Jumaat, 17 Jun 2011

Rasuah bolasepak

BEBERAPA individu telah pun dihadapkan ke mahkamah di atas tuduhan memberi rasuah dan mengatur perlawanan. Antara yang terlibat ialah beberapa orang jurulatih dan seorang warga asing yang bertindak sebagai bookie.

Setakat ini siasatan polis mendapati ianya hanya melibatkan perlawanan dalam Piala Presiden. Tidak pasti adakah gejala rasuah dan mengatur perlawanan melibatkan lebih banyak pemain dan pasukan-pasukan lain. Semuanya masih dalam siasatan.

Kita berharap gejala ini tidak merebak begitu jauh dan serius. Semoga kes ini setakat yang telah dilaporkan sahaja. Kalaulah ada lagi kes-kes baru yang terbongkar dan melibatkan banyak lagi pemain, maka alamatnya sukan bolasepak negara akan mengalami zaman hitam sekali lagi.

Apa yang menjadi persoalannya; bagaimana kes ini boleh melibatkan seorang warga Singapura ? Kita berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan terperinci dan menyeluruh.

Apakah ada elemen atau unsur sabotaj dari anasir luar untuk mendiskredit dan menghancurkan imej bolasepak tanahair ?

Setakat ini memang tidak ada bukti ke arah itu, tetapi pihak polis mesti menyiasatnya ke akar umbi agar rakyat negara ini mendapat gambaran sebenar. Bukan mustahil ada pihak yang cemburu dengan perkembangan positif sukan bolasepak negara kebelakangan ini.

Segala pencapaian pasukan negara akhir-akhir ini boleh hancur musnah sekelip mata gara-gara rasuah ini. Kita berharap benar tidak ada pemain sama ada pasukan Harimau Malaya atau Harimau Muda terbabit.

Sukan bolasepak negara telah jatuh merudum begitu teruk dalam 20 tahun kebelakangan ini. Dan ia mulai kelihatan bangit kembali setahun dua ini. Ia memberi petunjuk positif dan sinar harapan yang menggunung dari peminat-peminat bolasepak tanahair yang masih bernostalgia dengan zaman Ghani Minhat dan Mokhtar Dahari.

Bolasepak negara mempunyai masa depan cerah dan meriah. Tetapi dengan gejala rasuah ini ia boleh meranapkan segala impian para peminatnya. Lebih memilukan kalau didapati ada pemain-pemain kebangsaan yang terlibat.

Jika ini benar, maka negara akan mundur 20 tahun kebelakang sebagaimana dahulu dan tentu mengambil masa yang panjang untuk bangun semula. Pihak polis tidak boleh mengenepikan unsur dan anasir luar itu !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan