

Mat Sabu :  Anwar memang lebih bijak berbanding Mahathir. Mahathir tidak reti menerangkan Islam tetapi Anwar lebih pandai. Misalnya, apabila menerangkan hukum hudud, Mahathir akan menolaknya secara total tetapi Anwar akan memberi alasan daripada Yusof al-Qardhawi, pandangan ulamak itu ini, soal awlawiyyat atau prioriti. Jadi penolakan Anwar lebih lunak ! Memang keduanya nyata menolak hudud tetapi Mahathir tidak bijak menyusun hujah.

Itulah secara ringkas isi kandungan wawancara tersebut yang teks asalnya sebanyak lima halaman penuh. Majalah Tamadun diusahakan dan diterbitkan oleh orang yang aktif dan berkepentingan dalam organisasi PAS. Segala soal jawab tersebut, terpulanglah kepada kita untuk menilainya dan terpenting menjadi bahan "renungan" bagi mereka yang minatnya mengikuti perkembangan politik semasa.

Kepada Timbalan Presiden PAS yang baru tentang pandangannya 13 tahun dahulu itu........alahai.....alahai

Tiga kelab EPL berkunjung ke Malaysia

SAH tiga kelab tersohor di England, Liverpool, Arsenal dan Chelsea akan berkunjung ke Malaysia bulan depan dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan.

Kunjungan Liverpool ke sini merupakan kali pertama dalam siri Jelajah Asia 2011. Manakala Arsenal dan Chelsea pernah beberapa kali ke Kuala Lumpur sebelum ini. Begitu juga dengan Manchester United yang lebih kerap ke Malaysia.

Kesanggupan ketiga kelab EPL ini datang dan menguji pasukan kebangsaan merupakan satu petanda baik bagi kemajuan dan perkembangan bolasepak tanahair. Sebelum ini pasukan negara agak sukar mencari pasukan yang berkualiti sebagai perlawanan ujian dan mencari pengalaman.

Barangkali, pencapaian dan prestasi Harimau Malaya akhir-akhir ini dengan menjuarai acara bolasepak di Sukan SEA dan Piala Suzuki telah mendorong mereka ingin menguji pasukan negara. Mereka sebagai sebuah kelab besar dan popular tentunya lebih selektif dalam memilih pasukan sebagai lawan dalam perlawanan persahabatan.

Dan Harimau Malaya pula sejak menjadi juara Piala Suzuki belum lagi tewas dalam tiga perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan Hong Kong dan sebuah kelab Perancis yang merupakan juara Liga di Singapura.

Bagi pasukan negara ini adalah peluang dan kesempatan yang bermanfaat untuk memperkemas dan memperbaiki segala kelemahan sebelum menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2014. Malaysia akan menentang Taiwan dan jika menang mereka akan berdepan pula dengan Singapura bagi pusingan kedua.

Coach Rajagopal tentu akan memperolehi banyak "tips" dan ramuan berguna dalam siri tiga perlawanan persahabatan ini bagi memastikan Harimau Malaya dapat mengatasi Taiwan dan Singapura, serta layak ke pusingan seterusnya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014.

Dalam sejarah bolasepak, Malaysia tidak pernah layak ke pusingan yang lebih jauh dan sering tersingkir lebih awal. Tetapi kali ini dengan prestasi dan pencapaian yang membanggakan serta kualiti yang ada pada para pemain muda kita, harapan untuk mencapai kejayaan begitu cerah sekali.

Apatah lagi pasukan negara kini memiliki sekumpulan para pemain yang rata-rata berusia bawah 23 tahun, masih muda dan mempunyai semangat yang tinggi setiap kali turun ke padang. Inilah aset yang paling penting dalam membentuk sebuah pasukan yang kuat dan disegani.

Cuma kita mengharapkan tidak ada pemain dalam pasukan Harimau Malaya terlibat dalam gejala rasuah seperti yang dihebohkan akhir-akhir ini. Kalaulah ada pemain yang terlibat, maka hancurlah harapan peminat untuk melihat negara ini mengembalikan semula sejarah kegemilangan bolasepak tanahair. Dan lebih memalukan lagi imej negara akan tercemar.
-------------------------------------------

Isnin, 6 Jun 2011

Mampukah PAS ganti UMNO ?

DENGAN perkembangan terbaru dalam parti PAS dan segala kenyataan yang dikeluarkan barisan pemimpin yang terpilih serta ucapan dasar Presiden, adakah parti itu sedang menuju landasan yang betul bagi mengganti UMNO sebagai parti orang melayu dan Islam di negara ini ?

PAS percaya ia boleh menjadi parti alternatif pada UMNO melalui kerjasamanya dengan DAP dan PKR.  Analisis keputusan pilihanraya kecil yang sebanyak 16 kali - 8 dimenangi pembangkang dan 8 dimenangi Barisan Nasional.- menunjukkan Pakatan Rakyat berjaya menarik pengundi-pengundi Cina menyokongnya. Manakala pengundi melayu masih lagi berpihak pada Barisan Nasional. Begitu juga keputusan pilihanraya di Sarawak yang lalu menunjukkan trend yang sama.

Sekiranya PAS ingin mengetuai Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam PRU 13 nanti ia perlulah menarik lebih ramai pengundi melayu meninggalkan UMNO.

Tetapi ucapan Presiden PAS baru-baru ini yang mahu memperjuangkan negara kebajikan sebagai ganti pada negara Islam yang menjadi perjuangannya selama ini menarik perhatian. Mengapakah PAS berubah posisi dari negara Islam ke negara kebajikan pula ?

Apakah PAS terpaksa kompromi  dan bertolak ansur dengan rakan mereka DAP dan PKR ?

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, telah menyatakan  PAS mesti berusaha menawan hati dan pemikiran rakyat, lebih-lebih lagi orang melayu, untuk menggantikan UMNO.

Tetapi dengan pendirian PAS yang terbaru ini boleh menimbulkan keraguan dikalangan orang melayu dengan sikap PAS yang berubah-ubah. Ini ditambah lagi dengan pendirian Tok Guru Nik Aziz yang menolak ketuanan melayu dan melayu sebagai satu bangsa dalam politik negara ini.

Isu-isu seperti ini tidak akan membawa PAS ke mana. Malah ia akan memberi kelebihan pada UMNO sebagai political mileage padanya. Majoriti orang melayu masih tidak jelas dan sangsi dengan pendirian PAS tentang negara Islam dan sikapnya tentang bangsa melayu sebagai peribumi.

Orang-orang melayu sudah tentu tidak akan "bereksperimen" dan mengambil sikap "mencuba-cuba" tentang masa depan mereka. PAS seharusnya membuktikan dan menjelaskan peranan yang akan dipikulnya bila mereka ke Putrajaya kelak.

Apa yang menakutkan sokongan terhadap PAS akan membawa rebah. DAP dan PKR pula bermaharajalela dan mengaut keuntungan dari percaturan politik Pakatan Rakyat.

PAS adalah parti tertua dan senior dalam Pakatan Rakyat. Dan ini perlu diterjemahkan dalam segala tindakan dan agenda parti pembangkang. PAS tidak harus mengekori, ia mesti menguasai dan mengepalai Pakatan Rakyat.

Namun, suasana sekarang adalah sebaliknya. Sekira keadaan ini berterusan harapan PAS untuk mengganti UMNO bagaikan bermimpi di siang hari, apatah lagi menawan Putrajaya.

- Catatan ini telah disiarkan dalam akhbar Siasah, keluaran 10 - 16 Jun 2011.

Ahad, 5 Jun 2011

Angin perubahan melanda PAS

KEPUTUSAN pemilihan di muktamar PAS kali ini mengejutkan dan diluar jangkaan para pemerhati dalam dan luar. Ia menyaksikan sebahagian besar calon-calon berlatarkan ulamak tidak mendapat tempat.

Usaha Datuk Dr. Haron Din disaat-saat akhir dengan memberi sokongan terbuka gandingan Hadi-Nasha tidak memberi kesan pada para perwakilan. Selepas keputusan, sebagai Timbalan Mursyidul Am, Dr. Haron Din, telah menyatakan beliau tidak kecewa dan menerima kehendak para ahli.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Mat Sabu mendapat 420 undi, Tuan Ibrahim 339 undi dan Nasharuddin yang terendah sebanyak 224 undi.

Sebelum pertandingan sudah dijangka undi bagi calon ulamak akan berpecah. Sekiranya undi Nasha dan Tuan Ibrahim dicampur ia berjumlah 563 undi berbanding 420 undi yang diperolehi Mat Sabu. Tetapi itulah sifat demokrasi dan pengamalnya pula terpaksa akur.

Untuk jawatan Naib Presiden, Ustaz Idris Ahmad dan Datuk Amar Abdullah yang dikira ulamak diketepikan dan diisi dengan Sallahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Dengan barisan saf yang baru ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, buat pertama kalinya akan dikelilingi pemimpin kanan dari golongan profesional. Mampukah Haji Hadi menjalankan tugasnya dengan berkesan sebagai Presiden atau beliau terpaksa tunduk dengan Timbalan dan Naibnya ?

Sebelum muktamar ini pun kepimpinan Haji Hadi banyak dipersoalkan dari dalam dan luar parti. Ada yang berpendapat beliau gagal sebagai ketua parti dan tidak begitu lantang dalam isu-isu yang melibatkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Sehingga ada cawangan yang mencadangkan agar jawatan Presiden dipertandingkan.  Dan kelihatan ada usaha dari parti menolak cadangan tersebut semata-mata ingin menjaga air muka dan maruah Presiden. Justeru itu jawatan Presiden kekal tanpa bertanding.

Tetapi isu ini timbul kerana ada timbul rasa tidak puas hati dari ahli akar umbi terhadap kepimpinan Presiden. Dengan barisan pemimpin yang baru terpilih kedudukan Presiden akan selamat buat seketika, sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi.

Bila sampai masa muktamar akan datang, rasanya kedudukan Haji Hadi sebagai Presiden tetap akan dicabar. Bukan mustahil Presiden PAS juga akan diganti dengan calon Presiden dari golongan profesional.

Jadi, Haji Hadi, sekiranya beliau ingin terus kekal sebagai Presiden PAS, beliau kenalah ubah stail kepimpinannya ke arah lebih aggresif dan lantang senada dan seiring dengan Timbalan dan Naib-Naib Presiden yang baru terpilih.

Sekiranya beliau masih dengan cara kepimpinannya sekarang, maka beliau akan menjadi calon pemimpin ulamak yang terakhir yang akan disingkirkan.

Sabtu, 4 Jun 2011

Anwar Ibrahim mula bela diri

ANWAR Ibrahim akan melakukan pembelaan dalam kes liwatnya di Mahkamah Tinggi, 6 Jun ini. Semoga tidak ada lagi penangguhan atau melambat-lambatkan proses yang berlangsung di mahkamah nanti.

Tidak perlu menimbulkan soal konspirasi atau fitnah dan soal keadilan bila proses perbicaraan berjalan. Kerana inilah masa dan ruang untuknya membela dan membersihkan namanya yang telah tercemar dengan pelbagai tuduhan.

Rakyat dan seluruh lapisan masyarakat sudah cerdik dan celik. Mereka mampu menilai dan mempertimbangkan yang mana satu kebenaran dan fitnah. Mereka bukan boleh dibodoh-bodohkan dengan segala sajian yang dihidangkan pada mereka.

Sekiranya benar ada konspirasi atau fitnah politik, maka tidak perlu khuatir kerana rakyat akan menghukumnya melalui peti undi dalam PRU ke 13 yang tidak berapa lama lagi.

Dan Datuk Seri Anwar, sekiranya beliau berada dipihak yang benar, tidak perlu bimbang dan khuatir. Biarkan proses mahkamah berjalan dengan lancar. Kalau hakim tidak adil, rakyat akan menjadi hakim menentukan nasib kerajaan kelak.

Mohd Saiful Bukhari begitu konsisten dalam usahanya mencari kebenaran dan meneruskan kes liwat ini tanpa bertangguh lagi. Sikap ini dapat dilihat dari awal lagi. Manakala pihak pembelaan sering cuba menangguh-nangguhkan dan melewatkan perbicaraan ini berjalan dengan lancar.

Ini tidak selari dengan sikap untuk mencari kebenaran. Seolah ada sesuatu yang hendak disembunyikan dari didedahkan pada umum.

Seperti biasa bila perbicaraan berjalan, banyak perkara yang akan didedahkan sehinggalah ke perkara yang sulit dan rahsia.

Apakah semua yang diperkatakan dan didedahkan akan mengikut skrip yang telah diatur ? Seperti kata Tun Dr. Mahathir, adalah tidak logik untuk mengatur dan mengawal hampir 100 orang semua peringkat untuk menjayakan sebuah konspirasi ?

Saya berharap pendirian saya ini salah. Dan memang kes Anwar ini adalah kes politik untuk menyekat kemaraannya ke Putrajaya. Selagi mahkamah tidak mensabitkannya, selagi itulah beliau tidak bersalah.

Tetapi dengan segala apa yang berlaku mutakhir ini dan penafian-penafian yang dibuat, telah menimbulkan banyak persoalan dan keraguan. Banyak berlaku kesamaran dan kekeliruan.

Justeru itu menjadi bebanan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghilangkan segala kesamaran dan kekeliruan itu dengan membela dirinya di mahkamah secara habis-habisan.

Kita sebagai rakyat tentunya mengharap kes liwat akan selesai dan dikambus rapat-rapat agar tidak ada lagi selepas ini. Sudah hampir 12 tahun rakyat dibebankan dengan kes liwat ini. Semoga selepas ini rakyat dapat menghirup udara dan nafas yang segar dan bukan lagi isu-isu yang jijik dan memualkan.

Jumaat, 3 Jun 2011

Krisis kewangan Asia 1997/98 dibukukan

TUN Dr. Mahathir Mohamad sepanjang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tidak ada ujian paling getir dihadapinya sebagai seorang pemimpin ialah menghadapi krisis kewangan yang melanda Asia oleh pihak spekulator.

Banyak konglomerat, syarikat-syarikat besar dan ahli perniagaan jatuh bangkrap ekoran nilai matawang jatuh dan faedah pinjaman bank naik melambung. Di Malaysia NPL (Non Performing Loan) jatuh dari enam bulan hingga ke tiga bulan.

Nilai ringgit terus jatuh berbanding US Dollar. Indonesia, Thailand dan Korea Selatan paling teruk kesannya. Di Indonesia rusuhan berlaku akibat harga barang keperluan naik berlipat ganda. Di Korea Selatan pula, Daewoo, sebuah konglomerat terbesar terpaksa diambilalih oleh pihak pemodal barat.

Akhirnya, akibat tekanan kewangan yang tenat, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan jatuh ke tangan IMF.

Tetapi Malaysia di bawah Dr. Mahathir telah mengambil langkah bijak dan menolak "resepi" IMF dalam menangani krisis kewangan masa itu. Langkahnya ialah dengan menambat ringgit nilai RM 3.80 bersamaan satu US Dollar.

Tindakan ini dikecam hebat oleh IMF serta negara-negara barat. Malah mendapat tentangan juga di dalam negeri dari pihak-pihak tertentu.

Keputusan dan langkah yang diambil Dr. Mahathir telah menyelamatkan negara dan rakyatnya dari jatuh ke tangan IMF yang meletakkan syarat memenuhi segala formula yang diberikannya dalam mengendali dan mengurus kewangan negara.

Ketokohan dan kehebatan seorang pemimpin  diuji bila ia berdepan dengan masalah dan krisis. Bila seseorang pemimpin itu berjaya menyelesaikan masalah dan berjaya mencari jalan keluar, maka dia dianggap lulus ujian dan membuktikan ia adalah pemimpin yang berkesan.

Kehebatan seorang pemimpin bukan diukur di sudut retorik dan janji-janji manis sahaja, tetapi dari segi idea dan kemampuannya melaksanakan idea-idea tersebut. Dan Dr. Mahathir termasuk dalam kategori tersebut.

Bagi generasi muda tentulah ingin mengetahui dan mempelajari bagaimana Dr. Mahathir dalam saat genting itu membuat keputusan demi kebaikan negara dan cara-cara beliau menghadapi spekulator kewangan yang mengaut keuntungan dengan merosakkan  sistem kewangan negara-negara di Asia.

Ini dapat diperolehi dengan terbitnya buku,  "Notes to the Prime Minister- The untold story of how Malaysia beat the currency speculators."  Buku ini diusahakan penasihat ekonominya pada masa itu- Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Menurut Nor Mohamed, buku ini mengandungi nota-nota dan perbincangan antara beliau dan Dr. Mahathir dalam menangani kesan krisis kewangan masa itu.

Bagi Tan Sri Nor, buku ini penting agar generasi akan datang dapat menilai kebijaksanaan dan ketabahan Dr. Mahathir ketika menghadapi krisis ekonomi yang tercatat dalam sejarah negara.

.



.

Sinar Harian dan harapan pembaca

AKHBAR Sinar Harian kini menjadi salah satu akhbar harian yang popular. Sejak awal penerbitannya dengan nama "Sinar Banar", ia mula beredar di Kelantan dengan harga cuma 50 sen.

Kemudian semakin hari akhbar ini mendapat sambutan yang luar biasa dan melebar edarannya ke kawasan Pantai Timur, terutama Trengganu.


Dan kini ia langkah setapak demi setapak sehingga meluas ke seluruh negara. Pada awalnya kandungan akhbar ini lebih tertumpu pada berita-berita tempatan di Kelantan dan Trengganu. Tetapi kini ia telah bersifat lebih nasional dan menyeluruh.

Justeru itu dari Sinar Banar ia beralih kepada Sinar Harian, telus dan tulus. Harganya pun meningkat sedikit kepada RM 1. Ini kerana isi kandungan berita dan sebagainya telah menyerupai akhbar-akhbar harian utama yang lain.

Kelebihan Sinar Harian ialah ia menyajikan hampir setiap hari dengan kolumnis-kolumnis yang menulis berbagai isu dan topik yang menarik.

Apa yang terpenting sekali ialah Sinar Harian telah berjaya menjadikannya sebagai sebuah akhbar yang "neutral" dengan memberi liputan dan ruang kepada semua pihak, termasuk pihak parti pembangkang.

Di sinilah, barangkali, kelebihan pada Sinar Harian berbanding harian utama yang lain. Para pembaca akhbar kini ingin memperolehi sumber maklumat yang pelbagai dan bukan hanya bercorak "sehala".

Bolehkah Sinar Harian mengekalkan imejnya sebagai akhbar yang "neutral" ? Nashkah edarannya sekarang mencecah 160 ribu sehari. Satu jumlah yang besar bagi sebuah akhbar kecil yang baru bertapak.

Dengan dimiliki syarikat bumiputra dan anak kelahiran Kelantan,  Karangkraf, bukan mustahil suatu hari Sinar Harian akan menjadi harian utama di negara ini. Itupun sekiranya akhbar ini tidak dikuasai oleh golongan-golongan yang berkepentingan. Ia perlu kekal bebas seperti hari ini. Dan harganya juga kekal dengan RM 1.

Tidak syak lagi Sinar Harian akan menjadi "alat penimbang" antara Utusan dan Berita sebagai sumber maklumat orang-orang melayu di negara ini.

Semoga Sinar akan terus telus dan tulus.