Ahad, 19 Jun 2011

Peranan masyarakat yang prihatin

DALAM akhbar harian beberapa hari yang lalu melaporkan seorang bapa berusia 40an dijatuhi hukuman denda RM 1,000 dan penjara di atas kesalahan mencuri di sebuah pasar raya.

Antara barang yang dicuri ialah tiga jenis aiskerim yang berjenama bernilai tidak lebih dari RM 13. Menurut berita itu lagi, dia mencuri kerana tidak tahan melihat anaknya yang masih kecil merengek dan menangis mahukan aiskerim tersebut. Oleh kerana dia tidak berduit dan tidak sampai hati melihat anaknya terus menangis, lalu ia ambil saja aiskerim tersebut tanpa membayarnya. Dia dan anaknya ditahan oleh pegawai keselamatan di pintu keluar pasar raya tersebut.

Apakah yang dapat kita simpulkan dari kes seorang bapa dan anaknya yang tidak mengerti apa-apa seperti cerita di atas ?

Apakah si bapa itu benar bersalah dan seharusnya dihukum ?  Apakah salah seorang bapa yang mempunyai nilai-nilai kasih sayang dan kemanusiaan itu sanggup melakukan apa saja hanya memenuhi keinginan anaknya ?

Haiwan yang tidak punya akal pun tidak akan membiarkan anaknya menangis kelaparan. Inikan manusia.

Perbuatan mencuri tetap salah dan dia sudah pun menerima hukumannya. Tetapi kita hidup bermasyarakat dan beragama perlulah lebih prihatin dan peka dengan apa yang berlaku disekeliling kita lebih-lebih lagi saudara dan jiran tetangga.

Kita bertanggungjawab dan berperanan melahirkan sebuah masyarakat yang prihatin dan penyayang. Ini baru satu kes yang diketahui dan kita percaya masih banyak, malah beribu kes seumpamanya yang tidak didedahkan dan diketahui seluruh negara.

Kalaulah semua anggota masyarakat bersifat kasih sayang dan sikap ambil peduli tentunya si bapa dan anak kecilnya itu tidak akan malang nasibnya. Bayangkan kerana hanya aiskerim bernilai RM 13 si bapa ke penjara dan entah apa pula nasib si kecil itu.

Ironinya, di negara kita tokoh-tokoh politik dan koporat yang melakukan rasuah dan menyalahkan dana awam yang mencecah RM berjuta-juta, malah berbillion-billion, masih mampu terbang ke sana ke mari dengan wang jaminan di mahkamah. Sering pula kes-kes mereka bertangguh hingga bertahun-tahun lamanya.

Tidak kejamkah dunia ini ? Di manakah ertinya keadilan dan erti permainan di atas padang sama rata ?

Wahai sekalian ahli-ahli politik kerajaan mahupun pembangkang, hentikan segala laungan dan slogan kamu tentang Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan dan konsep negara Islam berstatus kebajikan sekiranya masih ada segelintir rakyat mengalami nasib malang seperti dua beranak itu.

Kempen dan slogan hanya sebuah ilusi sekiranya ia tidak sampai ke bawah dan akar umbi.

Barangkali, bagi orang politik ini adalah kes yang terpencil. Tetapi jangan lupa apa yang telah menimpa Zen Abideen Ali di Tunisia. Ia jatuh tersungkur dan api revolusi bermula gara-gara seorang pemuda membakar dirinya kerana kecewa menganggur dan kesempitan hidup. Kerana pemuda Tunisia itu habis menular ke negara-negara Arab yang lain. Mesir dan Hosni Mubarak adalah mangsanya yang pertama. Yang lain-lain sekarang ibarat telor dihujung tanduk.

Perbandingan negara ini dengan negara-negara Arab tersebut mungkin tidak adil dan tepat kerana keadaan di negara kita lebih baik dan tidaklah seburuk mereka. Tetapi kita perlu beringat dan tidak lalai bila berada di zon selesa kerana ia boleh membawa padah.

Hanya kerana selesalah Zen Abideen Ali , Mubarak dan kini Abdullah Salleh terpaksa pergi meninggalkan keselesaan mereka selama 30 tahun yang mereka kecapi. Kini giliran Gaddafi dan Assad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan