Rabu, 29 Jun 2011

Malaysia lawan Taiwan malam ini

MALAYSIA akan bertemu Taiwan malam ini dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Di atas kertas pasukan negara boleh menewaskan Taiwan dengan mudah. Apatah lagi rangking kita berada di tangga 143, manakala Taiwan 160 di dunia.

Prestasi pasukan negara pula akhir-akhir ini berada ditahap kemuncak setelah tidak pernah tewas selepas menjuarai Piala AFF Suzuki baru-baru ini. Sekiranya para pemain boleh mengekalkan momentum ini rasanya Taiwan bukanlah masalah besar bagi pasukan negara.

Pun begitu anak-anak buah K.Rajagopal perlu berhati-hati dan tidak ambil mudah perlawanan malam ini. Kita perlu ingat semasa pasukan negara bertemu Vietnam digelangang lawan dalam separuh akhir Piala AFF, para pemain kita banyak turun ke bawah bertahan dan menyerang balas sekali sekala. Ini kerana kita sudah mengatasi mereka 2-0 di Kuala Lumpur.

Jurulatih Vietnam merungut kerana taktik pasukan negara kita menyukarkan pemain-pemainnya menjaringkan gol. Taktik pasukan negara bertahan terbukti berkesan dengan keputusan perlawanan seri 0-0. Begitu juga dalam perlawanan baru-baru ini antara pasukan Olimpik negara dengan Lubnan di Beirut yang berkesudahan seri 0-0. Dalam perlawanan itu pasukan Harimau Muda kita banyak bertahan dan semua pemain turun ke bawah bila pasukan lawan menyerang.

Cara permainan bertahan ini cukup berkesan bila bermain di tempat lawan. Pada perlawanan malam ini sekiranya Taiwan mengambil pendekatan yang sama sebagaimana kita lakukan di Vietnam dan Lubnan, bagaimana ?

Kalau semua pemain Taiwan berkubu dan berkumpul di bawah ia sudah pasti menyukarkan pasukan negara mencari gol. Dan mereka tentunya akan berusaha agar gol mereka tidak bolos dengan banyak bagi memudahkan tugas mereka bila perlawanan timbal balik di Taiwan nanti.

Coach Rajagopal perlu mempunyai pelan sekiranya keadaan ini terjadi. Malaysia harus menjaringkan gol sebanyak yang mungkin sebagai bekalan ke Taiwan nanti. Seperti kata Ketua Pasukan, Safiq Rahim, sekurang-kurangnya kita jaringkan tiga gol mengatasi Taiwan.

Sebagai seorang peminat dan bukannya pakar taktikal bolasepak, saya lihat hanya ada satu cara sahaja untuk membolosi kubu Taiwan sekiranya mereka semua turun bertahan ialah dengan menghantar bola tinggi dan jauh masuk ke kawasan penalti lawan. Bermain secara hantaran pendek tidak berkesan. Dengan bola tinggi dan hantaran jauh sahaja peluang agak terbuka dan menunggu pihak lawan melakukan kesilapan bila cuba "clearing" bola tersebut.

Dan paling mustahak dan sering diingatkan ialah kad kuning dan seterusnya kad merah. Para pemain harus berhati-hati dan mengelak dari menerima kad. Apa yang berlaku pada Gary Steven Roberts yang diarah keluar padang pada perlawanan pasukan Olimpik negara dengan Lubnan tempoh hari mesti dielakkan.

Setelah dia diarah keluar padang permainan menjadi berat sebelah dan para pemain negara bermain dalam tekanan. Mujur ketika itu pasukan negara telah pun mendahului Lubnan 2-0.

Pemain-pemain negara perlu bertenang dan mengelak dari melakukan kesilapan kerana kemenangan sudah berada dalam genggaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan