Khamis, 2 Jun 2011

Dr. Haron Din sokong Nasha

AKHIRNYA Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din, memecahkan kesunyian dengan meminta ahli-ahli PAS agar mengekalkan gandingan Hadi-Nasha dalam muktamar parti itu sehari dua lagi. Menurutnya, PAS perlu meneruskan tradisi kepimpinan ulamak, walaupun ia tidak tercatat dalam perlembagaan parti.

Pandangan beliau disokong oleh Subky Abdul Latif, bekas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, dengan menyatakan jawatan nombor dua parti harus diberi kepada pemimpin berlatarbelakang kelulusan agama atau ulama.

Soalnya, mengapa Dr. Haron Din dan Subky Latif membuat kenyataan ini disaat-saat akhir menjelang muktamar ? Apakah ancaman dan peluang Mat Sabu semakin "real" ?

Pada umumnya, semua orang mengetahui bahawa Hadi, Nasha, Haron Din dan Mustapha Ali berada dalam satu kapal. Cuma sebelum ini ia tidak diperkatakan secara umum, lebih-lebih lagi Presiden parti, Abdul Hadi.

Dan pendirian Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz tidak perlu lagi dipersoalkan kerana sikap orang tua itu sudah terang lagi bersuluh. Anak-anak buahnya seperti Husam Musa, Khalid Samad dan lain-lain masih lagi memendam rasa episod kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan Nasharuddin .

Husam yang menentang Nasha untuk jawatan nombor dua parti di muktamar yang lalu telah menggunakan ayat "unacceptable" langkah setengah pemimpin parti yang ingin bekerjasama dengan UMNO. Kini mereka telah meletakkan Mat Sabu sebagai proksi mereka dalam percubaan untuk menguasai parti.

Mat Sabu adalah calon "liberal" yang bukan ulamak dan juga bukan ustaz. Seperti kata Subky, sekiranya Presiden tidak ada, maka Timbalannyalah yang akan mengambilalih menerajui parti. Justeru itu calonnya mestilah tahu Al Quran dan hukum-hukumnya.

Berdasarkan faktor ini, peluang Mat Sabu untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden PAS, amatlah tipis. Seandainya, ya seandainya, Mat Sabu menang, mesti ada sesuatu yang tidak kena dengan nawaitu dan falsafah pemikiran ahli-ahli PAS.

Barangkali, bila Mat Sabu jadi orang nombor dua parti, di mana nak diletaknya muka pemimpin seperti Harun Taib, Ustaz Haji Ahmad Awang, Ustaz Ghani Shamsuddin, Dr Hassan Ali, Azizan Razak, serta ulama-ulama lain. Malah Dr. Haron Din sendiri.

Maka itulah kenyataan Dr. Haron Din tadi mempunyai signifikannya sendiri, malah sebagai usaha memperingati para perwakilan agar tidak silap membuat pilihan supaya nasi tidak jadi bubur. PAS perlu terus dikuasai barisan para ulamak, agar parti tidak hilang arah dan imejnya sebagai satu-satunya harakah Islam di negara ini.

PAS perlu membuat perubahan dan reformasi peranannya dalam Pakatan Rakyat. PAS tidak harus berada di bawah DAP atau PKR, malah ia perlu lebih menonjol, menguasai dan dominan dalam agenda politik nasional. Ia tidak perlu terikut-ikut dengan tarian DAP dan PKR. PAS mesti bergerak dengan imejnya sendiri. Malah PAS harus buktikan nyawanya dalam politik nasional tidak bergantung pada kedua parti tersebut.


Akhirnya, PAS adalah satu "force" yang disegani dan dihormati dan bukan "alat" memecahbelahkan umat Islam di negara ini. Sekiranya PAS tidak mampu mengatasi UMNO, ia perlu memainkan peranan sebagai "check and balance" dengan berkesan. Dan bukan menjadi "kuda tunggangan" pada DAP dan PKR..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan