Ahad, 12 Jun 2011

Trengganu berhak julang Piala FA

TRENGGANU memusnahkan impian Kelantan dengan menewaskan jirannya itu dalam final Piala FA 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam perlawanan yang penuh dramatik.

Semangat tinggi, komited dan tidak putus asa adalah faktor yang memisahkan antara kedua pasukan tersebut untuk dinobatkan sebagai juara. Pasukan penyu telah mempamerkan persembahan yang mempunyai ciri-ciri tersebut.

Trengganu walaupun ketinggalan 0-1 sehingga minit ke 90 tidak patah semangat, malah terus mengasak ke kubu Kelantan yang sedikit selesa dan leka dengan perlawanan yang berbaki beberapa minit dalam masa tambahan. Usaha pasukan penyu berhasil hanya empat minit perlawanan akan berakhir melalui kesilapan pertahanan Kelantan untuk menyamakan kedudukkan 1-1.

Ketika Kelantan mendahului 1-0 sehingga minit akhir pasukan The Red Warriors itu kelihatan sudah meletakkan sebelah kakinya sebagai juara. Tetapi segalanya musnah akibat kelekaan barisan pertahanan sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Menurut jurulatih Kelantan, M.Karathu, gol penyamaan Trengganu telah "demoralised" seluruh pemainnya dan pemain-pemain Trengganu pula semakin bersemangat.

Bagi bekas jurulatih Kelantan dan kebangsaan, B.Satianathan, permainan separuh masa pertama tidak menarik dan hambar. Dalam separuh masa kedua baru ada gerakan dan persembahan yang menarik dari pemain-pemain kedua pasukan.

Menurut Sathia lagi, kedua pasukan banyak bermain bola tinggi dan hantaran jauh dan sepatutnya mereka banyak menggunakan hantaran-hantaran pendek dan mengamalkan penguasaan bola atau "ball possesion". Katanya lagi, dengan bermain bola tinggi dan hantaran jauh pemain cepat letih, sedangkan bola hantaran pendek para pemain tidak perlu banyak berlari. Ertinya, pemain yang bekerja atau bola yang bekerja..

Inilah kesilapan Kelantan ketika mereka mendahului sehingga ke minit akhir. Sepatutnya mereka lebih banyak menguasai bola dan menyimpannya. Tapi itulah bolasepak dengan mengatasi pihak lawan dengan hanya satu gol belum memadai. Hanya satu atau dua minit perlawanan akan berakhir boleh merubah segalanya, apatah lagi para pemain hilang tumpuan dan leka.

Kepada Trengganu, tahniah kerana berjaya menjuarai Piala FA buat kali kedua. Manakala Kelantan, mereka perlu bangkit dan menebus kekecewaan dengan merampas Piala Liga Super yang berbaki dua lagi perlawanan dan seterusnya mempertahankan Piala Malaysia yang dimilikinya musim lepas.

Hanya dengan menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia sahaja dapat mengubati para penyokong The Red Warriors yang berduka dengan kekalahan semalam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan