PM Anwar Ibrahim meraikan hari ulang tahun Tun Musa Hitam ke 90 dalam satu majlis yang diadakan di Johor baru-baru ini.
Tun Musa Hitam adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dari 1981 - 1986. Beliau diiktiraf sebagai negarawan dan seorang ahli politik yang berprinsip dan berintegriti.
Tun Musa Hitam |
Tun Musa adalah TPM pertama Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Beliau tidak dipecat dari jawatan TPM tetapi meletakkan jawatannya kerana tidak bersefahaman dengan Dr Mahathir dalam banyak perkara.
Pada zaman Tun Razak ramai penganalisa meramalkan Tun Musa adalah antara calon berpotensi menjadi PM masa depan. Mereka mengira Tun Musa adalah seorang yang pintar.
Menurut Lim Kit Siang, Tun Musa adalah TPM yang terbaik dan negara terlepas peluang mempunyai seorang PM seperti Tun Musa.
Tun Musa dilantik sebagai TPM pada 1981. Manakala Anwar Ibrahim masuk Umno dan menyertai kabinet kerajaan pada 1982. Sebelum itu Anwar adalah pemimpin belia yang popular dalam dan luar negeri.
Dengan ikut sertanya Anwar dalam Umno dan kerajaan ia menimbulkan suasana seolah Anwar menjadi saingan Tun Musa sebagai pemimpin barisan depan negara.
Tun Musa pada awalnya kelihatan tidak selesa dan melihat dari sudut politik - kemasukkan Anwar dalam Umno dan kerajaan sebagai satu ancaman dan saingan pada kedudukkanya sebagai TPM.
Bagi Dr Mahathir pula kehadiran Anwar penting bagi menghadapi pengaruh parti Pas kerana Anwar mempunyai imej pemimpin Islam yang popular melalui pertubuhan yang diasaskannya iaitu ABIM.
Pernah satu ketika Anwar sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam kabinet Mahathir telah ditukar portfolio menjadi Menteri Pertanian dalam satu rombakan kabinet.
Ramai penganalisa politik mengira ia satu keputusan turun pangkat terhadap Anwar. Kerana kementerian pertanian dianggap kurang berpengaruh jika dibandingkan dengan kementerian Belia dan Sukan.
Anwar pula ketika itu begitu popular dikalangan para pemuda yang menjadi aset penting dalam dan luar parti. Ertinya ada langkah bagi menyekat pengaruh Anwar dari menjadi semakin kuat hingga ke akar umbi.
Ada spekulasi ketika itu Dr Mahathir menerima tekanan daripada Tun Musa mengenai kedudukan Anwar dalam rombakan kabinet tersebut.
Khabarnya Dr Mahathir terpaksa akur kerana Umno Johor lebih kuat jika dibandingkan dengan Umno Kedah.
Tun Musa bersama Dr Mahathir pada era kemuncak kerajaan 2M |
Tidak nampak jelas permusuhan Tun Musa dan Anwar ketika itu kerana Anwar adalah Ketua Pemuda Umno dan belum lagi Naib Presiden parti. Sedangkan Tun Musa adalah Timbalan Presiden.
Cuma mungkin Tun Musa melihat potensi Anwar mara lebih jauh dalam hiraki parti. Dan ketika itu Anwar pula adalah penyokong kuat dan setia Dr Mahathir. Manakala hubungan Tun Musa dan Dr Mahathir mulai masam-masam manis. Ertinya hubungan itu sudah mulai retak.
Sudah menjadi rahsia umum hubungan Tun Musa dan Dr Mahathir sehingga sekarang tidak pernah pulih. Mungkin Tun Musa masih berkecil hati dengan sikap Dr Mahathir terhadapnya dalam hal-hal politik. Sebenarnya perselisehan mereka berdua lebih pada tindakan-tindakan politik masa lampau yang mungkin payah untuk dilupakan begitu sahaja. Ia telah menjadi sejarah.
Tun Musa pernah memberitahu sekiranya beliau tidak meletakkan jawatan sebagai TPM kemungkinan beliau akan menghadapi masalah yang sama yang menimpa Anwar Ibrahim pada 1998.
Ertinya Tun Musa sudah dapat membaca masa depan politiknya jika terus menghadapi Dr Mahathir dalam politik nasional dan Umno khususnya. Lebih baik beliau berundur diri.
Sudah banyak kali Tun Musa berkata pada para media bahawa beliau tidak percaya pada Dr Mahathir.
Namun kini selepas lebih 40 tahun berlalu Tun Musa diraikan dengan penuh hormat daripada Anwar Ibrahim yang ditakdirkan telah menjadi Perdana Menteri ke 10.
Anwar dahulu adalah orang kuat Dr Mahathir. Maknanya ketika berlaku krisis hubungan Mahathir - Musa, Anwar berdiri kukuh dibelakang Dr Mahathir.
Tetapi kini ditakdirkan Tun Musa dan Anwar berada digaris yang sama dan menghadapi masalah yang sama ketika menjadi TPM pada Dr Mahathir. Mungkin cabaran dihadapi Anwar itu lebih perit lantaran beliau enggan letak jawatan. Berlainan dengan Tun Musa yang memilih jalan dengan mengundur diri.
Seperti kata Lim Kit Siang, negara terlepas peluang untuk mempunyai seorang Perdana Menteri yang berkarismatik seperti Tun Musa Hitam.
Majlis yang diraikan oleh PM Anwar sempena ulangtahunnya ke 90 menggambarkan pengiktirafan negara terhadap Tun Musa Hitam sebagai salah seorang negarawan terbilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan