Rabu, 22 Jun 2011

Skuad Olimpik negara jangan terlalu yakin

HARIMAU MUDA akan bertemu Lubnan esok (Khamis, 23 Jun) dalam perlawanan timbal balik pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.  Kedua pasukan telah seri tanpa jaringan di Beirut Ahad lalu.

Keputusan di Beirut telah memberi sedikit kelebihan pada pasukan negara sebelum pertemuan malam esok. Namun permainan masih lagi berbaki 90 minit dan peluang kedua pasukan masih terbuka. Pasukan negara tidak boleh terlalu yakin dan memandang rendah pasukan Lubnan kerana mereka juga bersemangat untuk mengatasi Malaysia.

Kita perlu ingat mereka hanya memerlukan seri bagi melangkah seterusnya ke pusingan ketiga. Peraturan menjaringkan gol di tempat lawan memberi kelebihan pada pasukan pelawat.

Justeru itu pasukan negara perlu mencari gol awal bagi memberi lebih tekanan pada pasukan pelawat. Jurulatih Lubnan, Samir Saad telah memuji prestasi pasukan negara pada perlawanan lalu, baginya pasukan Harimau Muda lebih berdisiplin ketika menyerang dan cepat turun ke bawah untuk bertahan.

Bagi jurulatih negara pula, Ong Kim Swee, dia akan mengarahkan para pemainnya melipatgandakan usaha menyerang ke kubu lawan dan dalam masa yang sama turun ke bawah bertahan. Dalam tempo permainan beginilah, mana-mana pasukan melakukan kesilapan akan menerima padah.

Penjaga gol dan ketua pasukan Harimau Muda, Khairul Fahmi, perlu mengambil iktibar dari perlawanan final Piala FA antara Kelantan-Trengganu yang lalu yang menyaksikan Kelantan yang mendahului 1-0 boleh tumpas dalam masa kecederaan. Semangat juang dan tidak putus asa walaupun ketinggalan 0-1 yang dipamerkan pemain-pemain Trengganu perlu dijadikan contoh.

Dalam permainan bolasepak mendahului pihak lawan dengan hanya satu gol belum menjaminkan apa-apa. Lebih-lebih lagi dalam perlawanan malam esok, keputusan seri 1-1 sudah memadai bagi Lubnan menyingkirkan pasukan negara dari Sukan Olimpik 2014.

Malaysia telah layak ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1972 dan 1980. Tahun 1972 di Munich dan 1980 di Moscow. Bagaimanapun, Malaysia tidak ikut serta sukan itu di Moscow kerana kerajaan Malaysia pada masa itu telah memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Kali ini tentulah pasukan Olimpik negara berazam  ingin melakar sejarah bagi meneruskan ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik dan mengulangi sejarah gemilang bolasepak negara 31 tahun dahulu. Peluang untuk menang malam esok tetap cerah dan tidak boleh dipersiakan begitu sahaja.

Semuanya terletak pada para pemain agar bersemangat dan berdisiplin semasa berada di padang. Dan paling penting para pemain mesti mengelakkan dari bermain secara kasar bagi terhindar dari diberi kad merah dan seterusnya dibuang padang.

Jika ini berlaku ianya akan menambahkan lagi tekanan pada para pemain dalam buruan mencari kemenangan. Pemain mesti mencari gol awal dan berdisiplin bila turun bertahan serta tidak melakukan kesilapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan