Jumaat, 3 Jun 2011

Krisis kewangan Asia 1997/98 dibukukan

TUN Dr. Mahathir Mohamad sepanjang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tidak ada ujian paling getir dihadapinya sebagai seorang pemimpin ialah menghadapi krisis kewangan yang melanda Asia oleh pihak spekulator.

Banyak konglomerat, syarikat-syarikat besar dan ahli perniagaan jatuh bangkrap ekoran nilai matawang jatuh dan faedah pinjaman bank naik melambung. Di Malaysia NPL (Non Performing Loan) jatuh dari enam bulan hingga ke tiga bulan.

Nilai ringgit terus jatuh berbanding US Dollar. Indonesia, Thailand dan Korea Selatan paling teruk kesannya. Di Indonesia rusuhan berlaku akibat harga barang keperluan naik berlipat ganda. Di Korea Selatan pula, Daewoo, sebuah konglomerat terbesar terpaksa diambilalih oleh pihak pemodal barat.

Akhirnya, akibat tekanan kewangan yang tenat, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan jatuh ke tangan IMF.

Tetapi Malaysia di bawah Dr. Mahathir telah mengambil langkah bijak dan menolak "resepi" IMF dalam menangani krisis kewangan masa itu. Langkahnya ialah dengan menambat ringgit nilai RM 3.80 bersamaan satu US Dollar.

Tindakan ini dikecam hebat oleh IMF serta negara-negara barat. Malah mendapat tentangan juga di dalam negeri dari pihak-pihak tertentu.

Keputusan dan langkah yang diambil Dr. Mahathir telah menyelamatkan negara dan rakyatnya dari jatuh ke tangan IMF yang meletakkan syarat memenuhi segala formula yang diberikannya dalam mengendali dan mengurus kewangan negara.

Ketokohan dan kehebatan seorang pemimpin  diuji bila ia berdepan dengan masalah dan krisis. Bila seseorang pemimpin itu berjaya menyelesaikan masalah dan berjaya mencari jalan keluar, maka dia dianggap lulus ujian dan membuktikan ia adalah pemimpin yang berkesan.

Kehebatan seorang pemimpin bukan diukur di sudut retorik dan janji-janji manis sahaja, tetapi dari segi idea dan kemampuannya melaksanakan idea-idea tersebut. Dan Dr. Mahathir termasuk dalam kategori tersebut.

Bagi generasi muda tentulah ingin mengetahui dan mempelajari bagaimana Dr. Mahathir dalam saat genting itu membuat keputusan demi kebaikan negara dan cara-cara beliau menghadapi spekulator kewangan yang mengaut keuntungan dengan merosakkan  sistem kewangan negara-negara di Asia.

Ini dapat diperolehi dengan terbitnya buku,  "Notes to the Prime Minister- The untold story of how Malaysia beat the currency speculators."  Buku ini diusahakan penasihat ekonominya pada masa itu- Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Menurut Nor Mohamed, buku ini mengandungi nota-nota dan perbincangan antara beliau dan Dr. Mahathir dalam menangani kesan krisis kewangan masa itu.

Bagi Tan Sri Nor, buku ini penting agar generasi akan datang dapat menilai kebijaksanaan dan ketabahan Dr. Mahathir ketika menghadapi krisis ekonomi yang tercatat dalam sejarah negara.

.



.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan