Isnin, 13 Jun 2011

Mustafa Ali kekal Setiausaha Agung PAS

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengumumkan Datuk Mustafa Ali kekal sebagai Setiausaha Agung PAS dan menamakan beberapa AJK tambahan dalam mesyuarat pertama kepimpinan baru parti itu setelah muktamar selesai minggu lalu.

Setelah dikejutkan dengan pemilihan tertinggi parti dengan kalahnya semua calon dari golongan ulama, ramai pemerhati menanti perlantikan Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2011-2013.

Datuk Mustafa Ali
Kerusi Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden telah disapu bersih dari golongan profesional. Calon-calon berimej ulama telah tewas dalam semua jawatan kecuali beberapa orang yang terpilih menduduki Ahli Jawatankuasa Pusat.

Justeru itu gambaran selepas muktamar ialah calon-calon profesional telah mendominasi jawatan-jawatan penting parti berbanding calon berimej ulama. Kedudukan calon ulama yang tewas seperti Nasharudin Mat Isa, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Idris Ahmad menjadi perhatian.

Dengan terpilihnya Tuan Ibrahim sebagai Ketua Penerangan yang baru dan perlantikan Nasharudin dan Idris Ahmad sebagai AJK pusat memberi sedikit imbangan antara ulama dan profesional dalam menentukan dasar-dasar parti.

Lebih-lebih lagi kekalnya Datuk Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung, kerana beliau dianggap sebagai "Presidents Men".  Mustafa Ali adalah orang yang memain peranan penting dalam isu kerajaan perpaduan yang mendapat kecaman hebat dari Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Dengan perlantikan AJK sesi 2011-2013 ini membuktikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih mempunyai pengaruh dan kuasa penentu dan tidak tunduk dengan Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden yang terdiri dari kem profesional.

Golongan profesional tentunya lebih cenderung untuk mengambil calon mereka menjawat sebagai Setiausaha Agung yang baru. Tetapi dengan kekalnya Mustafa Ali dan Tuan Ibrahim sebagai Ketua Penerangan,  kuasa dan pengaruh Presiden dapat diimbangkan dari "serangan" kem profesional.

Pemilihan AJK yang baru adalah hak mutlak presiden. Dan Abdul Hadi telah pun menggunakan kuasa itu dengan sepenuhnya. Sekiranya jawatan-jawatan tadi diisi dari golongan profesional, maka orang akan melihat bahawa Presiden telah tunduk dengan tekanan dari Timbalan serta tiga Naibnya yang secara kebetulan bukan dari golongan ulama.

Pandangan seperti ini mungkin ditolak oleh parti. Namun hakikatnya selepas muktamar yang lalu ramai ahli kecewa dengan kegagalan calon ulama mendapat tempat. Seolah-olah Abdul Hadi, sebagai Presiden sendirian dikelilingi tokoh-tokoh profesional.

Itupun dalam mesyuarat cawangan Bukit Bintang, ahli telah mencadangkan jawatan Presiden dipertandingkan. Tetapi usul ini tidak mendapat sambutan kerana keseluruhan ahli masih lagi ingin menjaga imej presiden dari tercemar.

Abdul Hadi sedar akan hal ini dan sekiranya beliau tidak memperkemas kedudukannya dari sekarang bukan mustahil dua tahun lagi pada muktamar akan datang ada calon yang akan menentangnya bagi jawatan Presiden.

Sekarang pun baik dalam dan luar parti ramai yang mempersoalkan kepimpinan beliau yang dianggap tidak berkesan. Langkah beliau memilih dan melantik AJK baru, terutamanya Setiausaha Agung, adalah sebagai persediaan awal mengukuhkan kedudukannya dan paling penting bagi menghadapi saingan dari kem profesional bagi jawatan Presiden.

Tidak boleh dinafikan Datuk Mustafa Ali, Tuan Ibrahim, Nasharudin dan Ustaz Idris Ahmad yang baru dilantik menduduki AJK Pusat yang baru adalah merupakan calon-calon "The Presidents Men"..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan