Khamis, 23 Februari 2012

ISU DEBAT



KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu bersungguh-sungguh
mahukan perdebatan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
dalam waktu terdekat ini.

Seperti biasa dikalangan parti pembangkang menyokong penuh cadangan ini
dan inginkan ianya diadakan secepat mungkin. Bagi sesetengah pihak kerajaan
dan para ahli akademik pula tidak nampak keperluan dan kepentingannya.

Sekiranya debat ini menjadi kenyataan maka pihak pembangkang akan memperolehi
keuntungan dari segi politik dan publisiti. Najib dan kerajaan tidak akan dapat
apa-apa kelebihan.

Dalam perdebatan itu apakah yang mampu dihurai dan dijelaskan Najib dalam
masa yang terhad dan singkat ?  Anwar sebagai seorang yang cekap berpidato
tentunya mampu memutarbelit dan memanipulasi isu-isu untuk kepentingan diri
dan partinya.

Peluang debat seperti ini memang dinantikan Anwar kerana ia akan mendapat 
siaran yang meluas dan ini akan digunakan untuk memperbaiki imejnya yang terjejas
teruk.

Apa yang menarik lagi dengan perkembangan ini ialah Presiden Perkasa, Ibrahim Ali,
juga mahu tumpang sekaki dengan mencabar Anwar agar berdebat dengannya.
Menurut Ibrahim, Anwar tidak layak berdebat dengan PM lantaran isu-isu moral
yang menyelubungi dirinya.

Nampaknya, PM Najib tidak perlulah ambil pusing dengan isu debat ini kerana pada
tahun lepas Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri telah menolak cabaran berdebat dari
bekas anggota Dewan Ulama PAS Pusat, Prof. Madya Mohd Noor Deris dalam isu
kerjasama PAS dan DAP dari sudut Islam.

Mohd Noor Deris yang kini ahli UMNO telah mempertikai sikap dan pendirian Nik Aziz
yang lebih rela bekerjasama dengan DAP dari UMNO yang seagama. Nik Aziz telah
menolak cabaran debat itu di atas alasan Mohd Noor tidak mewakili pihak yang
menjalankan dasar parti. Ertinya, bagi Nik Aziz; Mohd Noor tidak setaraf dengannya.

Jadi, kalau Nik Aziz boleh menolak cabaran itu dengan alasan lawannya tidak setaraf,
maka Najib juga boleh memberi alasan yang sama dalam isu debat yang sedang hangat ini.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan