Khamis, 12 Julai 2012

Artis masuk Pas

PERIHAL para artis menyertai parti Pas. Terbaru pelakon Abby Abadi dan Hairie Othman yang kini sibuk menghadiri pentas-pentas ceramah parti itu.

Dalam sebuah negara bebas dan demokrasi sesiapa saja berhak memilih mana-mana parti politik yang diyakini. Tiada sekatan dan halangan.

Cuma yang kurang seronok ialah sikap artis-artis ini bila sudah jadi ahli Pas seolah mereka baru bertemu dengan agama Islam dan menghina serta mengutuk mereka yang berada di luar parti itu.

Kalau sebelum ini mereka begitu jahil dan tidak menutup aurat, tetapi setelah sedar dan insaf mereka berubah. Dan ini adalah satu perubahan yang sihat. Tetapi yang tidak sihat ialah sikap memandang rendah dan menganggap orang lain kurang Islam.

Pas hanyalah sebuah parti politik yang menganut amalan demokrasi barat dan turut membayar wang deposit dalam setiap pilihanraya. Ia juga turut terpalit dengan politik sekular dengan merubah-rubah dasar parti bersesuaian dengan suasana politik. Kalau dulu Pas kata memerintah bersama orang Cina adalah kafir. Kini mereka boleh bekerjasama dengan DAP. Kalau dulu hukum hudud wajib mahu dilaksanakan bila berkuasa, namun kini hukum hudud akan dilaksanakan setelah semua masalah sosial dapat di atasi.

Para artis ini bila bercakap tentang Islam mereka seolah mempunyai ilmu yang tinggi. Apakah mereka lupa pada tokoh-tokoh ilmuan yang telah meninggalkan perjuangan Pas seperti Ustaz Nakhaie Ahmad, Datuk Dr. Hasan Ali, Profesor Mohd Noor Deris dan ramai lagi. Mereka semua bertaraf ulama dan intelektual Islam dalam bidang masing-masing. Apakah kita masih ingat Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad yang turut menyertai Pas dan menjadi wakil rakyatnya di Kedah ? Di mana Shahnon sekarang ? Beliau kini mengutuk keras sikap Pas berpakat dengan DAP.

Pada para artis yang masuk Pas tidak menjadi kesalahan dan halangan. Tetapi tidak usahlah menganggap diri sudah Islam lebih dari orang di luar sana. Seolah-olah baru masuk Pas seperti baru menjadi penganut agama Islam yang sebenar.

Ramai lagi tokoh dan cendekiawan Islam dalam bidang falsafah dan berbagai cabang ilmu Islam tidak pun menjadi ahli Pas. Mereka tetap Islam dan menjadi penganut yang sentiasa memberi sumbangan idea dan fikiran bagi kepentingan ummah. Mereka tidak berceramah di pentas-pentas politik murahan. Kerana mereka tahu membezakan antara  politik dan agama.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan