Memaparkan catatan dengan label Lim Guan Eng. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lim Guan Eng. Papar semua catatan

Jumaat, 5 April 2013

Lim Guan Eng : Bubar DUN hari Jumaat

KETUA Menteri Pulau Pinang dan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memilih untuk membubarkan DUN Pulau Pinang pada hari Jumaat (5 April) dengan alasan ia adalah penghulu segala hari. Dia menyatakan demikian di hadapan Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak.

Apakah Lim jujur dan ikhlas bila dia menyatakan ia memilih hari Jumaat kerana kebesaran hari itu di kalangan umat Islam ? Atau dia sekadar menanam tebu dibibir mulut sahaja ?
Lim, Azizan dan Nik Aziz di sidang akhbar

Tetapi nampak jelas Lim mahu mengambil hati rakannya Pas dan para pengundi melayu dalam PRU 13 ini. Sekiranya dia menganggap hari Jumaat adalah penghulu segala hari; mengapakah dia tidak tukar cuti mingguan hari Ahad pada Jumaat seperti di Kedah dan Kelantan ?

Dalam perkara kecil sebegini pun Lim cuba bermain politik murahan. Isu penggunaan kalimah Allah yang menjadi hiruk pikuk di kalangan umat Islam baru-baru ini adalah berpunca daripada beliau. Lim telah mencadangkan pada kerajaan sempena sambutan Krismas tahun lalu agar kalimah Allah boleh digunakan bukan Islam.

Setelah umat Islam seluruh negara bertelagah dalam isu ini, dia hanya mendiamkan diri. Lim seolah lempar batu sembunyi tangan. Dia seolah menjadi batu api.

Dan hari ini dia cuba menyentuh tentang kebesaran hari Jumaat pada umat Islam dan mengaitnya dengan pembubaran DUN Pulau Pinang. Tidak hairanlah para pengikut Pas tergamak menyamakan pentadbirannya dengan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Dari kenyataannya itu juga sudah ada reaksi yang memohon agar Lim akan mendapat hidayah ! Orang yang paling seronok dengan kenyataan Lim berkenaan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari tentunya Mursidol Pas, Nik Aziz Nik Mat.

Barangkali inilah yang dikatakan Nik Aziz, kejayaan Pas berdakwah pada DAP.

Selasa, 5 Februari 2013

Nasib melayu di Pulau Pinang

ORANG melayu di Pulau Pinang mesti bersatu dibelakang Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU 13 ini sekiranya mahu nasib mereka terus dibela dan tidak menjadi pelarian ke tanah besar akibat dasar kerajaan DAP, Lim Guan Eng yang merugikan mereka.

Lim Guan Eng
Kini sudah ramai orang melayu yang bersungut tentang polisi kerajaan negeri yang lebih menumpukan projek rumah kos tinggi yang mereka tidak mampu membelinya. Projek rumah kos rendah tidak menjadi keutamaan  pimpinan Ketua Menteri, Guan Eng.

Lain-lain projek kerajaan negeri semuanya bersifat kos tinggi seolah parti yang berkuasa di negeri itu, DAP sengaja mahu mengenepikan orang-orang melayu. DAP tahu kebanyakan orang melayu di negeri itu terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah. Dengan itu pengusiran orang melayu dari Pulau Pinang ke negeri jiran seperti Kedah, Perlis dan lain-lain akan berlaku dengan otomatisnya.

Dasar dan polisi begini telah berjaya dilakukan di Singapura oleh Lee Kuan Yew. Sehingga bangsa melayu di republik itu semakin berpecah dan mengecil. DAP yang merupakan anak lahir dari PAP tentunya akan ikut jejak langkah Lee itu yang asalnya memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia. Dasar itu diteruskan oleh DAP hingga sekarang.

Jika DAP terus diberi peluang memerintah sepenggal lagi selepas PRU 13 ini nasib dan kedudukan orang melayu akan bertambah teruk. Orang melayu perlu sedar mereka tidak boleh mengharapkan Pas untuk membela nasib masa depan mereka. Pas tidak akan mampu, malah hanya akan menjadi alat DAP bagi meraih sokongan orang melayu di negeri itu.

Pas sendiri dalam Pakatan Rakyat sering mengalah dan bertolak ansur dengan DAP dalam banyak perkara termasuk isu-isu pokok yang menjadi keutamaan orang melayu dan agama Islam. Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak pernah tunduk dengan Pas dan sentiasa tegas dalam memperjuangkan pendirian parti itu.

Sekiranya orang-orang melayu tidak mahu terus terpinggir tanpa pembelaan sewajarnya, mereka perlu bersatu dan menyokong Umno dan BN dalam pilihan raya umum ini. Hanya Umno berkemampuan memperjuangkan nasib masa depan mereka.

Tidak ada apa yang boleh Pas sumbangkan di Pulau Pinang melainkan memecahbelahkan bangsa melayu yang semakin mengecil itu.

Rakyat Pulau Pinang terutama orang melayu perlu membuat keputusan bijak dalam menentukan bakal kerajaan yang akan ditubuhkan kelak. Kalau tersalah pilih kali ini nasib orang melayu akan bertambah parah di bawah DAP untuk lima tahun lagi.




Ahad, 1 Julai 2012

Lim Guan Eng dan Pulau Pinang

Ingin terus kekal Ketua Menteri
SATU kenyataan yang perlu diterima bahawa harapan Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali Pulau Pinang dari DAP dalam PRU 13 ini memang sukar.

Pulau Pinang yang majoriti terdiri dari kaum Cina kemungkinan besar ingin melihat Guan Eng dan DAP terus menguasai pulau mutiara itu untuk sepenggal lagi.

Seperti kata Tun Dr. Mahathir Mohamed, para pengundi Cina akan menjadi faktor penentu dalam PRU 13 nanti. Kalau diperingkat pusat para pengundi Cina memberi sokongan pada BN, namun mereka sebaliknya tetap akan mengekalkan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri.

Ini ditambah lagi dengan keadaan parti Gerakan yang kelihatan tidak bermaya dan bertenaga untuk menawan kembali pulau itu setelah DAP berjaya menarik sokongan kaum Cina. MCA pula setakat ini belum lagi berjaya membuktikan mereka mampu menjadi parti alternatif pada DAP di Pulau Pinang.

Lim Guan Eng sebenarnya mempunyai agenda dan rancangan jangka panjang di pulau itu. Ini terbukti bila beliau membuat kenyataan baru-baru ini bahawa ia tidak berminat untuk berada di Putrajaya sebaliknya mahu terus kekal di Pulau Pinang.

Guan Eng ingin terus mencengkam dan menguasai Pulau Pinang untuk jangka masa panjang. Beliau mahu menurut jejak langkah Lee Kuan Yew di Singapura. Kalau Lee berjaya melakukannya, mengapa dia tidak ! Kini pun Guan Eng telah mengambil model Mentor PAP itu dalam membangunkan Pulau Pinang.

Sudah ada laporan mengesahkan betapa ramainya kaum melayu terpaksa berhijrah keluar dari pulau itu akibat tekanan dan desakan ekonomi serta suasana kehidupan. Banyak projek pembangunan dan perumahan yang dirancang pihak kerajaan negeri terlalu berkos tinggi menyebabkan mereka terpaksa berundur.

Ada pula pihak pemodal yang menawarkan harga tinggi untuk mengambilalih rumah atau bangunan yang dimiliki kaum melayu agar mereka menjual hakmilik mereka serta berpindah. Gerai-gerai kecil bagi para peniaga kecil-kecilan diarah berpindah dan dirobohkan. Proses ini terus berjalan dengan teratur dan sistematik.

Sekiranya DAP terus kekal memerintah Pulau Pinang selepas PRU 13 ini, maka bukan mustahil akan ada "Singapura ke 2" disebelah utara pada masa hadapan. Apa lagi hubungan DAP dan PAP terus terjalin dalam berbagai bentuk. Lee Kuan Yew pernah melawat Pulau Pinang dan bertemu dengan Guan Eng dalam rangka hubungan dan kerjasama kedua pihak.

Impian Lim Guan Eng di Pulau Pinang bertambah cerah dan kukuh dengan sokongan kuat dari dua tokoh melayu yang berpengaruh. Mereka ialah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sokongan dari kedua mereka sudah cukup memberi laluan selesa pada Guan Eng mencapai impiannya di pulau mutiara itu.