Rabu, 29 Jun 2011

Mohon maaf sdr. Mohd Sayuti Omar

SAYA adalah seorang yang agak ketinggalan dalam penggunaan komputer dan selok-beloknya. Setakat menaip, posting dan benda kecil-kecil tidak menjadi masalah besar. Tetapi bila sampai ke perkara yang agak rumit sedikit kebiasaannya saya akan terhenti separuh jalan. Saya agak lembab sedikit dalam hal ini.

Namun saya bernasib baik kerana mempunyai seorang sahabat yang baru saya kenali. Beliau tinggal sekampung dengan saya. Tetapi takdir kita baru berkenalan beberapa bulan yang lalu. Beliau ialah Wan Ashhar Wan Mustaffa, seorang photographer, Arabic Calligrapher, Digital Artist dan Producer (Astro Oasis).

Beliau juga mempunyai beberapa laman blog; antaranya, Tok Janggut Siber dan Quran Tutorial. Saya bernasib baik kerana beliau banyak membantu saya dalam soal grafik dan sebagainya. Banner dan "foto" terbaru saya beliaulah yang membantu. Biasanya saya akan deraf dan lukis apa yang saya mahu dan serahkan padanya. Tak sampai beberapa jam semua beres. Lepas itu saya akan belanja dia makan ais kacang atau roti canai di kedai berdekatan.... kah...kah...kah.

Beberapa hari yang lalu saya ada SMS padanya. Antara lain saya minta kalau dia tidak keberatan , agar dapat memasukkan beberapa blog yang saya ikut termasuk blognya di ruang kosong sebelah tepi. Seperti biasa selang 24 jam segalanya selesai dan sempurna.

Cuma saya ada sedikit terkilan dan "tersangkut" bila ada satu senarai nama tercicir dalam senarai blog tersebut. Dan kesilapan ini bukanlah kesalahan sdr. Wan Ashhar atau Tok Janggut, tetapi kecuaian saya dalam memberikan nama-nama blog tersebut.

Blog yang tercicir itu ialah blog kenalan lama saya dan seorang yang banyak membantu saya dalam bidang penulisan akhbar. Beliau ialah Mohd Sayuti Omar atau lebih dikenali dengan msomelayu.blogspot.com. MSO banyak menghasilkan buku-buku politik, selain mempunyai kolum tetap dalam Siasah dan Buletin Rakyat serta ruangan pojok. Kini MSO adalah Ketua Pengarang akhbar tabloid Siasah.

Barangkali, bagi MSO ini adalah satu perkara kecil yang tidak akan mengganggunya. Tetapi tidak untuk saya. Saya pernah bekerja di bawahnya semasa beliau menjadi Pengarang, Mingguan Islam dan menumpang di rumahnya semasa berada di KL. Beliau banyak mengajar dan menegur saya semasa menjadi wartawan sambilan di akhbar tersebut. Dan yang terbaru beliau ada memetik beberapa tulisan di blog saya untuk diterbitkan dalam Siasah.

Semua ini adalah sesuatu yang amat saya hargai dan sanjungi. Saya tahu beliau tidak rasa apa-apa kerana saya tahu benar sikap beliau. Namun secara peribadi amatlah tidak kena jika saya mencicirkan namanya. Orang berbudi kita merasa.

Jadi saya ingin mohon maaf pada MSO apa yang terjadi. Saya terkhilaf.

Kepada sahabat saya Tok Janggut, apalah kiranya kalau sdr. tolong ralat nama MSO yang tercicir itu. Nanti petang kalau tidak hujan, boleh kita sembang di kedai kopi di Taman Bakti untuk menikmati roti canai atau murtabak pisang yang sedap itu. Banyak lagi yang saya nak sembang dengan Tok Janggut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan