Ahad, 5 Jun 2011

Angin perubahan melanda PAS

KEPUTUSAN pemilihan di muktamar PAS kali ini mengejutkan dan diluar jangkaan para pemerhati dalam dan luar. Ia menyaksikan sebahagian besar calon-calon berlatarkan ulamak tidak mendapat tempat.

Usaha Datuk Dr. Haron Din disaat-saat akhir dengan memberi sokongan terbuka gandingan Hadi-Nasha tidak memberi kesan pada para perwakilan. Selepas keputusan, sebagai Timbalan Mursyidul Am, Dr. Haron Din, telah menyatakan beliau tidak kecewa dan menerima kehendak para ahli.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Mat Sabu mendapat 420 undi, Tuan Ibrahim 339 undi dan Nasharuddin yang terendah sebanyak 224 undi.

Sebelum pertandingan sudah dijangka undi bagi calon ulamak akan berpecah. Sekiranya undi Nasha dan Tuan Ibrahim dicampur ia berjumlah 563 undi berbanding 420 undi yang diperolehi Mat Sabu. Tetapi itulah sifat demokrasi dan pengamalnya pula terpaksa akur.

Untuk jawatan Naib Presiden, Ustaz Idris Ahmad dan Datuk Amar Abdullah yang dikira ulamak diketepikan dan diisi dengan Sallahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Dengan barisan saf yang baru ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, buat pertama kalinya akan dikelilingi pemimpin kanan dari golongan profesional. Mampukah Haji Hadi menjalankan tugasnya dengan berkesan sebagai Presiden atau beliau terpaksa tunduk dengan Timbalan dan Naibnya ?

Sebelum muktamar ini pun kepimpinan Haji Hadi banyak dipersoalkan dari dalam dan luar parti. Ada yang berpendapat beliau gagal sebagai ketua parti dan tidak begitu lantang dalam isu-isu yang melibatkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Sehingga ada cawangan yang mencadangkan agar jawatan Presiden dipertandingkan.  Dan kelihatan ada usaha dari parti menolak cadangan tersebut semata-mata ingin menjaga air muka dan maruah Presiden. Justeru itu jawatan Presiden kekal tanpa bertanding.

Tetapi isu ini timbul kerana ada timbul rasa tidak puas hati dari ahli akar umbi terhadap kepimpinan Presiden. Dengan barisan pemimpin yang baru terpilih kedudukan Presiden akan selamat buat seketika, sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi.

Bila sampai masa muktamar akan datang, rasanya kedudukan Haji Hadi sebagai Presiden tetap akan dicabar. Bukan mustahil Presiden PAS juga akan diganti dengan calon Presiden dari golongan profesional.

Jadi, Haji Hadi, sekiranya beliau ingin terus kekal sebagai Presiden PAS, beliau kenalah ubah stail kepimpinannya ke arah lebih aggresif dan lantang senada dan seiring dengan Timbalan dan Naib-Naib Presiden yang baru terpilih.

Sekiranya beliau masih dengan cara kepimpinannya sekarang, maka beliau akan menjadi calon pemimpin ulamak yang terakhir yang akan disingkirkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan