Isnin, 1 Oktober 2012

Dr. Mahathir mendahului zamannya

Kepimpinannya menjadi inspirasi

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dipilih untuk menerima Anugerah Peringatan Rafik Hariri (PBB)-Habitat 2012 di satu majlis yang diadakan di New York baru-baru ini.

Dr. Mahathir merupakan penerima kedua selepas Perdana Menteri, Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Anugerah itu diwujudkan melalui Yayasan Rafik Hariri, bekas Perdana Menteri Lebanon yang mati terbunuh. Penerima anugerah diberikan kepada individu, pertubuhan serta institusi di seluruh dunia bagi mengiktiraf pencapaian penting seperti kepimpinan, kenegarawan dan tadbir urus yang baik.

" Di bawah kepimpinan anda yang bijaksana, Malaysia berjaya memainkan peranan penting dalam peta dunia dan sehubungan itu, PBB-Habitat dan Yayasan Rafik Hariri dengan bangga mengiktiraf pencapaian Malaysia dan bekas PMnya yang cemerlang," kata Nazek Rafik Hariri, Presiden Yayasan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PBB-Habitat, Dr. Joan Clos berkata," Kehidupan dan kerjaya Dr. Mahathir menunjukkan beliau berpegang kepada prinsip berpandangan jauh ke depan. Dengan membuat pelaburan dalam infrastruktur fizikal, teknologi dan pengetahuan, beliau juga lebih banyak mendahului zamannya".

Begitulah penilaian dan penghormatan orang asing terhadap ketokohan Dr. Mahathir. Ini adalah anugerah yang entah ke berapa terhadap bekas PM itu di atas kualiti kepimpinan dan visinya yang menjangkau jauh ke hadapan. Nampaknya, orang luar lebih menghargai dan tahu menilai yang mana satu intan dan kaca dalam konteks politik dan kepimpinan negara.

Yang menyedihkan masih ada lagi segelintir rakyat yang masih seperti katak di bawah tempurung dan bersifat terlalu cerdik yang tidak boleh diikut dan bodoh tidak boleh diajar serta terlalu taksub dengan sesuatu golongan yang hanya berjuang di atas isu-isu remeh temeh dan sempit. Mereka tidak dapat membezakan isu kecil dan isu besar serta kepentingan dan keutamaannya.

Ini semua lantaran mereka dipimpin oleh barisan pimpinan yang berjiwa kecil, tidak mempunyai visi dan berpandangan jauh.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan