Isnin, 20 Jun 2011

Pembantu rumah Indonesia lulus Diploma

DALAM akhbar New Straits Times dan Berita Harian (20 Jun) melaporkan seorang pembantu rumah Indonesia, Sarmini Muhyadi, 28, telah berjaya menamatkan pengajiannya dengan memperolehi Diploma dalam bidang pengurusan dari Universiti Terbuka Malaysia.

Kejayaan Sarmini ini adalah di atas bantuan dan dorongan dari majikannya seorang pensyarah Tan Choo Tang, 56, dan isterinya, Wee Phooi Khuan, 47. Sarmini telah mendaftar dan mula pengajian di universiti tersebut sejak 2007.  Dan hari ini dia telah berjaya menamatkan pengajiannya dengan memperolehi Diploma.

Menurut majikannya, Sarmini seorang pekerja yang baik dan tugasnya ialah memasak dan mengurus rumah serta melayan empat orang anaknya. Sarmini berasal dari Kampung Banyumas, Jawa Tengah.

Beliau datang ke Malaysia mencari pekerjaan membantu keluarganya, di samping bercita-cita menyimpan duit untuk melanjutkan pelajarannya yang terbantut di negaranya. Beliau bercita-cita menjadi seorang guru.

Setelah majikannya mengetahui impiannya untuk melanjutkan pelajaran, mereka telah tampil membantu menampung separuh dari kos pengajiannya. Manakala empat orang anak mereka pula membantu Sarmini belajar bahasa Inggeris dan menggunakan komputer.

Kini setelah lulus dia akan pulang ke kampung halamannya dan memenuhi cita-citanya menjadi seorang guru. Bagi keluarga Tan pula mereka akan merasai kehilangan Sarmini dan menganggap sukar untuk mencari penggantinya setelah ia bersama dengan keluarganya begitu lama.

Begitulah secebis kisah benar yang berlaku dalam masyarakat kita. Setelah sebelum ini berbagai kisah negatif dan memilukan tentang nasib malang yang menimpa pembantu-pembantu rumah Indonesia yang bekerja di negara kita.

Bermacam kes penderaan sehingga menyebabkan kematian seolah-olah semua majikan di negara kita bersifat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Sehingga kes-kes sebegini telah menimbulkan kemarahan dan emosi rakyat negara jiran. Malah telah menggugat hubungan kedua negara yang serumpun itu.

Bagi rakyat Indonesia pula mereka perlu memahami setiap kes penderaan yang terjadi adalah diluar kawalan pihak berwajib. Namun setiap kes yang timbul pihak polis akan menyiasat dan memberkas pelakunya dengan kadar yang segera dan pantas.

Kisah keluarga Tan dan pembantu rumahnya Sarmini merupakan satu teladan hubungan yang harmonis tanpa mengira bangsa dan darjat, malah memperlihatkan sifat-sifat penyayang dan kemanusiaan yang perlu dicontohi semua.

Bagi rakyat dan negara Indonesia, mereka tidak perlulah memprotes dan membantah setiap kali kes penderaan melibatkan rakyatnya. Seperti kata Dutanya apa yang berlaku adalah diluar kawalan dan paling penting pihak polis cepat mengambil tindakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan