Khamis, 9 Jun 2011

Bolasepak : Peluang Kelantan catat sejarah

KELANTAN akan bertemu Trengganu dalam final Piala FA Sabtu ini di Stadium Bukit Jalil. Kedua pasukan telah pun bertemu Isnin lalu dalam perlawanan Liga Super di Kuala Trengganu, di mana Kelantan menang 3-0.

Pasukan Trengganu sudah pasti akan menebus kembali kekalahan mereka Isnin lalu. Menurut jurulatih Trengganu, Irfan Bakti, kekalahan baru-baru ini bukanlah disebabkan Kelantan kuat, tetapi akibat banyak kesilapan dilakukan oleh para pemainnya.

Pada final Piala FA ini pasukan penyu itu berazam memperbaiki segala kelemahan dan yakin dapat mengatasi The Red Warriors. Keyakinan ini bertambah dengan kehadiran semula penyerang kebangsaan, Ashaari Shamsudin, yang tidak bermain Isnin lalu akibat digantung permainan kerana menerima kad kuning.

Manakala Kelantan yang telah pun memiliki Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih tidak akan melepaskan peluang keemasan ini merangkul satu lagi piala yang tidak pernah mereka menangi - Piala FA. Sekiranya impian ini tercapai, maka Kelantan akan mencatat sejarah dengan memenangi tiga piala dalam masa yang singkat.

Itu belum kira lagi Piala Liga, di mana Kelantan berada ditangga teratas dan hanya memerlukan memenangi tiga lagi baki perlawanan untuk mengesahkan sebagai juara Liga. Peluang sebegini bukannya mudah untuk dicapai dan ia tidak boleh dipersiakan.

Kalau para pemain Kelantan fokus dan mempunyai mental yang kuat kejayaan untuk merangkul empat piala berprestij  sekaligus bukanlah satu misi yang mustahil. Tetapi jika mereka terlalu yakin dan "complacent" mereka akan menerima padah.

Trengganu adalah sebuah pasukan yang mampu membuat kejutan, apatah lagi mereka berazam membalas "dendam" kekalahan mereka dilaman sendiri Isnin lalu. Dan lebih bermakna lagi, mereka berazam untuk merangkul Piala FA untuk dihadiahkan kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin, sempena ulangtahun keputeraan baginda pada 4 Jun lalu dan menyambut kepulangan ke Trengganu selepas tempoh perkhidmatan baginda berakhir hujung tahun ini.

Kelantan pula mahu mencatat sejarahnya tersendiri dengan merebut Piala FA dan Piala Liga, sebagai memenuhi koleksinya selepas berjaya merampas Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih. Dan peluang ini tidak harus dilepaskan begitu saja. Kerana peluang sebegini tidak selalunya datang.

Apapun kita mengharapkan final pada Sabtu ini kedua pasukan akan mempamerkan satu perlawanan yang menarik dan menghiburkan. Juga tidak kurang penting kedua pasukan akan bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi dan permainan yang bersih dari kekasaran.

Para penyokong kedua pasukan juga mestilah berdisiplin dan bersopan agar tidak berlaku insiden yang boleh mencemar imej negeri masing-masing.

Segala bunga api dan mercun tidak perlulah dibawa masuk ke dalam stadium.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan