Isnin, 13 Jun 2011

Jangan tuding jari

EKORAN kekalahan Kelantan ditangan Trengganu dalam final Piala FA sudah timbul berbagai cemuhan dan tuduhan sebagai "kambing hitam" menjadi punca kegagalan pasukan The Red Warriors merampas piala tersebut.

Mereka yang dipersalahkan ialah pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaluddin, pemain yang telah menjaringkan gol sendiri dalam minit terakhir perlawanan dan jurulatih M.Karathu, yang dituduh silap strategi dalam pemilihan para pemain.

Seperti biasa dalam apa saja jenis sukan, bila mengalami kekalahan seolah-olah perlu mencari sesuatu untuk dikambinghitamkan. Dalam konteks ini, dari pihak pengurusan hingga para pemain Kelantan, mereka seharusnya pandang kehadapan dan tidak perlu lagi menoleh kebelakang.

Kelantan sekarang memiliki segalanya dan tumpuan harus ditumpukan pada dua baki perlawanan Liga Super. Sekiranya mereka berjaya mengutip mata penuh, mereka akan dinobatkan sebagai juara Liga Super dan memberi fokus sepenuhnya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Kekalahan dengan Sang Penyu sepatutnya menjadi dorongan dan motivasi lebih kuat dari para pemain untuk mencatat satu lagi sejarah dalam waktu terdekat ini. Memang moral para pemain kini berada ditahap yang cukup rendah akibat kekalahan Sabtu lalu.

M.Karathu telah pun berjanji akan meniup kembali semangat dan motivasi pemain bagi meneruskan cabaran yang sedang menanti di hadapan mereka. Pada kedudukkan sekarang, Piala Liga Super dan Piala Malaysia boleh dikira masih berada dalam jangkauan Kelantan. Cuma para pemain perlu fokus 100 peratus dan berjuang tanpa kenal putus asa bila berada di atas padang.

Semangat para pemain penyu yang tidak putus asa dan terus fokus walaupun permainan berbaki beberapa minit sahaja, sedangkan mereka ketinggalan 0-1 patut dijadikan contoh.

Mohd Daudsu telah pun meminta maaf diatas kesilapannya yang tidak disengaja itu. Jurulatih M.Karathu pula berjanji akan menebus kembali kekecewaan para penyokong Kelantan dengan memenangi Piala Liga Super dan seterusnya mempertahankan Piala Malaysia.

Kejayaan sesebuah pasukan adalah secara kolektif. Dan bila menemui kegagalan dan kekecewaan juga seharusnya dipikul bersama bukannya menuding jari dan mencari kesalahan pihak tertentu.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan