Isnin, 30 April 2012

Kesan himpunan Bersih

Anwar Ibrahim paling gembira
DATUK Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang paling gembira di dunia setelah apa yang berlaku di perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu.

Sekiranya perhimpunan itu berjalan secara aman dan tidak ada insiden yang berlaku, maka ia tidak akan mendapat liputan dan publisiti meluas di dalam dan luar negara.

Setidak-tidaknya kini tercetus tuduh menuduh antara pihak polis dan para demonstrasi yang memulakan provokasi sehingga berlakunya aksi ganas dan serang menyerang mengakibatkan kecederaan kedua pihak.

 Kekecohan yang berlaku sedikit sebanyak telah memberi kesan dan imej buruk pada kerajaan. Dan Anwar yang bermula sebagai pemimpin pelajar adalah seorang yang mahir dan pakar dalam soal tunjuk perasaan dan demonstrasi.

Sejak berada di luar kerajaan sehinggalah pada ketika beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau telah berjaya menggunakan kaedah berdemonstrasi sebagai tindak balas. Dengan kebolehannya berpidato beliau mampu mempengaruhi dan menguasai para pengikutnya.

Pada 2008 sebelum pilihanraya umum beliau adalah antara orang yang berperanan meletusnya tunjuk perasaan kumpulan Hindraf yang telah memberi impak besar terhadap kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dan kali ini beliau sekali lagi berjaya menimbulkan suasana yang sama sempena hampirnya PRU 13. Dengan kekecohan yang berlaku dalam perhimpunan telah memberi sedikit momentum pada parti pembangkang sebelum pilihanraya umum.

Pihak kerajaan sentiasa mencari jalan mengekalkan suasana aman. Namun bagi pembangkang, terutamanya Anwar, sekiranya tiada kekecohan dan demonstrasi jalanan seolah tidak akan menguntungkan mereka. Bila ada berlaku insiden atau tragedi mereka boleh terus hidup dengan memanipulasi apa yang terjadi.

Secara mudahnya jika semuanya berjalan licin, aman dan tenteram tidak akan menyenangkan mereka. Mereka mahu lihat keadaan kacau dan bergolak dalam masyarakat supaya ia boleh memburukkan imej kerajaan.

Sebagai pengundi yang akan menentukan kerajaan yang dipilih nanti mestilah membuat pilihan sama ada memilih parti yang suka pada keamanan atau pemimpin yang gemar pada suasana kacau dan tidak tenteram supaya dapat menutup kelemahan mereka.

Ahad, 29 April 2012

A. Samad Said

Dari Sasegerawan Negara
hingga Sasegerawan Jalanan...



Unggun BerSHIT !

Demonstrasi jalanan

Kerajaan perlu lebih tegas
KUALA LUMPUR kembali aman dan seperti sediakala hari ini setelah berlaku demonstrasi jalanan anjuran Bersih yang disokong parti-parti pembangkang kelmarin.

Seperti dijangka berlaku insiden yang tidak diingini antara pihak tunjuk rasa dan polis yang mengakibatkan kecederaan dan tangkapan. Malah berlaku kerosakkan pada harta benda dan kemudahan awam. Sampah sarap bertimbun di merata tempat.

Sehari sebelum demonstrasi itu pihak polis telah berjaya mendapat perintah mahkamah melarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka - lokasi pilihan penganjur Bersih 3.0.

Justeru itu segala tindakan polis adalah melaksanakan larangan dan penguatkuasaan perintah mahkamah tersebut. Tetapi seperti biasa bila berlaku kekecohan pihak polis akan dipersalahkan. Anggota polis yang bertugas bukanlah batang kayu berdiri tanpa berbuat sesuatu. Apatah lagi bila mereka dicemuh dan dicabar dari para demonstrasi.

Kecederaan yang dialami beberapa anggota polis adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan. Negara mempunyai undang-undang yang perlu dihormati dan dilaksanakan. Sekiranya orang awam tidak lagi menghormati undang-undang, maka demokrasi akan bertukar menjadi anarki.

Bila anarki wujud tidak ada siapa yang akan selamat dan hidup aman di dalam negara. Oleh itu demokrasi perlulah digunakan sebaik mungkin dan tidak disalahgunakan kerana akibatnya amatlah buruk lebih-lebih lagi negara ini yang berbilang bangsa dan agama.

Demokrasi di Malaysia tentulah tidak sama dengan apa yang diamalkan di negara-negara barat dan maju. Kita mempunyai sistem demokrasi berdasarkan acuan kita sendiri. Apa yang baik diamalkan di barat belum pasti ianya sesuai di sini.

Tunjuk rasa dijalanan, mencabar pihak polis, merosakkan harta awam dan sebagainya bukanlah budaya masyarakat timur, terutama adab orang-orang melayu yang tidak sesekali bersikap kurang ajar. Budaya ini adalah budaya Kuning yang ditiru dari barat.

Sudah sampai masa kerajaan perlu bertegas dan tidak boleh berlembut dengan demonstrasi jalanan seperti ini berulang di masa akan datang. Oleh kerana kerajaan mengambil sikap lembut dan bertolak ansurlah maka ia ditafsirkan sebagai satu kelemahan di pihak kerajaan.

Kerajaan perlu berani dan tegas dalam hal ini walaupun ia boleh menjejaskan sedikit populariti kerajaan. Majoriti rakyat dan negara ini sudah tentu tidak mahu melihat suasana demonstrasi seperti ini akan menjadi satu acara tahunan.

Mereka yang berdemonstrasi adalah sebahagian kecil kumpulan masyarakat dalam negara. Bagaimana dengan sebahagian besar "silent majority" yang senyap dan tidak bersuara. Kepentingan mereka juga perlu diambil kira oleh kerajaan.

Jangan sampai kumpulan minoriti pula yang kelihatan lebih berkuasa dan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Kerajaan mesti bertindak tegas sebelum terlambat.

Gambaran himpunan Bersih

Dari Bersih bertukar jadi BerSHIT !

                                          Kelihatan sebuah kenderaan polis remuk
 
Seorang anggota polis cedera

Jumaat, 27 April 2012

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PRU 13 : Penentu masa depan politiknya
PARTI pembangkang mengira PRU 13 ini merupakan pilihanraya terakhir buat Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuasa di Putrajaya.

Malah ada yang meramalkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjadi Presiden Umno pertama yang menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen nanti.

Dalam politik lebih-lebih lagi dekat dengan pilihanraya bermacam ramalan akan timbul terutamanya dari para ahli nujum Pak Belalang.

Apakah Najib akan menjadi Ketua pembangkang ? Atau Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri ke tujuh negara ? PRU 13 yang disebut sebagai ibu segala pilihanraya akan menjadi medan penentuan.

Bagi Anwar Ibrahim, PRU 13 adalah amat penting dalam menentukan masa depannya dalam politik tanahair.  Mahkamah keadilan telah pun membebaskannya dari tuduhan liwat. Kini giliran "mahkamah rakyat" pula membuat keputusan apakah beliau benar bersih dan bebas dari segala tuduhan liar bersabit isu peribadinya.

Sebelum ini Anwar sering mempertikai keadilan dan kebebasan mahkamah di negara ini. Beliau sering merujuk istilah "mahkamah rakyat" sebagai medan bagi mencari kebenaran dan keadilan. Nah, masanya sudah tiba mahkamah rakyat membuat pilihan dan keputusan bagi menentukan masa depan politiknya.

PRU 13 ini adalah yang terakhir buat Anwar; hidup atau mati. Sekiranya Pakatan Rakyat gagal menguasai Putrajaya, maka peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri akan berkubur begitu sahaja dan tidak mungkin ada harapan lagi pada masa hadapan.

Sebab itulah Anwar kini bertungkus lumus dan berhabis-habisan berkempen untuk memastikan peluang dalam PRU 13 ini tidak terlepas begitu sahaja. Dia tahu sekiranya dia gagal dalam pilihanraya kali ini, dia boleh melupakan hasrat dan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Tidak ada peluang dan harapan lagi untuknya pada PRU 14 ?

Soalnya, apakah beliau akan akur dengan keputusan rakyat dalam PRU 13 nanti ? Tidak akan timbul masalah jika dia berjaya menjadi Perdana Menteri kelak. Tetapi sekiranya BN terus berkuasa dan Pakatan Rakyat kalah teruk; bolehkah dia menerimanya ?

Justeru itu para pemimpin politik akan melakukan apa sahaja bagi menentukan kemenangan. Mereka bertindak seperti orang "desperate" atau istilah desperado iaitu sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat mereka tercapai. Kerana mereka tahu dalam "pertarungan" kali ini akan menentukan hidup atau mati.

Jose Mourinho

Tangguh hasrat musim depan
REAL MADRID tersingkir di separuh akhir Champions League atau Piala Juara setelah tewas pada Bayern Munich 3-1 melalui tendangan penalti selepas 120 minit bertarung.

Bayern akan bertemu Chelsea di final di Stadium Alianz Arena, Jerman bulan depan.

Orang yang paling kecewa dengan kegagalan Real Madrid masuk ke final kejuaraan Eropah ini tentunya Jose Mourinho yang terkenal dengan gelaran "The Special One" dalam dunia bolasepak.

Sekiranya ditakdirkan Real berjaya melangkah ke final, Mourinho berpeluang mencatat sejarah sebagai pengurus yang berjaya membawa tiga pasukan berlainan menjuarai Piala berprestij itu. Sebelum beliau ke Stamford Bridge, Mourinho telah berjaya membawa kelab Porto dari Portugal menjuarai Piala Juara-Juara.

Kemudian setelah berjaya meletakkan Chelsea dipersada Liga EPL untuk beberapa musim mengatasi Manchester United, beliau berhijrah ke Serie A memimpin kelab Inter Millan. Di Inter beliau sekali lagi membuktikan kehebatan beliau dengan berjaya meletakkan Inter sebagai Juara Liga Serie A dan seterusnya memenangi Piala Juara-Juara dua tahun lalu dengan menewaskan Bayern Munich.

Setelah melakar sejarah di Itali beliau berhijrah pula ke Santiago Bernabeu bagi mengendalikan sebuah kelab paling mencabar di Eropah. Sepanjang berada di Real Madrid pencapaiannya tidak mengecewakan kerana hingga kini Real berada di tangga teratas La Liga mengatasi Barcelona. Dan mempunyai peluang besar menjuarai La Liga musim ini setelah ianya dikuasai Barcelona beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan tumpasnya Real di tangan Bayern dalam separuh akhir Piala Juara; hasrat dan impian Mourinho untuk mencatat "treble" dalam Champions League tidak kesampaian. Beliau perlu menunggu musim depan bagi memenuhi hasrat dan impiannya. Ironinya, pasukan yang memusnahkan harapannya ialah Bayern Munich - pasukan yang ditewaskannya semasa membantu Inter menjuarai Piala Juara dua tahun lalu.

Dalam perlawanan akhir antara Bayern Munich dan Chelsea bulan depan di Alianz Arena, Jose Mourinho telah pun memilih bekas pasukannya Chelsea sebagai pasukan pilihan menjuarai Champions League atau Piala Juara-Juara musim ini.





Rabu, 25 April 2012

Real Madrid lwn Bayern Munich

Bertemu Chelsea di final
SETELAH Barcelona tersingkir dari Piala Juara-Juara secara mengejut pada Chelsea dengan agreget 3-2 - apakah akan berlaku satu lagi kejutan pertemuan antara Real Madrid - Bayern Munich pagi ini ?

Pertemuan pertama di Jerman, Bayern mengatasi Real 2-1. Real Madrid hanya perlu menang satu gol kosong dalam pertemuan di Santiago Barnabeu hari ini bagi pusingan separuh akhir kedua.

Di peringkat kemuncak begini apa sahaja boleh berlaku. Tidak ada istilah pasukan pilihan atau "favourite". Perlawanan antara Barcelona dan Chelsea menjadi bukti betapa pasukan "underdog"seperti Chelsea mampu melakukan kejutan dengan menyingkirkan Barca; sebuah pasukan yang mempunyai stail permainan paling menarik di dunia.

Pengurus Real Madrid, Jose Mourinho tentunya akan berhati-hati dengan apa yang menimpa terhadap Barcelona. Mourinho juga sudah pasti tidak akan melepaskan peluang membawa pasukannya ke final Piala Juara-Juara kali ini. Sekiranya beliau berjaya, beliau akan mencatat sejarah sebagai pengurus pertama di dunia membawa tiga pasukan berlainan di bawahnya ke puncak final. Mourinho telah berjaya membawa Porto dan Inter Millan menjuarai Piala Juara-Juara sebelum ini.

Dan mungkin impian paling bererti baginya ialah dapat bertemu dengan bekas pasukan bimbingannya, Chelsea di perlawanan akhir. Apakah Mourinho akan berjaya memenuhi impiannya ?

Apa yang pasti Bayern Munich tidak akan memberi laluan mudah buat Real dan Mourinho. Apakah Bayern akan mengulangi kejutan seperti Chelsea lakukan pada Barcelona ? Peluang adalah 50-50 untuk kedua pasukan. Yang pastinya bermain di Stadium Barnabeu tidak memberi kelebihan pada Real Madrid.

Liga Juara-Juara

Chelsea catat sejarah
PASUKAN pilihan Barcelona akhirnya tumbang ditempat sendiri bila seri 2-2 dengan Chelsea dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Juara-Juara.

Dalam perlawanan pertama di Stamford Bridge, Chelsea menang 1-0.

Pemain Barca yang paling sedih dengan kekalahan ini ialah penyerang Lionel Messi. Pada ketika Barca sedang mendahului 2-1 - mereka dihadiahkan sepakan penalti. Tendangan penalti Messi terkena palang gol yang sepatutnya memberi peluang pada mereka mendahului 3-1.

Dengan gagalnya sepakan penalti itu, permainan Barcelona bertambah tertekan. Ini tambah pula dengan Chelsea yang bermain 10 orang setelah John Terry dibuang padang. Barca hampir menguasai keseluruhan permainan tetapi gagal menembusi benteng pertahanan Chelsea.

Prestasi Chelsea pula diluar jangkaan; bermain dengan 10 pemain mereka begitu disiplin dan fokus sepanjang perlawanan. Boleh dikatakan hampir semua pemain turun bertahan di kawasan kotak penalti. Dan ini menambah kesukaran para pemain Barca mencari ruang ke arah pintu gol.

Pada ketika kedudukan 2-1 dan perlawanan hampir tamat, Fernando Torres yang masuk menggantikan Didier Drogbha telah memusnahkan impian Barca dan penyokongnya dengan jaringan pada minit ke 90.

Kejayaan Chelsea ini adalah sesuatu yang dinantikan pemiliknya Roman Abramovich dan penyokongnya setelah kedudukan pasukan itu terumbang ambing dan gagal meraih sebarang kejayaan. Orang yang paling gembira tentunya, Roberto di Matteo, "Interim Manager" yang mengambilalih tugas Andre Villas Boas yang dipecat. Dengan kejayaan ini Roberto kemungkinan akan dilantik secara kekal sebagai pengurus Chelsea.

Begitu juga buat Fernando Torres yang mana prestasinya tidak menentu sebelum ini akan menyimpan kenangan manis sebagai penjaring gol kemenangan dan seterusnya mencatat sejarah buat Chelsea dalam Liga Juara-Juara. 

Isnin, 23 April 2012

Terkenang Suharto

Rakyat masih mengingatinya
PRESIDEN Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semakin tidak popular di kalangan majoriti rakyat. Masalah korupsi dalam pentadbiran kerajaan semakin parah dari pandangan umum.

Langkah kerajaan memotong subsidi dan menaikkan harga minyak telah membangkitkan lagi kemarahan rakyat yang telah pun marah dengan kepimpinan Susilo.

Susilo adalah Presiden ke enam republik itu selepas Megawati Sukarnoputeri. Pada mula pentadbirannya, Susilo begitu popular dan berjaya menarik sokongan sebahagian besar rakyat. Kini popularitinya semakin menurun akibat masalah rasuah yang masih menyelubungi kerajaan pimpinannya.

Selepas Suharto jatuh di era reformasi dan kebangkitan rakyat republik itu telah mengalami banyak pembaharuan dan perubahan. Tidak dinafikan banyak berlaku pembaikan. Namun kebanyakan rakyat kini terkenang kembali zaman Suharto. Walaupun semasa beliau sebagai Presiden imejnya dianggap sebagai seorang diktaktor, namun beliau berjaya mengangkat martabat dan maruah Indonesia di mata dunia. Beliau juga berjaya mengekalkan kestabilan negara dan disegani kuasa-kuasa luar.

B.J. Habibi, penggantinya tidak dapat bertahan lama dan tidak berkemampuan mengekalkan imej dan reputasi Indonesia seperti masa Suharto. Timor Timur yang menjadi sebahagian wilayah Indonesia terpaksa dilepaskan. Habibi tunduk pada tekanan antarabangsa agar diadakan pungutan suara bagi menentukan masa depan wilayah itu.

Selepas Habibi muncul Abdurrahman Wahid, pemimpin Nahdatul Ulama menjadi calon Presiden. Abdurrahman yang cacat penglihatan jelas tidak mampu membawa Indonesia ke tahap lebih tinggi sebagaimana harapan besar rakyat. Beliau hanya mencatat sejarah sebagai Presiden Indonesia yang paling banyak dan kerap ke luar negara; walaupun jangka masa pemerintahannya singkat.

Setelah Abdurrahman digantikan dengan Naib Presiden, Megawati Sukarnoputeri, Indonesia terus kehilangan punca mencari seorang pemimpin yang karismatik dan kuat. Megawati juga gagal seperti Habibi dan Abdurrahman.

Maka muncul Susilo Bambang yang kelihatan menyakinkan dan penuh harapan. Pada awalnya Susilo tidak mengecewakan dan memberi harapan seluruh rakyat republik itu yang memerlukan seorang Presiden sekuat Sukarno dan Suharto.

Namun masalah korupsi yang tenat dan sukar diperangi dalam pentadbirannya telah memberi imej negatif terhadap Susilo di mata rakyat terbanyak. Dengan lain-lain masalah dalaman dan reputasi Indonesia di arena antarabangsa tidak sehebat zaman Suharto. Rakyat kini mula mempersoalkan dan mempertikaikan kredibiliti Susilo sebagai Presiden.

Mereka mula bercakap dan mengenang zaman Suharto yang dianggap lebih baik berbanding zaman sesudahnya. Suharto tidak sempurna dan banyak kelemahan, namun para penggantinya tidak sehebat Suharto dalam mentadbir dan menerajui republik itu.

Suharto bukan sahaja dikenang rakyatnya, tetapi juga turut dirasai jiran serumpunnya, Malaysia. Di bawah Suharto kedua negara serumpun telah menjalin hubungan begitu erat dan akrab ibarat "cubit peha kanan sakit peha kiri." Kini hubungan kedua negara mengalami pasang surut yang tidak menentu bukan seperti era beliau yang harmoni dan konsisten.

Malaysia juga terhutang budi dengan Suharto yang memainkan peranan penting menamatkan konfrontasi terhadap negara ini satu masa dahulu.

   

Ahad, 22 April 2012

Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir

Bukan tokoh penting
LANGKAHNYA keluar dari Umno tidak memberi kesan besar pada parti. Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir bukan pemimpin besar dalam parti dan negara.

Dalam Umno jawatan paling tinggi dipegangnya hanya Ahli Majlis Tertinggi. Dia bukan pemimpin Pemuda Umno dan tidak pernah bertanding pun untuk jawatan Naib Presiden.

Bukan kerana dia tidak ingin bertanding dalam jawatan tertinggi itu, tetapi sebenarnya dia tidak layak. Ertinya, Tan Sri Kadir bukanlah pemimpin parti yang terlibat dalam membuat dasar dan keputusan penting parti.

Dalam kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad dia dilantik menjadi Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Dan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi dia adalah Menteri Penerangan. Itulah sahaja dua jawatan tertinggi yang dipegangnya sepanjang berada dalam kerajaan.

Semasa Umno berpecah dua kumpulan antara Team A dan Team B; Tan Sri Kadir berada di dalam Team B bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam menentang Dr. Mahathir dan Ghafar Baba yang mengetuai Team A.

Kali ini dia bersama Tengku Razaleigh lagi dalam pertubuhan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) sebuah badan yang separuh hidup dan separuh mati. Dalam Amanah Tan Sri Kadir adalah Timbalan pada Tengku Razaleigh yang memegang jawatan Pengerusinya.

Yang menariknya, Timbalan sudah pun keluar dari Umno tetapi Pengerusinya belum lagi ! Seorang di dalam dan seorang lagi di luar; walaupun nada mereka berdua adalah sama terhadap Umno.

Dalam politik Tengku Razaleigh lebih berpengaruh dari Kadir. Setakat Kadir yang keluar Umno ia tidak memberi kesan apa-apa pada parti. Dia kini boleh mengecam apa saja tentang Umno - parti yang telah memberi nikmat padanya sepanjang karier sebagai ahli politik.


Wajah Anwar Ibrahim


DAHULU
SEKARANG

Sabtu, 21 April 2012

Mahkamah masih bebas

Tidak dipengaruhi kerajaan

DATUK Seri Anwar Ibrahim dan para pemimpin pembangkang sentiasa meragui kebebasan mahkamah dan sistem keadilan di negara ini.

Dari dahulu hingga sekarang mereka tetap beranggapan para hakim akan menyebelahi dan mengikut telunjuk kerajaan. Ertinya, hakim, mahkamah dan sistem perundangan negara ini telah dikuasai oleh pihak eksekutif.

Dalam kes liwat 2, Datuk Seri Anwar telah melakukan beberapa permohonan agar hakim yang mengendalikan kes tersebut digugurkan dan diganti dengan hakim yang lain. Ini dibuat kerana beliau tidak yakin bahawa hakim tersebut akan bersikap adil terhadapnya.

Namun diakhir perbicaraan dalam kes liwat 2, beliau dibebaskan di atas faktor bukti tidak mencukupi. Tetapi setelah keputusan mahkamah dan beliau dibebaskan tidak ada pun sungutan dan kecaman seperti kedengaran di awalnya. Tidak ada yang buruk tentang hakim dan mahkamah setelah beliau bebas mahu pun dari pemimpin tertinggi pembangkang hingga pada para pengikutnya.

Begitu juga dalam kes liwat pertama dahulu yang melibatkan Azizan Abu Bakar. Sayugia diingatkan Datuk Seri Anwar masuk penjara Sungai Buloh selama enam tahun dahulu adalah bersabit dengan penyalahgunaan kuasa. Dalam kes liwat Azizan Abu Bakar; mahkamah rayuan telah membebaskan beliau berdasarkan sudut teknikal.

Pada hal di awal perbicaraan Anwar, isterinya serta para penyokong telah mempertikai dan meragui kebebasan mahkamah dalam mengendalikan kes tersebut.

Jelaslah segala tanggapan dan persepsi mereka terhadap sistem kehakiman negara adalah tidak benar dan meleset. Inilah trend pembangkang bila sesuatu itu berpihak pada kerajaan maka berbagai tuduhan dilemparkan. Tetapi bila ia berpihak pada pembangkang - mereka hanya mendiamkan diri.

Para pemimpin pembangkang dan pengikutnya tidak pula mengecam sistem kehakiman kononnya tidak adil bila Datuk Seri Anwar dibebaskan dalam kes liwat Saiful Bukhari Azlan.

Dalam semua keputusan hakim dalam kes liwat; mahkamah tidak pernah menolak kejadian itu benar berlaku - namun tidak dapat mensabitkan kesalahan pada tertuduh berdasarkan ianya mengatasi keraguan yang munasabah.



Jumaat, 20 April 2012

Memoir Dr. Mahathir

Anwar tidak sesuai jadi PM
DALAM memoirnya, A Doctor In The House, Tun Dr. Mahathir Mohamad menceritakan hubungan beliau dengan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn tidaklah begitu rapat dan mesra. Allahyarham Tun Hussein adalah seorang yang tegas dan tidak suka bergurau.

Menurut Dr. Mahathir, beliau tidak tahu sebab Tun Hussein memilihnya sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Tun Razak meninggal dunia secara mengejut.

Apa yang beliau tahu Tun Razak pernah berpesan pada Tun Hussein agar menemui beliau jika ada masalah.

Ketika menjadi TPM semasa era Hussein Onn, Dr. Mahathir meluahkan betapa beliau kurang dapat kerjasama dari Allahyarham sebagai PM. Banyak idea dan cadangan yang diberikan beliau telah ditolak.

Pada satu ketika beliau berasa berat untuk memberi idea dan cadangan kerana sering ditolak dan tidak mahu hubungannya dengan Tun Hussein sebagai PM menjadi tegang. Lebih penting Dr. Mahathir tidak mahu berlaku sesuatu yang boleh menyekat peluangnya dari menjadi PM menggantikan Tun Hussein.

Justeru itu beliau bersabar dan menyimpan segala idea dan rancangan yang beliau ingin lakukan bagi kemajuan negara. Tambahan pula cara Tun Hussein terlalu berhati-hati dan lambat membuat sesuatu keputusan.

Bila Dr. Mahathir menjadi PM sepanjang 22 tahun beliau mempunyai empat TPM, bermula dengan Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dari keempat tokoh itu hanya Tun Abdullah berjaya menjadi penggantinya.

Namun dari sudut yang lain dalam empat bekas TPM itu, Anwar Ibrahimlah bekas Timbalannya yang paling berkuasa dan berpengaruh. Selaku Menteri Kewangan, Anwar telah menguasai hampir keseluruhan media cetak dan letronik dalam mengukuhkan kedudukannya dalam parti dan kerajaan.

Bahkan Anwar telah menggunakan media yang beliau kuasai bagi menjatuhkan pemimpin parti yang tidak sehaluan dengannya. Kes bekas Ketua Menteri Melaka dengan seorang pelajar sekolah telah diperbesarkan habis-habisan sehingga pemimpin itu meletakkan jawatan.

Salah satu faktor Tun Ghafar terpaksa berundur dan memberi laluan pada Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden parti adalah kerana mainan media yang dikuasai kumpulannya. Malah beliau telah memprojekkan dirinya sambil itu bergerak secara senyap untuk menjatuhkan Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir sedar apa yang berlaku, namun beliau tidak mengambil sebarang tindakan kerana percaya beliau mampu menewaskan Anwar jika ada pertandingan jawatan parti. Lagi pun pada satu ketika Dr. Mahathir percaya bahawa Anwar adalah calon penggantinya.

Tetapi semuanya berubah setelah masalah peribadi Anwar terbongkar hasil dari surat Ummi Hafilda. Pada peringkat awal Dr. Mahathir menolak dan tidak percaya di atas segala tuduhan terhadap Anwar. Ia menganggapnya sebagai satu fitnah.

Bagaimanapun, sebelum ini beliau sebagai PM pernah menerima nasihat dari bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar tentang kegiatan sulit Anwar. Nasihat itu pun ditolaknya kerana menganggap ia tidak berasas. Sehingga ada ketika Tun Haniff kecewa kerana beliau tidak ambil serius dengan nasihatnya itu.

Namun setelah Ummi Hafilda bertindak menarik balik suratnya itu, Dr. Mahathir merasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Ini mendorongkan beliau untuk menyiasat sendiri bagi mengetahui lebih lanjut dari segala tuduhan yang diterima dari Ummi dan Tun Haniff yang ditolaknya sebelum itu.

Dari perjumpaan dengan beberapa orang saksi yang diatur dan menemubualnya beliau mulai yakin dan percaya segala apa yang berlaku ke atas Timbalannya. Justeru itu Dr. Mahathir membuat keputusan ia perlu membuat sesuatu bagi menyelamatkan negara dari jatuh ke tangan pemimpin yang boleh terdedah pada ugutan pihak asing.

Dan paling utama Anwar Ibrahim bukanlah calon yang sesuai menjadi PM negara ini. Menurut Dr. Mahathir lagi, apa yang berlaku terhadap Anwar adalah berpunca dari dirinya sendiri dan bukan orang lain.

Khamis, 19 April 2012

Datuk Zaid Ibrahim

Calon parlimen Kota Bharu
SEKITAR bandar Kota Bharu kelihatan poster-poster gambar Datuk Zaid Ibrahim terpampang di tiang-tiang letrik dan pokok serta dibeberapa buah jalan utama.

Gambarnya berwarna, bersongkok dan berbaju melayu. Sahlah, Datuk Zaid akan bertanding di kawasan Parlimen Kota Bharu dalam PRU 13 ini.

Kini beliau adalah Presiden parti KITA atau Kesejahteraan Insan Tanahair. KITA adalah parti ketiga disertainya selepas Umno dan PKR.

Beliau mungkin menjadi antara pemimpin politik yang pernah menyertai tiga parti berlainan dalam masa yang singkat. Ternyata beliau tidak dapat menyesuaikan dirinya ketika berada dalam Umno dan PKR. Maka itu dia keluar bagi meneruskan idealismenya dalam politik tanahair.

Imej dan pandangan umum terhadap sikap politik Datuk Zaid ialah beliau bukanlah seorang nasionalis melayu yang tebal atau seorang Islamis ? Penampilan beliau lebih ke arah seorang yang terbuka dan liberal dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum.

Justeru itu beliau ditolak Umno dan tidak popular di kalangan pemimpin tertinggi dan ahli akar umbi.  Dia keluar PKR pula kerana tidak berpuas hati ketika bertanding menentang Azmin Ali bagi jawatan nombor dua parti yang baginya berlaku ketidakadilan dalam kiraan undi.

Kedudukan Zaid dalam politik tanahair hampir sama dengan nasib Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Dr. Hasan Ali. Tetapi Ibrahim Ali kelihatan lebih menonjol sebagai pejuang melayu melalui Perkasa dengan bersuara lantang dalam apa sahaja isu berkaitan kaum pribumi. Apa kala Dr. Hasan pula melalui Jalur Tiga atau Jati begitu lantang dalam mempertahankan IMR iaitu Islam, Melayu dan Raja.

Sikap dan pendirian Zaid tidak jelas. Dia bukan nasionalis dari sudut ukuran Umno sebagai parti kebangsaan melayu. Dia juga bukan ahli politik haraki. Zaid adalah seorang politikus liberal dan terbuka; sama seperti ahli-ahli politik di barat dan negara maju.

Cita-cita dan idealismenya murni untuk merubah sistem politik di negara ini. Namun hasratnya agak sukar dicapai lantaran politik di negara ini masih dikuasai faktor perkauman dan agama.

Justeru apakah beliau mempunyai harapan menang di Kota Bharu; sebuah negeri majoriti melayu yang kuat berpegang pada tradisi dan pengaruh agama ? Barangkali, kawasan Lembah Kelang atau Bukit Bintang lebih cocok dengan sikap dan pendirian politiknya.

Isnin, 16 April 2012

Dari Ali Ferzat

Kartunis politik Syria

ALI FERZAT adalah kartunis politik Syria yang popular dan digemari seluruh Timur Tengah. Lukisan kartunnya yang mengandungi sindiran dan mesej tidak digemari kebanyakan para pemimpin Arab termasuk Saddam Hussein dan Muammar Gaddafi.

Presiden Syria, Bashar Al Assad ialah antara yang meminati lakaran kartun Ferzat ketika beliau berkhidmat di sebuah akhbar rasmi kerajaan.

Tetapi setelah meletus pemberontakan di Syria, Ferzat turut sama menyertai penentangan terhadap kerajaan Assad di jalan-jalan raya sambil mengedar lukisan kartunnya yang menggambarkan suasana semasa di negara itu. Akibatnya dia telah menjadi mangsa pada orang yang tidak dikenali dengan menyerang dan mencederakan kedua tangannya. Kemudian beliau diberi amaran agar berhenti dari melakar kartunnya yang menyindir dan mengkritik kerajaan.

Setelah mengalami kecederaan di kedua belah tangannya beliau ke Kuwait bagi mendapatkan rawatan. Kini dilaporkan beliau kembali sihat dan ingin kembali melakarkan kartunnya seperti dahulu.


Ali Ferzat mula melukis pada usia 14 tahun -kartunnya tersiar di muka depan akhbar Al Ayyam. Mendapat pendidikan di Universiti Damsyik dalam bidang Seni. Melukis setiap hari di harian Tishreen - sebuah akhbar dikuasai kerajaan.

Setakat ini telah menghasilkan sebanyak 15 ribu karikatur. Pada 1980 telah memenangi hadiah pertama Intergraphic International Festival di Berlin, German. Kartunnya juga pernah tersiar di akhbar Le Monde, Perancis.

Ferzat ialah Ketua Persatuan Kartunis seluruh negara Arab.


Ahad, 15 April 2012

Tun Ghafar Baba

Tokoh Umno perlu dicontohi

HAMPIR semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) telah pun siap menyenaraikan nama-nama calon  untuk diserahkan pada Datuk Seri Najib Razak sebagai calon dalam pilihan raya umum yang boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Seperti yang sering diberi penekanan betapa calon yang terpilih mesti mempunyai kriteria boleh menang.

Masalahnya bila ada yang tidak terpilih akan merajuk dan tidak puas hati. Lebih serius lagi mereka akan bertindak yang boleh merugikan parti. Seperti tidak keluar berkempen dan mensabotaj calon parti sendiri.

Ahli-ahli seperti ini biasanya mempunyai kepentingan diri lebih tinggi dari kepentingan parti. Mereka jenis ini adalah ibarat 'duri dalam daging' dan 'musuh dalam selimut' yang boleh menghancurkan parti.

Seluruh ahli Umno sebagai tunjang BN dan parti-parti komponen lain seharusnya mengambil contoh dan teladan tokoh Umno/BN dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba. Beliau adalah satu-satunya pemimpin yang meletakkan kepentingan parti lebih dari segala kepentingan termasuk dirinya sendiri.

Semasa era Tun Razak; bila Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri meninggal dunia - Tun Razak telah memilih Tun Hussein Onn sebagai penggantinya sedangkan Tun Ghafar adalah Naib Presiden parti yang paling senior.

Sudah menjadi rahsia umum, Tun Ghafar memang mengidam jawatan TPM tersebut. Namun setelah Hussein Onn terpilih - beliau terus setia dan berkhidmat pada parti dan negara. Cuma masa itu beliau tidak menyertai kabinet Tun Razak.

Tun Ghafar adalah satu-satunya Naib Presiden Umno paling lama dari tahun 1969 sehinggalah beliau menjadi Timbalan Presiden Umno menggantikan Tun Musa Hitam. Dr. Mahathir ialah orang yang membawanya kembali dalam kabinet setelah berlaku keretakan hubungan Mahathir-Musa.

Sama ada beliau berada di luar atau di dalam kerajaan, Tun Ghafar terus memainkan peranannya sebagai anggota parti yang setia dalam apa pun situasi. Beliau ketika tanpa sebarang jawatan dalam kabinet kerajaan telah menjadi 'utusan damai' menyelesaikan krisis MCA yang berpecah dua dalam tahun 1980an.

Dan ujian paling besar dalam karier politiknya ialah bila beliau dicabar hebat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Umno. Pertandingan jawatan tidak berlaku kerana Tun Ghafar telah mengambil langkah berundur memberi laluan pada Datuk Seri Anwar.

Begitu pun setelah berundur dari jawatan nombor dua parti dan kerajaan beliau terus setia dan berkhidmat secara low profile tanpa publisiti. Beliau tidak merajuk atau mengambil apa-apa tindakan yang mencemarkan parti. Walaupun cara beliau 'dipersarakan' sungguh menyedihkan hati, namun beliau tidak bertindak balas mengikut perasaan. Kesetiaannya pada parti cukup tinggi dan mengkagumkan semua ahli.

Ahli-ahli Umno dan parti komponen BN seharusnya mengambil ikhtibar dan teladan dari tokoh ini yang selalu merendah diri dan tidak pernah mementingkan dirinya sendiri.



Blog : Baru genap setahun

Hasil dari kemahuan dan minat
HARI ini 14 April genaplah setahun saya menulis di blog.

Semuanya bermula di atas dorongan dan kemahuan disertakan minat yang kuat dalam bidang penulisan.

Setahun adalah terlalu baru dan diibaratkan masih mentah dan belum matang dalam semua aspek.

Kalau hendak dikira saya agak ketinggalan berbanding orang lain yang telah membina blog mereka empat atau lima tahun dahulu.

Tetapi seperti kata pepatah Inggeris, "It is better late than never." Dari tidak bermula apa-apa, terlewat sedikit pun tidak mengapa. Asalkan apa yang diusahakan menjadi kenyataan.

Saya mula minat menulis sejak berada di sekolah menengah bila sering membaca dan meminati satu halaman dalam akhbar Berita Harian yang ditulis oleh penulis bernama Tan Sri Sheikh Abdullah pada akhir 70an.

Ruangan itu bertajuk "renungan". Ia adalah sebuah kolum yang terbit setiap hari kecuali hari Ahad. Halamannya terletak di bawah sekali dalam muka surat yang sama dengan rencana Pengarang yang terbit setiap hari.

Tan Sri Sheikh Abdullah adalah namanya yang sebenar dan bukan nama samaran seperti penulis-penulis pojok lain. Kolum "renungan" yang ditulisnya boleh dianggap sebagai halaman penulis pojok akhbar tersebut ketika itu.

Apa yang menarik minat saya ialah ruangan ini akan terbit setiap hari tanpa tergendala. Bahan-bahan tulisannya pula pelbagai isu menarik dari hal politik hingga kisah-kisah lucu yang ditulis secara humor.  Setiap hari selepas balik dari sekolah bila saya mendapatkan naskah Berita Harian, halaman inilah yang saya baca dulu.

Setelah mengikuti ruangan itu begitu lama barulah saya tahu yang penulisnya, Tan Sri Sheikh Abdullah adalah salah seorang ahli lembaga pengarah New Straits Times (NST).

Pada tahun 1981 bila berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno antara Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam; syarikat akhbar NST telah mengambil pendirian dengan menyokong Tengku Razaleigh. Manakala akhbar Utusan Melayu mengambil sikap mempertahankan Musa Hitam.

Saya juga masih ingat dalam satu tulisannya, Tan Sri Sheikh telah menyokong Razaleigh dalam pertandingan jawatan no. 2 Umno itu yang akhirnya dimenangi Musa Hitam.

Selepas Razaleigh tewas, ruangan Tan Sri Sheikh yang terbit setiap hari itu pun hilang dan tidak pernah muncul-muncul hingga hari ini. Dan saya tidak pernah terbaca lagi tulisan mahu pun namanya di akhbar-akhbar tempatan.

Oleh kerana ruangannya banyak mempengaruhi saya dalam penulisan dan pembacaan sejak muda, maka saya memberi nama "renungan" pada blog saya sebagai mengingati dan menghargai beliau sebagai seorang penulis pojok yang saya minati.

Saya berharap dapat mengikuti jejak beliau menulis setiap hari tanpa tergendala. Kecualilah sakit atau demam. Di sini saya juga ingin mengambil kesempatan memberi penghargaan pada rakan dan juga bekas Ketua saya semasa di akhbar Mingguan Islam, sdr. Mohd Sayuti Omar (MSO) yang telah memetik empat atau lima tulisan dalam blog saya ini disiarkan dalam akhbar Siasah. Saya cukup gembira dan ucap terima kasih.

Tetapi agak sedikit terkilan kerana ia tidak berlanjutan disebabkan akhbar Siasah telah bertukar haluan dan wajah.





Sabtu, 14 April 2012

Dato Husam Musa

Pemimpin muda harapan Pas
PADA awalnya melibatkan diri dalam politik Pas hanya sebagai pemberita akhbar Harakah. Kemudian menjadi Setiausaha Akhbar dan Politik pada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dari situ terus mengorak langkah dalam hieraki parti sehingga menjadi salah seorang Naib Presiden. Husam dikatakan antara pemimpin yang begitu rapat dengan Tok Guru Nik Aziz.

Di Kelantan beliau adalah pemimpin berpengaruh dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Ekonomi.

Ada pandangan mengatakan peranan Menteri Besar hanyalah dalam upacara-upacara rasmi dan orang yang memainkan peranan besar disebalik tabir ialah Husam.

Husam jugalah pemimpin muda Pas yang paling lantang menentang usaha dalam parti untuk bekerjasama dengan Umno. Penentangannya itu telah mendorongnya bertanding menentang jawatan Timbalan Presiden Pas yang masa itu disandang Nasharuddin Mat Isa. Namun beliau tewas dengan seorang lagi calon, Mohamad Sabu dalam pertandingan tiga penjuru.

Selepas kekalahan itu banyak pemerhati melihat Husam tidak mungkin akan kembali di barisan ketiga heiraki parti. Tetapi beliau membuktikan telahan itu salah dengan kembali bertapak bila memenangi salah satu dari tiga Naib Presiden dalam muktamar Pas 2011.

Dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13, ada khabar bertiup yang beliau akan berpindah ke kawasan Parlimen bagi menumpu dan memain peranan lebih besar di pusat. Tambahan pula Pas dan rakan lain dalam Pakatan Rakyat berhasrat menawan Putrajaya seterusnya menubuhkan kerajaan pusat.

Dengan kelulusannya dalam bidang ekonomi, Husam boleh pergi lebih jauh dan menjadi salah seorang pemimpin potensi kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang yang pernah dilahirkan; sebaris tokoh Tengku Razaleigh Hamzah, Allahyarham Tan Sri Asri Muda, Nik Ahmad Kamil, Mohamed bin Yaacob dan terkini Datuk Seri Mustapa Mohamad. 


Khamis, 12 April 2012

Perhimpunan Bersih 3.0

Pisau mata dua belah
BEGINILAH keadaan (gambar) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terkena gas pemedih mata pada perarakan Bersih 2.0 pada Julai 2011.

Hampir 3000ribu orang hadir menyertainya dan berlaku pertempuran dengan pihak keselamatan mengakibatkan kecederaan dan tangkapan.

Kali ini pada 28 April ini di Dataran Merdeka, Bersih 3.0 kembali lagi. Berapa ribu pula kehadirannya ? Apakah akan berlaku lagi kekecohan seperti yang terjadi pada tahun lepas ?

Sekiranya himpunan berjalan dengan baik dan sempurna, ditambah dengan jumlah kehadiran yang besar akan memberi tamparan psikologi pada kerajaan. Momentum pembangkang akan meningkat menjelang PRU 13.

Tetapi jika berlaku rusuhan dan pertempuran dengan pihak keselamatan; ia akan memberi imej buruk pada kerajaan dalam negara bahkan dunia antarabangsa. Matlamat Bersih ialah menuntut satu pilihanraya bersih dan adil serta bebas dari segala penipuan.

Ia bersifat serampang dua mata atau pisau mata dua belah. Dalam situasi apa pun pihak pembangkang akan mendapat kredit dari perhimpunan ini. Apalagi jika berlaku kekecohan dan tangkapan bermakna tarikh pilihanraya umum terpaksa kena gostan lagi.

UMNO lebih demokratik


TENGKU Razaleigh Hamzah menegaskan tidak siapa
perlu mempertikai kesetiaannya pada Umno dan BN.
Beliau orang lama dalam Umno dan akan terus kekal
setia pada parti.

Isu kesetiaan Ku Li timbul ekoran banyak isu nasional
dan pendirian beliau agak tidak selari dengan Umno.
Umpamanya, kes tuntutan royalti minyak Kelantan oleh
Kerajaan Pas negeri.

Kes ini dalam proses mahkamah untuk dibicarakan.
Ku Li sebagai bekas Pengerusi Petronas ketika perjanjian
itu dimeterai antara kerajaan Pusat dan Negeri bersependapat
dengan sikap Pas dalam tuntutan ini.

Sebagai ahli Umno tentulah pendiriannya agak bertentangan
dengan pendirian rasmi pucuk pimpinan parti. Dan yang
terkini pula Ku Li telah menyatakan pendiriannya menyokong
perhimpunan Bersih 3.0 yang akan mengadakan perhimpunan
pada 28 April ini di Dataran Merdeka.

Ku Li sebelum ini juga telah menubuhkan sebuah badan NGO
yang diberi nama Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah.
Beliau menjadi Pengerusinya dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir
yang telah isytihar keluar dari Umno menjadi Timbalannya.

Menurut Ku Li, Amanah yang terdiri dari bekas-bekas pemimpin
kerajaan dari berbagai kaum bertujuan memastikan hak-hak dan
kepentingan rakyat tidak diabaikan.

Semua langkah Ku Li ini tidak disenangi kebanyakan para
pemimpin tertinggi parti. Namun setakat ini tidak ada apa-apa
tindakan dikenakan padanya.

Ini memberi gambaran bahawa Ku Li agak bebas dan tidak terikat
sehingga beliau boleh menyatakan apa sahaja pendiriannya, walaupun
pendiriannya itu adalah selari dengan parti pembangkang.

Dari satu sudut, nampaknya Umno lebih demokratik berbanding dengan
parti Pas yang baru-baru ini telah memecat bekas Pesuruhjayanya di Selangor,
Dr. Hasan Ali yang mempunyai sikap dan pandangan berbeza dengan
pucuk pimpinannya.

Dr. Hasan dipecat dari Pas kerana agak berbeza pendiriannya dengan
parti. Tetapi Ku Li dari awal hingga akhir mempunyai pendiriannya
yang tersendiri, malah terbaru beliau memberi sokongan perhimpunan
Bersih 3.0 yang ditaja parti pembangkang. Malah dia menggesa para
ahli Amanah turut serta turun menghadiri perhimpunan itu.

Umno tidak mengambil tindakan apa-apa terhadapnya. Presiden Umno
sendiri hingga kini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau
mengulas pendirian Ku Li itu.

Nasib Ku Li lebih baik dari Dr. Hasan Ali.

Selasa, 10 April 2012

Tun Dr. Mahathir Mohamad

Sentuhan seorang politikus veteran

DR. Mahathir Mohamad mengakui kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya 2008 - salah satu faktornya adalah berpunca dari kritikan dan kecamannya terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Kecamannya secara terbuka sedikit sebanyak telah mempengaruhi ahli-ahli UMNO. Jelas dalam pilihanraya tersebut banyak ahli UMNO telah mengundi calon parti pembangkang.

Tindakannya itu bukanlah dari hasrat beliau untuk membalas dendam terhadap sesiapa. Ia dilakukan berdasarkan situasi politik ketika itu yang baginya Pak Lah Badawi telah gagal menerajui UMNO dan BN dilandasan yang betul.

Dalam konteks keputusan pilihanraya umum 2008 yang telah memberi tamparan hebat pada UMNO dan BN; kemenangan besar pembangkang bukan hasil dari kekuatan mereka yang sebenar.  Banyak ahli-ahli UMNO telah berpaling tadah sebagai protes terhadap kepimpinan Pak Lah dan menyokong secara senyap pendirian serta sikap Dr. Mahathir membabitkan banyak isu.

Bagi Dr. Mahathir, apa yang dilakukannya itu bukan sebagai tanda sokongan pada parti pembangkang. Tetapi ia dilakukan sebagai usaha menyelamatkan UMNO dan BN dari terus hilang sokongan rakyat akibat dari beberapa keputusan kerajaan masa itu yang tidak begitu popular.

Walaupun BN hilang banyak kerusi serta beberapa negeri terlepas ketangan pembangkang, Pak Lah terus ingin menjadi Perdana Menteri dan enggan berundur. Usaha Dr. Mahathir berjaya menempelak Pak Lah sebagai orang nombor satu negara, namun gagal mendorongnya berundur.

Justeru itu Dr. Mahathir telah membuat keputusan nekad dengan tindakannya keluar dari UMNO. Langkah politik itu sebagai satu tekanan pada Pak Lah yang seolah tidak dapat membaca isyarat dari ahli akar umbi.

Dengan kedudukan Dr. Mahathir yang masih berpengaruh dikalangan ahli parti, tindakannya itu telah memberi lebih tekanan pada ahli untuk turut mendesak Pak Lah berundur. Langkah itu berjaya dan Pak Lah terpaksa akur.

Dari peristiwa itu dapat dilihat betapa berkesannya sentuhan beliau sebagai politikus veteran memainkan peranan dalam mencorak kepimpinan parti dan negara. Walaupun dalam suasana tertentu beliau diboikot dan dipinggirkan sebahagian besar media perdana yang dikuasai kuncu-kuncu Pak Lah.

Dr. Mahathir telah bertindak berdasarkan prinsip dan keyakinannya bagi menyelamatkan parti yang baginya telah hilang arah dan merudum di bawah Pak Lah. Tindakannya mengkritik secara terbuka dan langkah akhir dengan keluar dari menjadi ahli UMNO telah memberi kesan besar terhadap Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Ia adalah sesuatu yang tidak mungkin dilakukan oleh politikus lain. Tetapi bagi Dr. Mahathir sebagai ahli politik veteran, langkah dan tindakannya sering diluar jangkaan.

Isu PTPTN

Satu janji politik yang populis

PEMIMPIN Pakatan Rakyat berkempen sekiranya mereka berjaya menubuhkan kerajaan pusat mereka akan menghapuskan pinjaman pendidikan atau PTPTN.

Ertinya, semua pelajar di negara ini tidak perlu membuat pinjaman dan akan belajar secara percuma di institiut pengajian tinggi dan universiti.

Sudah tentulah di mana-mana sahaja perkataan percuma adalah suatu perkara yang menarik perhatian ramai. Siapakah yang akan menolak benda percuma ?

Tetapi seringkali benda percuma atau free adalah sesuatu yang tidak berkualiti dan tidak berharga nilainya. Orang politik akan lakukan apa sahaja untuk meraih undi, apatah lagi setiap kali menjelang pilihanraya.

Setakat berjanji dengan hanya menggunakan air liur; mereka boleh berjanji apa sahaja termasuk bulan dan bintang. Di sudut ekonomi dan pengurusan kewangan negara apakah ianya sesuatu yang logik dan praktikal ?

Kita perlu ingat orang yang berjanji bukanlah seorang pakar ekonomi dan pentadbir yang cekap selok-belok pengurusan dan pentadbiran. Mereka hanyalah politikus yang terdesak bagi meraih sokongan rakyat untuk mengekal kerusi masing-masing.

Tidak cukup lagikah segala kemudahan dan bantuan kerajaan selama ini ? Dengan berbagai agensi kerajaan yang ditubuhkan demi kemudahan rakyat; itupun ada yang mensia-siakan segala peluang dan kemudahan yang diberi.

Apakah belajar dengan percuma satu jaminan dapat melahirkan graduan-graduan yang berkualiti dan berhemah tinggi ? Sudah tentu tidak. Kalau datang secara percuma, hasil akhirnya percuma jugalah !

Pinjaman pendidikan bukan bertujuan menggalakan para pelajar berhutang. Namun ia adalah satu tanggungjawab dan latihan pada mereka sebelum memasuki alam kehidupan sebenar selepas belajar. Pengurusan wang dan ekonomi tidak diajar di sekolah-sekolah. Bila mereka dapat pinjaman mereka seharusnya menggunakannya dengan baik dan memulangkannya setelah mereka berjaya dan tamat belajar.

Itupun kerajaan bagi istimewa lagi, selepas belajar dan dapat pekerjaan baru bayar balik pada kerajaan. Mereka yang belum dapat pekerjaan boleh berunding dan tangguh dahulu pembayaran balik.  Bukankah itu sudah satu pertolongan ?

Dunia sekarang nak masuk tandas awam pun kena bayar 10sen atau 30sen. Inikan mahu belajar di menara gading. Namun kerajaan bagi segala kemudahan bagi meringankan beban ibu bapa. Tetapi orang politik, terutamanya pembangkang mengambil kesempatan menawarkan sesuatu yang payah orang hendak tolak.

Berjanji bukan sebarang janji, tetapi biarlah realistik dan menasabah.

Isnin, 9 April 2012

Dr. Hasan Mohamed Ali

Anwar punca segalanya

BILA Dr. Hasan Ali dipecat dari parti PAS beliau menganggap para pemimpin pro Anwar dalam parti mempengaruhi pemecatannya itu.

Ini ekoran tindakan dan langkahnya semasa menjadi Exco Negeri Selangor tidak disenangi PKR dan DAP.

Dan kelmarin Dr. Hasan menuduh Anwar Ibrahim adalah orang yang memainkan peranan dan mempengaruhi dasar perjuangan parti PAS dari negara Islam bertukar menjadi negara kebajikan.

Dr. Hasan sudah tidak dapat menerima lagi Anwar sebagai pemimpin dan meraguinya dalam banyak perkara. Dari soal prinsip perjuangan hingga pada masalah peribadi bekas rakannya itu.

Sedangkan Anwarlah juga merupakan faktor utama Dr. Hasan mencebur dan melibatkan diri dalam politik sepenuh masa dengan menyertai PAS.

Sebelum melibatkan diri dengan politik siasah, Dr. Hasan hanya seorang pakar motivasi dan penceramah agama yang popular di kaca tv. Tetapi setelah berlakunya peristiwa pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan meletusnya era reformasi beliau telah menerjunkan dirinya dalam membela nasib Anwar yang dianggap telah dianiaya.

Dr. Hasan adalah di antara penceramah setiap malam di rumah Anwar di Bukit Damansara pada awal tempoh laungan reformasi bergema. Pada masa itu beliau begitu nekad dan bulat mempertahankan Anwar dan telah mengkritik hebat segala dasar kerajaan.

Seperti biasa dalam kamus politik tidak ada musuh yang kekal dan kawan yang setia. Kini Dr. Hasan merupakan musuh nombor satu tokoh yang pernah dipertahankannya.

Siapa dipihak yang benar tidak penting. Tetapi senario politik Dr. Hasan cukup menarik. Dia masuk politik kerana Anwar. Dia dipecat juga kerana Anwar.

Ahad, 8 April 2012

Datin Seri Rosmah Mansor

Imej dan penampilan menjadi perhatian

SEBAGAI isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor terus mendapat tumpuan dan perhatian dari semua lapisan masyarakat.

Seorang personaliti dan figura utama negara tentulah akan diteropong dari dekat dan jauh segala gerak-geri dari sekecil-kecil hinggalah sebesarnya. Tidak akan ada ruang kosong yang tidak dicelah.

Apa lagi dalam suasana masyarakat negara ini cerita yang panjang seinci boleh jadi sedepa. Malah yang tidak ada cerita boleh diolah menjadi bahan cerita yang menarik.

Itu belum lagi dikira segala tohmahan dan fitnah yang sudah menjadi satu amalan biasa bagi sesetengah golongan. Justeru tuan punya badan perlulah menjaga agar tidak mudah menjadi mangsa dan ruang pada golongan yang sentiasa menunggu peluang.

Dengan suasana politik negara yang banyak menumpu pada soal-soal peribadi kadang-kadang ia boleh mempengaruhi para pengundi. Sebagai orang yang bukan memegang jawatan dan ahli politik seharusnya berada dalam low profile dan tidak terlalu menonjol. Bak kata orang jangan lebih sudu dari senduk.

Apa yang berlaku semasa era Pak Lah Badawi tidak sepatutnya berulang dengan kisah menantunya, Khairy Jamaluddin yang begitu berpengaruh dan memberi imej negatif pada kerajaan. Hingga ada yang menggelar sebagai budak di tingkat 4. Gambaran yang dibayangkan masa itu seolah Pak Lah dikuasai oleh Khairy; termasuk dalam soal pemilihan calon.

Ceciter...ceciter begini walaupun tidak seratus peratus sahih kebenarannya, namun telah memberi kesan besar terhadap corak pengundian dalam pilihanraya.

Dalam konteks PRU 13 perkara sama boleh berulang tetapi dalam konteks tokoh atau figur yang lain pula. Dalam politik setiap pihak lawan akan terus mencari mangsa untuk dikambinghitamkan tanpa belas kasihan. Yang penting undi.

Sharbinee Allawee

Buat silap lagi...
TERENGGANU dibelasah teruk oleh Selangor 6-1 di Stadium Kelana Jaya dalam perlawanan Liga Super malam tadi.

Sang Penyu mendahului satu gol diawal minit ke 9 menerusi Ismail Faruqi dalam separuh masa pertama.

Selepas itu semua pemain Terengganu kelihatan longlai dan keletihan bermain di atas padang yang basah.

Kesilapan dan kelemahan dibarisan pertahanan Penyu telah memberi ruang pada Selangor menghukum dengan jaringan demi jaringan dalam separuh masa yang kesudahan Selangor mendahului 4-1.

Pemain yang paling kesal semalam ialah penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee yang juga pemain kebangsaan. Tidak kurang dari dua atau tiga gol yang bolos adalah hasil kesilapan beliau. Sama ada kesilapan itu berpunca dari kedudukan atau posisinya yang salah dan cara dia menangkap atau menumbuk bola itu kurang kemas.

Inilah kesilapan sama yang sering berulang pada Sharbinee sama ada bermain untuk Terengganu, malah semasa mewakili pasukan Harimau Malaya. Pada final Piala Malaysia 2011 ketika menentang Negeri Sembilan - di mana Terengganu tewas, beliau telah meminta maaf di atas kesilapannya melepaskan gol mudah pada pihak lawan.

Begitu juga semasa bermain untuk Harimau Malaya di Kejohanan Piala Suzuki AFF di Jakarta bila kita tewas mudah pada Indonesia 5-1 di peringkat awal. Kesilapan sama berulang bila dia melepaskan banyak gol mudah di Singapura dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia. Sejurus itu posisinya telah diambil alih Khairul Fahmi Che Mat.

Bagaimanapun, keseluruhan prestasi Sharbinee tidaklah seburuk yang digambarkan. Cuma masalah dengan penjaga gol ini ialah prestasinya tidak pernah menentu. Dia boleh bermain dengan baik dengan formnya yang luarbiasa. Tetapi kadang-kala dia boleh bermain seburuk mungkin.

Bukti jelas dalam perlawanan terakhir baru-baru ini bila Terengganu berjaya menyingkirkan Lions XII dalam perlawanan suku akhir Piala FA. Dan Terengganu juga setakat ini mempunyai rekod bersih tanpa kalah bila bermain di Stadium Jalan Besar, Singapura. Mereka berjaya menewaskan kelab dari Singapura, Tampines Rovers 1-0 dalam Piala AFC baru-baru ini. Sebelum itu berjaya menundukkan Lions XII 1-0 dalam Liga Super.

Memang benar dalam permainan bolasepak adalah permainan berpasukan. Kesebelasan pemain perlu memikul segala kelemahan dan kesilapan dan tidak mencari pemain yang perlu dikambinghitamkan. 

Namun kecuaian dan kesilapan Sharbinee, terutamanya dalam perlawanan malam tadi tidak harus berlaku lebih-lebih lagi dia adalah penjaga gol berpengalaman.

Sekiranya jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagopal masih mahu menyenaraikan lagi Sharbinee dalam skuad kebangsaan - beliau perlu sanggup menghadapi risikonya.

Jumaat, 6 April 2012

Tengku Razaleigh Hamzah

Masih diperlukan UMNO

TENGKU Razaleigh Hamzah (Ku Li) masih menganggap beliau adalah calon pilihan jawatan Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri.

Bapa Datuk Seri Najib, Allahyarham Tun Razak adalah orang yang bertanggungjawab membawanya masuk dalam politik parti dan kerajaan dalam usianya masih muda.

Pada suatu ketika Ku Li adalah Naib Presiden UMNO paling kanan berbanding Dr.Mahathir Mohamad dari ketiga orang Naib Presiden, termasuk Allahyarham Tun Ghaffar Baba.

Ku Li sentiasa mengira bahawa Tun Razak sedang mempersiapkan dirinya sebagai pewaris kepimpinan UMNO. Tun Razak pula menganggap Ku Li sebagai putera raja dari istana tentunya dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tunku Abdul Rahman Putera AlHaj yang juga berdarah raja.

Tetapi bila Tun Razak meninggal dunia secara mengejut, penggantinya Tun Hussein Onn telah memilih Dr. Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri melangkaui kedudukan Ku Li dalam parti. Faktor Tun Hussein memilih Dr.Mahathir ialah kerana pada masa itu Ku Li masih muda.

Tiada protes dari Ku Li dengan perlantikan Dr.Mahathir sebagai TPM merangkap Timbalan Presiden parti. Kerana bagi beliau sekiranya nanti Dr. Mahathir menjadi PM, beliaulah calon utama jawatan TPM.

Namun bila Tun Hussein meletakkan jawatan dan Dr. Mahathir mengambilalih menerajui parti dan negara, beliau tidak memilih calon TPM seperti dilakukan Tun Hussein. Sebaliknya, Dr. Mahathir telah menyerahkan pada ahli-ahli UMNO menentukan melalui proses demokrasi iaitu pertandingan jawatan nombor dua parti.

Justeru itu Tun Musa Hitam, salah seorang Naib Presiden telah menawarkan dirinya bertanding menentang Ku Li untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Maka berlakulah pertandingan satu lawan satu pada tahun 1981.

Akhirnya, Ku Li tewas pada Musa Hitam dengan 200 undi. Ada beberapa faktor mempengaruhi kekalahan Ku Li. Antaranya, Dr. Mahathir secara terbuka memilih dan menyokong Tun Musa Hitam sebagai calon pilihannya. Dan kedua Ku Li gagal menonjolkan dirinya sebagai seorang tokoh ultra nasionalis melayu yang tinggi berbanding Musa Hitam di kalangan para ahli UMNO.

Bagaimanapun semuanya telah menjadi sejarah. Kini adalah era Najib Razak. Pun begitu Ku Li masih menyimpan hasrat dan harapan sebagaimana semasa Tun Razak membawanya masuk dalam parti satu masa dahulu.

Namun Ku Li tidak mempunyai apa-apa jawatan di peringkat pusat atau majlis tertinggi. Beliau hanya gah di Gua Musang; kubunya paling kental yang sukar ditembusi sesiapa. Harapan dan impiannya terlalu sukar dan penuh ranjau. Apa pun Ku Li tetap menjadi aset penting dan masih diperlukan UMNO lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihanraya umum 13 ini.

Tarikh pilihanraya umum

Strategi dan percaturan politik

SUDAH menjadi satu tradisi sejak merdeka di negara ini bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak menentukan bila tarikh pilihanraya umum dan pembubaran Parlimen.

Ianya menjadi satu teka-teki dan kejutan pada semua orang, terutamanya parti pembangkang.

Pihak pembangkang seringkali mempertikai cara ini dan menuntut agar kerajaan memberi notis lebih awal agar persiapan rapi dapat diadakan.

Walau apapun tindakan Perdana Menteri merahsiakan tarikh keramat itu tidak menyalahi undang-undang dan perlembagaan negara. Cuma langkah ini dilihat sebagai tidak adil buat parti pembangkang yang mahu ianya diumum lebih awal sebagaimana diamalkan disetengah negara.

Bila Parlimen akan dibubarkan dan tarikh pilihanraya umum hanya Datuk Seri Najib Razak seorang sahaja yang tahu dalam dunia ini. Barangkali, jika ditanya pada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun beliau tidak dapat menjawabnya dengan pasti.

Pihak Pakatan Rakyat tidak boleh komplen dengan langkah teka-teki Najib dalam hal ini. Kerana negeri-negeri yang ditadbir pembangkang kecuali Kelantan belum sepakat untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing seiring dengan pembubaran Parlimen.

Selangor dan Pulau Pinang dibawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim dan Lim Guan Eng lebih cenderung untuk mengadakan pilihanraya negeri secara berasingan. Mereka berdua mahu menghabiskan tempoh mandat sehingga tahun depan.

Manakala Kelantan dibawah Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu pilihanraya diadakan serentak. Alasan Nik Aziz jika pilihanraya dibuat berasingan banyak 'hantu-hantu' yang akan datang menyerang Kelantan. Tidak mampu hendak lawan dan tepis, kata orang tua itu. Di Kedah pula Datuk Seri Azizan Razak seperti biasa menyerahkan bulat-bulat pada PAS pusat. Dia ikut saja.

Justeru itu Najib sendiri agak serba salah. Kalau diadakan pilihanraya pada April atau Jun ini, tetapi Selangor dan Pulau Pinang enggan bubar DUN mereka, bagaimana ? Yang pening kepala dan terpaksa bekerja dua kali disamping peningkatan kos ialah SPR.

Tarikh pilihanraya sama ada rahsia atau tidak bukan lagi satu isu besar. Pihak kerajaan mahu pun pembangkang; mereka telah berkempen sepanjang masa, sepanjang bulan dan tahun tanpa henti sejak selesai pilihanraya umum pada 2008 lagi. Tidak cukup lagikah berkempen dan berceramah ?

Di Malaysia politik berjalan tanpa henti dan bukan empat atau lima tahun sekali. Ia adalah proses sepanjang masa tanpa henti. Itu pun belum dikira entah berapa kali pilihanraya kecil terpaksa diadakan.
Orang Malaysia terlalu banyak politiking !



 

Khamis, 5 April 2012

A. Samad Said

Dari sasterawan ke pentas politik

SASTERAWAN Negara, A.Samad Said adalah pengerusi bersama Bersih 3.0 yang akan mengadakan perhimpunan 28 April ini di Dataran Merdeka bagi menuntut reformasi dan satu pilihanraya bersih.

Pak Samad ialah bekas pengarang akhbar dan seorang novelis. Sejak akhir ini Pak Samad lebih tertumpu pada bidang puisi dan lukisan.

Beliau pernah melancarkan 'mogok seni' suatu masa dahulu sebagai bantahan terhadap layanan dan masalah honorariumnya dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mogok seninya itu bermaksud beliau berhenti dari berkarya atau menulis apa-apa karya sehinggalah masalah ketidakpuashatiannya diselesaikan.

Selepas itu Pak Samad merajuk lagi dengan kerajaan seolah beliau sebagai sasterawan Negara tidak mendapat perhatian dan layanan sewajarnya. Pak Samad bercita-cita untuk mendapat sebuah arkib bagi menyimpan dan menghimpun segala khazanah karya seninya untuk warisan bangsa.

Namun bagi Pak Samad hasratnya itu tidak diberi perhatian dari kerajaan, terutamanya kementerian penerangan. Lalu khabarnya, Pak Samad ingin memindahkan segala karya seninya keluar negara. Dilaporkan negara New Zealand bersedia untuk membantu memenuhi hasrat dan impian Pak Samad mendirikan sebuah arkib untuk tujuan itu.

Sehingga ini tidaklah pasti apakah projek ini berjalan lancar dan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun itulah Pak Samad yang sebelum ini begitu 'setia' dengan dunia seninya dan tidak mengambil pendirian dalam soal siasah. Beliau pernah dikecam hebat dan berpolemik dalam media cetak dengan seorang lagi Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad. Shahnon telah mengkritik sikap dan pendirian beliau dalam banyak isu. Dan Shahnon ketika itu seorang anti-establishment dan orang kuat parti PAS.

Tetapi kini Shahnon yang agak uzur telah mengecam pula parti yang didokongnya kerana bekerjasama dengan DAP. Jelas kini Shahnon telah bersikap lebih lunak dalam soal politik dan persepsinya terhadap kerajaan.

Kalau dahulunya Shahnon Ahmad agak kritikal terhadap kerajaan kini beliau telah berpusing beberapa darjah. Ironinya, Pak Samad kini mengisi pula kekosongan yang ditinggalkan Shahnon.

Namun apakah Pak Samad akan bersikap lebih lunak terhadap kerajaan diakhirnya sepertimana Shahnon yang kini agak mengendur.

@Ehsan Kartun Rossem.