Isnin, 13 Jun 2011

Dr Hassan Ali digugurkan

PESURUHJAYA PAS Selangor Datuk Dr. Hassan Mohamad Ali digugurkan dan diganti dengan Dr. Abdul Rani Osman sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru dalam satu rombakan melibatkan empat negeri yang lain.

Dr. Hassan Ali merupakan bekas Naib Presiden PAS dan kini ialah salah seorang exco kanan kerajaan negeri Selangor. Beliau terpilih menduduki AJK pusat di muktamar baru-baru ini.

Dengan tidak memegang lagi jawatan sebagai Pesuruhjaya Negeri, apakah jawatan exco kerajaan yang disandang sekarang memberi kesan dan implikasinya ?

Dr. Hassan Ali pernah didesas-desuskan sebagai berminat dan bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid Ibrahim. Beliau juga adalah salah seorang tokoh yang begitu berminat bekerjasama dengan UMNO dalam isu kerajaan perpaduan.

Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz pernah memberi kata dua kepadanya agar keluar PAS dan sertai UMNO sekiranya beliau masih terlibat dalam isu kerajaan perpaduan.

Dr. Hassan Ali walaupun mempunyai imej agama, tetapi beliau lebih kelihatan sebagai seorang opportunis dalam parti. Semasa beliau menyandang jawatan Naib Presiden PAS, beliau tidak bertanding mempertahankan jawatan tersebut pada penggal kedua kerana popularitinya agak menurun dikalangan ahli parti.

Beliau yang terkenal dengan 'Summer Camp" dan seminar-seminar motivasi hingga kini, merupakan seorang usahawan dan mempunyai cita-cita politik yang besar. Dengan gugurnya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, apakah cita-cita politiknya akan terbantut ?

Dr. Hassan Ali sebelum menceburi bidang politik merupakan seorang pakar motivasi yang berjaya. Rasanya bidang politik tidak sesuai baginya jika dibandingkan dengan bidang motivasi dan usahawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan